11 Julai 2017

BERAKHIRNYA `KISAH CINTA’ MANCHESTER UNITED DAN WAYNE ROONEY




Jika ditanya siapa penyerang terbaik United dalam tempoh 17 tahun terakhir, saya tanpa ragu akan menamakan Wayne Rooney sebagai pilihan. Sejak beliau ditandatangani Sir Alex Ferguson pada 2004, Rooney sudah memenangi kesemua kejuaraan yang dipertandingkan baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Dan sudah tentu juga gelaran sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa kelab yang disandang beliau `hampir mustahil’ untuk dipecahkan oleh mana-mana penyerang United selepas ini.

Selepas 13 musim menyarung jersi The Red Devils, meletakkan dirinya sebagai antara penggempur terbaik pernah disaksikan di Old Trafford dan selama bertahun-tahun juga bertindak sebagai nadi kepada jentera serangan United, jodoh Rooney bersama kelab akhirnya menemui titik nokhtah. Ketika mendapati dirinya kian terpinggir dari kesebelasan utama United selepas posisinya diambil alih oleh pemain yang lebih muda, Rooney memilih untuk pulang semula ke Goodison Park, pentas di mana beliau memulakan langkahnya sebagai pemain profesional.

Nasib Rooney Sudah Dijangka...

Jun lalu Roy Keane mengatakan bahawa adalah `gila’ jika Rooney memilih untuk terus kekal di Old Trafford selepas beliau hanya melakukan enam penampilan penuh dari 25 aksinya untuk United sepanjang saingan liga musim lalu dan sebagai penyokong juga, saya percaya anda sudah boleh menjangkakan nasib Rooney selepas beliau seolah-olah seperti sudah terkeluar dari perancangan Jose Mourinho.

Ketika statistik jaringan beliau semakin menurun dari musim ke musim, ketika tempatnya mula diambil alih penyerang muda yang jauh lebih pantas seperti Marcus Rashford dan ketika penguasaan beliau dalam senarai kesebelasan utama United semakin hilang, tiada apa yang mampu dilakukan Rooney selain memilih untuk pergi.

Pulang Ke Everton Adalah Pilihan Terbaik...

Beberapa tahun lalu, Rooney pernah menegaskan bahawa hanya Everton kelab yang beliau ingin wakili di Liga Perdana sekiranya beliau meninggalkan United suatu hari nanti. Memandangkan bahawa Everton merupakan kelab yang beliau sokong sejak zaman kanak-kanaknya dan di Goodison Park-lah beliau membina reputasinya sebagai antara prospek paling dikehendaki ketika zaman remajanya, memilih untuk menyarung semula jersi The Toffees selepas 13 tahun adalah satu langkah yang tepat.

Sekarang Rooney sudah kembali semula ke pangkuan Everton, dan sudah tentu juga beliau bakal memainkan peranan penting kepada perancangan Ronald Koeman dalam misi menghadiahkan kejuaraan buat kelab dari Merseyside itu manakala penyokong Everton juga nampaknya sangat teruja menyambut kepulangan semula Rooney selepas 13 tahun beliau meninggalkan Goodison Park. Pengalaman yang dimiliki Rooney selama beliau `membesar’ di Old Trafford bakal menjadi aset penting kepada misi pemburuan kejuaraan Everton di era Koeman.

Hilangnya Seorang Pemain Yang Sangat Fleksibel...

Pemergian Rooney juga sebenarnya menyaksikan kelab kehilangan sentuhan seorang pemain yang sangat fleksibel ketika di atas padang. Ketika kemuncak gandingan 2R (Rooney dan Ronaldo) mendominasi pentas Liga Perdana, Rooney sering diarahkan Sir Alex untuk lebih banyak bergerak di sebelah kiri bagi memberikan laluan buat Ronaldo menguasai posisi sebagai penyerang tengah.

Dalam tempoh lima musim terakhir kariernya di Old Trafford terutamanya sejak ketibaan Robin Van Persie dari Arsenal, peranan Rooney secara perlahan-lahan bertukar dari pemegang watak pemain nombor 9 kepada pemain tengah menyerang. Faktor ini akhirnya turut mempengaruhi statistik jaringan beliau dalam saingan liga yang semakin menurun dari musim ke musim.

Sikap Rooney Yang Begitu Mengagumkan...

Perlu diakui bahawa Rooney antara nama besar yang pernah beraksi untuk kesebelasan utama United dalam sejarah kelab. Dari sudut bilangan trofi yang sudah beliau menangi bersama United pula, tiada apa yang perlu Rooney buktikan lagi kepada para pengkritiknya. Begitu juga statistik jaringannya selama 13 musim beliau berada di Old Trafford. Begitupun Rooney masih sama sepertimana Rooney yang saya lihat sejak beliau menendang bola buat pertama kali sebagai pemain United.

Beliau tidak suka digantikan apatah lagi memegang watak sebagai pengganti. Bagi Rooney bermain selama 90 minit, berlari ke setiap sudut padang, melakukan `tackle’, membuka ruang kepada rakan, menghidu aroma rumput ketika perlawanan dan menjaringkan gol adalah nikmat yang tidak terkira berbanding sekadar memerhatikan aksi rakan-rakan sepasukan dari tepi padang. Lihat juga bagaimana reaksi beliau selepas berjaya menjaringkan gol ke 250-nya untuk United ketika berdepan Stoke City, 21 Januari lalu.

Gol penyamaan jaringan beliau ke gawang Stoke City itu membolehkan Rooney memecahkan rekod jaringan Sir Bobby Charlton sekaligus meletakkan namanya sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa kelab. Bagi mana-mana pemain, menjaringkan 250 gol untuk kelab seperti United tentunya sesuatu yang perlu diraikan tetapi tidak bagi Rooney. Tiada perayaan berlebihan, tetapi sebaliknya beliau mengarahkan rakan sepasukan menyegerakan permainan apatah lagi United ketika itu memerlukan tambahan gol untuk memenangi perlawanan.

Momen Indah Yang Ditinggalkan Rooney...

Saya memilih detik 28 September 2004 sebagai momen paling indah bila bercakap tentang Rooney. Hatrik pada penampilan pertama menentang Fenerbahce oleh seorang pemain muda seperti beliau dan dilakukan pula dalam saingan Liga Juara-Juara merupakan momen yang sangat mengagumkan dan kekal diingati hingga sekarang. Tiga gol ke gawang Rustu Recber itu juga membolehkan Rooney memahat namanya sebagai penjaring hatrik termuda dalam sejarah saingan Liga Juara-Juara.

Selain dari itu tiada siapapun di kalangan penyokong United boleh melupakan gol jaringan `anti graviti’ yang dilakukan Rooney ketika berdepan Manchester City pada 2011. Ketika keputusan perlawanan masih terikat 1-1, dan ketika tempoh sebenar permainan berbaki 12 minit untuk ditamatkan, Rooney menyambut hantaran silang Nani menerusi teknik sepakan gunting yang sama sekali gagal diselamatkan Joe Hart. Gol itu merupakan gol yang ikonik dan imej Rooney ketika melakukan jaringan tersebut masih tidak jemu untuk ditatap hingga sekarang.

Terputusnya Sebuah Ikatan...

Ikatan 13 tahun antara Rooney dan United akhir terputus selepas beliau mengambil keputusan untuk kembali ke Goodison Park dan menyertai semula Everton. Tujuh tahun lalu beliau mencetuskan panik di kalangan penyokong-penyokong United bila mengumumkan ingin meninggalkan kelab. Bagaimanapun Rooney kemudiannya melakukan pusingan U apabila memilih untuk terus kekal bersama United dan menandatangani lanjutan kontrak selama lima tahun lagi.

Selepas tujuh tahun, tiada apa yang mampu menghalang Rooney untuk pergi kerana beliau perlukan minit bermain yang lebih banyak berbanding apa yang dinikmatinya musim lalu. Untuk itu berpindah adalah jalan terbaik dan Everton adalah kelab paling ideal untuk beliau sertai. Pulang semula ke Everton dan menamatkan kariernya bersama kelab yang beliau cintai ketika zaman kanak-kanaknya adalah cara paling indah yang boleh dilakukan Rooney di penghujung kerjaya profesionalnya.


Di United pula, beliau akan sentiasa dikenang sebagai antara pemain terhebat pernah disaksikan dalam sejarah kelab. Ramai yang mengharapkan agar Rooney menamatkan kariernya di Old Trafford tetapi perkara itu nampaknya tidak berlaku. Seorang pejuang tulen seperti Rooney tidak betah melihat `pertempuran’ dari luar padang, jadi untuk berlaku adil biarkan sahaja beliau mencari haluan baharu. Untuk tempoh selama 13 tahun yang sangat mengagumkan, terima kasih buat anda sang legenda dan semoga anda terus sukses di sana...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan