`Mr Clean’…itu frasa paling
tepat bila anda bercakap tentang Juan Mata, citra yang sebenarnya sudah cukup
kuat melekat dalam diri beliau selama ini. Mata sangat disayangi
penyokong-penyokong United kerana keperibadian beliau serta kerendahan hatinya.
Bagi Mata, beliau hanya mahu bermain bolasepak dan memberikan seluruh hatinya
di atas padang. Sejak kehadiran beliau di Old Trafford pada 2014, Mata pemain yang
`kalis kontroversi’, jadi anda tidak akan pernah menemui sebarang cerita tidak
baik tentang beliau sama ada di dalam mahupun di luar padang.
Tiada riak kesombongan di
wajahnya, tiada juga rasa meninggi diri dalam batang tubuhnya meskipun beliau
pernah dilabel sebagai antara `playmaker’ terbaik dunia. Jadi tidak hairanlah
mengapa berita pemergian Mata dari Old Trafford diratapi penyokong-penyokong
United berbanding Paul Pogba atau Jesse Lingard. Untuk tipikal seorang pemain
tengah seperti Mata, beliau adalah dambaan buat mana-mana pasukan. Penampilan
beliau bersama Valencia menarik minat Chelsea, dan Mata akhirnya diterbangkan
ke London pada Ogos 2011.
Cuba
Nasib Di England
Bersama Chelsea, Mata diikat
dengan kontrak selama lima tahun dan tugas hakikinya ialah membekalkan
hantaran-hantaran berkualiti untuk disudahkan sama ada oleh Didier Drogba atau
Fernando Torres. Kerana itulah juga tugas yang beliau laksanakan dengan baik
untuk Roberto Soldado di Valencia. Musim pertama beliau di Stamford Bridge,
Mata melakukan 54 penampilan dalam semua kejohanan. Dari jumlah tersebut, Mata
berhasil menjaringkan 12 gol dan mencipta 20 bantuan gol. Satu catatan yang
sangat impresif buat seorang `rookie’ di Liga Perdana.
Musim pertama adalah musim
pengenalan, dan musim kedua Mata menunjukkan kualiti sebenarnya selaku
penggerak jentera tengah Chelsea. Jumlah penampilan Mata untuk Chelsea
meningkat pada musim keduanya di Stamford Bridge dan peningkatan itu turut
diiringi dengan statistik beliau di atas padang. Dari 64 penampilan, Mata
menjaringkan 19 gol dan mencipta 35 bantuan gol. Jumlah 35 bantuan gol ini
meletakkan Mata selaku `raja assist’ Eropah bagi musim 2012/13, selain
dinamakan pemain terbaik Chelsea musim tersebut.
Musim ketiga tidak seindah
musim pertama dan kedua, lebih-lebih lagi dengan kedatangan Jose Mourinho buat
kali kedua di Stamford Bridge. Mata mula tersisih kerana Mourinho lebih gemar
menggunakan Oscar, pemain tengah yang dianggap Mourinho memiliki kualiti
bertahan lebih baik berbanding Mata. Dari Ogos 2013 hingga Januari 2014, Mata
hanya diturunkan sebanyak 13 kali dalam kesebelasan Chelsea di Liga Perdana.
Pilihan yang ada di tangan beliau ketika itu ialah keluar dari Stamford Bridge
seberapa segera demi menyelamatkan kariernya.
United
Sebagai Pilihan
Mata tiba di Old Trafford pada
Januari 2014 dengan status bukan pemain sebarangan. Bersama skuad kebangsaan,
beliau merupakan salah seorang anggota La Furia Roja yang menjulang kejuaraan
Piala Dunia 2010 serta Euro 2012. Bersama Chelsea, beliau memenangi medal
kejuaraan Liga Juara-Juara, Liga Europa serta Piala FA. Tidak cukup dengan itu,
beliau juga dinamakan pemain terbaik Chelsea selama dua musim berturut-turut
(2011/12 dan 2012/13).
Mata menyertai United dengan
nilai perpindahan sebanyak €44.7 juta, jumlah yang boleh dianggap sangat
berbaloi untuk seorang pemain tengah kreatif seperti beliau. Musim 2014/15
merupakan musim penuh Mata di Old Trafford, juga musim di mana Louis Van Gaal
mengambilalih teraju selaku pengendali selepas David Moyes dipecat. Sepanjang
dua musim di bawah kendalian Van Gaal, Mata melakukan 71 penampilan liga,
menjaringkan 15 gol dan mencipta 11 bantuan gol.
Ketidaktentuan kembali
menyelubungi karier Mata. Ironinya kali ini beliau dipertemukan lagi dengan
Mourinho, individu yang menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan Chelsea pada
2014. Mata meninggalkan Chelsea kerana beliau ingin bermain bolasepak
kompetitif setiap minggu, tetapi dengan kehadiran Mourinho di Old Trafford, ada
kemungkinan Mata bakal tersisih sekali lagi. Spekulasi turut bertiup kencang
ketika itu bahawa Mata antara pemain yang tiada dalam perancangan Mourinho.
“Beberapa hari selepas
pemecatan Van Gaal, Mourinho kembali buat kali kedua sebagai pengurus saya. Ada
kebimbangan di kalangan keluarga dan rakan tentang masa depan saya, tetapi saya
masih kekal positif. Saya tidak menikmati minit permainan yang banyak di bawah
Mourinho, tetapi secara peribadi saya tiada masalah dengan dia”, kata Mata.
Mata membuktikan kata-katanya, kerana berbanding memilih pergi, beliau sebaliknya
kekal di Old Trafford dan cuba merebut tempat dalam kesebelasan United.
Musim pertama United di bawah
kendalian Mourinho, Mata melakukan 25 penampilan liga, menjaringkan enam gol
dan mencipta tiga bantuan gol. Kebimbangan tentang nasib Mata akhirnya berkubur
kerana sepanjang dua setengah musim kelab di bawah kendalian Mourinho, beliau
antara pemain sandaran `The Special One’ di jentera tengah United. Dari pemain
yang dipinggirkan di Stamford Bridge, Mata sebaliknya bertukar menjadi antara
pemain harapan Mourinho di Old Trafford.
Kecederaan merupakan musuh utama
mana-mana pemain dan kecederaan juga akhirnya menganggu perjalanan karier dan
membataskan penampilan Mata. Meskipun begitu pada Julai tahun lalu, kelab
melanjutkan kontrak Mata selama setahun, keputusan yang sebenarnya agak
mengejutkan jika diambilkira `rumours’ sebelumnya bahawa beliau antara pemain
yang dikatakan tiada dalam perancangan Ole Gunnar Solskjaer bagi menghadapi
musim baharu.
Hanya ada dua sebab kenapa Mata
bersetuju untuk kekal selama setahun lagi di Old Trafford…pertama kerana beliau
cintakan United. Dan kedua kerana beliau mahu bermain perlawanan terakhirnya di
Old Trafford, di hadapan ribuan penyokong-penyokong United. Tiga musim terakhir
bersama kelab, Mata cuma tampil sebanyak 35 kali dalam saingan liga,
menjaringkan hanya satu gol dan mencipta empat bantuan gol. Jadi pengakhiran
nasib Mata memang mudah untuk kita jangka.
Penutup
Penyokong-penyokong United
kegembiraan bila mereka mendengar berita pemergian Paul Pogba dan Jesse
Lingard, tetapi tidak untuk Juan Mata. Semuanya kerana sikap dan keperibadian beliau
penyebab mengapa Mata begitu dicintai oleh para `Stretford Enders’. Hinggakan ada
sebahagian penyokong United yang masih berharap Mata kekal bersama kelab
sekurang-kurangnya untuk tempoh semusim lagi.
Siapa boleh menafikan bahawa
Mata antara `playmaker’ terbaik pernah anda saksikan aksinya di era bolasepak
moden. Bukan cakap tanpa fakta kerana statistik serta medal kejuaraan yang
dimenanginya tidak pernah menipu. Bagaimanapun bolasepak sudah berkembang dengan
sangat pesat sejak kebelakangan ini, bukan hanya dari segi taktikal tetapi juga
intensiti permainan bolasepak itu sendiri.
Seorang `playmaker’ moden bukan
lagi tentang kualiti ofensif mereka semata-mata, tetapi juga menuntut kemampuan
mereka untuk bertahan. Mata memang tipikal seorang `playmaker’ dengan kualiti
ofensif yang bagus tetapi tidak dalam melakukan kerja-kerja bertahan. Mata
dilahirkan bukan untuk melakukan kerja-kerja bertahan, tetapi mencipta bantuan
dan peluang jaringan gol.
Liga Perdana kini bukan lagi
pentas untuk Mata, pentas di mana anda pernah menyaksikan salah seorang
`playmaker’ terbaik dunia memperagakan aksinya di sini. Dan akhirnya selepas
lebih lapan musim, Mata juga sudah menemui titik nokhtah kariernya di `Theatre
of Dreams’. Untuk 285 penampilan, 51 gol yang dijaringkannya dan empat trofi
yang berjaya dimenanginya…”Gracias Mr Clean”. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan