26 Mei 2022

KISAH `TREBLE 99’…PENCAPAIAN YANG TIDAK MAMPU DISENTUH HINGGA KINI

 


Sebuah perjalanan panjang dan berliku, tetapi penamatnya diwarnai dengan adegan yang penuh dramatik. Itulah yang berlaku sepanjang musim 1998/99, musim di mana Manchester United berjaya menjulang kejuaraan `treble’. Memenangi kejuaraan liga, Piala FA dan Liga Juara-Juara dalam semusim bukanlah satu pencapaian yang mudah, apatah lagi untuk sebuah kelab yang beraksi di Liga Perdana, liga yang dilabel ramai pihak sebagai `liga paling sukar di dunia’.

 

Musim lalu Manchester City pada awalnya diramal mampu mengatasi pencapaian skuad `Treble 99’ United, tetapi malangnya barisan kendalian Pep Guardiola itu terkandas di peringkat separuh akhir Piala FA dan kemudiannya tewas kepada Chelsea di pentas final Liga Juara-Juara. Misi `quadruple’ mereka berakhir tetapi City masih mampu menamatkan saingan musim lalu dengan dua kejuaraan (Piala Liga dan Liga Perdana).

 

Musim ini, hal yang sama cuba dilakukan Liverpool meskipun Jurgen Klopp mengatakan bahawa menjulang empat kejuaraan dalam semusim bukanlah sasaran yang realistik untuk dicapai. Di pentas domestik, Liverpool menguasai dua kejuaraan dalam kejohanan kalah mati (Piala Liga dan Piala FA), tetapi malangnya percubaan mereka untuk menjulang kejuaraan liga buat kali kedua dalam tempoh dua tahun dinafikan Manchester City menerusi kebangkitan secara dramatik pada perlawanan terakhir liga.

 

Selepas kejayaan Sir Alex Ferguson mengemudi United menjulang kejuaraan `treble’ pada 1999, cuma ada lima pengurus/jurulatih yang berjaya menjulang tiga kejuaraan utama dalam semusim di Eropah. Pep Guardiola serta Luis Enrique melakukannya bersama Barcelona pada 2009 dan 2015, Jose Mourinho bersama Inter Milan pada 2010, manakala Jupp Heynckes serta Hansi Flick bersama Bayern Munich pada 2013 dan 2020. 

 

18 Mei 1999

 

Perjalanan United menuju ke takhta liga pada musim 1998/99 bukanlah sesuatu yang mudah. Dan bukan mudah juga untuk memenangi kejuaraan liga ketika itu kerana pada lewat dekad 90 an, Arsenal di bawah pimpinan Arsene Wenger secara serius muncul pencabar kepada dominasi United di Liga Perdana. Jangan lupakan juga saingan yang diberikan Chelsea di bawah kendalian Gianluca Vialli menerusi limpahan kualiti yang ada dalam skuad kendalian beliau.

 

Sepertimana drama yang tercipta pada aksi liga musim ini, begitu jugalah halnya yang berlaku pada musim 1998/99, kerana pada musim tersebut juara terpaksa ditentukan hingga ke perlawanan terakhir liga. Tiada jalan lain buat United kerana mereka perlu menang pada aksi terakhir liga menentang Tottenham Hotspurs di Old Trafford. Begitu juga Arsenal yang ketinggalan satu mata di belakang, turut mahukan tiga mata penuh ketika berdepan Aston Villa di Highbury.

 

Perlawanan terakhir liga yang sangat dramatik di Old Trafford, kerana pada minit ke-24, United ketinggalan kepada pelawat menerusi gol jaringan Les Ferdinand. Mujurlah 18 minit selepas itu, gol penyamaan hadir menerusi ledakan dari David Beckham yang menewaskan Ian Walker. United cuma perlukan dua minit sebaik babak kedua bersambung untuk gol kemenangan menerusi sentuhan Andy Cole yang masuk sebagai pemain gantian.

 

Apa pula yang berlaku di Highbury? Arsenal menewaskan Villa menerusi gol tunggal perlawanan dari Nwanko Kanu tetapi itu tidak cukup untuk menghalang United merampas kejuaraan liga dari tangan mereka. “Sangat dramatik sekali. Selepas ini kami akan ke Wembley (Piala FA) dan kemudiannya Barcelona (Liga Juara-Juara) untuk menikmati hari-hari terbaik dalam hidup kami”, kata Sir Alex Ferguson kepada BBC selepas tamat perlawanan.

 

22 Mei 1999

 

“One down, two to go”…itulah tajuk utama akhbar-akhbar di England selepas kejayaan United menjulang kejuaraan liga pada musim 1998/99. Tiada masa untuk keraian berlebihan kerana empat hari selepas itu ada misi yang perlu diselesaikan. Misi United seterusnya ialah menuju ke Wembley dan cuba menjulang kejuaraan Piala FA buat kali kesepuluh dalam sejarah kelab.

 

Bukan satu perjalanan yang mudah sebelum mereka berjaya mara ke final, kerana dalam laluan menuju ke Wembley, United terpaksa menyingkirkan terlebih dahulu Liverpool, Chelsea dan Asenal. Sentiasa segar dalam ingatan bagaimana dua gol di penghujung perlawanan menerusi jaringan Dwight Yorke dan Ole Gunnar Solskjaer membolehkan United bangkit untuk menyingkirkan Liverpool di pusingan keempat.

 

Di peringkat suku akhir pula, United diheret hingga ke perlawanan ulangan sebelum mereka menyingkirkan Chelsea menerusi dua gol yang dihasilkan Yorke di Stamford Bridge. Paling epik tentunya membabitkan pertembungan antara United dan Arsenal di peringkat separuh akhir. Dan sekali lagi United terpaksa diheret hingga ke perlawanan ulangan sebelum mereka mara ke pentas final menerusi gol emas dari gerakan solo Ryan Giggs yang memukau seluruh khalayak di Villa Park.

 

United menuju ke Wembley selaku pasukan pilihan kerana meskipun Newcastle United masih dibarisi Alan Shearer, mereka bukan lagi skuad yang sama ketika The Magpies memberikan cabaran kepada United dalam perebutan kejuaraan liga pada musim 1996/97. Meskipun pada mulanya kem United dilanda wabak selesema, mereka akhirnya sepertimana diramal berjaya menjulang kejuaraan Piala FA kesepuluh menerusi dua gol yang dijaringkan Teddy Sheringham dan Paul Scholes.

 

26 Mei 1999

 

Selepas berjaya menakluk dua kejuaraan domestik, tumpuan United kini terarah pula kepada saingan di pentas Eropah. “Camp Nou…kami datang!!!”, dan sasarannya tentulah menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 31 tahun di sana. Selain itu, inilah waktunya untuk United melengkapkan kejuaraan `treble’ mereka…pencapaian yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kelab Inggeris sebelum ini.

 

Bagaimanapun misi United di Camp Nou bukanlah mudah, kerana lawan yang menanti mereka di sana ialah si gergasi Bundesliga…kesebelasan mana lagi jika bukan Bayern Munich. Ini bukanlah pertembungan pertama antara United dan Bayern, kerana di peringkat kumpulan mereka sudah bertemu sebanyak dua kali dan kedua-dua perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

 

United menuju ke Camp Nou bukanlah sebagai pasukan pilihan, kerana di atas kertas Bayern sebenarnya lebih unggul. Apatah lagi United beraksi di pentas final tanpa Roy Keane…pemain, pemimpin dan individu paling berpengaruh dalam kesebelasan United, serta Paul Scholes akibat penggantungan. Ringkasnya, pertembungan di Camp Nou ini adalah misi mustahil yang terpaksa diharungi United terutamanya tanpa dua pemain terbaik mereka di bahagian tengah.

 

Tanpa Keane dan Scholes, Fergie terpaksa meletakkan David Beckham di bahagian tengah, ideanya ketika itu ialah menggunakan kualiti hantaran Beckham bagi menampung ketiadaan Scholes, manakala Nicky Butt pula digunakan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Keane. Di posisi sayap kanan dalam formasi 4-4-2 United, Fergie meletakkan Jasper Blomqvist manakala Ryan Giggs sepertimana biasa bergerak di sisi kiri.

 

Pentas final kali ini seolah-olah sudah diatur untuk mempertemukan `yang terbaik’…iaitu dua kesebelasan terbaik di England dan Jerman, stadium terbaik di Eropah dan diadili pula oleh Pierluigi Collina…pengadil terbaik dunia ketika itu. Sebaik aksi dimulakan, Bayern sudah menunjukkan dominasi mereka, dan hanya enam minit diperlukan untuk Mario Basler meletakkan gergasi Bundesliga itu di hadapan.

 

Kelebihan Bayern kekal hingga tamat separuh masa pertama, manakala di bilik persalinan pula, Fergie cuba menyuntik motivasi kepada para pemainnya untuk bangkit di babak kedua. “Trofi itu cuma berjarak dua meter dari kamu untuk disentuh.  Jika kamu kalah dalam perlawanan ini, lupakan saja angan-angan kamu untuk menyentuhnya”, itu antara kata-kata Fergie kepada para pemainnya di bilik persalinan sebelum aksi babak kedua disambung.

 

Sepanjang 90 minit tempoh masa sebenar permainan, Bayern adalah kesebelasan yang lebih baik berbanding United menerusi penguasaan bola dan peluang-peluang yang berjaya mereka cipta. Meskipun pada tempoh sepuluh minit terakhir permainan Fergie menggunakan tiga penyerang (Sheringham, Solskjaer dan Yorke), United nampaknya masih gagal menembusi pintu gol Bayern yang dikawal Oliver Kahn. 

 

Sebagai penyokong United, apa yang mampu anda lakukan ketika itu? Berdoa dan terus berdoa semoga keajaiban boleh berlaku. Hanya tiga minit tambahan masa diberikan Collina, dan misi `treble’ di Camp Nou tampak semakin mustahil untuk direalisasikan. Bagaimanapun bolasepak tetaplah bolasepak, bukan hanya tentang 22 pemain yang berkejaran menendang sebiji bola, tetapi bolasepak juga penuh dengan elemen kejutan, kejam, suka, duka dan keajaiban di dalamnya.

 

Dua sepakan sudut yang diterima United dalam tempoh tiga minit masa tambahan menghasilkan dua jaringan yang disempurnakan Sheringham dan Solskjaer. Dan apa yang berlaku selepas itu? Samuel Kuffour menangis teresak-esak persis anak kencil tanpa sesiapa mampu menenangkannya, Lothar Matthaus cuma mampu merenung jauh tanda tidak percaya dengan apa yang berlaku, manakala seluruh Camp Nou bergema dengan laungan “And Solskjaer has won it”.

 

Selama 90 minit, Bayern merupakan kesebelasan yang lebih baik, tetapi kejuaraan yang begitu hampir mereka menangi dirampas dalam tempoh hanya tiga minit. Inilah keajaiban dan kejamnya bolasepak. Pahitnya kekalahan di pentas final itu membuatkan Kuffour hingga kini tidak pernah menonton rakaman perlawanan tersebut. “Sampai sekarang, saya tidak pernah menyaksikan rakaman perlawanan itu. Saya tidak mahu menontonnya. Kekalahan itu betul-betul menyakitkan”, kata Kuffour.

 

Penutup

 

Bulan Mei 1999, merupakan bulan yang tidak akan pernah dilupakan oleh para penyokong United seluruh dunia kerana dalam tempoh hanya sepuluh hari, United melakar sejarah baharu selaku kelab Inggeris pertama yang memenangi kejuaraan `treble’. Kemuncak kepada musim fenomenal mereka tentunya kejayaan dramatik menewaskan Bayern di pentas final Liga Juara-Juara edisi 1999.

 

Pada tarikh ini (26 Mei) 23 tahun yang lalu…United melengkapkan kejuaraan `treble’ mereka di Camp Nou, kejayaan gemilang yang ditulis dengan tinta emas dalam lipatan sejarah kelab. Kejuaraan `Treble 99’ umpama sebuah mimpi yang jadi kenyataan…pencapaian yang sebenarnya entah bila akan hadir buat kali kedua. Kisah `Treble 99’ adalah kisah epik…kisah tentang pencapaian yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana seteru domestik mereka hingga ke hari ini. Glory Glory Manchester United!!! 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan