Lagenda Arsenal, Thierry Henry pernah
menyebut bahawa “Anda tidak akan pernah menyedari peranan besar yang dimainkan
Michael Carrick hinggalah selepas ketiadaannya”, manakala Carlos Queiroz pula
menganggap United tanpa kelibat Carrick di atas padang umpama mendaki gunung
Everest tanpa bekalan oksigen. Begitulah pentingnya peranan yang dimainkan
veteran United itu dalam pasukan sejak beliau ditandatangani Sir Alex Ferguson
dari Tottenham Hotspurs lebih sepuluh tahun lalu.
Carrick kini sudah berusia 35 tahun tetapi
sumbangan dan peranan yang dimainkan beliau untuk United masih lagi diakui dan
diiktiraf. Mourinho mengakui akan hakikat itu kerana peranan Carrick sebenarnya
turut mempengaruhi permainan Pogba. Ketenangan Carrick mengawal permainan sebagai
pemain tengah bertahan membolehkan Paul Pogba lebih bebas bergerak ke hadapan
ketika menyerang. Beberapa hari lalu Jose Mourinho mengeluarkan kenyataan
bahawa beliau mahukan agar Carrick kekal semusim lagi di Old Trafford.
Menentang Arsenal merupakan penampilan ketiga
Carrick dalam saingan liga dan yang ketujuh dalam semua kejohanan setakat ini.
Antonio Valencia dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan United/Arsenal
tetapi sumbangan Carrick mengemudi jentera tengah tetap memukau. Agak menarik
menyaksikan bagaimana Carrick `meneutralkan’ pergerakan Mesut Ozil sepanjang
perlawanan di Old Trafford Sabtu lalu hingga memaksa playmaker Arsenal itu bergerak lebih jauh ke tepi.
Carrick bukan sekadar pemain tengah bertahan
tetapi lebih dari itu beliau dianggap sebagai pemain yang bertanggungjawab
mengawal tempo permainan United. Ketenangan ketika menguasai bola, bijak
membaca permainan, tahu ke mana arah bola yang sepatutnya beliau hantar, bijak mengekalkan
posisi bagi melindungi rakan di benteng pertahanan dan berada di posisi tepat
ketika memintas hantaran lawan merupakan aset berharga kepada permainan Carrick.
Apa yang beliau lakukan ketika berdepan West
Ham dalam perlawanan ulangan Piala FA di Boleyn Ground musim lalu adalah contoh
terbaik dan paling hampir mengapa saya cukup mengagumi Carrick. Sepuluh minit
pertama aksi menentang West Ham itu, Carrick berjaya memintas dua gerakan lawan
yang berpotensi menghasilkan gol. Mungkin tidak ramai menyedari hal tersebut
tetapi dua detik penting yang berlaku di awal permainan sebenarnya berjaya
mengubah keputusan keseluruhan perlawanan.
Boleyn Ground menjadi satu lagi bukti bahawa Carrick
sering sahaja melakukan kerja-kerja `sederhana’ seperti itu kerana beliau
memang seorang pemain yang cukup bijak membaca gerakan lawan. Dan kerana
`kerja-kerja sederhana’ yang sering dilakukannya itu jugalah United akhirnya berjaya
menewaskan West Ham (2-1) untuk layak ke separuh akhir dan seterusnya menjulang
Piala FA di pentas final buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.
Awal dekad 2000, saat Gilberto Silva memainkan
peranan penting untuk Arsenal dan Claude Makelele untuk Chelsea, United pula
masih tercari-cari pengganti Roy Keane yang kian berada di penghujung karier. Anehnya
ketika Silva dan Makelele sudah membuktikan betapa pentingnya peranan seorang
pemain tengah bertahan, Sir Alex pula melakukan eksperimen dengan meletakkan
Alan Smith (seorang penyerang) di posisi yang ditinggalkan Roy Keane.
Ketiadaan pemain berpengaruh seperti Keano
jelas dirasai dan Smith bukanlah pengganti sepadan kepada Captain Marvel itu di bahagian tengah. Pada pertengahan musim 2005-06,
Sir Alex melakukan kejutan dengan menandatangani Patrice Evra dan Nemanja Vidic
berbanding mencari pemain baharu sebagai pengganti Keano. Ya memang benar,
menerusi kekuatan di benteng pertahanan, United menamatkan saingan liga di
tangga kedua tetapi itu juga bermakna mereka sudah tiga musim ketandusan
gelaran liga.
Menyaksikan Chelsea mendominasi saingan
selama dua musim berturut-turut, penyokong-penyokong pula mula tertanya-tanya
apakah langkah yang bakal dilakukan Sir Alex untuk meletakkan kelab kembali di
tempat teratas. Akhirnya pada musim panas 2006, Sir Alex mendapatkan seorang
pemain tengah bertahan bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Keano dan
pemain yang saya maksudkan ialah Michael Carrick. Carrick juga satu-satunya
pemain baharu yang ditandatangani Sir Alex pada musim panas 2006.
Kedatangan Carrick rupa-rupanya tidak mampu meredakan
kegelisahan penyokong-penyokong kerana mereka sebenarnya mengharapkan agar Sir
Alex membawa masuk pemain yang memiliki reputasi setaraf Keano. Kegelisahan
penyokong-penyokong United ketika itu mudah difahami kerana Carrick dan Keano begitu
kontra, baik dari segi personaliti mahupun corak permainan di atas padang.
Carrick tidak memiliki permainan keras dengan
emosi meledak-ledak seperti Keano malah fizikalnya juga bukanlah tandingan
kepada Silva atau Makelele yang lebih berotot. Jadi apa yang menyebabkan Sir
Alex menawarkan £18 juta kepada Spurs untuk mendapatkan tandatangan Carrick
ketika itu? Jawapannya ialah apa yang mampu ditawarkan Carrick di atas padang
berbeza berbanding Keano, Silva dan Makelele.
Seperti Makelele, Carrick juga gemar bergerak
secara terus ke hadapan tetapi jangkauan umpanan-umpanan yang dilakukannya
lebih luas dan tepat berbanding bekas pemain Chelsea itu. Kerana kemampuan
membaca gerak bola yang bagus, gaya bertahan Carrick juga berbeza berbanding
Keano, Silva dan Makelele. Carrick lebih gemar memintas hantaran lawan (intercept) berbanding melakukan
terjahan-terjahan keras dalam usaha merebut kembali bola dari penguasaan lawan.
Pendekatan permainan Carrick menyaksikan
beliau mencatatkan purata jumlah hantaran, ketepatan hantaran dan intercept yang lebih tinggi berbanding
mana-mana pemain tengah Inggeris hampir setiap musim. Musim pertamanya di Old
Trafford, Carrick berjaya membantu United kembali menjulang trofi Liga
Perdana (2006-07) sekaligus menghapus
keraguan di kalangan penyokong-penyokong tentang kemampuan beliau mengisi kekosongan
posisi yang ditinggalkan Keano.
Ketika Arsenal dan Chelsea masih bergelut
mencari pengganti Silva dan Makelele, United yang diperkuatkan Carrick serta
Paul Scholes di bahagian tengah berjaya menjulang kejuaraan liga musim
berikutnya (2007-08 dan 2008-09) selain trofi Liga Juara-Juara edisi 2008. Sejak
itu, Sir Alex mengiktiraf sumbangan dan peranan yang dimainkan Carrick untuk
United dengan melabelkan beliau sebagai pemain tengah terbaik di England.
Musim lalu United menang 14 perlawanan mereka
ketika Carrick bermain tetapi malangnya hal yang sama tidak berlaku musim ini
kerana beliau lebih banyak direhatkan kerana faktor kecederaan. Faktor usia
mungkin mempengaruhi kecergasan Carrick tetapi usia juga tidak pernah
memudarkan visi permainan beliau. Menyedari kemampuan dan pentingnya peranan
Carrick, Mourinho menurunkan beliau selama 90 minit dalam tiga perlawanan
terakhir United.
Kejayaan Itali menjulang trofi Piala Dunia
2006 bukan hanya dibantu faktor ampuhnya pertahanan mereka, tetapi kerana
adanya deep-lying playmaker seperti
Andrea Pirlo yang berperanan sebagai regista.
Dalam skuad Itali pimpinan Marcelo Lippi ketika itu, Pirlo boleh diumpamakan
seperti seorang `komposer’ di hadapan garisan pertahanan Itali. Xabi Alonso dan
Sergio Busquets pula memainkan peranan penting di sebalik kejayaan Sepanyol
menjulang tiga kejuaraan besar (Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012).
Alonso dan Busquets diiktiraf antara pemain
tengah bertahan terbaik dalam era bolasepak moden dan sudah memenangi hampir
semua trofi kejuaraan utama dalam karier mereka. Jika Itali memiliki Pirlo,
Sepanyol ada Alonso serta Busquets, Jerman pula beruntung kerana memiliki
Bastian Schweinsteiger yang berada di kemuncak prestasi ketika membantu Die Mannschaft menjulang trofi Piala
Dunia 2014.
Jika bukan kerana `ikhsan’ FIFA yang
memberikan anugerah pemain terbaik kejohanan (Piala Dunia 2014) kepada Lionel
Messi, Basti saya kira adalah calon paling layak memenanginya. Messi mungkin
pemain paling sempurna tetapi prestasi cemerlang Basti sepanjang kejohanan
Piala Dunia 2014 sepatutnya melayakkan beliau dianugerahkan sebagai pemain
terbaik kejohanan empat tahun sekali itu.
Bagaimanapun nasib Carrick tidak sebaik
Pirlo, Alonso, Busquets mahupun Basti. Carrick cemerlang di peringkat kelab menerusi
peranan dan sumbangan yang dimainkan beliau bersama United tetapi sering
`dilupakan’ dalam skuad Three Lions.
Ketika Pirlo, Alonso, Busquets dan Basti menjadi watak penting kepada skuad
kebangsaan masing-masing dalam kejohanan-kejohanan besar, Carrick pula
menghabiskan musim panasnya dengan bercuti saat Piala Dunia atau Euro rancak
berlangsung.
Saya masih mengingati bagaimana meriahnya
media-media Inggeris memberikan puji-pujian atas kejayaan England layak ke
Piala Dunia 2014 selepas mereka menewaskan Poland (2-0) dalam perlawanan
terakhir pusingan kelayakan di Wembley. Kebanyakan pujian-pujian tersebut juga
terarah kepada Carrick sambil mereka meletakkan beliau sebagai calon terbaik
mengemudi bahagian tengah Three Lions di
Brazil nanti.
Bagaimanapun nasib Carrick seperti sudah
boleh diramal dan akhirnya nama beliau tercicir dari penerbangan ke Brazil.
Saya tidak terkejut dengan keputusan Roy Hodgson mengugurkan nama Carrick
kerana memang lumrah bagi kebanyakan pengurus berbangsa Inggeris yang lebih
gemar menggunakan pemain dengan emosi meluar-luap, sanggup berlari dari pintu
gol sendiri ke pintu gol lawan dan melakukan terjahan tanpa kompromi sebagai
pilihan mereka.
Carrick bukan jenis pemain seperti itu kerana
cara beliau bermain lebih teknikal dan taktikal. Beliau tidak memerlukan
kelajuan atau menunjukkan emosi yang meluap-luap di atas padang seperti kebanyakkan
pemain Inggeris lain tetapi cukup dengan keupayaannya membaca gerak lawan,
hantaran-hantaran tepat ke kawasan lawan dan visi permainan yang mengagumkan. Jadi
ada sebab mengapa Andrew Murray dari Four
Four Two meletakkan beliau sebagai pemain yang memiliki kemampuan teknikal
paling bagus berbanding mana-mana pemain Inggeris.
Sepertimana kata Xabi Alonso, bolasepak
Inggeris memang sukar difahami kerana mereka sering meminggirkan pemain berkemahiran
seperti Carrick, pemain yang mampu membuatkan pasukan dan rakan-rakannya
bermain dengan baik. Benarlah kata Alonso kerana ketika Carrick sedang
menghabiskan tempoh cuti musim panasnya di pantai Barbados, skuad England pula
terpaksa pulang awal apabila mereka sekadar berada di tangga tercorot Kumpulan
D di Brazil.
Walaupun pada 2014 Daily Mail pernah melabelkan Carrick sebagai `Andrea Pirlo England’
tetapi saya tidak mahu berlebihan dalam mengiktiraf sumbangan beliau. Mungkin
Carrick sebagus Pirlo, mungkin juga tidak tetapi apa yang saya tahu, beliau
merupakan salah seorang pemain tengah terbaik United pernah saya saksikan. Ketepikan
dahulu tentang spekulasi masa depan Carrick kerana buat masa ini saya hanya
mahu menikmati aksi `wira tidak didendang’ ini sementara beliau masih menyarung
jersi United...Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan