Kedua-duanya
merupakan legenda untuk kelab masing-masing ketika era mereka sebagai pemain.
Seorang mencipta nama di Old Trafford dan seorang lagi di Stamford Bridge.
Kemudian kedua-duanya ditakdirkan untuk kembali semula ke tempat di mana mereka
membina reputasi selaku antara legenda di pentas Liga Perdana. Ole Gunnar
Solskjaer pulang semula ke Old Trafford pada Disember 2018 untuk memimpin
Manchester United selepas pemecatan Jose Mourinho sebagai pengurus.
Meskipun
pada awalnya perlantikan Solskjaer selaku pengurus United cuma bersifat
sementara bagi memberi ruang untuk kelab mencari pengurus berprofil tinggi
sebagai pengganti Mourinho, namun prestasi baik yang dipamerkan United selepas
itu menyaksikan beliau kemudiannya diberikan kontrak secara tetap. Tujuh bulan
selepas itu, giliran Chelsea pula mengikut jejak yang sama apabila mereka
melantik Frank Lampard, yang juga merupakan legenda kelab bagi menggantikan
posisi Maurizio Sarri.
Persamaan
antara Solskjaer dan Lampard ialah kedua-duanya merupakan legenda kelab dan
kedua-duanya juga begitu disanjungi oleh para penyokong United dan Chelsea.
Bagaimanapun akhirnya nasib tidak menyebelahi `Super Frankie 8’ apabila beliau
dipecat dari kerusi pengurus Chelsea selepas skuad kendaliannya berdepan prestasi
turun naik dalam saingan liga. Ketika artikel ini ditulis, kedudukan Chelsea
dalam carta liga terperosok di tangga ke-10 berbanding United yang berada di tangga
kedua liga.
Legenda
Yang Terluka
Meskipun
hanya beberapa jam sebelum itu Lampard berjaya mengemudi Chelsea mara ke pusingan
kelima Piala FA dengan menyingkirkan Luton Town, beliau akhirnya terpaksa
menerima hakikat bahawa Stamford Bridge adalah tempat yang sukar buat mana-mana
pengurus meskipun mereka berjaya mengemudi The Blues memenangi trofi. Jose
Mourinho, Carlo Ancelotti, Roberto Di Matteo, Rafa Benitez, Antonio Conte dan
Maurizio Sarri sudah merasai peritnya ditunjukkan jalan keluar meskipun mereka
berjaya meletakkan trofi dalam kabinet kejuaraan di Stamford Bridge.
Pada
hari Selasa (26 Januari 2021), Chelsea mengumumkan secara rasmi pemecatan
Lampard dan tempat beliau bakal diisi Thomas Tuchel yang pada musim lalu
berjaya mengemudi Paris St Germain mara ke pentas final Liga Juara-Juara.
Berbeza dengan rakan sejawatnya di Old Trafford, nasib Lampard tidak seindah Solskjaer.
Reputasi beliau sebagai legenda di Stamford Bridge bukanlah tiket imuniti untuk
Lampard kebal dari pemecatan. Pemecatan ini akhirnya meyaksikan Solskjaer
sekali lagi berjaya menewaskan Lampard.
Dalam
pertembungan di atas padang selaku pengurus, Solskjaer dan Lampard sudah
bertemu sebanyak lima kali, di mana dari jumlah tersebut, Solskjaer berjaya
menewaskan Lampard sebanyak tiga kali. Dalam baki dua lagi pertembungan,
Lampard berjaya menewaskan Solskjaer sekali dan satu lagi perlawanan berkesudahan
dengan keputusan seri. Atas beberapa faktor, nasib Lampard sebenarnya sudah
boleh diteka, manakala Solskjaer pula bertuah kerana beliau berada di Old
Trafford, bukan bekerja di bawah regim Roman Abramovich.
Cara
Berbeza
Sepanjang
tempoh 25 bulan sejak Solskjaer dilantik selaku pengendali United, pernahkah
anda mendengar sebarang kritikan terbuka yang beliau lemparkan kepada pemainnya
meskipun skuadnya berdepan isu konsistensi? Begitu juga cara beliau menangani
pemain dalam skuadnya yang bertaraf `superstar’. Paul Pogba adalah contoh
terbaik. Dari seorang pemain yang dikatakan sering menimbulkan masalah,
`toksik’ dan tidak lagi komited kepada pasukan, Pogba kini menjelma kembali
kepada watak penting dalam kebangkitan semula United.
Anda
boleh bercakap dan mempersoalkan tentang masa depan Pogba bersama kelab, tetapi
buat masa ini Solskjaer berjaya mengeluarkan semula sisi terbaik dalam
permainan bintang antarabangsa Perancis itu. Bagaimana pula dengan Lampard?
Salah satu faktor yang menjadi pendorong kepada pemecatan beliau ialah
`pemberontakan’ dari sebilangan pemain-pemain utama Chelsea. Berbanding
Solskjaer, Lampard pula lebih cenderung mengkritik pemainnya secara terbuka dan
itulah yang sering dilakukannya setiap kali Chelsea tewas.
Masih
ingatkah lagi dengan kata-kata Lampard selepas skuadnya tewas di tangan
Wolverhampton Wanderers pada Disember lalu? “Pemain harus bertanggungjawab
dengan kekalahan ini”. Berkonfrontasi dengan pemain bukanlah tindakan yang
bijak, dan akhirnya Lampard tewas dalam pertembungan ini. Selain daripada itu, Lampard
juga dikatakan kurang ketrampilan dalam hal memotivasikan dan memaksimakan
potensi pemain-pemainnya meskipun beliau dilimpahi dengan bakat-bakat hebat
dalam skuadnya. Apa yang berlaku kepada Chelsea sekarang selepas mereka
berbelanja besar musim panas lalu?
Projek
Jangka Panjang
Lampard
sebenarnya sudah melaksanakan tugasnya dengan cukup baik musim lalu.
Berbekalkan skuad muda dan berdepan pula dengan larangan pembelian di bursa
perpindahan pemain, Chelsea berjaya menamatkan saingan liga di tangga keempat. Anehnya
meskipun sukses dengan pemain-pemain muda seperti Mason Mount, Tammy Abraham,
Fikayo Tomori, Callum Hudson-Odoi dan Reece James, Chelsea berbalanja besar
dengan menandatangani pemain seperti Kai Havertz, Timo Werner, Hakim Ziyech dan
Ben Chillwell.
£200
juta yang dibelanjakan bagi mendapatkan pemain baharu musim panas lalu akhirnya
menjadi beban yang perlu dipikul Lampard. Sudah tentu Abramovich selaku pemilik
kelab mahukan keputusan segera, manakala Lampard pula perlukan masa bagi
membina skuadnya dengan kehadiran pemain-pemain baharu ini. Jadi dalam hal ini
memang ada kebenaran kata-kata Solskjaer tentang projek jangka panjang yang
sedang beliau lakukan di Old Trafford.
“Bukan
mudah bila anda membawa masuk begitu ramai pemain baharu dalam pasukan.
Perlukan masa untuk pemain-pemain ini menyesuaikan diri dan menyatu dengan
corak permainan dan bemain sebagai satu unit. Kita sudah melihat beberapa kelab
mengambil jalan pintas bagi menyelesaikan masalah mereka dengan berbelanja
besar. Manakala kami pula percaya kepada proses dan progres jangka panjang”,
kata Solskjaer kepada Sky Sports pada Disember lalu.
Musim
panas lalu United menandatangani lima pemain baharu dengan tiga daripadanya
merupakan pemain muda (Donny Van De Beek, Facundo Pellistri dan Amad Diallo),
selain Alex Telles. Manakala Edinson Cavani pula datang selaku ejen bebas. Kehadiran
Van De Beek, Pellistri dan Diallo adalah obsesi Solskjaer terhadap bakat-bakat
muda yang beliau percaya bakal menjadi tonggak masa depan skuadnya. Proses ke
arah itu mungkin sedikit perlahan tetapi percayalah ia satu keputusan dan
langkah yang tepat. Kunci utama adalah kesabaran.
Pengalaman
Solskjaer
bukanlah pengurus yang didambakan penyokong-penyokong United sebaik sahaja
Mourinho dipecat. Ketika itu nama-nama seperti Massimiliano Allegri, Mauricio
Pochettino, Gian Piero Gasperini dan Antonio Conte antara yang sering
disebut-sebut sebagai calon lebih layak sebagai pengganti Mourinho. Keinginan
penyokong-penyokong United terhadap nama-nama besar ini memang ada asasnya
kerana sebelum dilantik selaku pengurus United, pengalaman Solskjaer cuma
melatih kelab kecil seperti Cardiff City dan Molde FK.
Bagi
Lampard pula, beliau cuma memiliki pengalaman selama semusim (2018/19) selaku
pengendali Derby County sebelum menyahut cabaran untuk pulang ke Stamford
Bridge bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Maurizio Sarri. Meskipun tidak
pernah menguruskan kelab besar, Solskjaer pula memiliki pengalaman selama lebih
sedekad dalam dunia kejurulatihan. Beliau yang memulakan karier
kejurulatihannya pada 2008 selaku pengendali skuad simpanan United
setidak-tidaknya jauh lebih berpengalaman berbanding Lampard.
Penutup
Keputusan
pihak pengurusan Chelsea menamakan Lampard selaku pengurus mereka musim lalu
sebenarnya sedikit mengejutkan memandangkan pengalaman beliau dalam dunia
kejurulatihan masih terlalu cetek. Berbanding mendapatkan khidmat jurulatih
berprofil tinggi sepertimana kebiasaan yang mereka lakukan, Chelsea tampak cuba
`meniru’ jejak United dengan menamakan legenda mereka sebagai pengendali.
Akhirnya
pengalaman memisahkan antara pihak yang menang dan yang kalah, dan kerana
pengalaman jugalah menyaksikan Solskjaer masih mampu bertahan berbanding
Lampard. Saya tidak mengatakan bahawa Solskjaer masih selamat di kerusi
pengurus United, tetapi beliau sebenarnya lebih bernasib baik berbanding
Lampard kerana bekerja di Old Trafford, bukan di Stamford Bridge tempat yang
`sangat tidak akrab’ dengan mana-mana pengendali.
Di
sana (Stamford Bridge) sudah terlalu ramai pengendali yang menjadi korban
kepada ketidak sabaran pemilik kelab serta penyokong, dan Lampard adalah mangsa
terkini. Apa yang boleh dilakukan Lampard selepas ini? Bermula dari `0’ semula
dengan kembali melatih kelab-kelab Liga Kejuaraan. Kerana di sana beliau boleh
mengasah semula teknik kejurulatihannya, mempelbagaikan strategi permainan dan
memanfaatkan aset pemain yang ada tanpa sokongan wang yang besar.
Era bolasepak moden memang sangat kejam dan tidak memilih mangsa hatta legenda seperti Lampard sekalipun. Ketika kebanyakkan kelab besar berkiblatkan kepada `keputusan segera’, senario pemecatan pengurus bukan lagi satu perkara yang terlalu asing. Dunia masih belum berakhir untuk anda `Super Frankie 8’. Semoga suatu hari nanti anda kembali semula memanaskan saingan di Liga Perdana sebagai pengurus yang jauh lebih bagus dan kembali memimpin kelab besar. Glory Glory Manchester United!!!