Selepas menyaksikan pasukannya tewas mengejut kepada Blackburn Rovers hujung minggu lalu, Sir Alex Ferguson kini berharap beliau mampu menurunkan beberapa pemain utama ketika pasukannya berkunjung ke Stadium Sports Direct Arena awal pagi nanti. Ferguson yang menggunakan Michael Carrick, Phil Jones, Antonio Valencia dan Patrice Evra di benteng pertahanan terpaksa menelan kepahitan selepas menyaksikan pasukannya tewas 2-3 kepada Rovers, Sabtu lalu. Untuk itu, Ferguson yang menyambut ulang tahun ke-70 minggu lalu pastinya tidak mahu melakukan kesilapan yang sama sambil berharap Rio Ferdinand dan Chris Smalling kembali memperkuatkan benteng The Red Devils. Kelibat Ryan Giggs bakal ditagih Ferguson di bahagian tengah dan veteran United itu bakal digandingkan semula dengan Michael Carrick manakala Anderson yang kembali beraksi minggu lalu selepas lama diketepikan akibat kecederaan lutut mungkin sekali lagi diletakkan sebagai pemain gantian. Anderson yang beraksi sepanjang separuh masa kedua ketika berdepan Rovers dilihat mampu mengharungi perlawanan dengan baik biarpun sebelumnya terpaksa diketepikan selama hampir dua bulan.
"Kami berusaha keras memastikan Rio Ferdinand dan Ryan Giggs dapat diturunkan pada perlawanan Rabu ini. Kondisi Anderson juga lebih baik dan dia bermain selama 45 minit minggu lalu manakala Wayne Rooney tentu saja akan diturunkan semula", kata Ferguson. Rooney yang digugurkan Ferguson dari senarai pemain Sabtu lalu bakal mejadi taruhan di bahagian depan bersama Dimitar Berbatov yang kembali menemui sentuhan jaringannya ketika ini. Penyerang Bulgaria itu sudah menjaringkan lima gol dalam dua penampilan terakhir termasuk hatrik ketika United membenam Wigan Athletic, 26 Disember lalu. Sementara itu, Newcastle United pula merakam catatan unik apabila tidak pernah menang di gelanggang sendiri sejak penjenamaan semula stadium St James Park. Sejak secara rasmi menggunakan nama Sports Direct Arena pada 9 November lalu, skuad Alan Pardew tewas kepada Chelsea dan West Bromwich Albion serta dipaksa berkongsi mata dengan Swansea City, sedangkan rekod mereka digelanggang sendiri sebelumnya begitu ampuh. Walaupun lawan tewas 1-3 kepada Liverpool pada perlawanan terakhir mereka namun United harus waspada dengan ancaman yang bakal dihadirkan barisan tuan rumah terutamanya dari penyerang berbisa mereka, Demba Ba. Penyerang Senegal itu yang sudah menjaringkan 14 gol dalam liga setakat ini bakal muncul ancaman besar terhadap benteng pertahanan United. Rekod lima pertemuan kedua-dua pasukan sejak 2008 memihak kepada United yang menang dua dan seri tiga kali.
Barisan Kemungkinan United:
Anders Lindegaard, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Phil Jones, Antonio Valencia, Nani, Michael Carrick, Ryan Giggs, Park Ji-Sung, Wayne Rooney & Dimitar Berbatov
Tiada ulasan:
Catat Ulasan