Sir Alex Ferguson menyaksikan pasukannya membazirkan sejumlah besar peluang ketika menentang Valencia di Old Trafford dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi. United mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara Kumpulan C selepas berjaya mengikat kelab dari Sepanyol itu dengan keputusan 1-1. Kedudukan sebagai juara kumpulan penting dan menjadi rebutan kedua-dua pasukan bagi mengelakkan mereka dari bertembung dengan pasukan-pasukan pilihan di peringkat kalah mati nanti. Bagaimanapun Ferguson tetap berpuashati dengan persembahan pemain-pemainnya terutama di babak kedua perlawanan. United ketinggalan hasil jaringan Pablo Hernandez di babak pertama akibat kesilapan Michael Carrick dalam cubaannya menghantar bola kebelakang.
Di babak kedua, pemain tengah Brazil, Anderson berjaya mengikat kedudukan diminit ke-62 selepas berjaya memanfaatkan bola lantunan dari rembatan Park Ji Sung. Dimitar Berbatov sebenarnya memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol tapi gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyerang Bulgaria itu. "Kami telah mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol dan pada keseluruhannya kami bermain dengan baik. Lima minit selepas kami berjaya menjaringkan gol penyamaan, ada beberapa peluang yang kami perolehi. Kami seharusnya menjaringkan dua atau tiga gol lagi selepas itu terutamanya dari Berbatov", ujar Ferguson. Gol dari Hernandez itu juga memusnahkan harapan United untuk mencipta rekod sebagai satu-satunya pasukan yang tidak dibolosi dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan