14 September 2009

United Tetap Calon Utama Kekalkan Kejuaraan

http://images.teamtalk.com/08/04/800x600/NemanjaVidic_803532.jpg
Nemanja Vidic

Manchester United masih tetap menjadi pilihan utama untuk mengekalkan trofi Liga Perdana Inggeris buat musim keempat berturut-turut dan Sir Alex Ferguson juga begitu yakin trofi itu akan kekal di Old Trafford. United membuktikan sentuhan juara milik mereka masih belum hilang biarpun selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez. Walaupun ramai pihak pada awalnya sangsi dengan kekuatan skuad Red Devils selepas pemergian Ronaldo dan Tevez, namun anak-anak buah Alex Ferguson membuktikan sentuhan pemusnah mereka tidak pernah terjejas apabila mencalarkan rentak kemenangan Spurs di White Hart Lane kelmarin.

"Memang benar kami kehilangan pemain terbaik kami, Ronaldo dan Tevez. Itu memang tidak boleh dinafikan namun United memiliki potensi yang besar berbekalkan pemain-pemain muda berbakat yang kami miliki. Kami akan terus meningkatkan keupayaan kami tanpa mengira siapapun yang pergi dan kami masih mampu memenangi mana-mana kejuaraan musim ini" ujar Nemanja Vidic kepada Reuters. "Matlamat kami tetap sama iaitu mempertahankan trofi Liga Perdana dan memenangi kembali Liga Juara", tambah Vidic lagi.

Keupayaan United pada awalnya tampak terjejas dengan ketiadaan Ronaldo dan Tevez apabila hanya mampu menang tipis ke atas Birmigham City dan kemudiannya tewas kepada Burnley. United bagaimanapun tiba-tiba menemui semula sentuhan juara milik mereka apabila mencatat tiga kemenangan berturut-turut ke atas Wigan Athletic, Arsenal dan Tottenham. Lebih manis lagi keupayaan United menamatkan rentetan kemenangan Spurs di hadapan penyokong-penyokong lawan di White Hart Lane membuktikan bahawa The Red Devils harus terus dihormati. United akan berkunjung ke Istanbul bagi menghadapi Besiktas dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara 16 September ini.

13 September 2009

Spurs Akhirnya Temui Lawan Sebenar

Rio Ferdinand of Manchester United is challenged by Jermain Defoe of Tottenham Hotspur
Tottenham Hotspurs akhirnya bertemu lawan sebenar mereka awal pagi tadi. Selepas merakamkan rentetan empat kemenangan berturut-turut, Spurs akhirnya terpaksa mengakui bahawa mereka telah menemui lawan sebenar selepas dijinakkan United 1-3 di White Hart Lane. Segalanya tampak akan memihak kepada skuad Harry Redknapp itu apabila mereka berjaya mendahului seawal minit pertama menerusi sepakan gunting Jermain Defoe yang terus menerjah gawang. United cuba bangkit selepas itu dan kemudiannya dihadiahkan sepakan percuma setelah Dimitar Berbatov dikasari Wilson Palacios. Ryan Giggs membuktikan United tidak ketandusan pengambil sepakan percuma selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo apabila mudah menyempurnakannya untuk menewaskan Carlo Cudicini diminit ke 25 buat mengikat kedudukan.
Dimitar Berbatov of Manchester United is pursued by Tom Huddlestone of Tottenham Hotspur
Dimitar Berbatov hampir meletakkan United dihadapan namun sepakannya ke penjuru gawang berjaya ditepis keluar Cudicini. Berbatov sekali lagi menguji gawang bekas pasukannya itu apabila kali ini beliau yang menerima hantaran Rooney sekadar melihat rembatannya diselamatkan Sebastian Bassong di atas garisan gol. Anderson akhirnya berjaya meletakkan United di hadapan apabila rembatannya diminit ke 41 dari luar petak penalti gagal diselamatkan Cudicini. Bersambung di babak kedua, Spurs kembali mengancam untuk mencari gol penyamaan namun sepakan lencong Jermaine Jenas di minit ke 55 berjaya ditepis keluar Ben Foster. Seminit kemudian tandukan Peter Crouch pula sekadar singgah dipalang.
Ryan Giggs of Manchester United scores from a free kick
Arus perlawanan tampak akan berpihak kepada Spurs apabila United terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain setelah Paul Scholes diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua diminit ke 59. Walau bagaimanapun United tampak tidak terjejas dengan kehilangan Scholes dan terus mengasak kubu Spurs. Akhirnya, Rooney memadamkan sisa-sisa perjuangan lawan apabila dia yang menerima hantaran Darren Fletcher dari sebelah kanan berjaya menggelecek Alan Hutton dan Benoit Assou-Ekotto sebelum rembatannya terus menerjah gawang. Gol diminit ke 67 oleh penyerang antarabangsa England itu merupakan gol kelimanya untuk United musim ini. Selepas melalui mimpi indah dalam empat perlawanan awal mereka, United akhirnya berjaya memaksa Harry Redknapp dan anak-anak buahnya kembali berpijak di bumi nyata. Glory Glory Manchester United!!!

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Blackburn Rovers (3) - Wolverhampton (1)
Liverpool (4) - Burnley (0)
Manchester City (4) - Arsenal (2)
Portsmouth (2) - Bolton Wanderers (3)
Sunderland (4) - Hull City (1)
Wigan Athletic (1) - West Ham (0)

12 September 2009

Tugas Berat United Di White Hart Lane

http://www.sportsnet.ca/soccer/2009/04/29/ferdinand_rio_injured_260.jpg
Manchester United berdepan tugas getir apabila berkunjung ke White Hart Lane menentang Tottenham Hotspurs awal pagi ini. Spurs yang sedang menikmati prestasi hebat mereka kekal dengan empat kemenangan berturut-turut dan kini berada di tangga kedua namun berkongsi mata bersama Chelsea yang berada di puncak Liga Perdana. "Mereka dalam prestasi terbaik dan setelah menonton rakaman video perlawanan mereka, saya tahu kami akan menghadapi masalah di sana", ujar Sir Alex Ferguson. "Harry Redknapp telah membuat beberapa pembelian bagi memperkuatkan skuadnya musim ini. Pemain-pemain seperti Jermain Defoe dan Peter Crouch sudah biasa bersamanya. Selepas itu Wilson Palacios (Wigan) dan Nico Kranjcar (Portsmouth) pula menyertai pasukan dan itu semua merupakan pembelian yang berbaloi", tambah Ferguson lagi.

Prestasi cemerlang Spurs di awal musim menjadi perhatian peminat-peminat Liga Perdana Inggeris dan kunjungan United nanti pastinya akan menguji sejauh mana kekuatan Spurs musim ini. Benteng United akan diperkuatkan kembali dengan kehadiran Rio Ferdinand yang disahkan cergas untuk perlawanan awal pagi nanti. Ferdinand terlepas empat perlawanan awal United bagi kempen musim ini akibat kecederaan betis yang dialaminya sewaktu menentang Chelsea dalam perlawanan pembuka tirai merebut piala Perisai Komuniti. Dengan kembalinya Ferdinand, Ferguson dijangka meletakkan Wes Brown kembali di sebelah kanan benteng pertahanan. Rooney pastinya terus menjadi sandaran buat United bagi merobek gawang Spurs namun Ferguson belum pasti sama ada mahu menurunkan Dimitar Berbatov atau Michael Owen untuk digandingkan bersama bekas penyerang Everton itu.

