30 Jun 2009

Valencia Hampiri Old Trafford

http://www.virginmedia.com/images/antonio-valencia-260x360.jpg
Manchester United hampir mendapatkan khidmat sayap Wigan Athletic, Antonio Valencia. Menurut Sky Sports, Valencia kini hanya menunggu proses pemeriksaan perubatan sebelum menandatangani kontrak. Sejak perpindahan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid, United serius mahukan khidmat Valencia bagi mengisi kekosongan sayap kanan dan Wigan akhirnya bersetuju menerima tawaran 16 juta Pound dari United ke atas pemain antarabangsa Equador itu. Nilai itu dilihat setimpal dengan kemampuan Valencia yang selama tiga musim di JJB Stadium telahpun beraksi sebanyak 84 kali untuk Wigan.

Apa yang jelas, kehadiran Valencia bakal mengakhiri buruan Sir Alex Ferguson dalam mencari pengganti Ronaldo dan kini bos United itu boleh menumpukan perhatian memburu penggempur handalan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Carlos Tevez. David Villa, Sergio Aguero dan Karim Benzema merupakan sasaran utama United namun sehingga kini usaha mendapatkan khidmat salah seorang dari mereka masih menemui jalan buntu. Valencia kelihatan masih ragu-ragu mahu melepaskan Villa manakala Olympique Lyon meletakkan tanda harga tinggi untuk khidmat Benzema.

Aguero Terus Jadi Sasaran Ferguson

http://images.teamtalk.com/08/03/800x600/KunAguero_744468.jpg
Sergio `Kun' Aguero

Manchester United menjadikan penyerang Athletico Madrid, Sergio `Kun' Aguero sebagai sasaran utama sepanjang musim perpindahan ini. Akhbar Daily Mail menyatakan bahawa United bersedia mengeluarkan dana sebanyak 45 juta Pound bagi membawa penyerang muda itu ke Old Trafford. United begitu serius mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Argentina ini hinggakan Sir Alex Ferguson memendekkan cutinya semata-mata untuk memenuhi misi membawa Aguero ke Old Trafford.

Sebelum ini misi United untuk mendapatkan khidmat Karim Benzema, David Villa, Douglas Costa dan Franck Ribery tanpa campurtangan Ferguson. Kehadiran Ferguson ini dilihat mampu mempercepatkan proses perpindahan pemain-pemain yang disasarkan oleh United tambahan pula Red Devils telahpun menerima dana hasil dari penjualan Ronaldo kepada Real Madrid sebanyak 80 juta Pound. Menurut Daily Mail, sebelum ini Benzema adalah sasaran utama United namun tumpuan kelab gergasi Inggeris itu kini beralih kepada Aguero pula.

Kelibat Aguero dilihat amat sesuai sebagai penggempur United bagi menggantikan Carlos Tevez yang diberitakan akan berpindah ke Manchester City. Jika isu perpindahan Aguero ini berjaya diselesaikan, Ferguson dikatakan akan beralih ke Wigan Athletic pula bagi mendapatkan tandatangan Antonio Valencia dan sudahpun menyediakan dana sebanyak 14 juta Pound untuk mendapatkan khidmat pemain itu. Kelibat Aguero dan Valencia dilihat cukup sesuai dengan gaya permainan United disamping kedua-duanya masih muda dan cukup konsisten. Musim 2008/09, Aguero tampil sebanyak 37 kali dalam pentas La Liga manakala Valencia 31 kali dalam kancah Liga Perdana Inggeris.

29 Jun 2009

47 Juta Euro Untuk Dapatkan Villa

http://i308.photobucket.com/albums/kk345/jeffrey_araiza/DavidVilla.jpg
Manchester United bersedia membelanjakan sehingga 47 juta Euro bagi mendapatkan khidmat penyerang Valencia, David Villa. Walaupun sebelum ini Valencia mengeluarkan kenyataan tidak akan menjual Villa kepada mana-mana kelab namun United berharap tawaran lumayan ini akan membuka jalan perpindahan Villa ke Old Trafford. Selain Villa, United juga sedang berusaha mendapatkan khidmat penyerang Olympique Lyon, Karim Benzema namun usaha ini dilihat masih menemui jalan buntu.

Benzema mahu kekal beraksi di Perancis bagi menjamin kedudukannya dalam skuad utama Les Blues menjelang Kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. United kini begitu ghairah memancing penyerang baru bagi menggantikan Carlos Tevez yang dikhabarkan semakin hampir berpindah ke Manchester City dan Ronaldo yang telahpun mengikat kontrak selama 6 tahun bersama Real Madrid.

28 Jun 2009

United Dan Arsenal Bersaing Dapatkan Dentinho

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhLAIlUM1v4xlRajjG7XaSZ21tVK-hPiqkhH3kpqz5KEv2pc85zr8q3oIVQOoNTPUfbo9do9dBz3XQnryx80PRU7NlRdJUWqoGn2kgbRTiuYEVKSnVBHbWd8qqZIcelr_rqsFZscJNmTuPM/s400/dentinho..jpg
Pemain muda Brazil, Dentinho kini menjadi paparan paling hangat dalam akhbar-akhbar Inggeris. Pemain ini menjadi sasaran dua kelab gergasi Inggeris, Manchester United dan Arsenal malah Corinthians, kelab yang diwakili oleh pemain berusia 20 tahun ini turut bersedia melepaskan bintang mudanya itu. Bagaimanapun Corinthians tidak menyebut berapa jumlah yang perlu dibayar bagi mendapatkan khidmat Dentinho namun dikhabarkan tanda harga yang diletakkan ke atas pemain muda ini cukup tinggi.

Dentinho merupakan salah seorang bintang utama Corinthians dan muncul penjaring terbanyak dalam Kejuaraan Campeonato Paulista 2008. Maka tidak hairanlah jika kelab Brazil itu akan meletakkan harga tinggi ke atas khidmat Dentinho
atau nama sebenarnya Bruno Ferreira Bonfim. Perkara ini disahkan sendiri oleh agen Dentinho, Ferhat Ciftci yang menyatakan Corinthians akan menjual Dentinho dengan harga tinggi dan mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya perlu mengeluarkan dana yang besar.

Dentinho juga telah menyatakan keinginannya untuk beraksi di Liga Perdana musim depan tidak kira sama ada untuk Manchester United atau Arsenal. Menurut Ciftci, Dentinho akan disenangi oleh penyokong-penyokong kerana gaya permainan dan skill yang dimilikinya mirip kepada Cristiano Ronaldo dan pemain muda itu telah meluahkan keinginan memperagakan aksinya didalam Liga Perdana. United melihat Dentinho merupakan pengganti sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ronaldo dan adakah nombor keramat 7 bakal diberikan kepadanya?

United Lancar Jersi Baru Musim 2009/10

Click to zoom in on Manchester United Home Shirt 2009/10- Kids

Manchester United telah memperlihatkan kepada tontonan umum jersi baru yang bakal digunakan untuk musim 2009/10. Bagi Wayne Rooney yang memperagakan jersi baru ini pada majlis pelancaran tersebut mengaku amat teruja dengan rekabentuknya yang sedikit cenderung kepada jersi ragbi. Ada sedikit keunikan pada jersi baru United ini iaitu pada tanda V dengan corak hitam di bahagian dada.

Beberapa pemain United yang memperagakan jersi baru ini juga mengakui cukup tertarik dengan rekabentuknya. Bagi peminat United yang melihat jersi ini pula mengakui ia seperti jersi ragbi dan sedikit kepada gaya Amerika. Jersi baru ini akan mula berada dipasaran pada awal bulan Julai nanti dan pemain-pemain United juga akan mula menggunakannya semasa Jelajah Asia 2009 mereka.

23 Jun 2009

Ronaldo: Ferguson Tahu Mengapa Saya Ingin Pergi

http://www.cristianoronaldoworld.com/photo_gallery/picture_cristiano_ronaldo_523.jpg
Spekulasi alasan perpindahan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid nampaknya masih belum reda. Alasan utama mengapa Ronaldo meninggalkan Old Traffford yang sentiasa bermain diminda penyokong-penyokong United ialah kerana wang. Pada awalnya pengurusan United berkeras enggan melepaskan Ronaldo pergi hingga mengeluarkan kenyataan tidak akan menjual bintang sayapnya itu walau berapa nilai yang ditawarkan oleh Madrid. Akhirnya United terpaksa akur dengan cita-cita tinggi Ronaldo sejak kecil yang mahu menyarung jersi Real Madrid dan menjadikan Santiago Bernabeu destinasi terbarunya. Ronaldo menyatakan pihak pengurusan United terutamanya Sir Alex Ferguson tahu mengapa dia ingin benar berhijrah ke Madrid.

Berdasarkan klausa perpindahan yang telah dipersetujui, United akan menerima 80 juta Pound sekaligus menjadikan Ronaldo sebagai pemain termahal dunia ketika ini dan memecahkan rekod perpindahan 76 juta Pound Zinedine Zidane dari Juventus ke Real Madrid. Bagi Ronaldo, memang sejak kecil lagi dia memasang impian untuk menyarung jersi Madrid dan impian itu akhirnya menjadi kenyataan selepas United bersetuju melepaskannya pergi. Bermain bersama bintang-bintang ternama Madrid yang lain seperti Kaka, Raul Gonzalez, Guti dan Iker Casillas merupakan satu kepuasaan tidak terhingga dalam kariernya dan dia percaya Madrid mampu kembali mendominasi saingan La Liga dan Liga Juara Juara musim depan.

United Belanjakan 20 Juta Pound Untuk Dapatkan Costa

http://classicogrenal.files.wordpress.com/2008/10/douglas-costa-13-10-08.jpg
Agen pemain Douglas Costa, Cesar Bottega menyatakan bahawa Manchester United telah membuka tawaran untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Gremio itu dengan harga 20 juta Pound. Sebelum ini Bottega meramalkan United akan menunda tawaran itu namun pemergian Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez memaksa Sir Alex Ferguson segera mencari pengganti sesuai. Costa yang baru berusia 18 tahun dilihat sesuai untuk mengisi bahagian tengah United. Pemain muda itu mempunyai visi serangan yang cukup bagus, pantas dan kreatif. Menurut Bottega selain United, Real Madrid dan Barcelona turut mengintai kelibat Costa dan menjelang tamatnya saingan Liga Brazil nilai Costa dijangka meningkat dua kali ganda. Costa telahpun melanjutkan kontraknya bersama Gremio sehingga 2013 namun perkara itu tidak akan menutup hasrat United untuk membawa Costa ke Old Trafford.