Kejayaan Manchester United melakar kemenangan ke atas jiran mereka yang juga juara bertahan Piala FA, Manchester City di pusingan ketiga malam tadi kembali melonjakkan semangat skuad The Red Devils. Sebelum pertemuan kedua-dua pasukan, ramai pemerhati menganggap ini bukanlah masa yang sesuai untuk Sir Alex Ferguson dan barisannya berkunjung ke Eastlands, gelanggang yang menyaksikan City begitu kebal dengan rekod tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri musim ini. Tewas dua perlawanan berturut-turut dalam saingan liga, skuad mewah City dijangka memberikan jiran mereka itu kekalahan ketiga mereka, sesuatu yang tidak pernah berlaku ke atas United dalam tempoh 11 tahun. Bagaimanapun Wayne Rooney mengejutkan penyokong-penyokong tuan rumah apabila dia membuka tirai jaringan di minit ke-10 melalui tandukan hasil hantaran Antonio Valencia. Dua minit kemudian, City dikejutkan apabila kapten mereka, Vincent Kompany dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Chris Foy kerana kesalahan terjahan menggunakan kedua-dua kaki. Segala-galanya tanpak mudah buat United apabila Danny Welbeck menjaringkan gol kedua diminit ke-30 sebelum Rooney melebarkan penguasaan United hasil sepakan penalti sepuluh minit kemudian.
City cuba menghidupkan sisa-sisa peluang mempertahankan trofi yang mereka menangi musim lalu melalui kebangkitan di separuh masa kedua namun jaringan Sergio Aguero diminit ke-48 dan Alexandar Kolarov diminit ke-64 gagal menghalang United dari melangkah ke pusingan keempat. Rooney menganggap kemenangan di Eastlands penting dan bakal memberikan suntikan moral buat United dalam usaha mereka mengejar City selaku pendahulu liga ketika ini. "Kemenangan ini akan memberikan hasil yang positif buat seluruh pasukan kerana kami bakal berhadapan dengan mereka sekali lagi di sini. Selepas mendahului 3-0, tekanan ke atas kami berkurangan dan City kemudiannya menjaringkan dua gol. Pasukan bermain dengan baik, kami bertahan dengan sempurna dan tetap fokus melakukan serangan balas. Syukurlah kami berjaya", kata Rooney. Kemenangan United ke atas City malam tadi turut diwarnai dengan kembalinya Paul Scholes dari persaraan. Scholes yang menyambut permintaan Ferguson bulan lalu supaya dia kembali memperkuatkan barisan tengah United disenaraikan dalam skuad dan masuk menggantikan Nani diminit ke-59. Sementara itu, Ferguson menilai bahawa kad merah yang diterima Kompany adalah wajar walaupun terjahan yang dilakukan kapten City itu tidak mencederakan Nani. Menurut Ferguson, Nani mungkin mendapat kecederaan yang serius jika terjahan bahaya menggunakan kedua-dua belah kaki yang dilakukan Kompany tepat ke sasaran. "Itu adalah terjahan menggunakan dua kaki. Saya fikir dia memang wajar dilayangkan kad merah. Saya pernah menyaksikan dia melakukan terjahan seperti itu namun mungkin ketika itu pengadil tidak melihatnya. Nani mungkin menghadapi masalah besar jika terjahan itu tepat mengenainya", kata Ferguson. Sementara itu, pengurus City, Roberto Mancini akan mengemukakan rayuan berhubung kad merah yang diterima kaptennya itu. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan