28 Jun 2014

SUKSESNYA BELANDA, BAGUS UNTUK UNITED

Tamat sudah saingan peringkat kumpulan pusingan akhir Piala Dunia 2014 dan 16 pasukan yang bakal berentap di pusingan kalah mati sudahpun kita ketahui. Saya gembira menyaksikan pasukan kegemaran saya iaitu Jerman menepati ramalan awal dengan layak ke pusingan kedua selepas muncul juara Kumpulan G tetapi kegagalan England melepasi peringkat kumpulan sudah dijangka. Lupakan dahulu tentang kejayaan Jerman kerana apa yang menarik di Piala Dunia kali ini ialah kemampuan pasukan-pasukan kerdil seperti Costa Rica terutamanya melakar kejutan dengan muncul juara Kumpulan D sekaligus memaksa dua gergasi bolasepak dunia iaitu Itali dan England mengemas bagasi lebih awal untuk pulang ke negara masing-masing. Selain kejutan yang dilakar Costa Rica, sudah tentu penyokong-penyokong Manchester United (tidak kira sama ada mereka menyokong negara mana sekalipun) akan menyaksikan dengan penuh minat prestasi skuad Belanda di bawah kendalian Louis Van Gaal di pentas Piala Dunia kali ini. Walaupun saya bukanlah penyokong Oranje, saya tidak pernah terlepas untuk menyaksikan tiga aksi anak-anak buah Van Gaal di peringkat kumpulan bermula dengan kemenangan bergaya mereka ke atas Sepanyol yang juga merupakan juara bertahan pada perlawanan pertama Kumpulan B.

Tarikan paling besar untuk saya menyaksikan aksi Belanda di Piala Dunia kali ini bukanlah kerana adanya kelibat Robin Van Persie atau beberapa pemain dalam skuad itu yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford musim panas ini, tetapi lebih kepada ingin menyaksikan percaturan taktikal yang dilakukan Van Gaal, individu yang bakal mengemudi United musim hadapan. Jika kemenangan ke atas Australia pada perlawanan kedua seperti sudah dijangkakan, kejayaan mereka ke atas Sepanyol menerusi margin jaringan yang besar antara kejutan terbesar di pentas Piala Dunia kali ini. Ramai pihak mengatakan bahawa suksesnya Belanda di peringkat kumpulan kerana pertukaran formasi dari 4-3-3 kepada 5-3-2 yang mementingkan kekuatan di benteng pertahanan sambil dibantu kelajuan milik Arjen Robben ketika mereka melakukan serang balas pantas menjadi kunci mengapa Sepanyol berjaya 'dimatikan'. “Serahkan pada yang pakar”, itulah sebenarnya strategi permainan yang diterapkan Van Gaal, malah pemerhati amatur seperti kita pun mudah untuk mengesan plan permainan yang diatur pengendali berpengalaman ini selepas menyaksikan tiga aksi Belanda di peringkat kumpulan.

Lihat sajalah gaya permainan Belanda ketika bola dalam penguasaan mereka di mana serangan-serangan yang diatur mereka akan bermula dari posisi Robben atau Van Persie. Tidak dinafikan bahawa ketika ini prestasi Robben dan Van Persie berada di kemuncak dan hadir pada waktu yang tepat. Dalam prestasi sekarang, mana-mana hantaran yang di tujukan kepada kedua-dua pemain ini memang berpeluang besar untuk menghasilkan gol, jadi tidak hairanlah mengapa hantaran jauh dari kawasan sendiri mahupun hantaran silang dari sebelah tepi.sering ditujukan kepada Robben dan Van Persie. Kemampuan Robben yang dikatakan boleh melakukan pecutan hingga 37 km/jam menjadi senjata utama mereka ketika melancarkan serang balas pantas. Ada juga versi yang mengatakan bahawa Van Gaal mengadaptasi kesuksesan pasukan hoki Belanda ke dalam komponen permainan skuadnya dan perkara itu disahkan sendiri oleh Marc Lammers yang juga merupakan bekas jurulatih pasukan hoki Belanda. “Hoki Belanda telah melalui banyak inovasi dan bolasepak juga banyak belajar daripadanya. Van Gaal adalah jurulatih yang sering berusaha mencari jalan bagi meningkatkan kemampuan pasukannya walaupun hanya sebanyak 2%”, kata Lammers.

Apa yang dikatakan Lammers itu memang ada kebenarannya kerana Van Gaal sendiri dikenali sebagai salah seorang jurulatih yang mengikuti dengan begitu dekat perkembangan hoki Belanda. Atas sebab itu maka tidak hairanlah mengapa Van Gaal menamakan Hans Jorritsma dan Max Reckers (bekas bintang hoki Belanda) dalam senarai kakitangan yang membantu beliau mengendalikan skuad kebangsaan Belanda ketika ini. Bukan setakat bersama skuad kebangsaan malah kedua-dua bekas bintang hoki ini juga dikatakan akan terus membantu Van Gaal di Old Trafford sebaik kempen Piala Dunia 2014 berakhir. Perlawanan terakhir Kumpulan B merupakan peluang terbaik Chile menamatkan rekod dua kemenangan berturut-turut Belanda manakala ketiadaan Van Persie pula sepatutnya meringankan tugas benteng pertahanan La Roja. Apapun senario yang digambarkan sebelum perlawanan tidak semestinya mampu diterjemahkan di atas padang dan malang buat Chile apabila Memphis Dephay membuktikan tanpa Van Persie, Belanda tidak hilang bisanya. Pemain muda berusia 20 tahun itu langsung tidak kekok apabila menyumbang gol kedua Belanda biarpun ini merupakan penampilan pertamanya di pentas Piala Dunia sekaligus mengukuhkan lagi reputasi Van Gaal dalam mengetengahkan bakat-bakat muda di pentas tertinggi.

Tiga perlawanan dan tiga kemenangan yang diraih Belanda membuktikan kemampuan Van Gaal sebagai pengendali dalam memimpin sesebuah pasukan pada pertandingan peringkat tertinggi seperti Piala Dunia. Kecederaan panjang yang dialami Kevin Strootman sebenarnya memberikan kesan yang bukan sedikit kepada skuad Belanda hingga memaksa Van Gaal melakukan perubahan drastik terhadap formasi permainannya. Formasi 4-3-3 memang sudah sebati dengan penampilan Oranje sejak sekian lama, jadi tidak hairanlah keputusan Van Gaal mengubah 'mazhab bolasepak Belanda' menyebabkan beliau teruk dikritik para pengkritiknya dan juga penyokong-penyokong setia Belanda. Reaksi pengkritik-pengkritiknya tidak dipedulikan Van Gaal sebagaimana beliau tidak pernah pedulikan statisitik yang dicatatkan barisan kendaliannya di Brazil. Belanda tewas kepada Sepanyol dan Chile dari segi penguasaan bola ketika mereka bertemu di peringkat kumpulan tetapi lihatlah hasil yang diraih anak-anak buah Van Gaal selepas tamat perlawanan. Belanda kali ini juga bukanlah pasukan yang mengamalkan permainan fair play kerana dari tiga perlawanan, mereka melakukan 68 kekasaran, jumlah tertinggi berbanding mana-mana pasukan setakat ini.

Gaya permainan yang dipersembahkan Belanda kali ini juga tidak langsung menggambarkan bahawa mereka adalah pelopor total football tetapi Van Gaal sudah membuktikan bahawa taktik yang beliau gunakan adalah tepat jika diambil kira keputusan tiga perlawanan mereka di peringkat kumpulan. “Anda harus bermain sesuai dengan kelebihan yang anda miliki. Segalanya berkaitan tentang menang. Saya memilih sistem yang boleh membantu saya meraih kemenangan”, kata Van Gaal. Situasi Van Gaal kali ini hampir sama dengan apa yang dilalui pengendali Brazil, Luiz Felipe Scolari 12 tahun yang lalu. Ketika kegagalan di France 98 masih meninggalkan kesan mendalam, Scolari mengorbankan permainan samba Brazil kepada gaya bolasepak Eropah pada kejohanan Piala Dunia 2002 hingga mengakibatkan beliau teruk dikritik dari segenap penjuru di negaranya sendiri. Bersandarkan kekuatan di benteng pertahanan yang diterajui Cafu, Roberto Carlos, Lucio dan Roque Junior serta ketajaman Ronaldinho dan Ronaldo di bahagian hadapan, gaya permainan 'kaku' yang diterapkan Big Phil akhirnya menghadiahkan Piala Dunia ke-5 buat mereka.

Bermain di bawah cuaca panas Brazil, Van Gaal perlu bijak menyesuaikan gaya permainan pasukannya dan setakat ini kita boleh melihat beliau menggunakan hantaran-hantaran jauh sebagai teras utama perancangan taktikalnya. Prestasi baik yang dipamerkan Oranje setakat ini bukan hanya membuktikan kematangan Van Gaal dalam menyusun taktik permainan malah cara beliau mengendalikan pasukannya juga wajar diberikan pujian. Saya juga tertarik dengan keberanian Van Gaal menyenaraikan beberapa pemain muda dalam skuadnya menerusi penampilan Stefan de Vrij, Bruno Martins Indi, Joel Veltman, Terence Kongolo dan Memphis Dephay. Paling menarik ialah apabila melihat keberanian Van Gaal memberikan peluang penampilan buat Kongolo di pentas tertinggi seperti Piala Dunia walaupun pemain muda ini hanya memiliki 23 penampilan di Eredivisie bersama Feyenoord. Selain keberanian beliau menyenaraikan pemain-pemain 'mentah' dalam kejohanan penting seperti Piala Dunia, keupayaan Van Gaal memberikan semula nafas baharu kepada karier veteran seperti Wesley Sneijder juga amat menarik untuk diperkatakan. Sneijder antara penggerak penting jentera skuad kendalian Van Gaal di Brazil biarpun prestasi pemain tengah Galatasaray itu dipersoalkan ramai pihak sebelum bermulanya Piala Dunia.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan Belanda di Piala Dunia hasil dari pendekatan yang digunakan Van Gaal pastinya membuatkan pihak pengurusan United lega. Beliau akan memulakan tugasnya secara rasmi sebagai pengurus baharu United sebaik tugasan bersama skuad Oranje di Brazil berakhir. Van Gaal adalah jurulatih yang cukup berpengalaman dan perlantikan beliau selaku pengendali memang dialu-alukan ramai pihak. Melihat apa yang sudah beliau lakukan di Brazil, saya yakin beliau juga mampu melakukan perkara yang sama di Old Trafford bagi mengangkat kembali prestasi United ke tempat yang sepatutnya. Kelibat Kongolo, Dephay, de Vrij, Martins Indi dan Veltman dalam skuad Oranje kali ini juga membuktikan keberanian Van Gaal mempertaruhkan pemain muda dalam perancangan taktikal permainannya, perkara yang saya harap akan beliau terus lakukan di Old Trafford nanti. Prestasi Belanda di bawah kendalian Van Gaal dalam Piala Dunia kali ini merupakan petanda bagus buat United dalam menghadapi musim baharu, jadi penyokong-penyokong The Red Devils bersedialah untuk menyambut kehadiran beliau nanti. Saya berharap Belanda dan Van Gaal akan sukses mengharungi kempen Piala Dunia di Brazil dan mara sejauh mungkin tetapi Jerman tetap pasukan kegemaran saya. Semoga Die Mannschaft di bawah kendalian Joachim Low mencipta sejarah sebagai pasukan Eropah pertama menjulang Piala Dunia di bumi Amerika Selatan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan