Sebuah perjalanan panjang dan
berliku, tetapi penamatnya diwarnai dengan adegan yang penuh dramatik. Itulah
yang berlaku sepanjang musim 1998/99, musim di mana Manchester United berjaya
menjulang kejuaraan `treble’. Memenangi kejuaraan liga, Piala FA dan Liga
Juara-Juara dalam semusim bukanlah satu pencapaian yang mudah, apatah lagi
untuk sebuah kelab yang beraksi di Liga Perdana, liga yang dilabel ramai pihak
sebagai `liga paling sukar di dunia’.
Musim lalu Manchester City pada
awalnya diramal mampu mengatasi pencapaian skuad `Treble 99’ United, tetapi
malangnya barisan kendalian Pep Guardiola itu terkandas di peringkat separuh
akhir Piala FA dan kemudiannya tewas kepada Chelsea di pentas final Liga
Juara-Juara. Misi `quadruple’ mereka berakhir tetapi City masih mampu
menamatkan saingan musim lalu dengan dua kejuaraan (Piala Liga dan Liga
Perdana).
Musim ini, hal yang sama cuba
dilakukan Liverpool meskipun Jurgen Klopp mengatakan bahawa menjulang empat
kejuaraan dalam semusim bukanlah sasaran yang realistik untuk dicapai. Di
pentas domestik, Liverpool menguasai dua kejuaraan dalam kejohanan kalah mati
(Piala Liga dan Piala FA), tetapi malangnya percubaan mereka untuk menjulang
kejuaraan liga buat kali kedua dalam tempoh dua tahun dinafikan Manchester City
menerusi kebangkitan secara dramatik pada perlawanan terakhir liga.
Selepas kejayaan Sir Alex
Ferguson mengemudi United menjulang kejuaraan `treble’ pada 1999, cuma ada lima
pengurus/jurulatih yang berjaya menjulang tiga kejuaraan utama dalam semusim di
Eropah. Pep Guardiola serta Luis Enrique melakukannya bersama Barcelona pada
2009 dan 2015, Jose Mourinho bersama Inter Milan pada 2010, manakala Jupp
Heynckes serta Hansi Flick bersama Bayern Munich pada 2013 dan 2020.
18
Mei 1999
Perjalanan United menuju ke
takhta liga pada musim 1998/99 bukanlah sesuatu yang mudah. Dan bukan mudah
juga untuk memenangi kejuaraan liga ketika itu kerana pada lewat dekad 90 an,
Arsenal di bawah pimpinan Arsene Wenger secara serius muncul pencabar kepada
dominasi United di Liga Perdana. Jangan lupakan juga saingan yang diberikan
Chelsea di bawah kendalian Gianluca Vialli menerusi limpahan kualiti yang ada
dalam skuad kendalian beliau.
Sepertimana drama yang tercipta
pada aksi liga musim ini, begitu jugalah halnya yang berlaku pada musim 1998/99,
kerana pada musim tersebut juara terpaksa ditentukan hingga ke perlawanan
terakhir liga. Tiada jalan lain buat United kerana mereka perlu menang pada
aksi terakhir liga menentang Tottenham Hotspurs di Old Trafford. Begitu juga
Arsenal yang ketinggalan satu mata di belakang, turut mahukan tiga mata penuh
ketika berdepan Aston Villa di Highbury.
Perlawanan terakhir liga yang
sangat dramatik di Old Trafford, kerana pada minit ke-24, United ketinggalan
kepada pelawat menerusi gol jaringan Les Ferdinand. Mujurlah 18 minit selepas
itu, gol penyamaan hadir menerusi ledakan dari David Beckham yang menewaskan
Ian Walker. United cuma perlukan dua minit sebaik babak kedua bersambung untuk
gol kemenangan menerusi sentuhan Andy Cole yang masuk sebagai pemain gantian.
Apa pula yang berlaku di
Highbury? Arsenal menewaskan Villa menerusi gol tunggal perlawanan dari Nwanko
Kanu tetapi itu tidak cukup untuk menghalang United merampas kejuaraan liga
dari tangan mereka. “Sangat dramatik sekali. Selepas ini kami akan ke Wembley
(Piala FA) dan kemudiannya Barcelona (Liga Juara-Juara) untuk menikmati
hari-hari terbaik dalam hidup kami”, kata Sir Alex Ferguson kepada BBC selepas
tamat perlawanan.
22
Mei 1999
“One down, two to go”…itulah
tajuk utama akhbar-akhbar di England selepas kejayaan United menjulang
kejuaraan liga pada musim 1998/99. Tiada masa untuk keraian berlebihan kerana
empat hari selepas itu ada misi yang perlu diselesaikan. Misi United seterusnya
ialah menuju ke Wembley dan cuba menjulang kejuaraan Piala FA buat kali
kesepuluh dalam sejarah kelab.
Bukan satu perjalanan yang
mudah sebelum mereka berjaya mara ke final, kerana dalam laluan menuju ke
Wembley, United terpaksa menyingkirkan terlebih dahulu Liverpool, Chelsea dan
Asenal. Sentiasa segar dalam ingatan bagaimana dua gol di penghujung perlawanan
menerusi jaringan Dwight Yorke dan Ole Gunnar Solskjaer membolehkan United bangkit
untuk menyingkirkan Liverpool di pusingan keempat.
Di peringkat suku akhir pula,
United diheret hingga ke perlawanan ulangan sebelum mereka menyingkirkan
Chelsea menerusi dua gol yang dihasilkan Yorke di Stamford Bridge. Paling epik
tentunya membabitkan pertembungan antara United dan Arsenal di peringkat
separuh akhir. Dan sekali lagi United terpaksa diheret hingga ke perlawanan
ulangan sebelum mereka mara ke pentas final menerusi gol emas dari gerakan solo
Ryan Giggs yang memukau seluruh khalayak di Villa Park.
United menuju ke Wembley selaku
pasukan pilihan kerana meskipun Newcastle United masih dibarisi Alan Shearer, mereka
bukan lagi skuad yang sama ketika The Magpies memberikan cabaran kepada United
dalam perebutan kejuaraan liga pada musim 1996/97. Meskipun pada mulanya kem
United dilanda wabak selesema, mereka akhirnya sepertimana diramal berjaya
menjulang kejuaraan Piala FA kesepuluh menerusi dua gol yang dijaringkan Teddy
Sheringham dan Paul Scholes.
26
Mei 1999
Selepas berjaya menakluk dua
kejuaraan domestik, tumpuan United kini terarah pula kepada saingan di pentas
Eropah. “Camp Nou…kami datang!!!”, dan sasarannya tentulah menjulang trofi Liga
Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 31 tahun di sana. Selain itu, inilah
waktunya untuk United melengkapkan kejuaraan `treble’ mereka…pencapaian yang
tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kelab Inggeris sebelum ini.
Bagaimanapun misi United di
Camp Nou bukanlah mudah, kerana lawan yang menanti mereka di sana ialah si
gergasi Bundesliga…kesebelasan mana lagi jika bukan Bayern Munich. Ini bukanlah
pertembungan pertama antara United dan Bayern, kerana di peringkat kumpulan
mereka sudah bertemu sebanyak dua kali dan kedua-dua perlawanan berakhir dengan
keputusan seri.
United menuju ke Camp Nou
bukanlah sebagai pasukan pilihan, kerana di atas kertas Bayern sebenarnya lebih
unggul. Apatah lagi United beraksi di pentas final tanpa Roy Keane…pemain,
pemimpin dan individu paling berpengaruh dalam kesebelasan United, serta Paul
Scholes akibat penggantungan. Ringkasnya, pertembungan di Camp Nou ini adalah
misi mustahil yang terpaksa diharungi United terutamanya tanpa dua pemain
terbaik mereka di bahagian tengah.
Tanpa Keane dan Scholes, Fergie
terpaksa meletakkan David Beckham di bahagian tengah, ideanya ketika itu ialah
menggunakan kualiti hantaran Beckham bagi menampung ketiadaan Scholes, manakala
Nicky Butt pula digunakan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Keane. Di
posisi sayap kanan dalam formasi 4-4-2 United, Fergie meletakkan Jasper
Blomqvist manakala Ryan Giggs sepertimana biasa bergerak di sisi kiri.
Pentas final kali ini
seolah-olah sudah diatur untuk mempertemukan `yang terbaik’…iaitu dua
kesebelasan terbaik di England dan Jerman, stadium terbaik di Eropah dan
diadili pula oleh Pierluigi Collina…pengadil terbaik dunia ketika itu. Sebaik
aksi dimulakan, Bayern sudah menunjukkan dominasi mereka, dan hanya enam minit
diperlukan untuk Mario Basler meletakkan gergasi Bundesliga itu di hadapan.
Kelebihan Bayern kekal hingga
tamat separuh masa pertama, manakala di bilik persalinan pula, Fergie cuba
menyuntik motivasi kepada para pemainnya untuk bangkit di babak kedua. “Trofi
itu cuma berjarak dua meter dari kamu untuk disentuh. Jika kamu kalah dalam perlawanan ini, lupakan
saja angan-angan kamu untuk menyentuhnya”, itu antara kata-kata Fergie kepada
para pemainnya di bilik persalinan sebelum aksi babak kedua disambung.
Sepanjang 90 minit tempoh masa
sebenar permainan, Bayern adalah kesebelasan yang lebih baik berbanding United
menerusi penguasaan bola dan peluang-peluang yang berjaya mereka cipta. Meskipun
pada tempoh sepuluh minit terakhir permainan Fergie menggunakan tiga penyerang
(Sheringham, Solskjaer dan Yorke), United nampaknya masih gagal menembusi pintu
gol Bayern yang dikawal Oliver Kahn.
Sebagai penyokong United, apa
yang mampu anda lakukan ketika itu? Berdoa dan terus berdoa semoga keajaiban
boleh berlaku. Hanya tiga minit tambahan masa diberikan Collina, dan misi `treble’
di Camp Nou tampak semakin mustahil untuk direalisasikan. Bagaimanapun
bolasepak tetaplah bolasepak, bukan hanya tentang 22 pemain yang berkejaran
menendang sebiji bola, tetapi bolasepak juga penuh dengan elemen kejutan, kejam,
suka, duka dan keajaiban di dalamnya.
Dua sepakan sudut yang diterima
United dalam tempoh tiga minit masa tambahan menghasilkan dua jaringan yang
disempurnakan Sheringham dan Solskjaer. Dan apa yang berlaku selepas itu? Samuel
Kuffour menangis teresak-esak persis anak kencil tanpa sesiapa mampu
menenangkannya, Lothar Matthaus cuma mampu merenung jauh tanda tidak percaya
dengan apa yang berlaku, manakala seluruh Camp Nou bergema dengan laungan “And
Solskjaer has won it”.
Selama 90 minit, Bayern merupakan
kesebelasan yang lebih baik, tetapi kejuaraan yang begitu hampir mereka menangi
dirampas dalam tempoh hanya tiga minit. Inilah keajaiban dan kejamnya
bolasepak. Pahitnya kekalahan di pentas final itu membuatkan Kuffour hingga
kini tidak pernah menonton rakaman perlawanan tersebut. “Sampai sekarang, saya
tidak pernah menyaksikan rakaman perlawanan itu. Saya tidak mahu menontonnya.
Kekalahan itu betul-betul menyakitkan”, kata Kuffour.
Penutup
Bulan Mei 1999, merupakan bulan
yang tidak akan pernah dilupakan oleh para penyokong United seluruh dunia kerana
dalam tempoh hanya sepuluh hari, United melakar sejarah baharu selaku kelab
Inggeris pertama yang memenangi kejuaraan `treble’. Kemuncak kepada musim
fenomenal mereka tentunya kejayaan dramatik menewaskan Bayern di pentas final
Liga Juara-Juara edisi 1999.
Pada tarikh ini (26 Mei) 23
tahun yang lalu…United melengkapkan kejuaraan `treble’ mereka di Camp Nou,
kejayaan gemilang yang ditulis dengan tinta emas dalam lipatan sejarah kelab. Kejuaraan
`Treble 99’ umpama sebuah mimpi yang jadi kenyataan…pencapaian yang sebenarnya
entah bila akan hadir buat kali kedua. Kisah `Treble 99’ adalah kisah epik…kisah
tentang pencapaian yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana seteru domestik
mereka hingga ke hari ini. Glory Glory Manchester United!!!