10 September 2009

Semangat Neville Tak Pernah Padam

http://m.gmgrd.co.uk/res/11.$plit/C_71_article_1026761_image_list_image_list_item_0_image.jpg?01%2F12%2F2007+14%3A22%3A36%3A567
Meskipun kerap dibelenggu kecederaan, semangat kapten Manchester United, Gary Neville tidak pernah padam dan berharap segera sembuh untuk menyertai kembali kesebelasan utama Red Devils. Neville mengalami siri kecederaan lutut yang panjang dan selama hampir dua musim terpaksa menyaksikan aksi United dari tempat duduk penonton. Neville yang kontraknya bersama United akan tamat akhir musim depan tetap bersemangat untuk beraksi bersama United dan berharap dia mampu menyertai Ryan Giggs, Paul Scholes, Bobby Charlton dan Bill Foulkes yang beraksi untuk United melebihi 600 perlawanan.

"Saya berharap akan cergas semula dan dapat bermain untuk kelab semula. Saya akan melakukan apa yang mampu untuk kembali ke dalam skuad. Kecederaan ini membelenggu sejak sekian lama dan ia menjadi perhatian serius, saya amat memakluminya." ujar Neville kepada akhbar The Telegraph. "Saya sering memberikan yang terbaik ketika saya cergas dan itu merupakan perkara yang penting. Ketika ini saya perlu berusaha untuk pulih dari kecederaan ini." tambah Neville lagi. Ketika ini United mengalami krisis kecederaan di benteng pertahanan membabitkan Rio Ferdinand, John O' Shea dan Jonny Evans.

06 September 2009

Ferguson Sokong Hukuman Ke Atas Eduardo

Arsenal set to appeal Eduardo da Silva's two-match diving ban
Sir Alex Ferguson menyokong keputusan UEFA menggantung dua perlawanan penyerang Arsenal, Eduardo da Silva kerana didapati sengaja menjatuhkan badan untuk mendapatkan sepakan penalti ketika perlawanan play off Liga Juara menentang Glasgow Celtic. Menurut Ferguson, hukuman ini amat wajar dikenakan bagi menangani tindakan sebilangan pemain yang sengaja menjatuhkan badan bagi mendapatkan sepakan penalti. "Perkara ini sering berlaku dalam kejohanan-kejohanan besar dan media akan sentiasa melaporan perkara ini sebagai tajuk utama mereka", ujar Ferguson. "Saya kira tiada jurulatih yang berbangga atas pemainnya yang bertindak seperti itu (sengaja menjatuhkan badan) dan tiada jurulatih yang bangga dengan kemenangan yang diperolehi dengan cara seperti itu. Bagi pemain itu sendiri dia pastinya malu dengan tindakan yang dilakukannya apabila menonton kembali rakaman aksinya", tambah Ferguson lagi.

"Sengaja menjatuhkan badan menjadi contoh buruk buat anak-anak muda lain. Harus diingat aksi anda juga ditonton oleh kanak-kanak berumur lima tahun, mereka menjadikannya contoh dan melakukan perkara yang sama ketika bermain. Ia sangat buruk dan harus dibanteras, kita harus mendidik pemain agar menghindarinya". Meskipun begitu Ferguson bersimpati dengan Arsene Wenger yang membela pemainnya itu. Baginya seorang pengurus memang sewajarnya tidak mengkritik pemainnya di hadapan khalayak umum. "Saya tidak akan mengkritik pemain saya di hadapan khalayak umum dan jika anda melakukannya ia akan menjatuhkan moral pemain itu sendiri. Tugas pengurus adalah mempertahankan pemainnya".

05 September 2009

Selepas Bersara Yorke Ingin Latih Kelab Inggeris

Dwight Yorke photo
Masihkah anda ingat penggempur Manchester United paling digeruni era 1998/1999? Pemain yang dimaksudkan ialah Dwight Yorke, bekas penyerang antarabangsa Trinidad dan Tobago itu membentuk gandingan paling digeruni bersama Andy Cole di peringkat domestik dan pentas Eropah sekitar musim 1998 hingga 1999. Kombinasi Yorke dan Cole menjadi igauan ngeri buat pertahanan lawan ketika puncak kegemilangan mereka sehingga berjaya membantu United menjulang kejuaraan treble (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara) pada tahun 1999. Agak lama tidak mendengar perkembangan Yorke yang ketika ini bermain untuk Sunderland dan diberitakan permata hitam itu akan menggantung butnya akhir musim ini. Selepas bersara kelak, Yorke ingin meneruskan karier bolasepaknya dalam bidang kejurulatihan. "Ini waktu yang sesuai untuk saya menggantung but. Walaupun masih mampu bermain tetapi saya bukannya muda lagi. Inilah waktunya dalam hidup untuk saya membuat keputusan yang penting. Saya berharap para peminat akan selalu mengenang saya sebagai pemain yang sering memberikan prestasi terbaiknya di padang dengan senyuman di wajah", ujar Yorke.

Yorke merancang untuk menggunakan pengalaman luasnya dalam bolasepak antarabangsa bagi membantu skuad kebangsaan Trinidad dan Tobago selain punya cita-cita untuk melatih kelab Inggeris suatu hari nanti. Penampilan Yorke menjadi satu fenomena buat penyokong-penyokong United saat dia menyarung jersi merah keramat Red Devils. Yorke menyertai United dari Aston Villa pada tahun 1998 sehingga 2002. Sepanjang empat musimnya di Old Trafford, Yorke berjaya membantu United meraih trofi Liga Juara (1999), Liga Perdana (1999, 2000, 2001) dan Piala FA (1999). Walau sentiasa tersenyum ketika berada di tengah padang namun naluri pembunuhnya cukup ditakuti benteng lawan dan Yorke telah menghasilkan 64 gol dari 151 penampilannya bersama United. Salah satu aksinya yang paling diingati ialah ketika membantu United menewaskan Juventus pada peringkat separuh akhir Liga Juara 1999 di Turin. Terima kasih Yorke!!!

02 September 2009

Rooney Ikrar Setia Kepada United

Manchester United's Wayne Rooney bursts between Arsenal's and Alexandre Song Billong (left) and William Gallas (right)
Sejak Cristiano Ronaldo berhijrah ke Real Madrid, Wayne Rooney muncul sebagai tunjang utama kekuatan United musim ini. Kehadirannya dalam setiap perlawanan amat ditagih oleh Sir Alex Ferguson dan Rooney sendiri berikrar tiada pasukan lain buat dirinya selain kelab berpangkalan di Old Trafford itu. Rooney mempamerkan aksi menakjubkan ketika membantu United menewaskan musuh tradisi mereka Arsenal Ahad lalu dan dianugerahkan Pemain Terbaik Perlawanan. "Saya selalu mengatakan saya amat mencintai kelab ini dan ingin kekal dan bermain di sini selamanya. Tiada alasan mengapa saya harus berpindah", ujar Rooney kepada Reuters. "Saya sudah memiliki apa yang saya inginkan di sini dan sejujurnya saya tidak melihat mana-mana destinasi yang harus saya tujui lagi", tambah Rooney lagi.

Untuk rekod, Rooney telah menyumbang sebanyak 102 gol buat United sejak menyertai skuad Red Devils pada Ogos 2004 dan membantu pasukannya meraih tujuh trofi dalam pelbagai kejohanan. Bekas pemain Everton itu jelas menjadi sandaran United sejak kebelakangan ini dan telahpun menjaringkan 4 gol dalam kempen Liga Perdana setakat ini. Pengurus Birmingham City, Alex McLeish menyamakan aksi Rooney dengan lagenda Perancis Michel Platini dan Zinedine Zidane manakala Pengurus England, Fabio Capello menganggap aksi yang dipamerkan Rooney mirip kepada penggempur terbilang Real Madrid, Raul Gonzalez yang pernah bermain di bawah bimbingannya.