20 Februari 2020

KELUAR DARI BILIK RAWATAN DAN BERMAIN BOLASEPAK SEBENAR ALA ERIC BAILLY



Bruno Fernandes, Fred, Harry Maguire dan Eric Bailly antara pemain paling menyinar di sebalik kemenangan 2-0 yang dilakar Manchester United ke atas Chelsea tempohari. Bagaimanapun, paling mencuri tumpuan sudah tentu kelibat Bailly yang kembali membarisi benteng pertahanan United buat pertama kali musim ini. Selepas berehat panjang hampir sepuluh bulan akibat dari kecederaan lutut yang dialaminya ketika berdepan Tottenham Hotspurs dalam aksi pra musim, Bailly membuktikan bahawa peranannya masih lagi berharga menerusi pretasi terpuji yang ditampilkan beliau di Stamford Bridge.

Mana-mana pemain tentunya berdepan tugas sukar untuk mengembalikan semula prestasi terbaik mereka selepas hampir setahun tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif akibat kecederaan, tetapi untuk Bailly ada pengecualian. Keputusan Ole Gunnar Solskjaer menyenaraikan Bailly dalam kesebelasan utamanya pada perlawanan penting seperti ini sebenarnya agak mengejutkan, tetapi itulah perjudian yang terpaksa dilakukan beliau dalam misi membawa United beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Perlawanan menentang Chelsea bukannya mudah untuk United, tambahan pula mereka terpaksa beraksi di Stamford Bridge. Begitu juga dengan Bailly yang kali terakhir turun bermain bersama skuad U-23 United ketika berdepan Newcastle United dalam saingan Premier League Two pada 10 Januari lalu. Dalam perlawanan itu, Bailly bermain selama 61 minit sebelum posisinya digantikan dengan Reece Devine. Selepas perlawanan menentang skuad U-23 Newcastle United itu, Bailly perlukan tempoh lebih sebulan untuk kembali merasai aksi di atas padang dan peluang akhirnya tiba jua untuk beliau.

“Bukan mudah untuk kembali bermain selepas anda tidak beraksi begitu lama. Saya sudah memberitahu pengurus bahawa saya ingin bermain selepas bekerja keras untuk pulih dari kecederaan teruk. Saya perlukan beberapa minit untuk menyesuaikan diri sebaik aksi bermula. Saya agak gugup kerana lama tidak bermain, tambahan pula setahun sebelum itu saya juga mengalami kecederaan ketika berdepan Chelsea. Bagaimanapun segalanya berjalan lancar kerana saya menerima sokongan kuat dari pengurus dan rakan sepasukan”, kata Bailly selepas tamat aksi menentang Chelsea.

Tiada Pilihan

Seperti yang saya sebutkan tadi, keputusan Solskjaer menurunkan Bailly di Stamford Bridge memang satu perjudian besar, bukan sahaja kepada misi United tetapi juga terhadap diri pemain berusia 25 tahun itu yang baru sahaja pulih dari kecederaan lutut. Bagaimanapun apa lagi yang mampu dilakukan Solskjaer memandangkan Victor Lindelof berdepan masalah selesema, Axel Tuanzebe mengalami kecederaan, manala Phil Jones pula bukanlah pilihan yang popular di mata penyokong-penyokong United untuk perlawanan penting seperti ini. Jadi jalan terakhir yang dipilih beliau ialah menyenaraikan Bailly.

Di awal perlawanan, kegugupan Bailly memang jelas terlihat hinggakan pada satu ketika kesilapan beliau ketika melakukan hantaran membuka ruang buat lawan melakukan ancaman kepada benteng pertahanan United. Bagaimanapun momen tersebut mungkin satu-satunya kesilapan yang dilakukan Bailly, kerana selepas itu beliau tampil dominan di barisan belakang bersama Harry Maguire. Aksi beliau di minit ke-37 antara yang menarik perhatian. Sebaik sahaja berjaya merampas bola dari kaki Michy Batshuayi di dalam petak penalti, Bailly memilih untuk melakukan dribble berbanding melakukan clearance sepertimana lazim dilakukan oleh mana-mana pemain pertahanan.

Aksi berani seperti itu menunjukkan betapa tingginya tahap keyakinan Bailly meskipun sudah hampir setahun beliau tidak beraksi di pentas kompetitif. Tidak cukup dengan itu, bagaimana pula dengan momen ketika beliau menafikan percubaan Mateo Kovacic di babak kedua perlawanan. Menerusi timing yang tepat, Bailly berjaya memintas rembatan pemain antarabangsa Croatia itu, sekaligus menafikan peluang terbuka Chelsea untuk cuba merapatkan kedudukan selepas mereka ketinggalan dua gol.

Pilihan Lebih Baik

Tatkala prestasi benteng pertahanan skuad Solskjaer masih terus diperhatikan dengan penuh teliti oleh penyokong-penyokong United, kembalinya Bailly selepas hampir setahun `menghilang’ menerusi prestasi terpuji yang dipamerkan beliau di Stamford Bridge adalah satu petanda yang cukup baik. Secara peribadi, saya menganggap Bailly adalah opsyen yang lebih bagus berbanding Lindelof, terutamanya ketika United berdepan situasi bola mati (sama ada ofensif ataupun defensif). Lihat chemistry beliau bersama Maguire hingga terhasilnya gol kedua yang dijaringkan oleh kapten United itu menerusi tandukan.

Sangat malang untuk seorang pertahanan berkualiti seperti Bailly, musim ini beliau nampaknya lebih banyak menghabiskan masanya dibilik rawatan. Tatkala United berjaya mendapatkan khidmat Maguire bagi membaiki kelompongan di benteng pertahanan mereka, Bailly pula terpaksa mengharungi tempoh 313 hari dengan menjalani sesi rawatan pemulihan kecederaan lututnya. Sangat malang juga dalam tempoh tersebut, United kehilangan sosok seorang pertahanan tengah yang tenang ketika menguasai bola, kuat dalam perebutan bola tinggi dan tidak pernah ragu-ragu melakukan duel fizikal dengan mana-mana pemain lawan.

Aksi menentang Chelsea tempohari merupakan penampilan ke-75 Bailly dalam semua kejohanan sejak beliau menyertai United pada 2016. Sudah tentu faktor utama mengapa beliau sering tersisih dari kesebelasan United adalah disebabkan masalah kecederaan yang sering dialaminya. Di sebalik beberapa siri kecederaan yang menimpa Bailly, kelab sebaliknya mengambil langkah berani dengan menawarkan kepada beliau lanjutan kontrak selama dua tahun pada Januari lalu. Keputusan berani ini menyaksikan Bailly kekal di Old Trafford hingga Jun 2022.

Dari Bingerville ke Manchester

Masa berjalan dengan begitu pantas buat Bailly. Dari bandar serba daif Bingerville, Espanyol kemudiannya`menerbangkan’ bakatnya ke bumi Sepanyol. Maka pada 2011, bermula cerita epik Bailly sebagai seorang pemain bolasepak apabila kehidupannya mula berubah. Dari Espanyol ke Villarreal, Jose Mourinho kemudiannya menjadikan Bailly sebagai pembelian pertama ketika era pengurusan beliau di Old Trafford. Bagi seorang budak yang pernah menjual rokok di jalanan sekitar bandar Bingerville, bermain untuk kelab seperti Manchester United mungkin hanyalah khayalan dalam tidur Eric Bailly ketika itu.

“Semuanya berjalan dengan begitu pantas. Menyertai Espanyol pada 2011 dan tiga tahun kemudian saya melakukan debut untuk skuad utama. Kemudian saya menyertai Villarreal dan selepas 18 bulan saya tiba di sini untuk menjadi pemain Manchester United. Dalam tempoh lima tahun, saya berubah dari seorang budak penjual rokok kepada pemain sebuah kelab besar di dunia. Dunia sudah berubah dan orang melihat saya sebagai sebagai bintang dan selebriti. Ada dua juta pengikut saya di Instagram tetapi ini semua hanyalah lumrah kehidupan”, kata Bailly pada 2016.

Ya…masa memang berjalan dengan begitu pantas, tetapi sangat lama rasanya untuk saya melihat Bailly kembali beraksi selepas 313 hari tersisih dari kesebelasan utama United kerana kecederaan panjang yang dialaminya. Kini beliau sudah kembali beraksi di atas padang dari perjuangan panjang melawan kecederaan lututnya selama hampir setahun. Melihat bagaimana aksinya selama 90 minit di Stamford Bridge, siapa pernah menyangka bahawa sudah begitu lama Bailly tidak bermain dalam perlawanan kompetitif. Semoga tahun ini menjadi tahun kebangkitan beliau…”Selamat kembali beraksi Eric Bailly”. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan