Tamat
sudah saingan peringkat kumpulan pusingan akhir Piala Dunia 2014 dan 16 pasukan
yang bakal berentap di pusingan kalah mati sudahpun kita ketahui. Saya gembira
menyaksikan pasukan kegemaran saya iaitu Jerman menepati ramalan awal dengan layak
ke pusingan kedua selepas muncul juara Kumpulan G tetapi kegagalan England
melepasi peringkat kumpulan sudah dijangka. Lupakan dahulu tentang kejayaan
Jerman kerana apa yang menarik di Piala Dunia kali ini ialah kemampuan
pasukan-pasukan kerdil seperti Costa Rica terutamanya melakar kejutan dengan
muncul juara Kumpulan D sekaligus memaksa dua gergasi bolasepak dunia iaitu
Itali dan England mengemas bagasi lebih awal untuk pulang ke negara
masing-masing. Selain kejutan yang dilakar Costa Rica, sudah tentu
penyokong-penyokong Manchester United (tidak kira sama ada mereka menyokong
negara mana sekalipun) akan menyaksikan dengan penuh minat prestasi skuad
Belanda di bawah kendalian Louis Van Gaal di pentas Piala Dunia kali ini.
Walaupun saya bukanlah penyokong Oranje,
saya tidak pernah terlepas untuk menyaksikan tiga aksi anak-anak buah Van Gaal di
peringkat kumpulan bermula dengan kemenangan bergaya mereka ke atas Sepanyol
yang juga merupakan juara bertahan pada perlawanan pertama Kumpulan B.
Tarikan
paling besar untuk saya menyaksikan aksi Belanda di Piala Dunia kali ini
bukanlah kerana adanya kelibat Robin Van Persie atau beberapa pemain dalam
skuad itu yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford musim panas ini,
tetapi lebih kepada ingin menyaksikan percaturan taktikal yang dilakukan Van
Gaal, individu yang bakal mengemudi United musim hadapan. Jika kemenangan ke
atas Australia pada perlawanan kedua seperti sudah dijangkakan, kejayaan mereka
ke atas Sepanyol menerusi margin jaringan yang besar antara kejutan terbesar di
pentas Piala Dunia kali ini. Ramai pihak mengatakan bahawa suksesnya Belanda di
peringkat kumpulan kerana pertukaran formasi dari 4-3-3 kepada 5-3-2 yang
mementingkan kekuatan di benteng pertahanan sambil dibantu kelajuan milik Arjen
Robben ketika mereka melakukan serang balas pantas menjadi kunci mengapa
Sepanyol berjaya 'dimatikan'. “Serahkan pada yang pakar”, itulah sebenarnya
strategi permainan yang diterapkan Van Gaal, malah pemerhati amatur seperti
kita pun mudah untuk mengesan plan permainan yang diatur pengendali
berpengalaman ini selepas menyaksikan tiga aksi Belanda di peringkat kumpulan.
Lihat
sajalah gaya permainan Belanda ketika bola dalam penguasaan mereka di mana
serangan-serangan yang diatur mereka akan bermula dari posisi Robben atau Van
Persie. Tidak dinafikan bahawa ketika ini prestasi Robben dan Van Persie berada
di kemuncak dan hadir pada waktu yang tepat. Dalam prestasi sekarang, mana-mana
hantaran yang di tujukan kepada kedua-dua pemain ini memang berpeluang besar untuk
menghasilkan gol, jadi tidak hairanlah mengapa hantaran jauh dari kawasan
sendiri mahupun hantaran silang dari sebelah tepi.sering ditujukan kepada Robben
dan Van Persie. Kemampuan Robben yang dikatakan boleh melakukan pecutan hingga
37 km/jam menjadi senjata utama mereka ketika melancarkan serang balas pantas.
Ada juga versi yang mengatakan bahawa Van Gaal mengadaptasi kesuksesan pasukan
hoki Belanda ke dalam komponen permainan skuadnya dan perkara itu disahkan
sendiri oleh Marc Lammers yang juga merupakan bekas jurulatih pasukan hoki
Belanda. “Hoki Belanda telah melalui banyak inovasi dan bolasepak juga banyak
belajar daripadanya. Van Gaal adalah jurulatih yang sering berusaha mencari
jalan bagi meningkatkan kemampuan pasukannya walaupun hanya sebanyak 2%”, kata
Lammers.
Apa
yang dikatakan Lammers itu memang ada kebenarannya kerana Van Gaal sendiri
dikenali sebagai salah seorang jurulatih yang mengikuti dengan begitu dekat
perkembangan hoki Belanda. Atas sebab itu maka tidak hairanlah mengapa Van Gaal
menamakan Hans Jorritsma dan Max Reckers (bekas bintang hoki Belanda) dalam
senarai kakitangan yang membantu beliau mengendalikan skuad kebangsaan Belanda
ketika ini. Bukan setakat bersama skuad kebangsaan malah kedua-dua bekas bintang
hoki ini juga dikatakan akan terus membantu Van Gaal di Old Trafford sebaik
kempen Piala Dunia 2014 berakhir. Perlawanan terakhir Kumpulan B merupakan
peluang terbaik Chile menamatkan rekod dua kemenangan berturut-turut Belanda manakala
ketiadaan Van Persie pula sepatutnya meringankan tugas benteng pertahanan La Roja. Apapun senario yang digambarkan
sebelum perlawanan tidak semestinya mampu diterjemahkan di atas padang dan
malang buat Chile apabila Memphis Dephay membuktikan tanpa Van Persie, Belanda
tidak hilang bisanya. Pemain muda berusia 20 tahun itu langsung tidak kekok
apabila menyumbang gol kedua Belanda biarpun ini merupakan penampilan
pertamanya di pentas Piala Dunia sekaligus mengukuhkan lagi reputasi Van Gaal
dalam mengetengahkan bakat-bakat muda di pentas tertinggi.
Tiga
perlawanan dan tiga kemenangan yang diraih Belanda membuktikan kemampuan Van
Gaal sebagai pengendali dalam memimpin sesebuah pasukan pada pertandingan
peringkat tertinggi seperti Piala Dunia. Kecederaan panjang yang dialami Kevin
Strootman sebenarnya memberikan kesan yang bukan sedikit kepada skuad Belanda
hingga memaksa Van Gaal melakukan perubahan drastik terhadap formasi
permainannya. Formasi 4-3-3 memang sudah sebati dengan penampilan Oranje sejak sekian lama, jadi tidak
hairanlah keputusan Van Gaal mengubah 'mazhab bolasepak Belanda' menyebabkan
beliau teruk dikritik para pengkritiknya dan juga penyokong-penyokong setia
Belanda. Reaksi pengkritik-pengkritiknya tidak dipedulikan Van Gaal sebagaimana
beliau tidak pernah pedulikan statisitik yang dicatatkan barisan kendaliannya
di Brazil. Belanda tewas kepada Sepanyol dan Chile dari segi penguasaan bola
ketika mereka bertemu di peringkat kumpulan tetapi lihatlah hasil yang diraih
anak-anak buah Van Gaal selepas tamat perlawanan. Belanda kali ini juga
bukanlah pasukan yang mengamalkan permainan fair
play kerana dari tiga perlawanan, mereka melakukan 68 kekasaran, jumlah
tertinggi berbanding mana-mana pasukan setakat ini.
Gaya
permainan yang dipersembahkan Belanda kali ini juga tidak langsung
menggambarkan bahawa mereka adalah pelopor total
football tetapi Van Gaal sudah membuktikan bahawa taktik yang beliau
gunakan adalah tepat jika diambil kira keputusan tiga perlawanan mereka di
peringkat kumpulan. “Anda harus bermain sesuai dengan kelebihan yang anda
miliki. Segalanya berkaitan tentang menang. Saya memilih sistem yang boleh
membantu saya meraih kemenangan”, kata Van Gaal. Situasi Van Gaal kali ini
hampir sama dengan apa yang dilalui pengendali Brazil, Luiz Felipe Scolari 12
tahun yang lalu. Ketika kegagalan di France 98 masih meninggalkan kesan
mendalam, Scolari mengorbankan permainan samba Brazil kepada gaya bolasepak
Eropah pada kejohanan Piala Dunia 2002 hingga mengakibatkan beliau teruk dikritik
dari segenap penjuru di negaranya sendiri. Bersandarkan kekuatan di benteng
pertahanan yang diterajui Cafu, Roberto Carlos, Lucio dan Roque Junior serta
ketajaman Ronaldinho dan Ronaldo di bahagian hadapan, gaya permainan 'kaku'
yang diterapkan Big Phil akhirnya menghadiahkan Piala Dunia ke-5 buat mereka.
Bermain
di bawah cuaca panas Brazil, Van Gaal perlu bijak menyesuaikan gaya permainan
pasukannya dan setakat ini kita boleh melihat beliau menggunakan hantaran-hantaran
jauh sebagai teras utama perancangan taktikalnya. Prestasi baik yang dipamerkan
Oranje setakat ini bukan hanya
membuktikan kematangan Van Gaal dalam menyusun taktik permainan malah cara
beliau mengendalikan pasukannya juga wajar diberikan pujian. Saya juga tertarik
dengan keberanian Van Gaal menyenaraikan beberapa pemain muda dalam skuadnya
menerusi penampilan Stefan de Vrij, Bruno Martins Indi, Joel Veltman, Terence
Kongolo dan Memphis Dephay. Paling menarik ialah apabila melihat keberanian Van
Gaal memberikan peluang penampilan buat Kongolo di pentas tertinggi seperti
Piala Dunia walaupun pemain muda ini hanya memiliki 23 penampilan di Eredivisie
bersama Feyenoord. Selain keberanian beliau menyenaraikan pemain-pemain 'mentah'
dalam kejohanan penting seperti Piala Dunia, keupayaan Van Gaal memberikan
semula nafas baharu kepada karier veteran seperti Wesley Sneijder juga amat
menarik untuk diperkatakan. Sneijder antara penggerak penting jentera skuad
kendalian Van Gaal di Brazil biarpun prestasi pemain tengah Galatasaray itu
dipersoalkan ramai pihak sebelum bermulanya Piala Dunia.
Prestasi
cemerlang yang dipamerkan Belanda di Piala Dunia hasil dari pendekatan yang
digunakan Van Gaal pastinya membuatkan pihak pengurusan United lega. Beliau
akan memulakan tugasnya secara rasmi sebagai pengurus baharu United sebaik
tugasan bersama skuad Oranje di
Brazil berakhir. Van Gaal adalah jurulatih yang cukup berpengalaman dan
perlantikan beliau selaku pengendali memang dialu-alukan ramai pihak. Melihat
apa yang sudah beliau lakukan di Brazil, saya yakin beliau juga mampu melakukan
perkara yang sama di Old Trafford bagi mengangkat kembali prestasi United ke
tempat yang sepatutnya. Kelibat Kongolo, Dephay, de Vrij, Martins Indi dan
Veltman dalam skuad Oranje kali ini
juga membuktikan keberanian Van Gaal mempertaruhkan pemain muda dalam
perancangan taktikal permainannya, perkara yang saya harap akan beliau terus
lakukan di Old Trafford nanti. Prestasi Belanda di bawah kendalian Van Gaal
dalam Piala Dunia kali ini merupakan petanda bagus buat United dalam menghadapi
musim baharu, jadi penyokong-penyokong The
Red Devils bersedialah untuk menyambut kehadiran beliau nanti. Saya
berharap Belanda dan Van Gaal akan sukses mengharungi kempen Piala Dunia di
Brazil dan mara sejauh mungkin tetapi Jerman tetap pasukan kegemaran saya.
Semoga Die Mannschaft di bawah
kendalian Joachim Low mencipta sejarah sebagai pasukan Eropah pertama menjulang
Piala Dunia di bumi Amerika Selatan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J