13 Julai 2017

ADAKAH POTENSI LUKAKU JAWAPAN KEPADA KETUMPULAN JENTERA SERANGAN UNITED?




Beberapa hari lalu Manchester United akhirnya mengesahkan bahawa mereka berjaya mendapatkan khidmat Romelu Lukaku dari Everton, sekaligus menamatkan semua spekulasi tentang masa depan penyerang antarabangsa Belgium itu. Walaupun sempat dilaporkan bakal menyertai semula Chelsea, Lukaku akhirnya memilih Old Trafford sebagai destinasi terbarunya, sesuai dengan keinginan beliau untuk bermain di Liga Juara-Juara dan memenangi medal kejuaraan.

Sebaik sahaja saingan musim 2016-17 berakhir, Lukaku muncul antara `buruan panas’ yang sering dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Zlatan Ibrahimovic selain Antoine Griezmann, Alvaro Morata dan Andrea Belotti. Meskipun ketajaman Lukaku selaku penggempur sudah terbukti di Liga Perdana, namun tetap ada berdebatan tentang keupayaan beliau untuk mengetuai jentera serangan United musim depan.

Statistik Jaringan...

Lukaku sudah membuktikan kemampuan beliau di Liga Perdana dan turut diakui antara penyerang yang produktif dalam menghasilkan gol. Sejak dipinjamkan ke West Bromwich Albion pada musim 2012/13, beliau bertukar dari pemain yang dianggap gagal memenuhi jangkaan ketika bersama Chelsea kepada sandaran utama Everton dalam memburu jaringan.

53 gol dari 110 penampilan liga sudah cukup buat Lukaku membuka mata mana-mana kelab besar untuk mendapatkan khidmatnya hinggakan Antonio Conte juga diberitakan turut tertarik untuk membawa beliau pulang semula ke Stamford Bridge bagi menggantikan posisi Diego Costa. Dalam tempoh lima musim terakhir juga, beliau berhasil menjaringkan 85 gol, hanya 14 gol di belakang Sergio Aguero.

Type Penyerang Kegemaran Mourinho...

Sepertimana yang anda tahu, Mourinho sangat dikenali sebagai seorang pengurus yang sangat cenderung memilih penyerang yang memiliki kelajuan dan kekuatan fizikal untuk diletakkan di barisan hadapan skuadnya. Untuk itu, Lukaku memiliki ciri-ciri penyerang yang menepati kehendak dan selera Mourinho. Lukaku juga boleh dikategorikan sebagai penyerang konvensional menerusi pendekatan permainan ofensif beliau.

Jarang sekali anda dapat saksikan Lukaku bergerak melebar hingga ke bahagian sayap atau berada terlalu jauh dari kawasan petak penalti lawan. Mungkin ada yang menggambarkan beliau sebagai `agak pemalas’ tetapi menurut Kevin Campbell (bekas pemain Arsenal dan Everton), gaya penyerang seperti inilah sebenarnya yang sangat dimahukan Mourinho untuk membolehkan beliau menerapkan kembali corak serang balas pantas dalam permainan United.

Kualiti United Bakal Menjadikan Lukaku Lebih Kejam...

Dengan kualiti pemain yang dimiliki Everton, musim lalu Lukaku masih mampu menjaringkan 25 gol untuk barisan kendalian Ronald Koeman. Jadi secara logiknya cuba bayangkan apa yang mampu beliau lakukan untuk United musim depan. Bukan niat saya mahu meremehkan Everton, tetapi di United Lukaku kini dikelilingi rakan-rakan sepasukan yang lebih berkualiti.

Dengan adanya pemain-pemain yang memiliki kreativiti seperti Henrikh Mkhitaryan, Juan Mata dan Ander Herrera serta visi permainan tinggi yang dimiliki Paul Pogba dan Michael Carrick, Lukaku sepatutnya tidak berdepan masalah untuk terus meletakkan dirinya selaku peledak digeruni di Liga Perdana. Kempen pra musim United sepatutnya digunakan beliau dengan sebaik mungkin untuk beradaptasi dan memahami karakter permainan rakan-rakan sepasukannya.

Jawapan Kepada Ketumpulan Jentera Serangan United?...

Musim lalu United kelihatan sangat bergantung kepada sentuhan pemusnah Zlatan Ibrahimovic hinggakan jika Ibra buntu dalam misi menembusi pintu gol lawan, United juga berdepan kemungkinan besar gagal menamatkan perlawanan dengan tiga mata penuh. Ketumpulan jentera serangan juga menyaksikan banyaknya  keputusan seri yang dicatatkan mereka terutama ketika berdepan kelab-kelab pertengahan liga seperti Stoke City, Hull City, Bournemouth, West Bromwich, Swansea dan Southampton.

Akhirnya 15 keputusan seri yang dicatatkan United sepanjang saingan liga musim lalu menjejaskan misi Mourinho untuk meletakkan kelab di posisi empat teratas pada musim pertamanya di Old Trafford. Kedatangan Lukaku dipercayai mampu menjadikan United lebih bebahaya ketika mereka menyerang menerusi kepantasan dan ketajaman yang dimiliki penyerang berusia 24 tahun itu. Dari musim ke musim, produktiviti Lukaku dalam menghasilkan gol meningkat seiring dengan peningkatan usia dan pengalaman beliau beraksi di Liga Perdana.

Lukaku 11 tahun lebih muda berbanding Ibra, jadi sudah tentu juga beliau memiliki kelajuan yang lebih tinggi berbanding legenda Sweden itu. Faktor inilah yang saya kira bakal memberikan perbezaan besar kepada gaya serangan United musim depan. Sepertimana kata Campbell tadi, kelajuan yang dimiliki Lukaku membolehkan Mourinho menerapkan kembali corak permainan serang balas pantas dalam DNA permainan United, faktor yang sudah hilang dalam tempoh tiga atau empat musim terakhir sejak persaraan Sir Alex Ferguson.

Yang Dibimbangi Tentang Lukaku...

Bermain untuk kelab besar seperti United tentunya sangat berbeza berbanding ketika beliau menyarung jersi West Bromwich ataupun Everton. Meskipun beliau sudah mengharungi musim-musim yang fantastis di Liga Perdana menerusi statistik jaringan yang dilakukannya, ramai pihak mempersoalkan tentang kekuatan sebenar mental Lukaku. Di Liga Perdana, bisa Lukaku sebagai penggempur sudah terbukti, tetapi bagaimana pula dengan kemampuan beliau bermain di tahap lebih tinggi seperti Liga Juara-Juara?

Selain dari itu pergerakan beliau juga dikatakan mudah dibaca pertahanan lawan dan sebagai contoh terbaik lihat bagaimana mudahnya Marcos Rojo membungkam setiap gerakan yang dilakukan Lukaku ketika United dan Everton bertemu musim lalu. Dari segi teknik individu, Rene Meulensteen menyarankan agar Lukaku memperbaiki lagi aspek kawalan bola terutamanya ketika melakukan sentuhan pertama dan hal yang sama turut diutarakan Steve Clarke, individu yang bertanggungjawab membawa beliau beraksi di West Bromwich.

Kesimpulan Akhir...

Keputusan kelab untuk tidak mengekalkan Ibra meninggalkan ruang yang sangat besar di bahagian hadapan dan untuk itu harapan tinggi kini diletakkan di bahu Lukaku bagi memikul tugas selaku penggempur utama. Ibra merupakan penyerang yang lebih lengkap tetapi United sebenarnya perlukan seorang penyerang yang mampu menjaringkan 20 gol semusim secara konsisten.

Jadi atas sebab itulah mengapa Mourinho sanggup berbelanja lebih £70 juta untuk mendapatkan khidmat Lukaku. Beberapa bulan lalu beliau sudah menyatakan keinginannya untuk menyertai kelab besar, bermain di Liga Juara-Juara dan memenangi medal kejuaraan. Jadi keputusan Lukaku meninggalkan Goodison Park selepas empat musim berada di sana bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Pada usia 24 tahun, Lukaku masih punya banyak waktu untuk berkembang sebelum muncul penyerang yang jauh lebih bagus berbanding sekarang. Dan tiada yang lebih baik untuk melihat seorang pemain muda seperti beliau memiliki keinginan besar untuk lebih sukses. Semoga keinginan tinggi beliau itu diterjemahkannya menerusi prestasi gemilang di atas padang.

Ujian sulung untuk Lukaku akan hadir pada 8 Ogos nanti saat United dan Real Madrid berdepan antara satu sama lain bagi merebut trofi Piala Super UEFA. Jadi sangat menarik untuk kita melihat bagaimanakah caranya nanti beliau melepasi kekangan pertahanan kelas dunia seperti Sergio Ramos dan Raphael Varane di Philip II Arena...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan