David de Gea berjaya menggagalkan peluang-peluang yang dicipta Lionel Messi sepanjang perlawanan persahabatan pra musim antara United dan Barcelona di Gothenburg kelmarin. Prestasi yang ditunjukkan bekas penjaga gol Athletico Madrid sepanjang perlawanan itu mendapat pujian dari pemain berpengalaman United, Michael Carrick. Carrick mengatakan, de Gea sudah berkembang dengan baik sejak ketibaannya di Old Trafford musim panas tahun lalu biarpun di awal musim sering melakukan kesilapan-kesilapan mudah. Prestasi de Gea di awal musim nyata mengundang keresahan di kalangan penyokong-penyokong United dan ramai pemerhati mula mempersoalkan langkah Sir Alex Ferguson menandatangani seorang penjaga gol muda bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaga gol bertaraf lagenda Edin Van der Sar yang mengambil keputusan bersara sebaik berakhirnya musim 2010/11. "David terus berkembang dan kami tahu dia mampu melakukannya (menggantikan tempat Van der Sar). Pengurus menunjukkan keyakinan tinggi terhadapnya dan dia juga semakin kuat. Prestasinya ketika menentang Barcelona begitu fantastik dan beberapa kali dia melakukan tindakan menyelamat pada waktu yang tepat", kata Carrick kepada MUTV. Walau bagaimanapun prestasi cemerlang de Gea gagal membantu United menewaskan Barcelona apabila mereka tewas 0-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat seri tanpa jaringan sepanjang 90 minit permainan. Glory Glory Manchester United!!!
10 Ogos 2012
ROONEY HARAP DAPAT BENTUK GANDINGAN BERSAMA RVP
Isu tentang masa depan Robin Van Persie nampaknya terus hangat diperkatakan biarpun kapten Arsenal itu sudah melapor diri dan mula menyertai sesi latihan bersama kelab berpangkalan di London itu. Kelab paling hangat dikaitkan dengan Van Persie sejak kebelakangan ini tentunya seteru Arsenal sendiri iaitu Manchester United, biarpun pemain itu turut menarik perhatian dua kelab lain iaitu Manchester City dan Juventus. Kelmarin, Sir Alex Ferguson mengeluarkan kenyataan di laman sesawang United bahawa mereka sudahpun memajukan tawaran secara rasmi kepada Arsenal bagi mendapatkan khidmat Van Persie. Biarpun belum menerima sebarang maklumbalas positif, Ferguson tetap berharap perpindahan Van Persie ke Old Trafford dapat direalisasikan. Ferguson memang meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat gandingan Van Persie dan Wayne Rooney di barisan hadapan United sekaligus menjadikan gandingan ini sebagai antara gandingan paling menggerunkan dalam saingan musim hadapan. Biarpun Arsene Wenger memang diketahui agak keberatan mahu melepaskan penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu itu kepada seteru tradisi mereka, Rooney tetap senada dengan Ferguson yang mengharapkan agar perpindahan Van Persie ke Old Trafford menjadi kenyataan. Rooney nyata begitu teruja menanti perkembangan terkini Van Persie dan berharap dia dapat membentuk gandingan dengan penyerang Belanda itu bagi kempen musim hadapan. "Jika Van Persie datang ke sini (Old Trafford), dia akan menjadikan United pasukan yang lebih hebat", kata Rooney. Jika kehadiran Van Persie menjadi kenyataan, saingan merebut slot di barisan hadapan tentunya lebih sengit memandangkan United turut memiliki Danny Welbeck, Javier Hernandez, Federico Macheda, Dimitar Berbatov dan Rooney sendiri. Seandainya penghijrahan Van Persie ke Old Trafford menjadi kenyataan, salah seorang penyerang yang disenaraikan tadi pastinya akan menuju pintu keluar. Nama yang disebut-sebut akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini tentunya Berbatov, penyerang yang kian gagal menempatkan dirinya dalam skuad utama dan semakin dipinggirkan. Glory Glory Manchester United!!!
09 Ogos 2012
FERGIE AKUI TAWARAN KE ATAS VAN PERSIE SUDAH DIBUAT
Sir Alex Ferguson mengakui bahawa Manchester United telah memajukan tawaran baru untuk Robin Van Persie namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan lanjut. Sebelum ini terdapat spekulasi menyebut rundingan untuk membawa penyerang Arsenal itu ke Old Trafford menuju fasa akhir tetapi Gunners diberitakan cuba berunding dengan kelab lain bagi mendapatkan harga terbaik hasil penjualan Van Persie. Juventus dan Manchester City adalah dua kelab selain United yang turut berminat memancing kelibat Van Persie. Situasi ini menyebabkan United perlu bergerak lebih pantas jika tidak mahu melihat sasaran mereka terlepas ke tangan pasukan lain sepertimana yang berlaku ke atas Eden Hazard dan Lucas Moura. Menurut Ferguson, United sudah berusaha sebaik mungkin dalam usaha mereka mendapatkan Van Persie dan berharap kesepakatan dapat dicapai dalam masa terdekat. Walau bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang perkembangan positif dari kubu Gunners berkenaan tawaran United ke atas Van Persie. Kenyataan ini dikeluarkan Ferguson selepas menyaksikan pasukannya tewas kepada Barcelona menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan pra musim mereka di Gothenburg awal pagi tadi. Glory Glory Manchester United!!!
PRA MUSIM: BARCA KETEPIKAN UNITED
Manchester United sekali lagi meraih keputusan mengecewakan dalam perlawanan pra musim mereka selepas tewas kepada Barcelona 2-0 dalam penentuan sepakan penalti di Gothenburg awal pagi tadi. Perlawanan terikat 0-0 sepanjang 90 minit permainan, namun Xavi Hernandez dan Gerard Pique memastikan kemenangan Barca apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas sepakan Nani dan Ashley Young tersasar. Kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan utama mereka dalam perlawanan ini yang menyaksikan Nemanja Vidic kembali mengetuai pasukan buat pertama kali selepas berehat panjang akibat kecederaan lutut serius. Di bahagian hadapan, United mempertaruhkan gandingan Wayne Rooney dan Danny Welbeck manakala dua pemain baru yang ditandatangani, Shinji Kagawa dan Nick Powell sekadar diletakkan di bangku simpanan. Barca pula menurunkan Carles Puyol, Andres Iniesta, Lionel Messi dan Alexis Sanchez dalam kesebelasan utama mereka manakala penyerang yang baru pulih dari kecederaan, David Villa berada di bangku simpanan. Perlawanan pagi tadi dikuasai Barca dengan beberapa peluang yang dicipta mereka terutamanya melalui Iniesta dan Messi namun kecekapan David de Gea berjaya mengelak gawang United dari dibolosi. United berpeluang mendahului lawan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas Nani dikasari Cristian Tello. Walau bagaimanapun sepakan penalti yang diambil Rooney berjaya diselamatkan Victor Valdes. Diseparuh masa kedua, United dan Barca melakukan beberapa pertukaran pemain bagi mencari keserasian. Kagawa yang dimasukkan di separuh masa kedua tidak menunggu lama apabila dia menguji gawang lawan menerusi gerakan bersama Welbeck namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol gantian Barca, Jorge Pinto. Perlawanan sedikit panas selepas berlaku insiden membabitkan Nani dan Sergio Busquets sehingga memaksa pengadil melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain. Sehingga tamat 90 minit perlawanan, kedudukan kekal terikat 0-0 dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang menyaksikan Blaugrana lebih unggul apabila mengenepikan United 2-0. Glory Glory Manchester United!!!
08 Ogos 2012
FERGUSON KECEWA BERDEPAN KEMUNGKINAN TERLEPAS MOURA
Sir Alex Ferguson dikatakan kecewa berikutan beliau berpotensi kehilangan pemain yang menjadi sasaran musim panas ini, Lucas Moura kepada Paris St Germain (PSG). Moura pemain remaja Brazil yang dikaitkan dengan United sejak beberapa minggu kebelakangan ini dikatakan semakin hampir menyertai PSG dengan nilai perpindahan 40 juta Dollar. Jika perpindahan Moura ke PSG menjadi kenyataan, ini adalah kali kedua Ferguson tewas dalam perlumbaan mendapatkan pemain yang disasarkannya musim panas ini. Bulan lalu, Ferguson gagal menandatangani Eden Hazard selepas pemain antarabangsa Belgium itu memilih seteru domestik mereka, Chelsea walaupun pada awalnya dikaitkan begitu hampir menyertai United. Kegagalan mendapatkan Hazard dikatakan berpunca dari keengganan Ferguson membayar 6 juta Pound kepada ejen pemain itu sebagai komisyen. Bos United itu nyata kurang senang dengan kegagalan kali keduanya dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Kini selepas berdepan kemungkinan gagal memancing Moura, Ferguson bakal memberikan fokus sepenuhnya terhadap usaha merealisasikan impiannya membawa penyerang Arsenal, Robin Van Persie ke Old Trafford. Ferguson dikatakan sanggup membelanjakan hampir 25 juta Pound bagi mendapatkan tandatangan Van Persie biarpun Arsene Wenger turut dikhabarkan berusaha mengekalkan kaptennya itu di Stadium Emirates. Walau bagaimanapun ada pihak meragui apakah Ferguson sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan Van Persie yang sudah berusia 29 tahun dan mempunyai rekod kecederaan yang buruk itu. Apapun jendela perpindahan musim panas ini yang pada mulanya dikatakan akan menjadi platform Ferguson untuk menguatkan skuadnya bagi mencabar Manchester City dan Chelsea, mungkin menjadi tempoh paling mengecewakan buat pengendali berpengalaman itu. Setakat ini hanya dua pemain yang berjaya dibawa masuk iaitu, Nick Powell dan Shinji Kagawa, atau apakah United akan berpuashati dengan hanya dua pemain baru bagi menghadapi kempen musim depan? Glory Glory Manchester United!!!
BERBA SEMAKIN HAMPIR SERTAI ZENIT
Dimitar Berbatov diberitakan semakin hampir menyertai kelab Russia, Zenit St Petersburg selepas dia diberitahu peluang untuknya tampil bersama skuad utama musim depan semakin terhad. Walaupun United memilih untuk melanjutkan tempoh kontrak pemain Bulgaria itu selama setahun lagi, langkah United itu bagaimanapun dilihat hanyalah untuk meningkatkan nilai Berbatov dan mendapatkan keuntungan jika dia berhijrah musim panas ini. Berbatov sebelumnya telah menyuarakan rasa kecewa berikutan tindakan United yang meletakkan tanda harga sebesar 10 juta Pound kepada mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya. Harga sebanyak itu bagaimanapun tidak menghalang Zenit untuk cuba memancing Berbatov biarpun mereka turut dikatakan mendapat saingan dari dua kelab Itali, Juventus dan AC Milan. Pihak United nampaknya lebih selesa berurusan dengan kelab Russia itu selepas minat dan kesungguhan yang tinggi ditunjukkan mereka dalam usaha mendapatkan Berbatov. Sir Alex Ferguson dijangka cuba menyelesaikan isu perpindahan Berbatov secepat mungkin bagi membuka ruang dalam skuadnya buat pemain baru. Bos United itu dipercayai akan menggunakan dana hasil penjualan Berbatov untuk memburu dua pemain yang menjadi sasarannya iaitu Robin Van Persie (Arsenal) dan Robert Lewandowski (Borussia Dortmund). Glory Glory Manchester United!!!
07 Ogos 2012
FLETCHER KEMBALI KE PADANG LATIHAN
Pemain tengah Manchester United, Darren Fletcher semakin hampir untuk kembali semula kedalam saingan bolasepak kompetetif selepas beliau mengesahkan akan berlatih bersama pasukan kebangsaan Scotland. Fletcher yang terpaksa dipinggirkan kerana masalah radang usus tidak bermain hampir sepuluh bulan, kini sudah sedia untuk turun semula ke padang. Fletcher bagaimanapun tidak akan disenaraikan dalam skuad yang akan turun menentang Australia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang dijadualkan pada Rabu depan. Menurut pengurus Scotland, Craig Levein, pemain berusia 28 tahun itu tidak akan diturunkan menentang Australia memandangkan Fletcher baru pulih dan sudah terlepas aksi kompetetif sejak 22 November lalu. Kali terakhir Fletcher beraksi bersama United ialah pada 22 November lalu ketika menentang Benfica dalam saingan Liga Juara-Juara. Bulan lalu, Sir Alex Ferguson berkata United mungkin tidak dapat menggunakan khidmat Fletcher dalam saingan awal kempen Liga Perdana namun akan memberikan peranan alternatif kepada pemain tengah itu. Berita ini tentunya memberikan kelegaan kepada penyokong-penyokong United selepas kapten pasukan, Nemanja Vidic turut disahkan semakin pulih dari kecederaan lutut. Vidic menyertai skuad The Red Devils dalam jelajah pra-musim mereka di Norway dan dijangka turun memperkuatkan semula benteng pertahanan pada perlawanan pembukaan tirai saingan Liga Perdana menentang Everton, 18 Ogos ini. Glory Glory Manchester United!!!
Langgan:
Catatan (Atom)






