19 Julai 2010

PIQUE: ROONEY AKAN BAWA UNITED JUARAI LIGA PERDANA INGGERIS

http://www.pericosonline.com/arxiu/images/fotos/gerardpique-2.jpg
Pertahanan antarabangsa Sepanyol, Gerard Pique melahirkan keyakinan bahawa Wayne Rooney akan memperbaiki prestasi buruknya di Piala Dunia 2010 dengan menerajui Manchester United merampas kembali kejuaraan Liga Perdana Inggeris dari tangan Chelsea. Pique yang pernah bermain bersama Rooney di Old Trafford sebelum berhijrah ke Barcelona pada tahun 2008 mengakui kerap melihat reaksi positif Rooney selepas mengalami kekalahan. "Penampilan buruk England dan prestasi mengecewakan di Afrika Selatan pastinya sangat menyakitkan Wayne. Tapi saya amat yakin kerugian England sebaliknya adalah keuntungan buat United", kata Pique kepada Daily Star.

"Saya tidak pernah melihat pemain yang begitu kecewa selepas mengalami kekalahan selain Wayne. Anda patut melihat reaksi Wayne di bilik persalinan selepas pasukan mengalami kekalahan. Ketika itu anda pastinya tidak mahu bercakap dengannya, dia seperti ingin meletup", tambah Pique lagi. Menurut Pique, selepas itu Rooney akan belatih dengan lebih keras pada sesi latihan awal minggu dan dia yakin itulah yang akan terjadi apabila Rooney kembali bersama United. "Hiburan tidak cukup untuk mengubati kekecewaannya dan apa yang perlu anda ingat ialah hanya kejuaraan sahaja yang mampu menebus semua rasa kecewa yang dialaminya".

17 Julai 2010

COLE: UNITED TIDAK PERLUKAN MARIO BALOTELLI


Mario Balotelli

Bekas penyerang Manchester United, Andy Cole berpendapat skuad The Red Devils tidak memerlukan penyerang Inter Milan, Mario Balotelli. Menurut Cole, United telah memiliki barisan penggempur yang mantap untuk merampas kembali trofi Liga Perdana dari tangan Chelsea. Kegagalan United mempertahankan kejuaraan Liga Perdana musim lalu menyaksikan Ferguson didesak oleh penyokong agar membawa masuk seorang penyerang baru bagi digandingkan dengan Wayne Rooney. Menurut Cole lagi, pembelian penyerang muda Mexico, Javier Hernandez sudah memadai apatah lagi United ketika ini sudahpun memiliki dua penyerang muda, Federico Macheda dan Danny Welbeck yang semakin matang.

"Hernandez bermain dengan baik dalam pusingan akhir Piala Dunia 2010 bersama Mexico. Dia memiliki naluri tajam dalam menghasilkan gol. Dua pemain muda, Macheda dan Welbeck yang gagal menyinar musim lalu akan menjadikan mereka lebih bernafsu musim ini", ujar Cole. Selain dari itu, United juga memiliki penyerang veteran, Michael Owen yang dilihat masih tajam di hadapan pintu gol. Musim lalu Owen yang hanya bermain sebanyak sebelas kali tapi masih mampu menjaringkan sembilan gol. "Bila Michael 100% cergas dan memperolehi banyak peluang untuk bermain, dia akan muncul semula sebagai pemain yang biasa menjaringkan 20 gol dalam semusim", tambah Cole lagi.

07 Julai 2010

FERGIE INGIN SNEIJDER KE OLD TRAFFORD

http://www.petersmulders.nl/500px/Sep2009/Wesley%20Sneijder%20120809055.JPG
Prestasi menarik yang ditunjukkan tonggak Belanda, Wesley Sneijder menarik minat Sir Alex Ferguson untuk membawanya ke Old Trafford musim depan. Menurut The Sun, Ferguson memang mahukan seorang pemain tengah menyerang bagi menggantikan Paul Scholes yang diambang persaraan dan Sneijder dilihat pilihan tepat mengisi posisi Scholes. Ferguson yang sebelumnya menolak untuk melakukan pembelian besar-besaran melihat Sneijder adalah pemain yang sesuai untuk diletakkan di belakang Wayne Rooney. Walau bagaimanapun hasrat Ferguson mendapatkan Sneijder sedikit sukar kerana Inter Milan telah meletakkan tanda harga sebanyak 35 juta Pound ke atas pemain antarabangsa Belanda itu. Nasib Sneijder juga bergantung kepada jurulatih baru Inter, Rafael Benitez kerana jika bekas pengurus Liverpool itu meletakkan Sneijder dalam perancangannya musim depan maka hasrat Ferguson akan bertambah sukar.

28 Jun 2010

ALEXIS SANCHEZ INGIN SERTAI UNITED

http://d.yimg.com/a/p/rids/20100621/i/r2827287559.jpg
Prestasi memukau yang ditunjukkan Alexis Sanchez dalam Kejohanan Piala Dunia 2010 kali ini nyata menarik minat pengurus United, Sir Alex Ferguson. Berdasarkan laporan News of the World, Ferguson diberitakan berminat membawa Sanchez ke Old Trafford menjelang musim panas ini untuk memperkuatkan skuad bagi menghadapi kempen musim depan. Menurut Ferguson, Sanchez merupakan pemain yang sesuai bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo selepas kapten Portugal itu berhijrah ke Real Madrid musim lalu. Sanchez antara tonggak utama Chile yang memainkan peranan utama membantu pasukan Amerika Selatan itu melayakkan diri ke pusingan kedua Piala Dunia. Bagi menyakinkan Ferguson, Sanchez yang juga merupakan tonggak pasukan Serie A, Udinese harus bermain dengan lebih baik ketika Chile menentang Brazil di peringkat kalah mati nanti. Keinginan Ferguson mendapatkan khidmatnya turut disambut baik Sanchez yang diberitakan sudah tidak sabar menyarung jersi skuad The Red Devils itu. "Semua yang Alexis inginkan adalah menyertai Manchester United dan dia akan melakukan segalanya untuk memenuhi impiannya itu", ujar rakan sepasukan Sanchez dalam pasukan Chile. Walau bagaimanapun, hasrat United bakal menemui jalan sukar berikutan pihak pengurusan Udinese bertegas tidak akan menjual antara tonggak utama kelab itu.

22 Jun 2010

CHIELLINI MULA BELAJAR BAHASA INGGERIS

http://www.calciopro.com/wp-content/uploads/2009/03/giorgio_chiellini_2-2355132.jpg
Tonggak pertahanan Itali dan Juventus, Giorgio Chiellini diberitakan mula mempelajari bahasa Inggeris disebalik spekulasi perpindahannya ke Old Trafford mula tersebar luas. United dikatakan berminat mendapatkan khidmat Chiellini bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Nemanja Vidic selepas pemain antarabangsa Serbia itu dikatakan bakal berhijrah ke Real Madrid. Chiellini yang mempamerkan prestasi baik sepanjang kempen Itali di Piala Dunia Afrika Selatan mempunyai karekter yang cukup sesuai untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris. Sir Alex Ferguson melihat jika mereka terpaksa melepaskan Vidic menjelang musim perpindahan nanti, Chiellini yang juga memiliki corak permainan keras adalah pemain paling sesuai digandingkan bersama Rio Ferdinand dibarisan pertahanan tengah United. "Mungkin bukan mudah untuk saya bermain di Liga Perdana ketika ini kerana Juventus tidak akan menjual saya. Namun segalanya boleh berubah dan tiada siapa pun tahu apa yang bakal berlaku dimasa depan", ujar Chiellini.

10 Jun 2010

UNITED SANDARKAN KEPADA PEMAIN MUDA

http://i.dailymail.co.uk/i/pix/2009/03/16/article-0-03E5DBC5000005DC-368_468x639.jpg
Manchester United tidak melakukan rombakan besar ke atas skuad mereka sebaliknya akan menyandarkan harapan kepada pemain-pemain muda untuk kempen musim depan. Banyak pihak meramalkan United yang gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana dan tersingkir di pusingan suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu akan memperkuatkan skuad mereka dengan membeli pemain-pemain baru. Walau bagaimanapun Ferguson nampaknya tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Menurut Ferguson, United sudahpun mempunyai skuad yang bagus dan mampu bersaing memenangi trofi musim depan. Tumpuan utama Ferguson sebaliknya terarah bagi membangunkan kekuatan United di kalangan pemain muda yang dimiliki mereka. United memang sudah memiliki sejumlah pemain muda berbakat dalam pasukan dan Ferguson telah menambah dua lagi bakat muda ke Old Trafford untuk memperkuatkan skuad.

Buat permulaan Ferguson telahpun memulakan usahanya dengan membawa masuk pertahanan muda Fulham, Chris Smalling dan penyerang muda Mexico, Javier Hernandez ke dalam skuad. "Saya kira selama beberapa tahun ini kami telah melakukan usaha yang baik dalam membawa masuk pemain muda. Kami hanya perlu melakukan satu atau dua rombakan sahaja ke atas skuad yang ada sekarang" kata Ferguson. "Pasaran perpindahan ketika ini sangat sukar manakala kami pula sudah mempunyai struktur pasukan yang bagus dengan keseimbangan dari segi usia dan sejumlah pemain muda berbakat. Kadangkala anda harus memiliki keyakinan penuh dalam membangunkan pasukan dan saya tetap berpegang kepada hakikat ini", tambah Ferguson lagi. Ferguson juga menegaskan bahawa musim depan United akan membawa pulang semula trofi kejuaraan ke tempat terbaik di dunia (Old Trafford).

01 Jun 2010

MADRID PERSINGGAHAN SEMENTARA MOURINHO?

http://d.yimg.com/a/p/afp/20100531/capt.photo_1275310844446-1-0.jpg
Jose Mourinho telah diumumkan secara rasminya sebagai jurulatih baru Real Madrid menggantikan Manuel Pallegrini dengan ikatan kontrak selama empat tahun. Walau bagaimanapun kemungkinan besar Mourinho tidak akan menghabiskan masa selama empat tahun di Bernabeu dan akan berhijrah ke Old Trafford untuk menggantikan Sir Alex Ferguson. Mourinho pernah menyatakan secara terbuka tentang minatnya untuk mengambilalih kerusi Ferguson namun jurulatih yang terkenal dengan gelaran Special One itu mengakui bahawa impiannya akan hanya tercapai selepas Ferguson mengumumkan persaraan. Selepas melihat Ferguson akan kekal di Old Trafford sehingga penghujung musim 2011, Mourinho dikatakan memilih Santiago Bernabeu sebagai destinasi persinggahan sebelum kembali ke England untuk melatih Manchester United. Bukan lagi satu rahsia bahawa Mourinho memang menyimpan hasrat untuk kembali semula kekancah saingan Liga Perdana Inggeris dan menunjukkan minat yang besar untuk menggantikan tempat Ferguson di Old Trafford.

"Saya akan mempertimbangkan untuk berhijrah ke Manchester United, tetapi United juga harus mengatakan apakah mereka mahukan saya untuk menggantikan Sir Alex Ferguson. Jika mereka mengatakan ya maka saya juga akan mengatakan ya", kata Mourinho pada September tahun lalu. Dengan kontrak selama empat tahun, Mourinho berharap dia mampu membawa Real muncul sebagai juara Eropah dalam tempoh dua musim dan jika itu berlaku ia akan menjadi waktu yang sangat tepat untuk Special One meninggalkan Santiago Bernabeu kerana faktor usia akan memaksa Ferguson melepaskan jawatannya selepas itu. Bagaimanapun segala teka teki terletak ditangan Ferguson sendiri dan ditangannya jugalah terletak jawaban sebenar siapakah yang bakal menggantikan tempatnya nanti. Ketua Eksekutif United, David Gill mengakui tidak banyak jurulatih yang boleh disebut sebagai bakal pengurus The Red Devils dan Mourinho adalah seorang individu yang termasuk dalam senarai pendek itu.