Kali terakhir Manchester United
berjaya menewaskan Liverpool dalam saingan liga ialah pada 10 Mac 2018. Sejak
itu, lapan pertembungan `North West Derby’ sudah berlangsung dalam saingan
liga, dan United gagal menewaskan Liverpool dalam kelapan-lapan pertemuan itu.
Apa yang berlaku sejak 10 Mac 2018 ialah Liverpool unggul mendominasi pentas
`North West Derby’ menerusi lima kemenangan yang dilakar mereka ke atas United,
manakala tiga lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri.
Musim lalu United tewas
kedua-dua pertemuan mereka menentang Liverpool di Liga Perdana. Dua kekalahan
besar yang berlaku di Old Trafford (0-5) dan di Anfield (0-4), sekadar
mengesahkan lagi status Liverpool selaku kesebelasan yang jauh lebih unggul
berbanding United, baik dari segi taktikal mahupun komposisi skuad yang
dimiliki barisan `The Reds’ itu. Lebih empat tahun diperlukan United untuk
mereka kembali menewaskan Liverpool dalam saingan liga, dan momen itu berlaku
lagi di Old Trafford kelmarin.
Pada awal pagi 23 Ogos 2022, United akhirnya kembali mengungguli pentas `North West Derby’ menerusi dua gol yang diledak Jadon Sancho (minit ke-16) dan Marcus Rashford (minit ke-53). Usaha Liverpool untuk cuba bangkit menerusi gol Mohamed Salah di minit ke-81 tetap gagal menghalang United dari meraih tiga mata penuh dalam perlawanan ini. Ini merupakan kemenangan pertama United di bawah era regim Erik Ten Hag dalam saingan liga, dan juga kemenangan pertama mereka ke atas Liverpool dari sembilan perlawanan (liga).
Perubahan
Yang Dilakukan Ten Hag
Dua kekalahan berturut-turut
dalam dua penampilan awal mereka dalam saingan liga musim ini tentunya sukar
untuk diterima penyokong. Untuk itu, Ten Hag sedar bahawa United tidak boleh
tewas dalam aksi `North West Derby’ ini. Jika kekalahan berlaku lagi, moral dan
krisis keyakinan dalam pasukan akan bertambah buruk. Jadi apa yang perlu beliau
lakukan ialah melakukan perubahan drastik dalam kesebelasan utamanya, terutama
sekali membabitkan benteng pertahanan.
Untuk itu tiada nama Harry
Maguire dan Luke Shaw, juga Anthony Martial yang pada awalnya diramal bakal
tersenarai dalam `line up’ permulaan turut tercicir. Raphael Varane dipasangkan
dengan Lisandro Martinez sebagai duo `centre back’, manakala Tyrell Malacia
pula menggantikan posisi Luke Shaw di sisi kiri pertahanan United. Meskipun
prestasi Anthony Elanga dalam dua perlawanan awal dikritik penyokong, tetapi
Ten Hag ada alasan kuat untuk terus meletakkan pemain muda itu dalam
kesebelasan utamanya.
Sebelum perlawanan berlangsung,
Ten Hag sudah menjelaskan bahawa skuad yang dipilihnya kali ini merupakan
kesebelasan yang memiliki kekuatan fizikal untuk berdepan aksi berintensiti
tinggi. Atau lebih tepatnya, sebelas pemain yang beliau pilih ialah pemain yang
`tidak takut’ untuk melakukan duel. Pemilihan pemain yang dilakukan Ten Hag
dalam perlawanan ini membuahkan hasil kerana dari catatan Sky Sports, pemain-pemain
United melakukan 106 kali `sprint’ berbanding Liverpool (62).
Pressing…Pressing
dan Pressing
Apa yang dapat anda lihat
hampir sepanjang perlawanan ialah United sangat berbeza berbanding dua
penampilan mereka sebelum ini. Mereka sangat agresif terutamanya menerusi
pendekatan `high pressing’ yang diterapkan Ten Hag dalam corak permainan
United. Sepanjang 90 minit, United melakukan 24 `tackle’ berbanding (13) yang
dicatatkan Liverpool, manakala Tyrell Malacia pula muncul pemain paling banyak
melakukan `tackle’ di atas padang menerusi catatan lima `tackle’ yang
dilakukannya.
Paling menarik ialah melihat
bagaimana pemain yang memiliki `attacking minded’ seperti Bruno Fernandes berupaya
melakukan tiga `tackle’, satu petunjuk bahawa beliau juga aktif melakukan
`pressing’ dan sedia melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan. Sejak awal
perlawanan, sasaran Ten Hag ialah melakukan tekanan ke sisi kanan pertahanan
Liverpool kerana beliau sedar bahawa Trent Alexander-Arnold tidak memiliki
kemampuan duel yang cukup baik.
United mengeksploitasi titik
lemah Liverpool yang menyaksikan gerakan mereka dari sebelah kanan pertahanan
lawan menghasilkan gol pertama. Gol kedua pula adalah tipikal gol-gol yang
pernah dihasilkan United sebelum ini. Iaitu mereka menggunakan kelajuan
pemain-pemain di barisan hadapan untuk mengeksploitasi garis pertahanan tinggi yang
digunakan lawan. Hasilnya, gol kedua United yang dijaringkan Marcus Rashford adalah
menerusi satu gerakan pantas.
Suka atau tidak, anda terpaksa
mengakui bahawa United bermain dengan lebih baik tanpa Cristiano Ronaldo, setidak-tidaknya
dalam perlawanan ini. Tanpa Ronaldo, United lebih `mobile’, gerakan-gerakan
mereka lebih lancar dan pantas serta beberapa kali mencipta peluang menerusi
transisi gerakan dari bertahan ke menyerang. Tidak menyenaraikan pemain seperti
Ronaldo dalam kesebelasan utama adalah satu tindakan berani dari Ten Hag, dan
hasilnya United berjaya meraih tiga mata penuh.
Penutup
Selepas mengalami dua kekalahan
berturut-turut kepada kelab yang biasanya menamatkan saingan liga di kelompok
pertengahan dan bawahan, United akhirnya memilih waktu, tempat dan lawan yang
tepat untuk bangkit kembali. Gol dari Jadon Sancho dan Marcus Rashford memberikan
United tiga mata berharga, tetapi kredit sebenarnya wajar diberikan kepada
benteng pertahanan United. Dua pemain paling menyinar di barisan belakang
United tentunya Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia.
Martinez menepati reputasi
beliau sebagai `El Carnicero’, pemain pertahanan tengah bertubuh kecil tetapi
tidak pernah gentar untuk melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan. Untuk
seorang pemain muda seperti Malacia pula, melakukan `debut’ dalam kesebelasan
utama United dan ditugaskan untuk mengunci pergerakan pemain yang memiliki
reputasi besar seperti Mohamed Salah, anda patut memberikan `lima bintang’ atas
prestasi yang dipamerkan beliau.
Liverpool tetap Liverpool, seteru abadi yang sejak beberapa musim terakhir begitu kita cemburui pencapaian mereka. Jadi menyaksikan mereka tewas dalam aksi kompetitif seperti ini adalah satu perasaan yang luar biasa. Kita melihat sisi United yang berbeza, ada keghairahan, ada keazaman yang kuat, ada keberanian untuk melawan dan ada `rasa lapar’ untuk menang. Apa yang United pamerkan kelmarin setidak-tidaknya memberikan kita harapan bahawa United musim ini adalah lebih baik berbanding United musim lalu. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan