Ketika zaman kanak-kanaknya,
beliau lebih dikenali sebagai Dico, bukan `Pele’. Kerana Dico adalah nama
panggilan beliau dalam keluarganya. Malahan Dico sendiri ketika kecil tidak
menyukai bila rakan-rakan seusianya memanggil beliau dengan nama `Pele’. Bagi
Dico, `Pele’ adalah satu bentuk penghinaan kepadanya. Bagaimanapun Pele akhirnya
muncul nama besar dalam dunia bolasepak, legenda dan ikon yang disebut-sebut
ketika eranya sebagai pemain hinggalah ke hari ini.
Untuk itu, terima kasih juga kepada
rakan-rakan sekolah Dico, yang memanggil beliau dengan nama `Bile’ (tetapi
disalah sebut menjadi `Pele’), hinggakan nama itu terus harum merentasi zaman.
Menurut ESPN, ketika era kemuncaknya sebagai pemain, hanya Pele yang mampu
menandingi populariti Muhammad Ali sebagai ikon dan bintang sukan dunia. Pada
usia 18 tahun, Pele sudah menjulang Piala Dunia, kemudian beraksi selama lebih
dua dekad sebelum mengakhiri kariernya bersama New York Cosmos.
Kemiskinan adalah cerita yang stereotaip
dengan masa silam bintang-bintang bolasepak kelahiran Brazil. Kerasnya dalam
mengharungi hidup di `favela’ membentuk mereka menjadi insan yang kuat. Mereka
melihat bolasepak sebagai satu-satunya jalan keluar dari belenggu kemiskinan, untuk
itu Pele juga tidak terkecuali. Dilahirkan di daerah terpencil Tres Coracoes,
Pele dibesarkan dalam keluarga miskin pasangan Joao Ramos dan Dona Celeste, malah
untuk mendapatkan sebiji bola adalah sesuatu yang terlalu mahal bagi mereka.
Stokin yang didalamnya diisi
dengan potongan kain buruk adalah alternatif kepada sebiji bola yang digunakan
Pele ketika beliau mengasah bakatnya secara bersendirian. Bayangkanlah
bagaimana sukarnya mengawal `bola’ yang tidak bulat sepenuhnya itu ketika berlatih.
Tetapi `bola’ itu jugalah sebenarnya yang membentuk karakter, skill dan teknik
permainan Pele. Potensi besar Pele akhirnya berjaya dihidu Waldemar de Brito
yang menawarkan beliau untuk menjalani satu sesi `trial’ bersama Santos, salah
sebuah kelab terkemuka Brazil.
Dalam salah satu momen,
penampilan Pele benar-benar mengejutkan Lula (pengendali Santos). Apa tidaknya
kerana seorang budak yang baru berusia 15 tahun dengan mudah berjaya menewaskan
Formiga, pertahanan handalan Santos ketika itu. Pele menandatangani kontrak
profesionalnya pada usia 15 tahun, dan pada 7 September 1956 beliau diturunkan
Lula dalam kesebelasan Santos ketika berdepan Corinthians. Pada perlawanan itu,
Pele menjaringkan gol pertama dari 1,280 gol yang beliau hasilkan sepanjang
kariernya.
Pada musim pertamanya bersama
Santos, Pele meledak 32 gol lantas menobatkan beliau selaku penjaring terbanyak
Liga Brazil. Ratio gol yang dihasilkannya benar-benar mengagumkan untuk seorang
remaja yang baru berusia 17 tahun. Setahun selepas itu, Piala Dunia edisi 1958 berlangsung
di Sweden, dan sepertimana yang dijangkakan, Pele dipanggil untuk menjalani
sesi pemilihan skuad kebangsaan. Bagaimanapun timbul keraguan sama ada Pele
layak dibawa ke Sweden atau tidak kerana faktor umur dan perwatakannya.
“Pele terlalu muda. Dia masih
lagi seorang budak yang naif. Dia tidak memiliki semangat juang yang
diperlukan. Dia juga terlalu muda untuk berdepan dengan tekanan dan lawan yang
agresif. Juga tiada rasa tanggungjawab serta semangat berpasukan. Saya tidak
menyarankan anda untuk membawa dia ke Sweden”, saran Joao Carvalhes yang juga
merupakan pakar sosiologi pasukan kepada Vincente Feola. Bagaimanapun Pele
bernasib baik kerana Feola memang seorang pengendali yang keras kepala.
Selepas membaca laporan
Carvalhes, Feola berkata, “Kamu mungkin betul, tetapi masalahnya kamu juga
bukanlah seorang pakar bolasepak. Jika dia cergas, saya akan bawa dia ke
Sweden”. Keputusan Feola ternyata tepat, apabila pada penampilan pertamanya di
Piala Dunia, Pele berjaya membantu Brazil menjulang Piala Dunia buat kali
pertama. Bukan itu sahaja, Pele juga muncul penjaring termuda di Piala Dunia,
penjaring gol termuda di final dan pemain termuda yang pernah menjulang
kejuaraan Piala Dunia.
Kejayaan di Sweden merupakan
sebuah janji yang dipenuhi Pele untuk ayahnya. Kerana ketika Brazil tewas di
final pada edisi 1950, Pele melihat ayahnya menangis. Ketika itulah Pele
berkata, “Tidak mengapa ayah. Suatu hari nanti aku akan bawakan Piala Dunia
untukmu”. Pele melakukannya bukan sekali tetapi tiga kali, kerana selepas itu
beliau berjaya membantu Brazil menjulang Piala Dunia pada edisi 1962 dan 1970.
Satu pencapaian hebat yang hingga kini tidak mampu disentuh oleh mana-mana
pemain terhebat bolasepak moden.
Empat tahun sebelum
melengkapkan kejuaraan Piala Dunia ketiganya, Pele sebenarnya hampir sahaja
bersara. Pada edisi 1966, Pele ternyata kecewa dengan pendekatan pemain lawan
yang melakukan terjahan-terjahan keras ke atasnya. Selepas berakhirnya cabaran
Brazil, Pele secara mengejut mengumumkan bahawa ini adalah kempen Piala Dunia
terakhirnya. “Ini Piala Dunia terakhir saya kerana bolasepak seperti medan
perang. Jika bolasepak bererti perang, maka saya akan menggantung `boot’ dan
melupakan bolasepak”.
Bagaimanapun pada edisi 1970,
Pele melakukan penampilan lagi di Piala Dunia bersama skuad `Selecao’ yang ketika
itu dilabel sebagai kesebelasan terbaik Brazil sepanjang zaman. Selepas
persaraan beberapa pemain senior, Brazil ketika itu diperkuatkan generasi emas
mereka menerusi nama-nama seperti Jairzinho, Rivelino, Gerson, Tostao,
Clodoaldo dan Carlos Alberto Torres. Pada usia 30 tahun, Pele kini menjadi
salah satu pemain senior yang dibawa Mario Zagallo dalam kempen mereka di
Mexico.
Sepanjang kejohanan, Pele
meledak empat gol termasuk satu jaringan yang dihasilkannya ke gawang Itali di
pentas final sekaligus melengkapkan kejuaraan Piala Dunia ketiga Brazil dan
juga untuk dirinya. Menurut Tarcisio Burgnich, pertahanan Itali yang ditugaskan
mengawal Pele, legenda Brazil itu bukan manusia biasa. “Sebelum perlawanan,
saya yakin mampu mengatasinya kerana Pele juga manusia biasa yang dicipta dari
tulang dan daging. Bagaimanapun saya silap, kerana Pele bukanlah manusia
biasa”, kata Burgnich.
Mexico `70 adalah kemuncak
kepada karier Pele, dan selepas itu beliau mengumumkan persaraan dari dunia
bolasepak. Bagaimanapun masalah kewangan yang dihadapinya memaksa Pele keluar
dari persaraan. Lima tahun selepas kejayaan di Mexico, Pele beraksi untuk New
York Cosmos di Liga Bolasepak Amerika Utara selama dua tahun. Pada Oktober
1977, Pele bermain bolasepak buat kali terakhir, menutup kariernya sebagai
pemain dalam satu perlawanan persahabatan antara New York Cosmos dan Santos.
Bagi bakat sehebat Pele,
tentunya ada pertanyaan mengapa beliau tidak pernah bermain untuk kelab-kelab
besar di benua Eropah? Selepas penampilan sensasi beliau pada Piala Dunia 1958,
Pele sebenarnya menerima banyak tawaran untuk bermain di Eropah. Bagaimanapun
hati Pele hanya untuk Santos, apatah lagi Janio Quadros (Presiden Brazil ketika
itu) mengumumkan bahawa Pele adalah khazanah negara, sekaligus hampir menutup
segala kemungkinan untuk beliau bermain di Eropah.
Pele tidak pernah memenangi
anugerah Ballon d’Or secara rasmi, kerana anguerah tersebut pada mulanya hanya
diberikan untuk pemain Eropah sehinggalah peraturan itu dipinda pada 2007. Pada
2014, France Football menganjurkan satu upacara khas sempena ulang tahun ke-60
Ballon d’Or. Pada upacara khas tersebut, Pele dianugerahkan tujuh Ballon d’Or
(1958, 1959, 1960, 1961, 1963, 1965 dan 1970). Menurut France Football,
menerusi kriteria yang sama, Pele layak dianugerahkan Ballon d’Or pada tahun-tahun
tersebut.
Pengaruh Pele kepada dunia
melangkaui sempadan. Pada 1967, dua kumpulan gerila di Nigeria melakukan
gencatan senjata semata-mata mahu menyaksikan aksi Pele dalam jelajah beliau di
Lagos. Ketika beliau mengumumkan persaraan pada 1977, akhbar-akhbar utama di
Brazil menulis tajuk utama “Langit Pun Menangis” di muka depan mereka. Pada
1999, FIFA menobatkan Pele sebagai `Pemain Terbaik Abad Ini’ bersama Diego
Armando Maradona, manakala Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa menamakan beliau
sebagai `Atlet Abad Ini’.
Pada awal pagi Jumaat, Pele menghembuskan
nafas terakhirnya selepas lama bertarung dengan penyakit kanser yang
dihidapinya. Kita tidak pernah menyaksikan Pele beraksi secara langsung, tetapi
kita tahu bahawa beliau pemain bolasepak terhebat pernah dilahirkan. Sentiasa
ada perdebatan berpanjangan dalam memilih siapa yang terbaik antara Lionel
Messi atau Cristiano Ronaldo. Tetapi untuk Pele, kita akan sepakat mengatakan bahawa
beliau adalah `Raja Bolasepak’ sebenar. Adeus O Rei!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan