Pada usia beliau yang sudah
mencecah angka 30 tahun, mengapa Manchester United masih sanggup mengeluarkan
dana sebanyak £60 juta demi mendapatkan khidmat pemain bernama Casemiro ini?
Kisah perpindahan Casemiro dari kota Madrid ke Manchester boleh dianggap antara
kisah perpindahan yang `mengejutkan’, khususnya buat penyokong-penyokong
United. Apa tidaknya kerana sebelum ini kita sering disogokkan dengan saga
perpindahan Frenkie De Jong yang tiada kesudahannya.
Sejak Mei hingga sekarang,
sudah lebih 100 hari `rumour’ perpindahan De Jong ke Old Trafford masih belum
menjadi kenyataan, tetapi secara tiba-tiba United mengejutkan para penyokong
mereka dengan pengumuman kejayaan kelab menandatangani Casemiro. Tiada `drama’
yang terlalu panjang, kerana United dan Real Madrid cuma perlukan tempoh selama
empat jam sahaja untuk mencapai kesepakatan sebelum perpindahan Casemiro ke Old
Trafford akhirnya dimuktamadkan.
Sepertimana yang anda tahu, di
Santiago Bernabeu Casemiro adalah legenda. Bersama Real, beliau sudah memenangi
kesemua kejuaraan yang ditawarkan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah.
Dengan deretan kejuaraan yang sudah dimenanginya, pemenang lima kejuaraan Liga
Juara-Juara itu tahu bahawa tugasnya bersama Real sudah selesai. Apa yang
dimahukan Casemiro ialah cabaran baharu dan Liga Perdana adalah pentas
selanjutnya untuk beliau pamerkan aksinya.
Saga
Bermula
Posisi pemain tengah bertahan,
antara posisi yang sering disebut-sebut sebagai titik lemah dalam skuad United.
Dalam tempoh beberapa musim terakhir, Fred dan Scott McTominay sering digunakan
sebagai `double pivot’, sama ada sebagai perancang gerakan dari belakang atau
tugas melindungi benteng pertahanan. Bagaimanapun penampilan gandingan `McFred’
ini sering sahaja menjadi sasaran kritikan, bukan sahaja oleh penyokong United
sendiri tetapi juga `pundit’ bolasepak.
Ketika ini, Erik Ten Hag sedang
berusaha meningkatkan kualiti skuad kendaliannya, dan antara sektor yang perlu
ditingkatkan kualitinya ialah di posisi pemain tengah bertahan. Dalam proses
tersebut, nama Frenkie De Jong dikatakan muncul sebagai prioriti utama,
kemudian ada Adrien Rabiot yang permintaan gajinya tidak mampu dipenuhi United.
Pada minggu ketiga bulan ini, nama Casemiro tiba-tiba muncul, dan bermulalah
saga perpindahan beliau ke Old Trafford.
Pada mulanya ramai penyokong
United yang agak skeptikal bila membaca `rumour’ tersebut, tambahan pula
selepas menyaksikan betapa bergelutnya kelab mendapatkan khidmat De Jong dan
alternatif lain seperti Rabiot. Casemiro adalah tonggak utama Real, juga antara
pemain penting di sebalik suksesnya `Los Blancos’ menjulang kejuaraan `double’
pada musim lalu. Jadi adakah Carlo Ancelotti sudah cukup gila melepaskan antara
tonggak utama pasukannya berpindah ke kelab lain?
Bagaimanapun situasi sebenar
tidak sepertimana yang kita jangkakan, kerana Real sebaliknya dengan mudah
melepaskan Casemiro pergi. Semuanya kerana Real kini dalam proses melakukan
regenerasi dalam skuad mereka. Jika Casemiro pergi sekalipun, Real sudah
memiliki Aurelien Tchouameni sebagai pengganti. “Saya sudah bercakap dengan
Casemiro. Dia mahukan cabaran baharu, dan saya akur dengan kemahuannya”, kata
Carlo Ancelotti.
Simen
Antara Batu Bata
Dari sudut teknikal, kehadiran
Casemiro bakal meningkatkan lagi kualiti United terutamanya untuk peranan
sebagai `defensive midfielder’. Perlu juga diakui bahawa meskipun usianya sudah
mencecah angka 30 tahun, Casemiro masih tergolong dalam kelompok pemain tengah
bertahan terbaik dunia. Isu konsistensi gandingan `McFred’ antara penyebab
utama mengapa United sangat perlukan seorang `defensive midfielder’ kelas dunia
seperti Casemiro.
Menurut Massimiliano Allegri,
Casemiro bukanlah antara pemain paling berbakat dari segi teknikalnya. Tetapi
faktor yang membuatkan beliau antara pemain yang begitu istimewa ialah disiplin
taktikal dan visi permainan yang dimilikinya memberikan keseimbangan kepada
pasukan. Sebagai contoh terbaik, lihat sahaja apa yang dilakukan Casemiro pada
aksi final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu. Liverpool lebih dominan, tetapi
Real sebenarnya yang mengawal tempo permainan.
Ketenangan Real mengawal tempo
permainan menjadi kunci kepada kemenangan mereka. Meskipun digempur dengan
serangan bertubi-tubi, Real tetap stabil dalam menyerap asakan lawan serta
mengawal benteng pertahanan mereka dengan baik. Dalam soal ini, peranan
Casemiro sangat penting dalam melindungi empat lagi rakan sepasukan yang berada
di belakangnya. Jadi tidak hairanlah mengapa terdapat analogi yang menyebut
bahawa Casemiro seperti `simen di antara batu bata’.
Perbandingan
Di peringkat awal kariernya,
Casemiro mengakui bahawa beliau bermula sebagai penyerang tetapi akhirnya peranan
sebagai `pemain nombor 6’ sudah tidak lagi dapat dipisahkan darinya. Dalam
saingan La Liga musim lalu, Casemiro muncul pemain paling banyak memenangi
semula penguasaan bola di zon `final third’. Dari catatan statistik yang
dikeluarkan WhoScored, beliau melakukan purata 2.8 `tackle’ per perlawanan
berbanding dua lagi `defensive midfielder’ United iaitu Fred (2.7) dan
McTominay (2.4).
Bagaimana pula purata hantaran
yang dilakukan beliau dalam setiap perlawanan? Secara purata, Casemiro
melakukan 68.7 hantaran per perlawanan, catatan yang jauh lebih tinggi
berbanding Fred (59.9) dan McTominay (46.2). Secara keseluruhan, peratus
ketepatan hantaran yang dilakukan Casemiro di La Liga musim lalu mencapai angka
86% berbanding Fred (84%) dan McTominay (85.6%). Catatan ini turut meletakkan
Casemiro di tempat teratas berbanding mana-mana pemain tengah United.
Dalam aspek `offensive’ pula terutamanya
jumlah gol dan bantuan gol, Fred lebih unggul menerusi empat gol dan empat
bantuan gol yang dihasilkannya berbanding Casemiro (satu gol dan tiga bantuan
gol). Catatan ini sebenarnya lebih dipengaruhi oleh peranan dimainkan Casemiro
bersama Real yang lebih bertahan. Zon aktif Casemiro lebih tertumpu di bahagian
tengah atau lebih tepatnya, zon yang sangat penting untuk United memiliki
seorang pemain tengah bertahan kelas dunia.
Penutup
Pada April 2018, atau dua bulan
sebelum kedatangan Fred ke Old Trafford, Jose Mourinho mendambakan seorang
pemain Brazil berada dalam skuadnya. Menurut Mourinho beliau inginkan seorang
pemain Brazil bagi memberikan elemen `Brazil’ dalam skuadnya. “Sesebuah pasukan
bolasepak tanpa pemain Brazil bukanlah pasukan bolasepak. Mereka memiliki bakat
yang fantastik dan kreativiti pemain Brazil tidak mampu diukur”, kata Mourinho
kepada ESPN.
Akhirnya selepas empat tahun tamatnya
era Mourinho, United kini memiliki dua pemain Brazil dalam skuad utama mereka,
iaitu Fred dan Casemiro. Casemiro mungkin bukan pemain Brazil paling
mempersonakan pernah anda lihat, juga bukan `flamboyant’ seperti Neymar atau
Ronaldinho. Tetapi tugas Casemiro ialah bertarung merebut bola, mengawal tempo
permainan, melindungi rakan-rakan di benteng pertahanan serta sesekali
melakukan sedikit kerja-kerja kotor.
Kehadiran Casemiro memang mengujakan, terutamanya di tengah-tengah kemelut isu konsistensi membabitkan gandingan `McFred’. Bagaimanapun adalah tidak adil untuk anda mengharapkan impak segera diberikan beliau. Kehadiran Casemiro bakal menambah kualiti jentera tengah United, terutamanya untuk peranan sebagai `pemain nombor 6’, posisi yang sebenarnya sudah begitu lama menjadi barah dan mendera permainan United. “Bienvenido Casemiro”…Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan