20 Ogos 2009

United Tersungkur Di Turf Moor

Michael Carrick of Manchester United takes and misses a penalty
Manchester United mencatat kekalahan sulungnya dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini apabila dijinakkan oleh kelab yang baru dinaikkan pangkat Burnley awal pagi tadi. Walaupun menguasai segenap penjuru padang namun United gagal menembusi benteng pertahanan lawan yang bermain secara defensif sepanjang perlawanan sambil mengamalkan taktik serangan balas pantas. Pada permulaan perlawanan United menampilkan aksi menyakinkan dan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Burnley namun tuan rumah kebal bertahan. Deretan peluang disia-siakan oleh barisan penggempur United yang diketuai oleh Wayne Rooney dan akhirnya tuan rumah mengambil kesempatan diminit ke 19 melalui tendangan volli Robbie Blake yang terus menewaskan Ben Foster di gawang.

United kemudiannya melancarkan serangan bertali arus dari berbagai sudut namun benteng tuan rumah tetap kebal bertahan dan sukar ditembusi. Diminit ke 45, United berpeluang menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti namun Michael Carrick gagal menyempurnakannya. Bersambung di babak kedua, United terus melancarkan serangan bertubi-tubi namun nasib tetap tidak menyebelahi barisan penggempur mereka dan penampilan cemerlang penjaga gol lawan, Brian Jensen berjaya menyelamatkan pintu gol Burnley dari dibolosi. Kekalahan ini merupakan tamparan hebat buat skuad Red Devils dan mereka harus bangkit apabila menentang Wigan Athletic di JJB Stadium Sabtu ini.

Lain-lain Keputusan Perlawanan:

Birmingham City (1) - Portsmouth (0)
Liverpool (4) - Stoke City (0)
Hull City (1) - Tottenham Hotspurs (5)

19 Ogos 2009

Rooney Sedia Pikul Tugas Penyerang Utama

Photo 1 - Manchester United's English forward Wayne Rooney (L) is tack... AFP/Getty Images
Wayne Rooney kini sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai penyerang utama United musim ini. Rooney berjaya meledakkan gol pertamanya untuk United musim ini ketika menentang Birmingham City Ahad lalu dan bersedia meneruskan penampilan `garangnya' apabila United bertandang ke Turf Moor menentang pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Burnley. Pengurus Birmingham City, Alex McLeish melabelkan Rooney sebagai setaraf dengan bekas bintang antarabangsa Perancis, Michel Platini dan Zinedine Zidane. Rooney kini tidak lagi mendapat sokongan dari Cristiano Ronaldo sepertimana musim lalu namun bersedia untuk merobek gawang Burnley apabila kedua-dua pasukan berentap awal pagi esok.

Skuad Red Devils perlu bekerja keras musim ini bagi membuktikan pemergian Ronaldo dan Tevez tidak langsung melemahkan kekuatan mereka dan mereka tetap pasukan yang digeruni biarpun tanpa kelibat Pemain Terbaik Dunia 2008 itu. Biarpun mengakui kehilangan Ronaldo satu kehilangan besar kepada pasukan namun Rooney mahukan pasukannya memandang kehadapan dan bekerja keras bagi mempertahankan reputasi sebagai Juara Liga Perdana Inggeris tiga musim berturut-turut. Awal pagi nanti Rooney turut mempunyai sasaran peribadi bagi memburu gol ke 100nya untuk United dan ini merupakan detik terbaik buat penyerang antarabangsa England itu merealisasikan impiannya.

18 Ogos 2009

Fergie Harap Vidic Cepat Sembuh

Manchester United's Nemanja Vidic after the final whistle
Sir Alex Ferguson kembali menghadapi masalah kecederaan di benteng pertahanan apabila Rio Ferdinand disahkan tidak akan beraksi selama dua minggu akibat kecederaan betis. Walau bagaimanapun satu-satunya berita gembira buat Ferguson ialah prospek kembalinya Nemanja Vidic dalam waktu terdekat. Vidic diketepikan sepanjang kempen Jelajah Asia 2009 dan perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Birmingham City kelmarin akibat kecederaan pergelangan kaki. Vidic mengalami kecederaan tersebut ketika membantu Serbia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2010 zon Eropah dan tidak menyertai United dalam perlawanan-perlawanan pra musim mereka.

"Ferdinand harus menjalani pemeriksaan intensif untuk memastikan status cedera betis yang dialaminya. Dia akan direhatkan selama dua minggu atau setidak-tidaknya dua perlawanan", ujar Fergie. Fergie kini berharap Vidic segera sembuh dan pemain antarabangsa Serbia itu sudah mula turun menjalani latihan. "Saya berharap Vidic dapat diturunkan ketika kami menentang Wigan Sabtu ini", tambah Fergie lagi. Tambah memburukan keadaan, Jonny Evans turut menyertai senarai kecederaan United dan terpaksa dikeluarkan pada pertengahan babak kedua ketika menentang Birmingham namun Ferguson punya pengganti sesuai untuk mengisi kekosongan dibenteng pertahanan United.

17 Ogos 2009

Langkah Kanan United

Wayne Rooney celebrates his 99th goal for Manchester United
Wayne Rooney muncul wira Manchester United apabila jaringan tunggalnya membawa skuad Red Devils memungut tiga mata penuh di Old Trafford. Rooney turut menilai tahap permainan United tetap kompetitif biarpun kini tanpa Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez. Mengenai kemenangan tipis United itu, Rooney menganggap corak permainan tertutup yang diamalkan Birmingham menyukarkan pasukannya menjaringkan lebih banyak gol. Menurut Rooney permainan United tetap lancar dan perancangan taktikal yang diatur Ferguson berjaya dilaksanakan oleh setiap pemain. Buktinya United menguasai 63 peratus permainan dengan pemain Birmingham kerap dipaksa berkumpul di hadapan gawang sendiri. "Kami bermain dengan baik namun Birmingham lebih banyak bertahan di babak pertama dan itu menyulitkan usaha kami mencari gol. Walau bagaimanapun kami tetap berupaya membuka peluang menghasilkan gol dan syukur kami berjaya meraih tiga mata penuh", ujar Rooney.

Faktor lain kegagalan United mencipta jaringan besar adalah ketangkasan Joe Hart selaku penjaga gawang Birmingham. Hart berjaya menyelamatkan sepuluh percubaan tepat United dan satu-satunya kegagalan bekas penjaga gol Manchester City itu ialah menyelamatkan jaringan Rooney di minit ke 34. United membuka tirai kempen liga mereka musim ini tanpa khidmat Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Anderson, Michael Carrick, Rafael da Silva, Owen Hargreaves dan Edwin Van Der Sar yang dilanda kecederaan. Walau bagaimanapun John O'Shea dan Jonny Evans yang diletakkan selaku benteng pertahanan tengah United mempamerkan aksi terbaik mereka. Fabio da Silva yang diberi penampilan pertama oleh Ferguson dalam kancah Liga Perdana juga sering memukau selaku pertahanan kanan melalui larian-larian pantasnya ke kawasan lawan.

16 Ogos 2009

Keputusan Perlawanan Liga Perdana Inggeris 2009/2010

SABTU-15 OGOS 2009

Chelsea (2) - Hull City (1)
Portsmouth (0) - Fulham (1)
Wolverhamton Wanderers (0) - West Ham (2)
Blackburn Rovers (0) - Manchester City (2)
Bolton Wanderers (0) - Sunderland (1)
Aston Villa (0) - Wigan Athletic (2)
Stoke City (2) - Burnley (0)

AHAD-16 OGOS 2009

Manchester United (1) - Birmingham City (0)
Tottenham Hotspurs (2) - Liverpool (1)

Misi Buru Gelaran Keempat Berturut-turut Bermula

Manchester United manager Alex Ferguson
Manchester United akan memulakan misi memburu gelaran juara Liga Perdana Inggeris kali keempat berturut-turut dengan melayani kunjungan Birmingham City. Walaupun ramai pihak meramalkan Manchester City yang membelanjakan lebih 100 juta Pound merupakan pencabar utama gelaran musim ini, tetapi Fergie tampak langsung tidak peduli menjelang aksi pembukaan United di Old Trafford malam ini. Ferguson bagaimanapun tetap bertegas kelab seperti City akan menghadapi laluan sukar untuk memecah dominasi Big Four musim ini. Ferguson dijangka memberi penampilan pertama buat Luis Antonio Valencia yang dibawa bagi menggantikan Cristiano Ronaldo dan berkata, "Di sinilah tumpuan ketika ini dan City telah mengambil alih tempat kami di muka belakang akhbar-akhbar utama. Saya gembira dengan siutasi ini kerana sudah bosan membaca berita tentang pasukan sendiri sejak sekian lama. Apa yang penting adalah keputusan di tengah padang dan saya fikir tidak ada ancaman kepada empat kelab utama. Ini adalah pasukan yang perlu ditumbangkan. Empat pasukan utama ini memiliki kriteria tepat dari segi pengalaman, kualiti, gelanggang dan barisan pemain yang bagus. Jadi bagi saya empat pasukan utama masih sukar diatasi walaupun Aston Villa hampir melakukannya tahun lalu".

11 Ogos 2009

Rooney: United Tidak Perlu Perubahan Besar

Photo 1 - LONDON, ENGLAND - AUGUST 09: Wayne Rooney of Manchester United ... Getty Images
Penyerang Manchester United, Wayne Rooney menyatakan skuad Red Devils tidak memerlukan perubahan besar dalam pasukan. Kenyataan Rooney itu nyata berlawanan dengan apa yang telah dilakukan oleh jiran mereka, Manchester City yang berbelanja besar bagi memperkuatkan skuad mereka musim ini. Bagi Rooney, kehilangan Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez bukanlah satu masalah besar buat United dan yakin Sir Alex Ferguson punya cara tersendiri mengatasi kekurangan yang ditinggalkan oleh kedua-dua pemain itu. "Saya yakin kami tidak perlu melakukan perubahan besar dalam pasukan. Kami telah memenangi Liga Perdana tiga musim berturut-turut dan mara keperlawanan akhir Liga Juara-Juara selama dua musim. Kami tidak perlu cemburu dengan apa yang telah dilakukan oleh Manchester City dan Real Madrid. Pengurus tahu apa yang perlu dilakukan dan akan mendapatkan pemain baru jika dia rasa pasukan memerlukannya", ujar Rooney kepada BBC Sport. Rooney mengakui ketiadaan Ronaldo meninggalkan kesan buat pasukan tetapi United kini memiliki Michael Owen dan Luis Antonio Valencia. "Kami telah memiliki Owen dan Valencia dalam pasukan dan mereka berjaya menyesuaikan diri dengan pantas. Apa yang kami perlukan sekarang hanyalah mengubah sedikit corak permainan dan saya yakin kami mampu melakukannya", tambah Rooney lagi.