18 Mei 2022

SELAMAT DATANG TOTAL FOOTBALL 2.0



Pada 21 Mac 2022 yang lalu, John Murtough, Darren Fletcher dan Richard Arnold berlepas ke Amsterdam. Bukan rahsia lagi, kerana misi mereka ketika itu ialah untuk bertemu Erik Ten Hag…salah seorang calon bagi tugas selaku pengendali Manchester United musim depan. Menurut laporan The Athletic, Murtough, Fletcher dan Arnold sangat tertarik dengan idea dan `road map’ yang dibentangkan Ten Hag untuk mengembalikan semula maruah United selaku gergasi bolasepak Inggeris.

 

Selain Ten Hag, ada tiga lagi nama yang United letakkan dalam radar mereka untuk dinamakan sebagai pengurus ke-25 dalam sejarah kelab dan mereka ialah Mauricio Pochettino, Julen Loptegui serta Luis Enrique. Sebulan selepas kunjungan Murtough, Fletcher dan Arnold ke Amsterdam, kelab akhirnya mengumumkan secara rasmi perlantikan Ten Hag selaku pengendali untuk musim depan, berita yang sebenarnya bukanlah terlalu mengejutkan tetapi sangat mengembirakan penyokong United.

 

Aura optimisme sekali lagi menyelubungi penyokong United sepertimana ketika kita menyambut kedatangan David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer dulu. Keterujaan bukan hanya dirasakan di kalangan penyokong kerana Murtough juga begitu. Dalam laman rasmi kelab, Murtough berkata, “Kami sangat tertarik dengan visi jangka panjang Ten Hag bagi meletakkan United kembali ke tempat sepatutnya. Dia salah seorang jurulatih terbaik di Eropah, juga terkenal dengan permainan bolasepak yang atraktif”.

 

Bukan Kerja Mudah

 

Bagaimanapun Ten Hag tentunya sedar bahawa Liga Perdana bukanlah seperti Eredivisie dan United juga bukanlah seperti Ajax. Beliau tidak menafikan bahawa cabaran besar bakal menantinya…bukan cuma tentang `problem’ United yang perlu diselesaikan, tetapi juga sejarah kelab yang terpaksa dipikulnya dan harapan tinggi yang bakal digalas di bahunya. “Saya sangat memahami tentang sejarah kelab ini, dan saya juga tahu semangat para penyokongnya. Jadi ini bukanlah tugas yang mudah buat saya” kata Ten Hag.

 

“Lebih cepat…lebih bagus”, mungkin itulah yang ada dalam fikiran Ten Hag kerana berbanding menunggu baki kontraknya bersama Ajax berakhir, beliau sebaliknya memilih untuk memulakan tugasnya sebagai pengurus United lebih awal. “Saya dan Ajax sudah mencapai persetujuan untuk memulakan tugas sebagai pengurus United mulai 16 Mei. Ketika ini analisis terperinci perlu dilakukan dan saya akan mula bekerja dengan mereka di United sebagai persiapan menjelang musim baharu”.

 

Selepas Ten Hag memulakan tugasnya di Carrington, fasa seterusnya ialah melihat bagaimana beliau menerapkan falsafah bolasepaknya dalam skema permainan United. Paling menarik minat tentunya penekanan beliau tentang pentingnya dalam melakukan `pressing’. `Peraturan tiga saat’ yang diterapkan beliau dalam permainan Ajax bukan sahaja menjadikan mereka begitu agresif, tetapi dalam masa yang sama pintu gol mereka juga begitu sukar dibolosi.   

 

Musim ini apa yang dapat anda saksikan ialah, United sangat bermasalah dalam fasa bertahan mahupun menyerang. Kelemahan organisasi ketika bertahan, menyebabkan terdapat begitu banyak ruang yang boleh dieksploitasi lawan. Kekalahan besar 0-4 kepada Brighton pada 8 Mei lalu adalah contoh terbaru betapa buruknya organisasi United dalam fasa bertahan. Menurut statistik dari FBref, United menerima 159 percubaan tepat dari 34 aksi liga, angka ketiga terbanyak selepas Leeds dan Norwich.

 

Mujurlah statistik buruk tersebut diimbangi menerusi kepantasan sepasang tangan milik David De Gea di hadapan gawang United. Dari 37 penampilan liga musim ini, De Gea berjaya melakukan 126 penyelamatan, yang juga merupakan angka kedua tertinggi di Liga Perdana selepas Illan Meslier. Statistik yang dirakam De Gea ini memang mengagumkan tetapi dalam masa yang sama turut mendedahkan betapa lemahnya benteng pertahanan United.

 

Dalam situasi `offensive’ pula, United sangat bergelut dalam usaha mereka untuk mencipta peluang jaringan gol. Sebagai contoh, musim ini secara puratanya United cuma mampu melepaskan 13.71 percubaan ke arah gawang lawan (per perlawanan), angka yang sebenarnya begitu jauh jika anda melihat statistik dilakar Manchester City (18) dan Liverpool (18.52). Rapuhnya pertahanan dan kurangnya kreativiti ketika menyerang merupakan dua masalah besar yang perlu segera diselesaikan Ten Hag menjelang tibanya musim baharu nanti.

 

Pemain Muda dan Senior

 

Matthijs de Ligt, Frenkie de Jong, Hakim Ziyech dan Donny van de Beek antara pemain muda yang pernah menjadi inspirasi kepada kebangkitan Ajax dibawah asuhan Ten Hag, jadi sangat menarik untuk kita melihat hal serupa dilakukan beliau kepada pemain-pemain muda United. Ten Hag sangat identik dengan kemampuan beliau mengetengahkan bakat-bakat muda, tetapi dalam masa yang sama juga beliau sangat memahami nilai profesionalisme seorang pemain senior.

 

Atas sebab itulah mengapa Ten Hag membawa pulang semula Klaas Jan Huntelaar ke Ajax pada 2017. Huntelaar yang ketika itu sudahpun berusia 33 tahun direkrut semula Ajax bukan sahaja kerana pengalaman dimilikinya, tetapi pemain veteran itu juga dilihat sebagai model sempurna untuk pemain-pemain muda mereka. Apa yang berlaku kepada Huntelaar di Ajax sebenarnya satu petanda yang sangat bagus kepada polemik masa depan Cristiano Ronaldo di Old Trafford.

 

Ronaldo antara pemain yang penyokong mahu lihat terus berada dalam kesebelasan United musim depan. Meskipun sering dilabel sebagai `beban’, Ronaldo pada usia 37 tahun muncul penjaring terbanyak United dalam saingan liga musim ini menerusi 18 gol yang sudah beliau ledak menerusi 30 penampilan. Secara keseluruhannya, Ronaldo sudah meledak 102 gol dalam saingan liga, sekaligus muncul pemain ke-33 yang berjaya menjaringkan 100 gol atau lebih sepanjang sejarah Liga Perdana.

 

Meskipun kelab berdepan musim yang tidak menentu, ketajaman Ronaldo dalam menyudahkan peluang masih belum pudar. Menurut catatan The Sun, tanpa gol-gol yang dijaringkan Ronaldo, United sebenarnya bakal berada di luar kelompok sepuluh teratas carta liga. United sudah hampir pasti menandatangani seorang penyerang baharu musim depan, tetapi percayalah sepertimana Huntelaar di Ajax, Ronaldo juga masih lagi pemain yang sangat penting pada fasa kedua kariernya di Old Trafford.

 

Penutup

 

Melihat kepada kerja-kerja yang sudah dilakukannya di Johan Cryuff Arena sejak 2017, tidak salah untuk kita meletakkan harapan tinggi kepada kemampuan Ten Hag selaku pengendali baharu United musim depan. Bersama Ajax, beliau memiliki falsafah bolasepak yang sangat jelas dan mampu menjadikan mereka kesebelasan yang sangat mengasyikkan menerusi permainan bolasepak atraktif. Saat beliau menerima tawaran United, Ten Hag juga sebenarnya memperjudikan kariernya selaku antara pengendali sedang meningkat naik di dunia bolasepak Eropah.

 

Anda boleh meletakkan harapan tinggi kepada kemampuan Ten Hag, tetapi dalam masa yang sama, anda juga perlu mengakui bahawa beliau hanyalah sebahagian dari kepingan puzzle yang perlu dicantumkan kembali dalam usaha United untuk kembali ke tempat di mana sepatutnya mereka berada. Berharaplah semoga kali ini kelab sudah menemui orang yang tepat dan Ten Hag tidak tewas sepertimana Moyes, Van Gaal, Mourinho dan Solskjaer. “Selamat Datang Total Football 2.0”. Glory Glory Manchester United!!!

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan