02 Jun 2022

LIMA

 


Ketika eranya sebagai pemain, tiada siapa yang mengenali Jose Mourinho…tetapi sebagai jurulatih, semua orang kenal siapa itu Mourinho. Memang wajar Mourinho kurang dikenali ketika era beliau sebagai pemain, kerana sepanjang tujuh tahun karier profesionalnya, Mourinho cuma beraksi di liga divisyen dua Portugal. Bermula di Rio Ave pada 1980 dan terakhir bersama Comercio e Industria pada 1987…begitulah singkatnya karier Mourinho.

 

Sepanjang tempoh tujuh tahun itu, Mourinho cuma melakukan 94 penampilan dan menjaringkan 13 gol sebelum beliau memilih untuk bersara dan beralih ke bidang kejurulatihan. Peluang akhirnya datang pada tahun 2000 apabila Mourinho dilantik sebagai ketua jurulatih Benfica menggantikan Jupp Heynckes. Benfica dan Uniao de Leiria cumalah permulaan tetapi impak sebenar kepada karier kejurulatihan Mourinho berlaku di Estadio do Dragao.

 

Dua musim berturut-turut Mourinho berjaya mengemudi Porto menjulang kejuaraan Primeira Liga (2002/03 dan 2003/04) selain trofi Taca de Portugal, manakala di pentas Eropah pula, mereka menewaskan Glasgow Celtic difinal Piala UEFA (sekarang Liga Europa) edisi 2003. Setahun selepas kejayaan menundukkan Glasgow Celtic di Sevilla, Mourinho akhirnya mencapai kemuncak karier beliau bersama Porto.

 

Ya…kejayaan beliau mengemudi gergasi Portugal itu mara ke Gelsenkirchen dan menjulang trofi Liga Juara-Juara di sana pada 2004 membuka dimensi baharu kepada karier kejurulatihan Mourinho. Mourinho secara tiba-tiba muncul lelaki paling dikehendaki dalam dunia bolasepak kerana selepas kejayaan di Gelsenkirchen itu, kelab-kelab besar Eropah mula mengintai khidmat beliau.

 

Dimensi Baharu

 

Pada Jun 2004, Mourinho menyertai revolusi Roman Abramovich di Stamford Bridge dan selepas itu apa yang dapat anda lihat ialah trofi demi trofi domestik berjaya dimenangi beliau bersama Chelsea. Perselisihan dengan Abramovich menyaksikan Mourinho memilih untuk meninggalkan Stamford Bridge pada 2007. Hanya satu kekesalan ketika beliau pergi…iaitu Mourinho gagal membantu Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara meskipun `The Blues’ sudah berbelanja besar.

 

Satu pukulan buat Abramovich, kerana pada musim 2009/10, Mourinho berjaya membantu Inter Milan menjulang kejuaraan `treble’. Kejayaan ini menyaksikan Mourinho kembali semula ke podium kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam tempoh enam tahun, dan juga kejuaraan pertama Inter di pentas tertinggi Eropah dalam tempoh 45 tahun. Kota Madrid adalah destinasi seterusnya kerana tarikan untuk mengendalikan kelab paling berjaya di planet bumi tidak mampu ditolak Mourinho.

 

Kemana pun Mourinho pergi, trofi sentiasa mengekorinya. Bersama Real Madrid, beliau menang kesemua kejuaraan domestik di Sepanyol. Pada fasa kedua beliau di Stamford Bridge, Mourinho menang medal kejuaraan Liga Perdana ketiganya serta Piala Liga. Manakala di Old Trafford pula, beliau berjaya mengemudi United menang tiga trofi (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) pada musim 2016/17.

 

Seiring dengan berjalannya waktu, magis Mourinho juga dikatakan mula pudar. Prestasi buruk dipamerkan Tottenham Hotspurs pada musim 2020/21 menyaksikan Mourinho cuma mampu bertahan selama 17 bulan di utara London. `Pemberontakan’ beberapa pemain utama antara penyebab utama merudumnya prestasi Spurs dan akhirnya pada April 2021, Mourinho dipecat. Ini juga bermakna buat pertama kali sejak 2004, Mourinho gagal menang sebarang trofi bersama kelab di bawah kendaliannya.

 

Kembali Ke Itali

 

Ramai pihak agak terkejut dengan keputusan AS Roma melantik Mourinho sebagai pengendali mereka pada musim panas 2021. Melihat apa yang berlaku sepanjang tempoh beliau bersama Spurs, jangan salahkan mereka-mereka yang bersikap skeptikal dengan kemampuan beliau. Bagi para pengkritik beliau, zaman Mourinho sudah berlalu dan semua pencapaian gemilang yang pernah dikecapinya adalah cerita lama.

 

Kemana perginya cakap-cakap sebelum ini bahawa beliau seorang pengendali yang genius? Adakah `The Special One’ masih lagi seorang yang istimewa? Mourinho kembali semula ke kancah bolasepak Itali buat kali kedua dalam tempoh sebelas tahun, tetapi kali ini tugasnya lebih berat dan sukar. Roma bukanlah seperti Inter yang pernah beliau kendalikan dulu, kerana Roma yang beliau akan kendalikan sudah 13 tahun tidak menang sebarang trofi.

 

Sudah lama `The Giallorossi’ sekadar menjadi pemerhati kepada penguasaan Juventus, Milan dan Inter di Serie A. Pencapaian Roma di liga domestik sangat-sangat menyedihkan, kerana berbanding Juventus dan dua kelab berpangkalan di Milan, mereka cuma mampu mengumpul tiga trofi liga dalam kabinet kejuaraan di Stadio Olimpico. Yang pertama pada 1942, yang kedua hadir 41 tahun selepas itu dan terakhir pada 2001. Jika bukan kerana nama Francesco Totti, Roma sebenarnya hampir dilupakan.

 

Stadio Olimpico sudah lama sepi dengan kejuaraan, tetapi di sanalah Mourinho datang dengan misi untuk membuatkan para `gladiatori’ kembali bermegah. Mourinho umpama seorang jeneral yang sentiasa mahukan para prajuritnya dalam kondisi sedia untuk bertempur. Perubahan yang beliau lakukan bukan sekadar dari segi teknikal tetapi beliau juga menanamkan mentaliti pemenang kepada skuad `Giallorossi”.

 

“Kami sekarang bukan sekadar satu unit, tetapi kami lebih bertekad untuk menang. Malah pada sesi pra musim pun mentaliti kami sudah ditanam untuk menang setiap perlawanan. Mentaliti inilah yang membuatkan kami sentiasa mahukan kemenangan. Mourinho datang dengan standard yang beliau tetapkan, jadi kami harus memenuhinya”, kata Lorenzo Pellegrini yang juga merupakan kapten pasukan.

 

Kemarau Berakhir

 

Jika mahu membandingkan pencapaian Roma musim ini dengan musim lalu di Serie A, tiada perubahan yang terlalu signifikan. Musim lalu mereka menamatkan saingan liga di tangga ketujuh, manakala musim ini pula mereka berada di tangga keenam. TETAPI!!...pada penghujung musim ini mereka akhirnya menamatkan kemarau 61 tahun tanpa kejuaraan di peringkat Eropah menerusi kejayaan menjulang trofi UEFA Conference League (UECL) di Tirana.

 

Di Arena Kombëtare, Feyenoord yang menjadi lawan Roma sebenarnya kesebelasan lebih baik dan menarik dari segi permainan. Gerakan-gerakan mereka sangat `fluid’, unggul dari segi penguasaan bola dan berjaya mencipta beberapa peluang jaringan gol. Tetapi Mourinho tetaplah Mourinho yang anda kenali…seorang individu yang seolah-olah tidak boleh dipisahkan dari label `pragmatik’ dalam dunia bolasepak.

 

Roma sangat bergantung kepada kekuatan barisan belakang mereka dalam perlawanan ini…ciri yang sudah sinonim dengan strategi dan taktikal Mourinho. Arne Slot tiada jawapan bagaimana mahu memecah benteng pertahanan Roma, dan gol tunggal perlawanan yang dihasilkan Nicolo Zaniolo (minit ke-32) akhirnya membawa Giallorossi kembali ke podium kejuaraan Eropah buat pertama kali dalam tempoh 61 tahun.

 

Sejarah baharu tercipta…bukan sahaja kerana Roma muncul kelab pertama menjuara trofi ini, tetapi kejayaan ini juga menyaksikan Mourinho tidak pernah tewas dalam lima penampilan di final saingan peringkat Eropah. Selain daripada itu, beliau juga muncul pengendali pertama yang berjaya menjulang trofi di peringkat Eropah untuk tiga kejohanan berbeza (Liga Juara-Juara, Liga Europa dan UECL).

 

Penutup

 

Mungkin ada pihak yang secara sinis mengatakan “Alah…piala Liga Persidangan je pun”. Tetapi trofi tetaplah sebuah trofi dan memenanginya tetap satu kebanggaan bagi sesebuah pasukan dan penyokong mereka. Apatah lagi untuk sebuah pasukan yang sudah begitu lama tidak memenangi sebarang kejuaraan di pentas Eropah seperti Roma. Di tangan Mourinho, kita juga pernah merasai perasaan yang sama lima tahun lalu, ketika United menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali.

 

Mungkin perasaannya tidak seindah ketika Fergie dan `Red Devils’nya menjulang trofi Liga Juara-Juara, tetapi harus diingat bahawa memenangi mana-mana kejuaraan bererti kelab juga berjaya melakar sejarah baharu. Satu fakta perlu diakui ialah, tiga trofi yang dibawa Mourinho pada musim 2016/17 ke kabinet kejuaraan di Old Trafford masih lagi kekal sebagai pencapaian terbaik berbanding mana-mana pengurus United pasca persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.

 

Usai kemenangan di Tirana, Mourinho mengalirkan air mata. Tangisan dari seorang pemenang…tangisan dari seorang juara. Hilang sekejap watak `antagonis’nya yang suka bermegah, tingkah lakunya yang sentiasa mencetuskan kontroversi, manakala kata-kata sinisnya sering saja memicu amarah lawan. Tangisan Mourinho bukan tangisan sebarangan, kerana beliau tahu ditangannya, Roma akhirnya kembali ke podium kejuaraan Eropah.

 

Sebagai penyokong United, saya turut gembira melihat kejayaan dilakar Mourinho, dan sebagai penyokong United, saya sangat merindui watak `antagonis’ seorang individu yang memiliki nama penuh José Mário dos Santos Mourinho Félix ini. Dari Porto hinggalah ke Roma, kesuksesan sentiasa mewarnai perjalanan karier Mourinho. Dan untuk mengenggam tiga trofi utama Eropah, perlukan seorang yang memiliki kebolehan istimewa untuk melakukannya. Ketahuilah, hanya ada seorang `The Special One’ dalam dunia bolasepak…Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan