19 Jun 2016

SELAIN IBRA, PENYERANG MANA YANG PATUT DIBURU MANCHESTER UNITED

Penyokong-penyokong United nampaknya terpaksa menunggu hingga berakhirnya kejohanan Euro 2016 sebelum mengetahui destinasi sebenar yang bakal dituju Zlatan Ibrahimovic musim hadapan. Minggu lalu, Ibrahimovic (selepas ini saya sebut sebagai Ibra) sudah memberitahu media bahawa sebarang keputusan berkaitan masa depannya akan hanya diketahui umum sebaik tamatnya kejohanan Euro 2016 atau setidak-tidaknya hingga kempen Sweden di Perancis berakhir.

Meskipun sudah berusia 34 tahun, Ibra masih dianggap antara penyerang kelas atas. Jadi tidak hairanlah sebarang berita tentang spekulasi masa depan beliau menjadi tumpuan ramai dan dinanti dengan penuh minat. The Red Devils antara kelab yang begitu kerap dikaitkan dengan Ibra selepas ikatannya dengan Paris Saint Germain tamat, tambahan pula beliau sendiri tidak menolak kemungkinan untuk beraksi di Liga Perdana musim hadapan.

United bukan satu-satunya kelab besar yang mahu mendapatkan khidmat Ibra kerana kini Bayern Munich turut diberitakan mengintai peluang mendapatkan tandatangan beliau sebagai pengganti Robert Lewandowski (sekiranya penyerang Poland ini mahu meninggalkan Allianz Arena). Jika benar Bayern Munich mahu `kacau daun’, peratusan untuk menyaksikan Ibra menyarung jersi United musim depan bakal kian menurun.

Saya bukanlah peminat tegar Ibra, tetapi saya percaya pemain yang punya kualiti seperti beliau masih layak bermain untuk kelab besar seperti United meskipun beliau bukanlah pilihan jangka panjang atas faktor usianya. Bagaimanapun sekiranya United gagal mendapatkan Ibra, masih ada pilihan lain yang boleh dipertimbangkan untuk mengepalai jentera serangan kelab musim hadapan. Jadi siapakah mereka?

GONZALO HIGUAIN

Pilihan pertama saya sudah tentu terarah kepada penyerang yang beraksi di Serie A iaitu Gonzalo HIguain. Tiga musim bermain untuk Napoli, El Pipita sukses meledak 71 gol untuk kelab berpangkalan di Naples itu atau purata 23 gol setiap musim. Berbanding Ibra, Higuain enam tahun lebih muda dan tidak kurang hebatnya ketika melakukan penyudah di hadapan gawang lawan. Bukan saya mahu meremehkan kualiti milik Napoli, tetapi penyerang sebagus Higuain sepatutnya bermain di kelab yang lebih besar dan kembali memenangi trofi utama sepertimana yang belau pernah nikmati ketika bersama Real Madrid dulu.

Di Serie A, Higuain saya yakin tidak akan mampu memenangi medal kejuaraan liga kerana dominasi berterusan Juventus yang entah bila akan ada penamatnya. Jalan terbaik jika beliau mahu kembali berada di atas podium sebagai seorang juara, Higuain perlu meninggalkan kota Naples dan menyertai kelab yang mampu menawarkan beliau prospek menjulang trofi utama. Memiliki susuk fizikal dan ketinggian yang bagus (1.84m), Higuain saya yakin tidak berdepan masalah untuk bermain di Liga Perdana tambahan pula beliau memang jenis penyerang yang tidak gentar beradu kekuatan fizikal ketika berdepan pertahanan lawan.

KARIM BENZEMA

Kedengarannya agak mustahil bagi United mendapatkan Benzema kerana sudah tentu Real Madrid tidak akan mudah melepaskan penyerang yang saban musim menghasilkan lebih 20 gol untuk mereka. Benzema dan United ibarat cinta yang masih tidak kesampaian kerana penyerang inilah yang begitu diinginkan Sir Alex Ferguson sejak beliau masih bermain untuk Olympique Lyonnais lagi. Melihat kepada kisah silam Benzema yang beberapa kali menolak lamaran Sir Alex, kemungkinan untuk menyaksikan beliau menyarung jersi kelab memang sukar.

Bagaimanapun kehadiran Jose Mourinho selaku pengendali di Old Trafford musim hadapan mampu mengubah persepsi Benzema terhadap United. Mourinho pernah bekerjasama dengan Benzema ketika beliau mengendalikan Real selama dua musim (2010-2013), dan faktor ini boleh dijadikan senjata buat United memikat pemain berdarah Algeria ini. Benzema merupakan seorang modern striker yang bukan sahaja tajam dalam menyudahkan peluang tetapi juga rajin mendapatkan bola dari bawah dan kemudiannya mengatur serangan. Pada usia 28 tahun, Benzema memang dalam on fire dan inilah penyerang yang sepatutnya diburu United.

ROBERT LEWANDOWSKI

Kenyataan Lewandowski bahawa beliau sedia bermain di Liga Perdana musim hadapan bakal menghangatkan lagi pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Jika Ed Woodward mahu dirinya dipuja dan diangkat sebagai wira oleh penyokong-penyokong United, inilah masa yang tepat untuk beliau lakukan. Tandatangani Lewandowski, nescaya imej buruk Woodward di mata penyokong-penyokong selama ini akan segera terpadam. Tidak keterlaluan jika saya katakan Lewandowski merupakan type penyerang yang diinginkan oleh mana-mana pengurus/jurulatih bolasepak di dunia.

Bagusnya Lewandowski bukan hanya kerana kemampuan beliau menjaringkan gol tetapi beliau juga seorang dribbler yang baik dan mahir `menyimpan bola’. Di Signal Iduna Park dan kemudiannya di Allianz Arena, Lewandowski sudah membuktikan bahawa beliau memang seorang penyerang yang serba lengkap. Boleh bertindak sebagai target man, memiliki naluri penyudah yang tajam, kuat dalam perebutan bola tinggi dan mampu menterjemahkan peluang kecil kepada jaringan gol merupakan sebab utama mengapa beliau wajib diburu United.

EDINSON CAVANI

Musim depan Paris Saint Germain sudahpun kehilangan sentuhan Ibra di barisan hadapan, dan saya yakin mereka juga tidak bersedia untuk kehilangan seorang lagi penyerang berbisa mereka. Bagaimanapun dengan sokongan kewangan yang kukuh, PSG boleh mendapatkan penyerang kelas dunia bagi menggantikan tempat Ibra dan jika itu berlaku, peluang United mendapatkan Cavani cukup cerah. Cavani wajib berada dalam radar buruan United kerana kemampuan El Matador menjaringkan gol dari pelbagai sudut, bijak meletakkan dirinya di kedudukan yang tepat dan cekap menghidu peluang terhidang.

SIAPAKAH PILIHAN MOURINHO?

Melihat kepada trend Mourinho sejak beliau menguruskan Chelsea, kemudiannya Inter Milan, Real Madrid dan kembali semula ke Stamford Bridge, anda mungkin sudah mendapat bayangan type penyerang mana yang beliau gemari. Mourinho pada pandangan saya gemar menggunakan penyerang yang tegap dan kuat untuk mengepalai jentera serangan pasukannya. Didier Drogba, Diego Milito, Goran Pandev, Karim Benzema, Gonzalo Higuain dan Diego Costa antara penyerang yang pernah bermain di bawah kendalian Mourinho.

Higuain dan Benzema pernah ada pengalaman beraksi di bawah kendalian Mourinho, jadi `sejarah silam’ mungkin boleh mendorong mereka untuk kembali bekerjasama dengan The Special One. Sukar untuk United memancing keluar Benzema dari Santiago Bernabeu tetapi kemungkinan untuk mereka mendapatkan Higuain lebih realistik. Kedua-dua mereka saban musim menjaring lebih 20 gol untuk kelab masing-masing, jadi amat menarik untuk melihat sebarang kemungkinan jika United berjaya menandatangani mereka.

Di Bundesliga pula kenyataan yang dikeluarkan Lewandowski bahawa beliau sedia berhijrah ke Liga Perdana sepatutnya meletakkan Ed Woodward dalam mode paling bersedia bagi membawa penyerang prolifik ini ke Old Trafford. Higuain, Benzema dan Lewandowski pada pandangan saya jenis penyerang yang disukai Mourinho tetapi jangan sesekali perkecilkan kemampuan seorang clinical striker yang mampu menyudahkan peluang dalam pelbagai situasi seperti Cavani,

Meskipun terkenal sebagai pengurus yang mementingkan kekuatan ketika bertahan, Mourinho tidak akan pernah sesekali membiarkan jentera serangan pasukannya tumpul. Beliau pernah meletakkan FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam semusim di liga masing-masing. Jadi pastinya amat menarik untuk melihat penyerang mana yang bakal beliau bawa masuk bagi menambah sengat jentera serangan United. Adakah penggempur itu Zlatan Ibrahimovic? Tidak semestinya….Glory Glory Manchester United!!! - AJ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan