Beberapa hari lalu Manchester United akhirnya
mengesahkan bahawa mereka berjaya mendapatkan khidmat Romelu Lukaku dari
Everton, sekaligus menamatkan semua spekulasi tentang masa depan penyerang
antarabangsa Belgium itu. Walaupun sempat dilaporkan bakal menyertai semula
Chelsea, Lukaku akhirnya memilih Old Trafford sebagai destinasi terbarunya,
sesuai dengan keinginan beliau untuk bermain di Liga Juara-Juara dan memenangi
medal kejuaraan.
Sebaik sahaja saingan musim 2016-17 berakhir,
Lukaku muncul antara `buruan panas’ yang sering dikaitkan dengan perpindahan ke
Old Trafford bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Zlatan Ibrahimovic selain Antoine
Griezmann, Alvaro Morata dan Andrea Belotti. Meskipun ketajaman Lukaku selaku
penggempur sudah terbukti di Liga Perdana, namun tetap ada berdebatan tentang keupayaan
beliau untuk mengetuai jentera serangan United musim depan.
Statistik
Jaringan...
Lukaku sudah membuktikan kemampuan beliau di
Liga Perdana dan turut diakui antara penyerang yang produktif dalam
menghasilkan gol. Sejak dipinjamkan ke West Bromwich Albion pada musim 2012/13,
beliau bertukar dari pemain yang dianggap gagal memenuhi jangkaan ketika
bersama Chelsea kepada sandaran utama Everton dalam memburu jaringan.
53 gol dari 110 penampilan liga sudah cukup
buat Lukaku membuka mata mana-mana kelab besar untuk mendapatkan khidmatnya
hinggakan Antonio Conte juga diberitakan turut tertarik untuk membawa beliau
pulang semula ke Stamford Bridge bagi menggantikan posisi Diego Costa. Dalam
tempoh lima musim terakhir juga, beliau berhasil menjaringkan 85 gol, hanya 14
gol di belakang Sergio Aguero.
Type
Penyerang Kegemaran Mourinho...
Sepertimana yang anda tahu, Mourinho sangat dikenali
sebagai seorang pengurus yang sangat cenderung memilih penyerang yang memiliki
kelajuan dan kekuatan fizikal untuk diletakkan di barisan hadapan skuadnya.
Untuk itu, Lukaku memiliki ciri-ciri penyerang yang menepati kehendak dan
selera Mourinho. Lukaku juga boleh dikategorikan sebagai penyerang konvensional
menerusi pendekatan permainan ofensif beliau.
Jarang sekali anda dapat saksikan Lukaku
bergerak melebar hingga ke bahagian sayap atau berada terlalu jauh dari kawasan
petak penalti lawan. Mungkin ada yang menggambarkan beliau sebagai `agak
pemalas’ tetapi menurut Kevin Campbell (bekas pemain Arsenal dan Everton), gaya
penyerang seperti inilah sebenarnya yang sangat dimahukan Mourinho untuk
membolehkan beliau menerapkan kembali corak serang balas pantas dalam permainan
United.
Kualiti
United Bakal Menjadikan Lukaku Lebih Kejam...
Dengan kualiti pemain yang dimiliki Everton,
musim lalu Lukaku masih mampu menjaringkan 25 gol untuk barisan kendalian
Ronald Koeman. Jadi secara logiknya cuba bayangkan apa yang mampu beliau
lakukan untuk United musim depan. Bukan niat saya mahu meremehkan Everton,
tetapi di United Lukaku kini dikelilingi rakan-rakan sepasukan yang lebih
berkualiti.
Dengan adanya pemain-pemain yang memiliki
kreativiti seperti Henrikh Mkhitaryan, Juan Mata dan Ander Herrera serta visi
permainan tinggi yang dimiliki Paul Pogba dan Michael Carrick, Lukaku
sepatutnya tidak berdepan masalah untuk terus meletakkan dirinya selaku peledak
digeruni di Liga Perdana. Kempen pra musim United sepatutnya digunakan beliau dengan
sebaik mungkin untuk beradaptasi dan memahami karakter permainan rakan-rakan
sepasukannya.
Jawapan
Kepada Ketumpulan Jentera Serangan United?...
Musim lalu United kelihatan sangat bergantung
kepada sentuhan pemusnah Zlatan Ibrahimovic hinggakan jika Ibra buntu dalam
misi menembusi pintu gol lawan, United juga berdepan kemungkinan besar gagal
menamatkan perlawanan dengan tiga mata penuh. Ketumpulan jentera serangan juga
menyaksikan banyaknya keputusan seri
yang dicatatkan mereka terutama ketika berdepan kelab-kelab pertengahan liga
seperti Stoke City, Hull City, Bournemouth, West Bromwich, Swansea dan
Southampton.
Akhirnya 15 keputusan seri yang dicatatkan
United sepanjang saingan liga musim lalu menjejaskan misi Mourinho untuk
meletakkan kelab di posisi empat teratas pada musim pertamanya di Old Trafford.
Kedatangan Lukaku dipercayai mampu menjadikan United lebih bebahaya ketika
mereka menyerang menerusi kepantasan dan ketajaman yang dimiliki penyerang
berusia 24 tahun itu. Dari musim ke musim, produktiviti Lukaku dalam
menghasilkan gol meningkat seiring dengan peningkatan usia dan pengalaman
beliau beraksi di Liga Perdana.
Lukaku 11 tahun lebih muda berbanding Ibra,
jadi sudah tentu juga beliau memiliki kelajuan yang lebih tinggi berbanding
legenda Sweden itu. Faktor inilah yang saya kira bakal memberikan perbezaan besar
kepada gaya serangan United musim depan. Sepertimana kata Campbell tadi,
kelajuan yang dimiliki Lukaku membolehkan Mourinho menerapkan kembali corak permainan
serang balas pantas dalam DNA permainan United, faktor yang sudah hilang dalam
tempoh tiga atau empat musim terakhir sejak persaraan Sir Alex Ferguson.
Yang
Dibimbangi Tentang Lukaku...
Bermain untuk kelab besar seperti United
tentunya sangat berbeza berbanding ketika beliau menyarung jersi West Bromwich
ataupun Everton. Meskipun beliau sudah mengharungi musim-musim yang fantastis
di Liga Perdana menerusi statistik jaringan yang dilakukannya, ramai pihak
mempersoalkan tentang kekuatan sebenar mental Lukaku. Di Liga Perdana, bisa
Lukaku sebagai penggempur sudah terbukti, tetapi bagaimana pula dengan
kemampuan beliau bermain di tahap lebih tinggi seperti Liga Juara-Juara?
Selain dari itu pergerakan beliau juga
dikatakan mudah dibaca pertahanan lawan dan sebagai contoh terbaik lihat
bagaimana mudahnya Marcos Rojo membungkam setiap gerakan yang dilakukan Lukaku
ketika United dan Everton bertemu musim lalu. Dari segi teknik individu, Rene
Meulensteen menyarankan agar Lukaku memperbaiki lagi aspek kawalan bola
terutamanya ketika melakukan sentuhan pertama dan hal yang sama turut
diutarakan Steve Clarke, individu yang bertanggungjawab membawa beliau beraksi
di West Bromwich.
Kesimpulan
Akhir...
Keputusan kelab untuk tidak mengekalkan Ibra
meninggalkan ruang yang sangat besar di bahagian hadapan dan untuk itu harapan
tinggi kini diletakkan di bahu Lukaku bagi memikul tugas selaku penggempur
utama. Ibra merupakan penyerang yang lebih lengkap tetapi United sebenarnya
perlukan seorang penyerang yang mampu menjaringkan 20 gol semusim secara
konsisten.
Jadi atas sebab itulah mengapa Mourinho
sanggup berbelanja lebih £70 juta untuk mendapatkan khidmat Lukaku. Beberapa
bulan lalu beliau sudah menyatakan keinginannya untuk menyertai kelab besar,
bermain di Liga Juara-Juara dan memenangi medal kejuaraan. Jadi keputusan
Lukaku meninggalkan Goodison Park selepas empat musim berada di sana bukanlah
sesuatu yang mengejutkan.
Pada usia 24 tahun, Lukaku masih punya banyak
waktu untuk berkembang sebelum muncul penyerang yang jauh lebih bagus
berbanding sekarang. Dan tiada yang lebih baik untuk melihat seorang pemain
muda seperti beliau memiliki keinginan besar untuk lebih sukses. Semoga
keinginan tinggi beliau itu diterjemahkannya menerusi prestasi gemilang di atas
padang.
Ujian sulung untuk Lukaku akan hadir pada 8
Ogos nanti saat United dan Real Madrid berdepan antara satu sama lain bagi
merebut trofi Piala Super UEFA. Jadi sangat menarik untuk kita melihat
bagaimanakah caranya nanti beliau melepasi kekangan pertahanan kelas dunia
seperti Sergio Ramos dan Raphael Varane di Philip II Arena...Glory Glory
Manchester United!!!