28 Disember 2010

NANI DAN ANDERSON SANDARAN UNITED


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

BIRMINGHAM CITY lwn MANCHESTER UNITED
(St Andrews Ground, 29 Disember 2010 jam 04.00 pagi)



Sir Alex Ferguson berharap pemain sayapnya, Nani dapat diturunkan ketika United berkunjung ke St Andrews Ground bagi menghadapi Birmingham City dalam satu lagi jadual ketat musim Krismas Liga Perdana Inggeris awal pagi esok. Nani tidak diturunkan ketika United menang 2-0 ke atas Sunderland Ahad lalu akibat kerana kecederaan belakang namun pemain antarabangsa Portugal itu diberitakan semakin pulih dan sedia diturunkan di St Andrews nanti. "Situasi Nani semakin baik jika dibandingkan dengan beberapa hari lalu, jadi saya rasa dia seharusnya boleh diturunkan ketika menentang Birmingham nanti", kata Ferguson kepada MUTV. Ferguson mengakui jadual perlawanan musim perayaan Krismas memang meletihkan tambahan pula mereka juga kehilangan khidmat Park Ji-Sung yang menyertai Korea Selatan dalam kempen Piala Asia Januari ini dan Paul Scholes yang masih belum pulih dari kecederaan paha. United kini berada ditakhta liga dengan kelebihan dua mata dari pesaing terdekat, Arsenal yang menewaskan Chelsea 3-1 di Emirates pagi tadi.

Sementara itu penampilan terkini pemain tengah Brazil, Anderson jelas memberi harapan baru kepada misi United merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris dari Chelsea. Ferguson menggunakan Anderson di bahagian tengah sejak minit awal ketika United menang ke atas Sunderland Ahad lalu. Prestasi mantap yang dipamerkan Anderson turut menerima pujian dari Patrice Evra yang mengharapkan agar pemain berusia 22 tahun mampu mengekalkan prestasi baiknya. "Ando melakukan tugas dengan baik dan adalah penting dia tidak hanya bermain dengan baik untuk tiga atau empat perlawanan sahaja. Dia seharusnya bermain seperti ini setiap tahun kerana dia sememangnya berbakat", kata Evra. Menurut Evra, keyakinan kelab yang melanjutkan kontraknya selama empat tahun mungkin menjadi penyebab kebangkitan Anderson ketika ini. "Saya tidak terkejut dengan prestasi Ando kerana saya selalu percaya dengan kemampuan yang dimilikinya. Saya akan terus menyokongnya agar dia selalu mempamerkan aksi terbaiknya dalam setiap perlawanan", tambah Evra lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan