29 Januari 2021

DUA LEGENDA...DUA NASIB BERBEZA

 


Kedua-duanya merupakan legenda untuk kelab masing-masing ketika era mereka sebagai pemain. Seorang mencipta nama di Old Trafford dan seorang lagi di Stamford Bridge. Kemudian kedua-duanya ditakdirkan untuk kembali semula ke tempat di mana mereka membina reputasi selaku antara legenda di pentas Liga Perdana. Ole Gunnar Solskjaer pulang semula ke Old Trafford pada Disember 2018 untuk memimpin Manchester United selepas pemecatan Jose Mourinho sebagai pengurus.

 

Meskipun pada awalnya perlantikan Solskjaer selaku pengurus United cuma bersifat sementara bagi memberi ruang untuk kelab mencari pengurus berprofil tinggi sebagai pengganti Mourinho, namun prestasi baik yang dipamerkan United selepas itu menyaksikan beliau kemudiannya diberikan kontrak secara tetap. Tujuh bulan selepas itu, giliran Chelsea pula mengikut jejak yang sama apabila mereka melantik Frank Lampard, yang juga merupakan legenda kelab bagi menggantikan posisi Maurizio Sarri.

 

Persamaan antara Solskjaer dan Lampard ialah kedua-duanya merupakan legenda kelab dan kedua-duanya juga begitu disanjungi oleh para penyokong United dan Chelsea. Bagaimanapun akhirnya nasib tidak menyebelahi `Super Frankie 8’ apabila beliau dipecat dari kerusi pengurus Chelsea selepas skuad kendaliannya berdepan prestasi turun naik dalam saingan liga. Ketika artikel ini ditulis, kedudukan Chelsea dalam carta liga terperosok di tangga ke-10 berbanding United yang berada di tangga kedua liga.

 

Legenda Yang Terluka

 

Meskipun hanya beberapa jam sebelum itu Lampard berjaya mengemudi Chelsea mara ke pusingan kelima Piala FA dengan menyingkirkan Luton Town, beliau akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa Stamford Bridge adalah tempat yang sukar buat mana-mana pengurus meskipun mereka berjaya mengemudi The Blues memenangi trofi. Jose Mourinho, Carlo Ancelotti, Roberto Di Matteo, Rafa Benitez, Antonio Conte dan Maurizio Sarri sudah merasai peritnya ditunjukkan jalan keluar meskipun mereka berjaya meletakkan trofi dalam kabinet kejuaraan di Stamford Bridge.

 

Pada hari Selasa (26 Januari 2021), Chelsea mengumumkan secara rasmi pemecatan Lampard dan tempat beliau bakal diisi Thomas Tuchel yang pada musim lalu berjaya mengemudi Paris St Germain mara ke pentas final Liga Juara-Juara. Berbeza dengan rakan sejawatnya di Old Trafford, nasib Lampard tidak seindah Solskjaer. Reputasi beliau sebagai legenda di Stamford Bridge bukanlah tiket imuniti untuk Lampard kebal dari pemecatan. Pemecatan ini akhirnya meyaksikan Solskjaer sekali lagi berjaya menewaskan Lampard.

 

Dalam pertembungan di atas padang selaku pengurus, Solskjaer dan Lampard sudah bertemu sebanyak lima kali, di mana dari jumlah tersebut, Solskjaer berjaya menewaskan Lampard sebanyak tiga kali. Dalam baki dua lagi pertembungan, Lampard berjaya menewaskan Solskjaer sekali dan satu lagi perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri. Atas beberapa faktor, nasib Lampard sebenarnya sudah boleh diteka, manakala Solskjaer pula bertuah kerana beliau berada di Old Trafford, bukan bekerja di bawah regim Roman Abramovich.

 

Cara Berbeza

 

Sepanjang tempoh 25 bulan sejak Solskjaer dilantik selaku pengendali United, pernahkah anda mendengar sebarang kritikan terbuka yang beliau lemparkan kepada pemainnya meskipun skuadnya berdepan isu konsistensi? Begitu juga cara beliau menangani pemain dalam skuadnya yang bertaraf `superstar’. Paul Pogba adalah contoh terbaik. Dari seorang pemain yang dikatakan sering menimbulkan masalah, `toksik’ dan tidak lagi komited kepada pasukan, Pogba kini menjelma kembali kepada watak penting dalam kebangkitan semula United.

 

Anda boleh bercakap dan mempersoalkan tentang masa depan Pogba bersama kelab, tetapi buat masa ini Solskjaer berjaya mengeluarkan semula sisi terbaik dalam permainan bintang antarabangsa Perancis itu. Bagaimana pula dengan Lampard? Salah satu faktor yang menjadi pendorong kepada pemecatan beliau ialah `pemberontakan’ dari sebilangan pemain-pemain utama Chelsea. Berbanding Solskjaer, Lampard pula lebih cenderung mengkritik pemainnya secara terbuka dan itulah yang sering dilakukannya setiap kali Chelsea tewas.

 

Masih ingatkah lagi dengan kata-kata Lampard selepas skuadnya tewas di tangan Wolverhampton Wanderers pada Disember lalu? “Pemain harus bertanggungjawab dengan kekalahan ini”. Berkonfrontasi dengan pemain bukanlah tindakan yang bijak, dan akhirnya Lampard tewas dalam pertembungan ini. Selain daripada itu, Lampard juga dikatakan kurang ketrampilan dalam hal memotivasikan dan memaksimakan potensi pemain-pemainnya meskipun beliau dilimpahi dengan bakat-bakat hebat dalam skuadnya. Apa yang berlaku kepada Chelsea sekarang selepas mereka berbelanja besar musim panas lalu?

 

Projek Jangka Panjang

 

Lampard sebenarnya sudah melaksanakan tugasnya dengan cukup baik musim lalu. Berbekalkan skuad muda dan berdepan pula dengan larangan pembelian di bursa perpindahan pemain, Chelsea berjaya menamatkan saingan liga di tangga keempat. Anehnya meskipun sukses dengan pemain-pemain muda seperti Mason Mount, Tammy Abraham, Fikayo Tomori, Callum Hudson-Odoi dan Reece James, Chelsea berbalanja besar dengan menandatangani pemain seperti Kai Havertz, Timo Werner, Hakim Ziyech dan Ben Chillwell.

 

£200 juta yang dibelanjakan bagi mendapatkan pemain baharu musim panas lalu akhirnya menjadi beban yang perlu dipikul Lampard. Sudah tentu Abramovich selaku pemilik kelab mahukan keputusan segera, manakala Lampard pula perlukan masa bagi membina skuadnya dengan kehadiran pemain-pemain baharu ini. Jadi dalam hal ini memang ada kebenaran kata-kata Solskjaer tentang projek jangka panjang yang sedang beliau lakukan di Old Trafford.

 

“Bukan mudah bila anda membawa masuk begitu ramai pemain baharu dalam pasukan. Perlukan masa untuk pemain-pemain ini menyesuaikan diri dan menyatu dengan corak permainan dan bemain sebagai satu unit. Kita sudah melihat beberapa kelab mengambil jalan pintas bagi menyelesaikan masalah mereka dengan berbelanja besar. Manakala kami pula percaya kepada proses dan progres jangka panjang”, kata Solskjaer kepada Sky Sports pada Disember lalu.

 

Musim panas lalu United menandatangani lima pemain baharu dengan tiga daripadanya merupakan pemain muda (Donny Van De Beek, Facundo Pellistri dan Amad Diallo), selain Alex Telles. Manakala Edinson Cavani pula datang selaku ejen bebas. Kehadiran Van De Beek, Pellistri dan Diallo adalah obsesi Solskjaer terhadap bakat-bakat muda yang beliau percaya bakal menjadi tonggak masa depan skuadnya. Proses ke arah itu mungkin sedikit perlahan tetapi percayalah ia satu keputusan dan langkah yang tepat. Kunci utama adalah kesabaran.

 

Pengalaman

 

Solskjaer bukanlah pengurus yang didambakan penyokong-penyokong United sebaik sahaja Mourinho dipecat. Ketika itu nama-nama seperti Massimiliano Allegri, Mauricio Pochettino, Gian Piero Gasperini dan Antonio Conte antara yang sering disebut-sebut sebagai calon lebih layak sebagai pengganti Mourinho. Keinginan penyokong-penyokong United terhadap nama-nama besar ini memang ada asasnya kerana sebelum dilantik selaku pengurus United, pengalaman Solskjaer cuma melatih kelab kecil seperti Cardiff City dan Molde FK.

 

Bagi Lampard pula, beliau cuma memiliki pengalaman selama semusim (2018/19) selaku pengendali Derby County sebelum menyahut cabaran untuk pulang ke Stamford Bridge bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Maurizio Sarri. Meskipun tidak pernah menguruskan kelab besar, Solskjaer pula memiliki pengalaman selama lebih sedekad dalam dunia kejurulatihan. Beliau yang memulakan karier kejurulatihannya pada 2008 selaku pengendali skuad simpanan United setidak-tidaknya jauh lebih berpengalaman berbanding Lampard.

 

Penutup

 

Keputusan pihak pengurusan Chelsea menamakan Lampard selaku pengurus mereka musim lalu sebenarnya sedikit mengejutkan memandangkan pengalaman beliau dalam dunia kejurulatihan masih terlalu cetek. Berbanding mendapatkan khidmat jurulatih berprofil tinggi sepertimana kebiasaan yang mereka lakukan, Chelsea tampak cuba `meniru’ jejak United dengan menamakan legenda mereka sebagai pengendali.

 

Akhirnya pengalaman memisahkan antara pihak yang menang dan yang kalah, dan kerana pengalaman jugalah menyaksikan Solskjaer masih mampu bertahan berbanding Lampard. Saya tidak mengatakan bahawa Solskjaer masih selamat di kerusi pengurus United, tetapi beliau sebenarnya lebih bernasib baik berbanding Lampard kerana bekerja di Old Trafford, bukan di Stamford Bridge tempat yang `sangat tidak akrab’ dengan mana-mana pengendali.

 

Di sana (Stamford Bridge) sudah terlalu ramai pengendali yang menjadi korban kepada ketidak sabaran pemilik kelab serta penyokong, dan Lampard adalah mangsa terkini. Apa yang boleh dilakukan Lampard selepas ini? Bermula dari `0’ semula dengan kembali melatih kelab-kelab Liga Kejuaraan. Kerana di sana beliau boleh mengasah semula teknik kejurulatihannya, mempelbagaikan strategi permainan dan memanfaatkan aset pemain yang ada tanpa sokongan wang yang besar.

 

Era bolasepak moden memang sangat kejam dan tidak memilih mangsa hatta legenda seperti Lampard sekalipun. Ketika kebanyakkan kelab besar berkiblatkan kepada `keputusan segera’, senario pemecatan pengurus bukan lagi satu perkara yang terlalu asing. Dunia masih belum berakhir untuk anda `Super Frankie 8’. Semoga suatu hari nanti anda kembali semula memanaskan saingan di Liga Perdana sebagai pengurus yang jauh lebih bagus dan kembali memimpin kelab besar. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan