02 Jun 2014

MAMPUKAH VAN GAAL MENERUSKAN SIRI KEJUARAANNYA DI OLD TRAFFORD?

Masih ada kira-kira dua bulan setengah lagi sebelum bermulanya saingan musim hadapan manakala tumpuan peminat-peminat bolasepak seluruh dunia pula akan tertumpu buat sementara waktu di bumi Brazil ketika 32 pasukan kebangsaan dari seluruh dunia bakal bersaing di pusingan akhir Piala Dunia edisi ke-20. Kita (penyokong-peyokong Manchester United) sudahpun maklum bahawa Louis Van Gaal akan duduk di kerusi pengurus musim hadapan menggantikan tempat Ryan Giggs selaku pengendali sementara selepas pemecatan David Moyes, tetapi sebelum itu kredibiliti beliau akan diuji terlebih dahulu di Brazil bersama skuad kebangsaan Belanda. Saya adalah penyokong pasukan Jerman sejak era Karl Heinz Rummenigge, tetapi pusingan akhir Piala Dunia kali ini saya sedikit teruja mahu menyaksikan bagaimanakah corak permainan negara total football itu di bawah kendalian Van Gaal. Selaku tuan rumah, Brazil adalah pasukan pilihan menjulang trofi Piala Dunia kali ini di samping Sepanyol sebagai juara bertahan, tetapi saya tetap berharap akan ada kejutan (terutamanya dari Jerman) selain mahu melihat apakah kesan yang mampu diberikan Van Gaal ke atas skuad Oranje kali ini. 

Jika negara total football itu sukses di Brazil, sudah tentu dalam masa yang sama juga kita akan teruja menanti sentuhan Van Gaal di Old Trafford sebaik sahaja beliau memulakan tugasnya secara rasmi nanti. Van Gaal adalah seorang pengendali berpengalaman dan pemilihannya sebagai pengurus United musim hadapan dinilai ramai pihak sebagai pilihan yang tepat bagi mengembalikan semula kegemilangan kelab yang musnah musim lalu. Pemilihan Van Gaal sebagai pengendali bukan sahaja dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki beliau tetapi juga kerana track record sepanjang karier kejurulatihannya baik di peringkat kelab mahupun ketika bersama skuad kebangsaan Belanda. Persoalannya sekarang mampukah Van Gaal meneruskan rekod cemerlang yang pernah dilakar beliau sebelum ini pada musim pertamanya di England? Jika dilihat pada pencapaian silam Van Gaal selaku pengendali, kita sebenarnya boleh mengharapkan sesuatu yang cukup positif mampu dilakukan beliau untuk kelab musim hadapan. Untuk itu mari kita imbas kembali pencapaian-pencapaian cemerlang yang pernah dilakar Van Gaal sejak beliau memulakan karier kejurulatihannya bersama Ajax Amsterdam 23 tahun lalu.

Ajax Amsterdam 1991-1997

Selepas tiga tahun memainkan watak pembantu, Van Gaal akhirnya dilantik menggantikan Leo Beenhakker selaku pengendali Ajax pada musim 1991-92. Bagaimanapun musim pertamanya bersama de Amsterdammers, beliau gagal membantu kelab tersebut menghalang musuh tradisi mereka, PSV Eindhoven dari menjulang kejuaraan Eredivisie. Ajax sekadar menamatkan saingan liga di tangga kedua tetapi nasib mereka berbeza di pentas Eropah. Pada saingan Piala UEFA (sekarang Liga Europa), gergasi Belanda itu menyingkirkan Osasuna di pusingan ketiga, kemudiannya KAA Gent (di suku akhir) dan Genoa (di separuh akhir) untuk bertemu Torino di pentas final. Walaupun sekadar mencatat keputusan seri 0-0 pada perlawanan kedua di gelanggang sendiri, dua gol yang dijaringkan mereka ketika beraksi di Turin (seri 2-2) membolehkan Ajax keluar sebagai juara menerusi peraturan gol di gelanggang lawan. Musim berikutnya (1992-93), Ajax sekali lagi kempunan menjulang trofi Eredivisie tetapi mereka tidak menamatkan saingan musim tersebut dengan tangan kosong apabila berjaya memenangi Piala KNVB. Nama Van Gaal semakin gah di kancah bolasepak Belanda apabila beliau berjaya membawa Ajax menang kejuaraan Eredivisie tiga tahun berturut-turut bermula dari musim 1993-94 hingga 1995-96. Di pentas Eropah pula, Ajax di bawah kendalian Van Gaal semakin menunjukkan belangnya apabila pada 1995 mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Piala Intercontinental sekaligus menyebabkan nama beliau berada di senarai teratas buruan kelab-kelab ternama Eropah.

Barcelona 1997-2000

Ketika mendiang Sir Bobby Robson mengosongkan kerusinya sebagai pengendali Barcelona untuk menjawat jawatan Pengurus Besar kelab Catalan itu, hanya satu nama sahaja yang ada dalam fikiran pihak pengurusan Blaugrana untuk menggantikan tempat beliau. Individu yang saya maksudkan sudah tentu Louis Van Gaal. Kejayaan di pentas domestik dan Eropah bersama Ajax menjadikan Van Gaal calon teratas mengisi kekosongan yang ditinggalkan mendiang Sir Bobby, dan ternyata akhirnya pelaburan yang dilakukan Josep Lluis Nunez (Presiden Barca ketika itu) ke atas beliau satu keputusan yang tepat. Van Gaal tidak perlu menunggu lama untuk memberikan impak kehadirannya di Nou Camp apabila berjaya menghadiahkan trofi buat Barca. Barca yang ketika itu berstatus sebagai juara UEFA Cup Winners Cup menewaskan Borussia Dortmund (juara Liga Juara-Juara) dengan aggregat 3-1 pada perlawanan merebut Piala Super UEFA edisi 1997. Kejayaan menjulang Piala Super UEFA hanyalah permulaan kerana ada kejayaan lebih besar menanti Barca selepas itu. Di pentas domestik, Van Gaal berjaya mengemudi Barca menjulang kejuaraan La Liga buat kali ke-15 dalam sejarah kelab menerusi kelebihan sembilan mata berbanding Athletic Bilbao yang berada di tangga kedua selain kejayaan menundukkan Real Mallorca di pentas final Copa del Rey. Musim keduanya di Sepanyol (1998-99), Van Gaal sekali lagi berjaya menghadiahkan trofi La Liga buat Barca tetapi beliau akhirnya meninggalkan Nou Camp pada tahun 2000 selepas gagal menang sebarang trofi pada musim ketiganya bersama kelab Catalan itu.

Belanda, Barcelona dan Ajax 2000-2003

Selepas meninggalkan Nou Camp pada Mei 2000, Van Gaal menerima tawaran KNVB untuk melatih skuad kebangsaan Belanda. Ini juga merupakan kali pertama Van Gaal melatih skuad kebangsaan dalam karier kejurulatihannya. Walaupun memiliki rekod cemerlang di peringkat kelab, Van Gaal gagal membawa skuad Belanda beraksi di pusingan akhir Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Jepun dan Korea Selatan hingga memaksa beliau berundur pada Januari 2002 dan kembali ke Nou Camp musim panas tahun tersebut. Tahun 2000 hingga 2003 merupakan tempoh mencabar dalam karier Van Gaal kerana selepas kegagalan bersama skuad Oranje, kesuraman terus mengekori beliau pada penampilan keduanya bersama Barcelona. Hanya separuh musim bersama Barca, Van Gaal sekali lagi terpaksa meninggalkan Sepanyol selepas menyaksikan skuad kendaliannya ketinggalan 20 mata berbanding pendahulu La Liga ketika itu Real Sociedad. Kegagalan di Sepanyol menyebabkan Van Gaal memilih untuk kembali ke Belanda, kali ini bukan lagi sebagai pengendali tetapi beliau mengisi jawatan pengarah teknikal di Ajax Amsterdam.

AZ Alkmaar 2005-2009

Kegagalan yang berlaku dari tahun 2000 hingga 2003 menyebabkan ramai pihak berpendapat bahawa Van Gaal sudah kehilangan sentuhan ajaibnya tetapi itu tidak pernah menghalang pihak pengurusan AZ Alkmaar mendapatkan khidmatnya bagi menggantikan Co Adriaanse pada Julai 2005. AZ bukanlah sebanding PSV, Ajax ataupun Feyenoord tetapi kejayaan mereka menduduki tangga kedua liga pada musim pertama Van Gaal bersama kelab tersebut selain berjaya ke pentas final Piala KNVB mula membuka mata para pengkritiknya. Musim berikutnya, (2006-07) AZ kekal sebagai pencabar kejuaraan Eredivisie tetapi mereka akhirnya terpaksa akur untuk sekadar berada di tangga ketiga sambil menyaksikan PSV muncul juara buat musim ketiga berturut-turut. Prestasi AZ tiba-tiba menjunam pada musim ketiga Van Gaal bersama mereka apabila sekadar menamatkan saingan liga di tangga ke-11 tetapi tempoh suram itu rupa-rupanya hanya bersifat sementara. Selepas menanti selama 28 tahun, AZ akhirnya berjaya memecah dominasi PSV, Ajax dan Feyenoord untuk sekian lama apabila mereka berjaya merangkul kejuaraan Eredivisie musim 2008-09. Ini merupakan kejuaraan Eredivisie kedua buat mereka selepas kejuaraan sulung hadir pada musim 1980-81. Kejayaan AZ pada musim tersebut juga sebenarnya dibantu faktor bahawa mereka tidak tewas 28 perlawanan berturut-turut, mencatatkan rekod baharu Eredivisie sebagai pasukan paling kurang dibolosi dan berada di tangga kedua (belakang Ajax) dari segi rekod jaringan semusim.

Bayern Munich 2009-2011

Selepas berjaya membawa kembali kejuaraan Eredivisie ke AFAS Stadion, Van Gaal akhirnya meninggalkan AZ untuk menikmati cabaran baharu dengan menerima tawaran gergasi Bundesliga, Bayern Munich bagi menggantikan Jurgen Klinsmann. Kejayaan beliau bersama AZ menarik minat Bayern untuk mendapatkan khidmatnya selaku pengendali manakala kritikan-kritikan yang kedengaran sebelum ini semakin lenyap. Langkah pertama yang dilakukan beliau di Allianz Arena ketika itu ialah mendapatkan khidmat Arjen Robben dari Real Madrid dan kehadiran pemain antarabangsa Belanda itu memberikan kesan positif kepada kekuatan Bayern dalam usaha mereka merampas kejuaraan Bundesliga dari VfL Wolfsburg. Di akhir musim, Bayern berjaya merampas kembali trofi Bundesliga dari tangan Wolfsburg dengan kelebihan lima mata berbanding kelab di tangga kedua Schalke 04. Kejuaraan Bundesliga bukanlah satu-satunya trofi yang hadir di Allianz Arena pada musim pertama Van Gaal bersama Bayern kerana selepas itu mereka menambah koleksi medal kejuaraan hasil kemenangan 4-0 ke atas Werder Bremen di pentas final DFB Pokal. Peluang Van Gaal melakar sejarah lebih gemilang dengan memenangi kejuaraan treble bagaimanapun dinafikan Inter Milan selepas mereka tewas di perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada Mei 2010. Menariknya Jose Mourinho yang ketika itu mengendalikan Inter adalah pembantu Van Gaal ketika mereka di Nou Camp dari tahun 1997 hingga 2000. Prestasi cemerlang Bayern bagaimanapun gagal diteruskan musim berikutnya yang menyaksikan tampuk penguasaan bolasepak Jerman diambilalih pula oleh Borussia Dortmund. Walaupun bermula dengan langkah kanan apabila berjaya mengemudi Bayern menjulang trofi DFL Supercup, Van Gaal akhirnya dipecat pada 10 April 2011 berikutan prestasi tidak menentu yang dipamerkan pasukannya selain The Bavarians sendiri berdepan kemungkinan gagal menempatkan diri mereka di kedudukan tiga tangga teratas Bundesliga.

Belanda & Manchester United 2012-2014

Van Gaal kembali ke pangkuan skuad kebangsaan Belanda di mana beliau memikul tanggungjawab mengembalikan semula maruah skuad Oranje yang teruk tercalar berikutan prestasi buruk yang dipamerkan mereka ketika di bawah kendalian Bert Van Marwijk. Penyokong-penyokong Belanda mana mungkin boleh melupakan aksi pasukan kesayangan mereka di Kejohanan Euro 2012 apabila mereka dihantar pulang lebih awal selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga terbawah. Kegagalan kali pertama ketika bersama skuad kebangsaan menjadi pengajaran berguna buat Van Gaal dan kali ini Belanda menunjukkan peningkatan di bawah kendalian beliau. Mereka mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2014 dengan cukup cemerlang apabila menang sembilan perlawanan, satu keputusan seri, menjaringkan 34 gol dan hanya dibolosi sebanyak lima kali. Kini tumpuan dan misi Van Gaal beralih pula di Brazil di mana beliau bakal memikul tanggungjawab membawa skuad Oranje mara sejauh mungkin dalam kempen Piala Dunia kali ini sebelum terbang ke Old Trafford menggalas cabaran baharu di England. United tidak beraksi di pentas Eropah musim hadapan tetapi di peringkat domestik ada tiga trofi yang boleh diburu Van Gaal dan skuad bimbingannya. Kemampuan Van Gaal sebagai pengendali akan sekali lagi diuji dan kali ini tanggungjawab yang bakal dipikulnya agak berat kerana beliau perlu meletakkan semula United ke tempat yang sepatutnya. Van Gaal dipilih sebagai pengendali United kerana reputasi serta pencapaian yang dimiliki beliau sebelum ini, jadi tidak hairanlah mengapa sasaran membawa kembali trofi Liga Perdana ke Old Trafford perlu dilaksanakan beliau pada musim pertamanya di kelab manakala Piala Liga dan Piala FA pula hanyalah bonus tambahan. Apakah Van Gaal akan berjaya pada musim pertamanya di Old Trafford sepertimana kejayaan yang pernah dilakar beliau ketika bersama Ajax, Barcelona, AZ Alkmaar dan Bayern Munich? Saya tidak berani mengatakan bahawa kejuaraan liga akan menjadi milik United musim hadapan tetapi saya yakin di bawah kendalian Van Gaal, The Red Devils akan kembali digeruni dan dihormati oleh pencabar-pencabar mereka selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan