Hujung minggu ini (10 September ini), kota
Manchester akan menjadi saksi bukan sahaja kepada pertembungan derby ke 148 antara dua kelab setempat
tetapi juga membabitkan pertembungan antara Jose Mourinho dan Pep Guardiola. Mourinho
dan Guardiola bukan sahaja dianggap antara pengurus berprofil tinggi ketika
ini, tetapi permusuhan antara kedua-duanya juga pasti menyebabkan Manchester Derby kali ini lebih menarik,
tegang dan mendebarkan.
Sejak persaraan Sir Alex Ferguson di Old
Trafford dan berakhirnya era hampir empat tahun Roberto Mancini di Stadium
Etihad pada 2013, perlawanan-perlawanan membabitkan United dan City dalam tiga
musim terakhir juga seperti hilang serinya. David Moyes, Louis Van Gaal dan
Manuel Pellegrini tidak mampu membangkitkan semula `ketegangan’ Manchester Derby hinggakan saya sendiri
terlupa bahawa beberapa musim sebelumnya pertembungan United dan City pernah
dilabel sebagai El Clasico versi
Inggeris.
Kini dengan adanya Mourinho dan Guardiola
sebagai pengendali baharu kedua-dua kelab, anda boleh mengharapkan perlawanan Manchester Derby kembali tegang, kembali
diberikan perhatian dan kembali diiktiraf sebagai perlawanan blockbuster di Liga Perdana. Sabtu ini, suasana
kota Manchester akan lebih panas dari sebelumnya dan Old Trafford akan menjadi
saksi dua musuh yang seolah-olah tidak mungkin dapat didamaikan kembali
bertarung merangka strategi bagi membuktikan siapa di antara mereka yang lebih
genius.
Bermulanya
Permusuhan Mourinho & Guardiola
Melihat apa yang berlaku antara Mourinho dan
Guardiola sekarang, siapa sangka bahawa mereka pernah akrab dan saling
bekerjasama dalam satu pasukan ketika Barcelona ditangani mendiang Sir Bobby
Robson pada 1996/97. Namun api perseteruan dipercayai mula tercetus pada 2008
saat pihak pengurusan Barca melakukan kejutan dengan memilih Guardiola sebagai
pengganti Frank Riijkaard berbanding Mourinho yang lebih berpengalaman.
Kecewa dengan keputusan yang diambil pihak
pengurusan Barca, Mourinho kemudiannya memilih menyertai Inter Milan di mana
peluang untuk beliau membalas dendam akhirnya tiba apabila kedua-dua kelab
(Barca dan Inter) diletakkan dalam satu kumpulan pada saingan Liga Juara-Juara
musim 2009-10. Pertempuran pertama Mourinho dan Guardiola sebagai pengurus menghasilkan
perlawanan yang menarik.
Keputusan perlawanan pertama (peringkat
kumpulan) di San Siro berkesudahan seri 0-0 manakala pertemuan selanjutnya di
Nou Camp memihak Guardiola bila skuad bimbingannya menang 2-0. Meskipun tewas,
Mourinho berjaya mengesan kelemahan Barca dan sedia berdepan Guardiola sekali
lagi. Keinginan beliau tercapai bila Inter dan Barca dipertemukan di peringkat
separuh akhir pula dan kali ini Mourinho lebih bersedia bagi memerangkap
Guardiola.
Meskipun menang 3-1 pada aksi pertama di San
Siro, Mourinho dan Inter memerlukan lebih dari keajaiban untuk layak ke final mengingatkan bahawa Barca di bawah
kendalian Guardiola dianggap kesebelasan paling `sempurna’ ketika itu. Aksi di
Nou Camp memang dijangka panas selepas Guardiola menyindir Mourinho dengan
panggilan `hanya seorang penterjemah’ (Mourinho bertugas sebagai penterjemah
kepada mendiang Sir Bobby Robson di Nou Camp pada musim 1996-97).
Sindiran Guardiola kemudiannya dibalas dengan
cukup `kejam’ oleh Mourinho menerusi kejayaan beliau menyingkirkan Barca di
pentas separuh akhir. Meskipun kekurangan seorang pemain selepas Thiago Motta
dilayangkan kad merah (minit ke-28), strategi Mourinho meletakkan sembilan
pemain di hadapan gawangnya bagi mengekang asakan Barca berhasil. Gol tunggal
perlawanan menerusi Gerard Pique (minit ke-84) hadir terlalu lewat untuk
menghalang Inter dari mara ke final.
Mourinho
Berpindah Ke La Liga
Persaingan antara Mourinho dan Guardiola
memasuki episod baru pada 2010 selepas The
Special One dinamakan sebagai pengurus baharu Real Madrid menggantikan
posisi Manuel Pellegrini. Dua musim berikutnya, persaingan antara dua kelab
saling bermusuhan di Sepanyol itu menjadikan api perseteruan antara Mourinho
dan Guardiola juga semakin memuncak. Kedua-dua pengurus ini bertemu dalam
perlawanan el clasico buat pertama
kali pada 30 November 2010 yang menyaksikan Mourinho diaibkan selepas Real
tewas 0-5 kepada Barca.
Kekalahan besar di Nou Camp itu juga
merupakan kekalahan pertama yang dialami Mourinho sebagai pengurus Real dan kekalahan
besar kepada seteru paling dibenci sudah pasti amat menyakitkan. Selepas tamat
perlawanan, Guardiola melemparkan sindiran tajam dengan mengatakan bahawa kemenangan
besar pasukannya disebabkan Barca bermain bolasepak sebenar manakala Mourinho
pula meletakkan faktor pengadilan yang buruk dan kurang bernasib baik sebagai
punca kekalahan besar El Galacticos.
Ketegangan antara Mourinho dan Guardiola
kembali tercetus apabila kedua-dua gergasi La Liga itu bertemu di peringkat separuh
akhir Liga Juara-Juara musim 2010-11. Berang dengan perang saraf yang
dilancarkan Mourinho sebelum aksi pertama di Bernabeu menyebabkan Guardiola
hilang kawalan di hadapan wartawan.
“Di luar padang dia sudah menjuarainya musim
lalu tetapi di sini (Bernabeu) dia seorang f**king
boss dan dalam hal itu saya memang tidak mampu bersaing dengannya. Jika
Barca perlukan seorang yang mampu bersaing dengan kami, mereka (Real) perlu
mencari pengurus baharu”, tegas Guardiola. Barca menewaskan Real 2-0 dalam
perlawanan itu menerusi gol menarik dari Lionel Messi dan di penghujung musim
mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara di Rome selepas menewaskan Manchester
United (3-1).
Barcelona memulakan musim baharu (2011-12)
dengan langkah kanan menerusi kejayaan mereka menjulang Piala Super Sepanyol.
Kemenangan 3-2 Barca ke atas Real dalam perlawanan itu bagaimanapun dicemari
dengan insiden kekecohan di luar padang. Bermula dengan kekasaran yang
dilakukan Marcelo ke atas Cecs Fabregas kemudiannya merebak hingga membabitkan
perkelahian antara staf dan pemain-pemain simpanan kedua-dua pasukan di tepi
padang.
Bila bercakap tentang insiden yang sudah berlaku
lima tahun lalu ini, tidak sah kiranya anda tidak menyebut tentang aksi `cucuk
mata’ yang dilakukan Mourinho terhadap Tito Vilanova dari belakang. Ketika
ditanya wartawan tentang insiden `cucuk mata’ itu, Mourinho segera menjawab
secara sinis, “Saya tidak tahu siapa Pito Villanova”.
Ini bukanlah kesilapan ejaan atau salah
pendengaran dari wartawan kerana Mourinho sebenarnya menang sengaja menyebut
nama pertama Villanova sebagai “Pito” dan bukannya “Tito”. Dalam bahasa
Sepanyol, “Pito” boleh membawa maksud wisel dan alat sulit lelaki. Jadi yang
mana satu dimaksudkan Mourinho? Terserah kepada anda untuk menilainya.
Walaupun Guardiola memulakan musim (2011-12) dengan
langkah kanan menerusi kejayaan Barca menjulang Piala Super Sepanyol, tetapi di
penghujung musim beliau gagal menghalang Mourinho dari membawa Real keluar
sebagai juara liga yang baharu. Kemenangan 2-1 ke atas Barca di Nou Camp pada 22
April 2012 mengesahkan kejuaraan liga buat Real sekaligus menamatkan dominasi
selama tiga musim kelab Catalan itu di La Liga.
Tiga hari selepas kejayaan Real mengesahkan
kejuaraan La Liga mereka di Nou Camp, Guardiola yang semakin lelah dengan
tekanan mengumumkan pengundurannya sebagai pengendali Barca atas alasan ingin melupakan
dunia bolasepak buat seketika. Pengunduran Guardiola ini juga menandakan berakhirnya
berseteruan epik selama dua musim antara beliau dan Mourinho di Sepanyol.
Manchester Derby Yang Bakal Berbeza
Dari segi catatan head to head antara kedua-dua pengurus ini, Guardiola lebih unggul apabila
beliau berjaya mengatasi Mourinho sebanyak tujuh kali dari 15 pertemuan mereka
(manakala Mourinho pula cuma menang empat kali). Bagaimanapun dari segi jumlah koleksi
medal kejuaraan yang pernah mereka menangi, Mourinho lebih unggul. Setakat ini
Mourinho sudah memenangi 17 kejuaraan manakala Guardiola pula 14.
Mourinho serta Guardiola memang memiliki
kredibiliti serta karisma tersendiri sebagai seorang pengurus dan kini pengikut-pengikut
Liga Perdana bakal menyaksikan kedua-duanya membuka lembaran baharu kepada
permusuhan panjang mereka. Sudah pastinya juga dengan kehadiran dua pengurus
ini di kota yang sama, Manchester Derby
akan jauh berbeza berbanding tiga musim terakhir.
Meskipun Mourinho dan Guardiola hingga
setakat ini masih `membisu’ menjelang pertempuran mereka, tetapi percayalah
sikap provokatif The Special One
tidak akan mampu dibendung. Akan ada kata-kata pedas yang hanya menanti masa
untuk keluar dari mulut Mourinho dan ketika itu Guardiola tidak akan duduk
diam. Sabtu ini, Theatre of Dreams
akan menjadi gelanggang pertama kepada lembaran baharu pertempuran dua musuh
abadi ini, jadi bersedialah untuk menghadapi 90 minit yang penuh
ketegangan...Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan