Kehadiran Jose Mourinho bermakna Manchester
United juga bakal mengalami pembaharuan dalam barisan pemain mereka bagi
menghadapi saingan kompetitif musim depan. Selepas berjaya mendaratkan Eric
Bailly dari Villareal yang bakal memantapkan benteng pertahanan skuadnya,
Mourinho kini mengalihkan pula perhatiannya kepada sosok seorang playmaker yang boleh memberikan lebih
variasi kepada gaya permainan skuadnya. Untuk itu pemburuan seterusnya terarah
pula ke Signal Iduna Park dan pemain yang dikatakan berada dalam radar buruan
United siapa lagi jika bukan playmaker Borussia Dortmund, Henrikh Mkhitaryan.
Mino Raiola yang juga merupakan agen pemain
ini khabarnya lebih memilih United berbanding `menghantar’ kliennya itu ke
Stadium Emirates dan jika ini benar, kita bakal mendengar khabar gembira dalan
tempoh terdekat. Memandangkan kontrak Miki (panggilan akrab beliau) hanya
berbaki setahun dan beliau sudah pun menolak tawaran kontrak baharu, tiada apa
yang mampu dilakukan Dortmund selain menjual pemain antarabangsa Armenia ini jika
tidak mahu kehilangan khidmatnya secara percuma.
Melihat kepada situasi terkini, United
nampaknya berada selangkah di hadapan Arsenal, musuh domestik yang turut
berminat memburu tandatangan kapten Armenia ini. Wenger mahukan Miki bagi
menggantikan kekosongan dtinggalkan Tomas Rosicky yang khabarnya tidak akan
dikekalkan di Stadium Emirates. Jika segalanya berjalan lancar dan Miki
akhirnya rasmi bergelar pemain United, pasti anda tertanya-tanya apa yang
menyebabkan Mourinho mahukan pemain ini terbabit dalam revolusi yang bakal beliau
lakukan di Old Trafford musim hadapan?
Di bawah kendalian Thomas Tuchel, Miki muncul
pemain yang lebih bagus berbanding ketika Dortmund di bawah arahan Jurgen
Klopp. Ternyata skill individu,
kepantasan, ketepatan umpanan dan kebolehan melakukan percubaan jarak jauh yang
menjadi kelebihan beliau tidak sesuai dengan falsafah permainan gegenpressing yang dianuti Klopp. Meskipun
musim lalu gagal memenangi sebarang trofi bersama Dortmund, Miki antara nama
wajib yang ada dalam kesebelasan Tuchel apabila beliau tampil sebanyak 51
perlawanan (dalam semua kejohanan), menjaringkan 23 gol dan mencipta 30 assist.
Melihat kepada statistik jaringannya,
jelaslah bahawa peranan Miki bukan sekadar seorang playmaker yang bertindak mengatur permainan dan membuka ruang buat
rakan-rakan tetapi beliau juga boleh menjadi opsyen tambahan dalam menghasilkan
gol. Jika berjaya ditandatangani, kehadiran beliau saya harapkan mampu
menyelesaikan masalah kebuntuan gol yang dihadapi United selain membantu
meringankan beban Wayne Rooney yang menghabiskan sebahagian besar musim lalu
dengan beraksi di bahagian tengah.
Memiliki kelajuan, kemahiran teknikal yang
sangat bagus, killer instinct yang tajam di hadapan gawang lawan serta boleh
berperanan lebih dari satu posisi menjadikan Miki antara nama panas dalam
pasaran perpindahan pemain kali ini. Dalam skuad Dortmund musim lalu, selain
boleh bertindak sebagai playmaker,
Miki juga sebenarnya boleh diletakkan sebagai pemain sayap dan bermain di
belakang penyerang jika berlaku sebarang perubahan taktikal dalam permainan.
Mungkin inilah faktor penting yang mendorong
mengapa United atau lebih tepatnya Mourinho mahu meletakkan nama Miki dalam
skuadnya musim hadapan. Bukan hanya kerana memiliki visi permainan yang bagus dan
semua kelebihan yang saya sebutkan di atas, tetapi seorang utility player seperti Miki memang cukup digemari Mourinho. Anda
sudah tentu dapat meneka bagaimana gaya permainan United di bawah arahan
Mourinho dan sudah tentu kelajuan serta visi permainan Miki bakal menjadikan beliau
watak utama jika United mahu bermain dengan corak serang balas pantas.
Jika perpindahan Miki ke Old Trafford berjaya
direalisasikan, pastinya akan ada pemain yang terpaksa pergi bagi memberikan
laluan kepada beliau kerana itu lumrah dalam bolasepak. Siapakah mereka yang
bakal terkeluar dari perancangan Mourinho selepas ketibaan Miki, itu masih
belum dapat dipastikan kerana saya lebih berminat melihat `plan B’ dari The Special One jika beliau gagal
menandatangani pemain Dortmund itu. Setakat ini pilihan yang digembar-gemburkan
jika Miki gagal ditandatangani ialah kemungkinan United beralih kepada winger VfL Woflsburg, Julian Draxler.
Draxler memang tidak memiliki visi permainan
seperti Miki, tetapi kemampuan bintang muda Jerman ini menyusup masuk ke
jantung pertahanan lawan dari sebelah tepi menarik minat Mourinho. Bersama
Wolfsburg, Draxler bemain sebagai sayap kiri yang memerlukan beliau banyak
melakukan hantaran, gelecekan dan melepaskan percubaan ke arah pintu gol lawan.
Untuk rekod, statistik peratusan ketepatan hantaran beliau mencapai 83%, 61% ketepatan
percubaan ke arah pintu gol lawan, menyumbang lima assist, menjaringkan enam gol, mencipta 36 peluang jaringan gol
manakala peratusan kejayaan beliau melakukan gelecekan mencapai 71.25% dari 23
aksi Bundesliga.
Bagaimanapun segalanya masih samar meskipun
United dikatakan kelab paling hampir yang bakal disertai Miki jika beliau
meninggalkan Dortmund. Persoalan paling besar sekarang bukannya berapa jumlah
wang yang terpaksa dibayar United jika mereka mahukan Miki, tetapi adakah
Dortmund sedia melepaskan seorang lagi pemain terbaik mereka selepas Mats
Hummels dan Ilkay Gundogan meninggalkan Signal Iduna Park? Jika nantinya Dortmund
terpaksa melepaskan seorang lagi pemain terbaik mereka, biarlah kali ini Old
Trafford pula menjadi destinasi yang dituju pemain itu. Dan jika Miki mahu
mengucapkan selamat tinggal kepada Signal Iduna Park biarlah Old Trafford pula
mengucapkan “Selamat Datang” kepada beliau….Glory Glory Manchester United!!! -
AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan