08 Mac 2022

JENAKA PALING MAHAL

 


Manchester United membayar harga yang sangat tinggi untuk seorang pemain pertahanan berbanding ketika Liverpool mendapatkan Virgil Van Dijk, atau ketika Juventus menandatangani Matthijs de Ligt. Jadi dengan nilai sebanyak £80 juta yang dibayar kelab kepada Leicester City demi mendapatkan tandatangan Harry Maguire pada Ogos 2019, penyokong tentunya mahu melihat impak diberikan beliau kepada benteng pertahanan United.

 

Hakikatnya tidak begitu…kerana lama kelamaan, Maguire yang sebelumnya didambakan penyokong-penyokong United mampu menjadi tembok kebal di benteng pertahanan kini lebih cenderung menjadi bahan jenaka hampir setiap minggu. Mengapa pada Ogos 2019, Ole Gunnar Solskjaer lebih memilih menandatangani Magurie berbanding Kalidou Koulibaly, sedangkan pertahanan Napoli sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak penghujung musim 2018/19 lagi?

 

Mungkin ketika itu Solskjaer mahukan seorang pertahanan tengah yang sudah terbukti kemampuannya beraksi di Liga Perdana. Manakala dalam skuad kebangsaan pula, Maguire antara tiga pemain yang sering diturunkan Gareth Southgate dalam kesebelasan utama England selain Jordan Pickford dan Harry Kane pada kempen pusingan akhir Piala Dunia 2018 dan UEFA Nations League.

 

Termahal Di Dunia

 

Sejak hari pertama beliau menyarung jersi United, prestasi Maguire sudah mula dijadikan sorotan, baik dari penyokong United sendiri mahupun penyokong lawan. Selaku penyandang gelaran `pemain pertahanan termahal dunia’, suka atau tidak…Maguire tidak dapat mengelak dari dijadikan sasaran kritikan setiap kali benteng pertahanan United yang diterajuinya bermain di bawah tahap sebenar.

 

Semusim sebelum ketibaan Maguire di Old Trafford, pintu gol United dibolosi sebanyak 54 kali sepanjang saingan liga. Berbanding lima lagi pasukan yang berada di kelompok enam teratas, United muncul kesebelasan yang pintu golnya paling banyak dibolosi. Catatan ini sebenarnya banyak disumbangkan oleh faktor buruknya koordinasi para pemain pertahanan United ketika bertahan, hinggakan mereka begitu mudah di eksploitasi lawan.

 

Pada musim panas 2019, United secara serius mula memburu pertahanan tengah baharu, dan Maguire adalah sasarannya. Ketika itu, Maguire dilihat bukan sahaja pertahanan yang mampu menambah kualiti di barisan belakang, tetapi juga seorang `ball playing defender’ yang memiliki kemampuan untuk melakukan `build up’ dari belakang. Dengan kualiti yang beliau perlihatkan sepanjang kariernya di Leicester, United sepatutnya memilih pemain yang tepat untuk mengetuai benteng pertahanan mereka.

 

Sasaran Kritikan

 

Kegembiraan penyokong-penyokong United menyambut kehadiran `pertahanan termahal dunia’ itu tidak bertahan lama. Impian mereka yang mahu menyaksikan Maguire menjadi bintang dan tulang belakang di Theatre of Dream secara perlahan-lahan mula kabur. Jauh dari `jelmaan Rio Ferdinand’ sepertimana yang digembar-gemburkan sebelumnya, Maguire sebaliknya melakukan kesilapan-kesilapan mudah persis seorang pertahanan yang beraksi di liga amatur.

 

Imbas kembali bagaimana Junior Stanislas melakukan `nutmeg’ ke atas beliau untuk gol pertama Bournemouth dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford pada 4 Julai 2020. United menang (5-2) dalam perlawanan itu, tetapi Maguire menjadi bahan ketawa kerana kesilapan mudah yang dilakukannya hingga menyebabkan gol itu terhasil. Sepuluh hari selepas itu, `blunder’ Maguire sekali lagi menyebabkan pintu gol United dibolosi lawan…kali ini lebih parah dan merugikan pasukan.

 

`Marking’ yang dilakukan beliau ke atas rakan sepasukan sendiri (Aaron Wan-Bissaka) membuka ruang buat Michael Obafemi menjaringkan gol penyamaan Southampton di penghujung perlawanan yang mengakibatkan United terlepas tiga mata berharga. Hampir setahun sebelum itu, Maguire juga mempamerkan skill bertahan seperti bek amatur. Dan kali ini dalam saingan Liga Europa pula.

 

Partizan Belgrade tidak perlukan pemain dengan skill sehebat Lionel Messi, tetapi memadai dengan Seydouba Soumah untuk `menghancurkan’ reputasi Maguire. Lihat bagaimana mudahnya pemain kebangsaan Guinea itu menewaskan beliau, sebelum melepaskan percubaan berbahaya ke arah gawang United. Mujurlah rembatan itu berjaya diselamatkan Sergio Romero dan di akhir perlawanan, United keluar sebagai pemenang.  

 

Tiada Kompromi

 

Ada yang mengatakan bahawa kesilapan merupakan lumrah dalam kehidupan, dan bolasepak juga tidak terkecuali. Jika begitu, cuba kenang semula betapa dahsyatnya `hair dryer treatment’ Sir Alex Ferguson ketika para pemainnya melakukan kesilapan mudah hingga merugikan pasukan. Jika kesilapan juga mudah untuk dikompromi, Chelsea tidak akan menukar pengurus sebanyak 16 kali hanya dalam tempoh 19 tahun `pemerintahan’ Roman Abramovich di Stamford Bridge.

 

Maguire bukanlah pertahanan tengah yang memiliki kualiti `tackle’ sebagus Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Jaap Stam atau Steve Bruce. Tetapi untuk berlaku adil, beliau merupakan pertahanan United yang sangat efektif melakukan `clearance’ dan `intercept’. Secara purata, beliau melakukan 3.6 `clearance’ dan 1.9 `intercept’ per perlawanan dalam saingan liga musim lalu…angka terbanyak berbanding mana-mana pertahanan United.

 

Satu lagi kelebihan dimiliki beliau yang gagal ditandingi oleh mana-mana pertahanan United ialah kemampuan dalam perebutan bola di udara. Musim lalu, Maguire menang purata 4.2 `duel’ bola tinggi per perlawanan, dan kualiti tersebut jugalah menyaksikan beliau berjaya menjaringkan dua gol untuk United. Bagaimana pula statistik beliau dalam melakukan kerja-kerja bertahan musim ini?

 

Dari 23 penampilan dalam saingan liga setakat ini, menyaksikan Maguire melakukan 1.25 `tackle’, 1.65 `intercept’, 5.11 `clearance’ dan memenangi 3.63 `duel’ bola tinggi per perlawanan. Sekali lagi antara tiga pertahanan tengah yang sering digunakan United musim ini, Maguire lebih unggul dalam melakukan duel bola tinggi berbanding Victor Lindelof dan Raphael Varane.

 

Penutup

 

Bolasepak adalah dunia yang memuja kemenangan serta kemahsyuran, jadi dalam dunia yang `kejam’ seperti ini, tiada tempat untuk perkara-perkara bodoh dilakukan pemain di atas padang, apatah lagi seorang individu yang diamanahkan memakai `armband’ di lengan. Maguire bukanlah seorang komedian, tetapi penampilan beliau sejak kebelakangan ini sering mengundang tawa akibat `jenaka’ yang dilakukannya di atas padang.

 

Tanda harga kini cumalah tinggal tanda harga, dan reputasi beliau selaku pertahanan termahal dunia menjadikan Maguire lebih terdedah kepada kritikan dan cemuhan. Lebih dua tahun yang lalu, saya antara yang bersorak gembira di sebalik kejayaan United menandatangani Maguire. Tetapi sejak akhir-akhir ini saya mula berfikir, adakah ini `jenaka’ paling mahal di dunia yang dibayar oleh United untuk seorang `komedian’ bernama Harry Maguire? Glory Glory Manchester United!!! 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan