Sejak kekalahan mengaibkan
kepada Burnley pada 23 Januari lalu, Manchester United sudah mengharungi
sepuluh perlawanan dalam semua peringkat kejohanan tanpa kalah. Dari jumlah
tersebut, mereka mencatatkan tujuh kemenangan dan tiga keputusan seri. Sudah tentu
kemenangan paling indah dari sepuluh aksi terakhir United ini ialah saat mereka
membenam `jiran yang bising’ di Old Trafford awal pagi tadi. Kemenangan 2-0
yang dilakarkan United ke atas skuad kendalian Pep Guardiola ini melengkapkan
kemenangan back to back pertama mereka ke atas City dalam tempoh sepuluh
tahun.
Untuk rekod, kemenangan back
to back terakhir yang dilakukan United ke atas City ialah pada musim
2009/10. Kemenangan yang di lakar United ke atas City ini juga merupakan
kemenangan pertama mereka ke atas skuad The Citizens di Old Trafford
sejak 2015. Tiga mata penuh ini saya anggap sangat penting dalam misi United
menyalakan hasrat mereka untuk kembali bersaing di pentas Liga Juara-Juara
musim hadapan. Selepas mengharungi 28 perlawanan, United cuma ketinggalan tiga
mata di belakang Chelsea selaku pasukan yang berada di tangga keempat liga.
Mungkin belajar dari kesilapan
yang berlaku di Goodison Park minggu lalu, Ole Gunnar Solskjaer kembali
menggunakan formasi 3-4-1-2 dengan meletakkan Luke Shaw di sebelah kiri dalam
barisan tiga pemain pertahanannya. Jika anda lihat dari sudut keputusan akhir
perlawanan di scoreboard serta peluang-peluang yang berjaya dicipta United,
anda boleh labelkan ia sebagai antara aksi terbaik barisan The Red Devils
musim ini. Bagaimanapun jika dilihat dari skop yang lebih luas, ini bukanlah
aksi derby yang terlalu sengit.
Keputusan meletakkan tiga
pemain pertahanan di belakang menyebabkan United berdepan kesukaran melakukan build
up. Jadi tidak hairanlah mengapa kebanyakkan gerakan-gerakan yang cuba
dilakukan mereka berjaya dipatahkan lawan. Di sisi berlawanan, City pula tampil
lebih dominan apabila pada babak pertama mereka menguasai 69% penguasaan bola.
Di babak kedua, peratus penguasaan bola yang dilakukan City meningkat kepada
71%, sekaligus menunjukkan betapa dominannya penampilan mereka sepanjang 90
minit perlawanan.
Bagaimanapun menguasai peratus
penguasaan bola tidak bermakna bahawa City mampu menebus semula kekalahan (1-2)
mereka kepada United di Etihad pada 8 Disember tahun lalu. Peratus penguasaan
bola yang begitu tinggi gagal diterjemahkan kepada jaringan gol kerana transisi
mereka dari bertahan kepada menyerang yang tidak begitu lancar. Mereka kelihatan
agak buntu setiap kali berjaya memasuki zon final third United. Untuk
itu kredit wajar diberikan kepada Solskjaer kerana keputusan beliau meletakkan
tiga pemain pertahanan (yang boleh berubah kepada lima) dalam situasi bertahan.
Koordinasi barisan pertahanan
United menyukarkan City ketika mereka cuba menyerang, mungkin juga faktor ini
turut dibantu ketiadaan Kevin de Bruyne selaku arkitek kepada setiap gerakan mereka
selama ini. Meskipun Guardiola memiliki sosok pemain seperti Bernardo Silva,
tetapi perlu diakui bahawa de Bruyne lebih unggul dalam tugasnya mencipta
peluang kepada rakan-rakan di barisan hadapan. Kebergantungan City kepada
Raheem Sterling juga menyaksikan gerakan-gerakan mereka lebih banyak tertumpu
di sisi kiri.
Kurangnya bantuan dari
Oleksandr Zinchenko, manakala setiap pergerakannya pula sentiasa dibayangi
Aaron Wan-Bissaka, jadi tidak banyak ancaman yang mampu diberikan Sterling
kepada benteng pertahanan United. Menyedari tumpulnya kreativiti skuadnya
ketika melakukan gerakan, Guardiola melakukan perubahan dengan memasukkan
Riyadh Mahrez diminit ke-59. Tujuan Guardiola hanya satu, iaitu mengubah
kecenderungan City melakukan gerakan dari sisi kiri kepada sisi kanan.
Bagaimanapun perubahan yang
cuba dilakukan Guardiola dengan memasukkan Mahrez tetap gagal memberikan impak
yang signifikan dalam perlawanan ini. Sehingga minit ke-68, City cuma mampu
melepaskan dua percubaan kearah gawang United. Untuk itu, sekali lagi kredit
wajar diberikan kepada benteng pertahanan United yang sangat berdisiplin ketika
mereka menyerap setiap gerakan yang cuba dilakukan lawan terutamanya menerusi
Raheem Sterling dan Sergio Aguero. Hasilnya David de Gea menamatkan aksi Manchester
Derby ini dengan catatan clean sheet.
City memang tampil dominan,
terutamanya dari segi penguasaan bola sepanjang perlawanan. Bagaimanapun mereka
buntu untuk menterjemahkan peratusan penguasaan bola yang sangat tinggi itu
kepada jaringan gol. Barisan hadapan hilang kreativiti manakala benteng
pertahanan pula gagal menghalang United dari membocori pintu gol mereka. Mujurlah
Daniel James agak gopoh beberapa kali ketika peluang terhidang, kerana jika
tidak keputusan di scoreboard mungkin akan menunjukkan angka berbeza.
Agak mengejutkan melihat penampilan
Ederson sepanjang perlawanan ini. Kesilapan mudah yang dilakukannya di babak
kedua hampir sahaja menyebabkan Anthony Martial mampu menjaringkan gol kedua peribadinya
dalam perlawanan ini. Begitu juga kesilapan yang dilakukannya di penghujung
perlawanan hingga membolehkan Scott McTominay menjaringkan gol kedua United.
Akhirnya kekalahan ini menyaksikan City sudah tewas tujuh kali dalam saingan
liga, juga jumlah kekalahan terbesar yang dialami Guardiola di peringkat liga dalam
karier pengurusan beliau.
Musim ini saya boleh menganggap
merupakan musim terburuk Guardiola sejak beliau mengendalikan City. Selaku juara bertahan, tujuh kekalahan yang
dialami mereka setakat ini satu isyarat bahawa prestasi mereka menurun secara drastik
berbanding dua musim terakhir. Meskipun baru sahaja dinobatkan selaku juara
Piala Liga, Guardiola wajib mengemudi barisan pemainnya mara ke Istanbul dan
menjulang trofi Liga Juara-Juara di sana buat pertama kali dalam sejarah kelab bagi
menyelamatkan musim mereka.
Kemenangan ke atas `jiran yang
bising’ ini bukan sahaja menggembirakan penyokong-penyokong United, tetapi
turut membuka ruang yang sangat luas kepada Liverpool mengesahkan kejuaraan
liga mereka lebih awal. Hanya dua kemenangan diperlukan Liverpool untuk
membolehkan mereka menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun.
Saya sudah tidak peduli bilakah agaknya Jordan Henderson akan menjulang trofi
Liga Perdana, kerana buat masa ini saya hanya mahu bergembira meraikan kota
Manchester kini kembali berwarna merah. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan