Sejak
dilantik menggantikan tempat Louis Van Gaal sebagai pengurus Manchester United,
Jose Mourinho sudah mengharungi 22 perlawanan (termasuk perlawanan pra musim)
setakat ini. Dari jumlah tersebut, beliau berjaya membawa United menang
sebanyak 11 perlawanan, tewas lima kali dan seri empat kali. Dalam saingan liga
pula, United sekadar berada di tangga keenam selepas mengharungi 12 perlawanan, ketinggalan lapan mata di belakang Liverpool selaku pendahulu.
Paling perit
dan luka yang pastinya masih berdarah ialah kekalahan besar 0-4 kepada Chelsea
di Stamford Bridge 23 Oktober lalu. Kekalahan besar ini tentunya mencetuskan
tandatanya sejauh mana kemampuan United di bawah kendalian Mourinho mencabar
kejuaraan liga musim ini. Ditangani oleh seorang pengurus lagenda dan berprofil
tinggi seperti Mourinho, dengan deretan bakat-bakat bolasepak hebat dalam
kesebelasan utama, apa lagi yang kurang hinggakan United terpaksa bergelut
sebegini rupa di awal musim?
Mourinho
saya yakin tidak menjangka keadaan akan menjadi begitu sukar buatnya di awal
musim dan tiga kekalahan serta empat keputusan seri dalam saingan liga bukanlah
permulaan yang bagus. Setakat ini saya masih beranggapan bahawa United di bawah
kendalian Mourinho sebenarnya kurang bernasib baik atau lebih tepatnya tuah
tidak menyebelahi mereka dalam beberapa perlawanan hingga tercicir beberapa
mata penting.
United boleh
menjaringkan tiga atau empat gol ketika menentang Stoke City tetapi mereka
akhirnya sekadar menamatkan perlawanan di gelanggang sendiri dengan hanya satu mata. Begitu juga
halnya ketika berdepan Burnley. United menguasai perlawanan secara total (menentang
Burnley) tetapi tetap hampa apabila sekadar mengutip satu mata. Tuah sekali
lagi tidak memihak United semalam apabila jaringan lewat permainan Oliver
Giroud menafikan peluang buat The Red
Devils memungut mata penuh di gelanggang sendiri.
Tiada apa
yang kurangnya kepada persembahan United semalam selain faktor tuah yang tidak
menyebelahi anak-anak buah Mourinho. Mereka menguasai statistik di atas padang,
melakukan beberapa percubaan yang berpotensi menghasilkan gol, sentiasa
memberikan tekanan kepada lawan tetapi akhirnya tetap gagal meraih mata penuh. Selepas
ini tugas berat menanti Mourinho bagi memastikan United tidak terus ketinggalan
dari kelompok pasukan yang berada di tangga teratas liga.
Semalam riak
wajah Mourinho jelas tidak seceria berbanding ketika beliau mengendalikan
United buat pertama kali ketika berdepan Wigan Athletic dalam perlawanan pra
musim Julai lalu. Pada perlawanan `salam perkenalannya’ itu, Mourinho
menggunakan formasi 4-2-3-1 yang menitikberatkan penguasaan bola dengan memberikan
peranan selaku pemain nombor 10 kepada Henrikh Mkhitaryan.
Corak
permainan United ketika berdepan Wigan lebih mirip kepada apa yang pernah
diterapkan Louis Van Gaal tetapi penguasaan bola mereka lebih direct dan dalam tempo yang tinggi.
Pemain-pemain muda United warisan Van Gaal pula bermain dengan baik dalam
perlawanan tersebut sekaligus menghadirkan harapan kepada Mourinho bahawa musim
pertamanya di Old Trafford akan berjalan dengan lancar.
Tapi itu
cerita empat bulan lalu kerana Mourinho kini saya yakin mula menyedari betapa
sukarnya menguruskan kelab bernama Manchester United. Masalah sebenar Mourinho
bukan sekadar taktikal, tuah dan ketatnya persaingan di Liga Perdana tetapi
bagaimana caranya beliau mahu menghakis bayang-bayang Sir Alex Ferguson dari
`tubuh’ Manchester United. Hal inilah yang gagal dilakukan David Moyes dan Van
Gaal hingga mengakibatkan mereka terpaksa disingkirkan.
Selepas
penyingkiran Van Gaal, United memberikan kontrak lumayan selama tiga tahun
kepada Mourinho apatah lagi ketika itu beliau masih menganggur selepas dipecat
sebagai pengurus Chelsea. Dibekalkan dengan dana yang cukup besar, Mourinho
tanpa berlengah menandatangani Eric Bailly, Henrikh Mkhitaryan, Zlatan
Ibrahimovic dan Paul Pogba sambil merombak susunan staf kejurulatihan kelab.
Van Gaal dan
Mourinho keluar dari kebiasaan Sir Alex apabila mereka membelanjakan wang yang
begitu banyak untuk membeli pemain-pemain baharu. Semasa era Sir Alex sebagai
pengurus, adalah satu keajaiban jika beliau membelanjakan £70 hingga £90 juta hanya
untuk seorang pemain tetapi itulah yang dilakukan Van Gaal serta Mourinho. Van
Gaal membelanjakan lebih £60 juta untuk sosok bernama Angel Di Maria manakala
Mourinho pula memecahkan rekod dunia bila beliau membawa pulang Paul Pogba ke
Old Trafford.
Jika dilihat
rekod silam Van Gaal dan Mourinho, mereka memang dianggap orang yang tepat bagi
menggalas tugas besar selaku penerus legasi gemilang yang pernah ditinggalkan
Sir Alex. Baik Van Gaal mahupun Mourinho, mereka memiliki jejak kejayaan yang mengagumkan
serta punya falsafah bolasepak sendiri yang menjadikan mereka sebagai antara
pengurus paling berjaya.
Ricardo
Carvalho yang juga merupakan bekas anak didik Mourinho percaya, beliau mampu
mengembalikan semula kegemilangan United malah lebih dari itu Carvalho
meletakkan bekas mentornya itu sebagai `Sir Alex Ferguson Baru’. Benarkah
begitu? Jika dilihat rekod kejayaan Mourinho sebagai pengurus, saya tanpa ragu
akan mengatakan bahawa beliaulah orang yang tepat bagi mengembalikan semula
kegemilangan yang hilang selama tiga musim sejak persaraan Sir Alex.
Menyaksikan
cara United bermain di bawah kendalian Mourinho setakat ini, saya akui ada
perubahan besar berbanding skuad United di bawah kendalian Van Gaal. Cuma
seperti yang saya sebutkan tadi, hanya tuah yang masih tidak menyebelahi United
meskipun mereka bermain dengan baik. Semalam (menentang Arsenal) perkara yang
sama berlaku lagi apabila United dinafikan dari memungut tiga mata penuh
meskipun mereka bermain baik sepanjang perlawanan.
Bayangkan di
mana kedudukan United dalam carta liga sekiranya mereka berjaya mengutip tiga
mata penuh ketika berdepan Stoke, Burnley dan Arsenal? Akhirnya kita terpaksa
mengakui dalam bolasepak selain prestasi baik di atas padang, faktor tuah adakalanya
turut memainkan peranan besar dalam menentukan nasib sesebuah pasukan. Itulah
yang terpaksa Mourinho dan anak-anak buahnya hadapi sekarang sambil berharap
tuah akan segera mendampingi mereka semula dalam perlawanan-perlawanan selepas
ini.
Masih
terlalu awal untuk Mourinho dihakimi dan masih terlalu awal juga untuk
menafikan peluang United kembali mencabar kejuaraan liga yang kali terakhir
mereka menangi pada 2013. Walaupun sedikit kecewa dengan satu lagi keputusan
seri semalam namun saya kekal optimis bahawa United akan bangkit dan kembali
mencapai kemenangan. Sambil itu berharaplah agar tuah tidak akan lagi menjauhi
Mourinho dan anak-anak buahnya selepas ini...Glory Glory Manchester United!!! -
AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan