Antonio Valencia, Guillermo
Varela, Matteo Darmian dan Ashley Young antara pemain yang pernah digunakan
untuk bertindak sebagai bek kanan selepas persaraan Gary Neville pada 2011.
Bagaimanapun tiada seorang pun di antara mereka yang boleh dibandingkan dengan
Gary, pemain yang selama berbelas tahun diamanah oleh Sir Alex Ferguson untuk
mengawal sektor kanan pertahanan United menerusi 400 penampilan yang
dilakukannya dalam saingan Liga Perdana. Gary bukanlah pertahanan kanan yang
memiliki teknik sebagus Dani Alves tetapi kekuatan mentalnya, work rate yang tinggi, bijak membaca
situasi permainan dan daya kepimpinan yang dimiliki beliau menjadikan Gary aset
tidak ternilai pernah dimiliki Fergie dalam skuadnya.
Sejak Gary mengumumkan
persaraan lapan tahun lalu, United bergelut mencari pengganti setanding yang
mampu mengisi posisi ditinggalkan beliau. Ketika karier Antonio Valencia di Old
Trafford semakin menghampiri penghujung jalan, manakala prestasi Ashley Young
pula sering dijadikan sasaran kritikan, sektor pertahanan kanan pastinya bakal
diberikan fokus utama Ole Gunnar Solskjaer untuk beliau perkuatkan musim panas
ini. Bercakap tentang soal perpindahan pemain, Solskjaer sudah menegaskan
bahawa beliau mahukan agar semua proses transaksi diselesaikan sebelum skuadnya
berangkat ke Australia bagi menghadapi aksi-aksi persiapan pra musim.
Misi
Mencari `Gary Neville Baharu’
Berbanding menandatangani
pemain-pemain bertaraf bintang yang sudah berumur, Solskjaer dikhabarkan lebih
tertarik merekrut pemain-pemain muda untuk dijadikan sebagai prospek jangka
panjang dalam skuadnya. Untuk itu, nama pemain-pemain muda yang sedang melonjak
naik mula dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford dan antaranya ialah
Aaron Wan Bisakka. Melihat kepada apa yang berlaku musim ini, saya percaya sektor
pertahanan kanan antara masalah yang mahu segera diselesaikan Solskjaer.
Sejak 2011, United memang
bermasalah mencari pengganti Gary dan meskipun Antonio Valencia kemudiannya
berjaya ditransformasikan untuk mengisi posisi tersebut oleh Louis Van Gaal,
kita perlu mengakui hakikat bahawa bintang Ecuador itu bukanlah bek kanan
tulen. Ketika kecederaan mula menjadi `teman akrab’ Valencia, United jelas
ketandusan bakat di posisi bek kanan hingga memaksa Solskjaer terus mengerah
kudrat pemain veteran seperti Ashley Young meskipun penampilan beliau sering
dijadikan sasaran kritikan.
Dalam misi mencari `Gary
Neville baharu’, Solskjaer sebenarnya tidak perlu melakukan pencarian ke negara
lain kerana di hadapan mata beliau sudah ada pemain muda berbakat besar yang
sedia untuk diletakkan dalam radar buruannya. Pemain yang saya maksudkan sudah
tentu Aaron Wan-Bissaka. Dengan nilai dianggarkan sekitar £40 juta, tidak sukar
buat kelab besar seperti United membawa keluar pemain berdarah Congo ini keluar
dari Selhurst Park musim panas nanti.
Kepercayaan
Hodgson
Krisis kecederaan yang
melanda benteng pertahanan Crystal Palace musim lalu rupa-rupanya satu rahmat
buat Aaron apabila beliau diberikan peluang oleh Roy Hodgson untuk melakukan
penampilan pertama bersama skuad senior Palace.
Aaron melakukan debut di Liga Perdana ketika Palace berdepan Tottenham
Hotspurs pada 25 Februari 2018 dan sejak itu beliau secara perlahan-lahan mula
menyingkirkan Timothy Fosu-Mensah dari posisi bek kanan skuad The Eagles.
Meskipun Aaron pada peringkat
awal karier beliau di akademi Palace bermain sebagai pemain sayap (kanan),
penampilan terpuji yang dipamerkan pemain kelahiran Croydon ini sebagai bek
kanan ketika berdepan Spurs, Manchester United dan Chelsea mula mencuri
perhatian Hodgson. Kejayaan beliau dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan
kelab tiga kali berturut-turut musim lalu (Ogos, September dan Oktober)
mengukuhkan lagi cengkaman Aaron selaku pilihan utama di sektor kanan
pertahanan Palace.
Kelebihan
Dan Kekurangan
Kemampuan melakukan tackle adalah antara aset penting yang
perlu ada kepada mana-mana pemain pertahanan. Salah satu kelebihan yang ada
dalam diri Aaron ialah tackle yang
dilakukannya sering memberikan masalah kepada mana-mana pemain hadapan lawan.
Secara purata, beliau melakukan 4.1 tackle
dalam setiap perlawanan, dan meskipun catatan ini jauh dari apa yang dilakukan
oleh pemain tengah Everton, Idrissa Gueye (14.5 takcle per perlawanan), peratus ketepatan tackle yang dilakukan Aaron
(68%) antara yang tertinggi di Liga Perdana.
Selain daripada itu, kualiti
ketika bertahan menyaksikan beliau sudah melakukan 85 intercept, 285 kali memenangi perebutan bola, 147 clearance, 43 kali memenangi perebutan
bola tinggi dan 5 kali melakukan block.
Saya tidak meragui kualiti defensif yang dimiliki pemain berusia 21 tahun ini,
tetapi untuk menjadi pemain sehebat Gary, beliau juga perlu bagus ketika
menyerang. Mengikut statistik yang dikeluarkan selepas Palace mengharungi 36
aksi liga, Aaron cuma mampu menyumbang 2 assist
dan melakukan 73 hantaran lintang (peratus ketepatan hantaran lintangnya cuma
21%).
Sasaran
Musim Panas
Prestasi cemerlang yang
dipamerkan Aaron musim ini menjadikan beliau antara sasaran terhangat sebaik
jendela perpindahan pemain musim panas dibuka nanti. Bukan hanya United yang
berminat mendapatkan tandatangan beliau kerana kelibat Aaron khabarnya turut
diintai Pep Guardiola dan Unai Emery. Aaron Wan-Bissaka antara pemain muda
meningkat naik dan nama yang patut berada dalam radar buruan Solskjaer dalam usaha
beliau merombak dan meremajakan skuadnya musim hadapan.
Jika Solskjaer berjaya menandatangani
Aaron musim panas nanti, ini adalah detik permulaan dalam usaha pengendali itu
membina semula benteng pertahanan United yang hampir roboh berteraskan kepada kekuatan
bakat-bakat muda sebagai prospek jangka panjang. Sangat sukar untuk menemukan
semula bakat sebagus Gary Neville, tetapi dalam diri Aaron Wan-Bissaka sudah
terlihat potensi besar untuk beliau muncul antara fullback handalan di Liga Perdana atau mungkin juga dunia suatu
hari nanti. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan