09 April 2023

LENYAP AKIBAT KEBODOHAN SENDIRI

 


Musim 2019/20, Mason Greenwood mencuri tumpuan apabila sepanjang musim tersebut beliau berjaya meledak 19 gol untuk Manchester United dalam semua peringkat kejohanan. Dengan `skill’ bolasepak luarbiasa bagi seorang remaja yang baru berusia 19 tahun ketika itu, naluri pembunuhnya setiap kali berada di dalam petak penalti lawan serta kemampuan beliau menjaringkan gol dari pelbagai sudut meletakkan nama Mason selaku antara bakat muda paling mempesonakan di sekitar Eropah. Ringkasnya, beliau adalah bintang dalam pembikinan.

 

Mason adalah prospek masa depan bukan sahaja untuk United tetapi juga skuad kebangsaan England. `Di kakinya’, kita mendambakan agar suatu hari nanti beliau akan menjadi penggempur berbisa, tonggak utama dan legenda kelab. Pada Julai 2020, Mason muncul pemain berusia 18 tahun kedua selepas Wayne Rooney yang berjaya menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut untuk United. Meskipun Mason mengakui bahawa Rooney merupakan idolanya tetapi gaya permainan beliau lebih mirip kepada penampilan Robin Van Persie.

 

Sepertimana Robin, Mason juga memiliki kekuatan pada kedua-dua kakinya selain kombinasi `skill’ yang hebat, fizikal yang kuat dan visi permainan yang bagus. Menurut Gary Neville, Mason adalah contoh penyerang yang `complete’. “Di Manchester United, anda melihat Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood. Kemudian anda terfikir siapakah di antara mereka yang mampu menjaringkan gol dari pelbagai sudut. Di dalam atau di luar petak penalti, menerusi kaki kanan atau kiri. Pemain itu pastilah Mason dan dia baru berusia 18 tahun”, kata Neville.

 

Potensi Besar

 

Pada Mac 2019, potensi besar milik Mason menarik minat Ole Gunnar Solskjaer. Sebagai bekas penggempur berbisa, mudah bagi Solskjaer untuk mengesan potensi yang ada dalam diri Mason untuk muncul penggempur menggerunkan suatu hari nanti. Pada aksi kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara menentang Paris St Germain, Mason akhirnya diberikan penampilan pertamanya. United berjaya menyingkirkan PSG menerusi jaringan penalti Marcus Rashford, tetapi lebih daripada itu Mason pula sedang memulakan langkah pertama dalam karier profesionalnya.

 

Bagi seorang pemain muda seperti Mason, melakukan `debut’ untuk United di pentas tertinggi seperti Liga Juara-Juara merupakan satu langkah besar yang dilakukan beliau dalam kariernya. Pada usia 18 tahun, Mason menjaringkan 10 gol di Liga Perdana, dan dalam hal ini cuma ada seorang pemain yang menjaringkan lebih banyak gol pada usia yang sama iaitu Michael Owen. Pada musim 1997/98, Owen menjaringkan 18 gol untuk Liverpool, satu catatan yang sangat fenomenal untuk seorang pemain remaja seperti beliau.

 

Jika pada aksi menentang PSG, Mason agak gugup, tetapi penampilan beliau dalam saingan Liga Europa pula (musim 2019/20) menerusi lima gol yang diledaknya benar-benar memukau. Ketika Solskjaer membina United menerusi generasi pemain-pemain muda dari akademi kelab, Mason merupakan pemain muda United paling menonjol berbanding Tahith Chong, Angel Gomes, James Garner atau Teden Mengi. Mason memang pemain muda berbakat besar, bintangnya sedang bergemerlapan, tetapi beliau akhirnya terlupa bagaimana mahu mengawal gaya hidup luar padangnya. 

 

Masalah Disiplin

 

Pada Februari tahun lalu, kita dikejutkan dengan berita bahawa Mason didakwa dengan tuduhan cubaan merogol dan memukul kekasihnya yang berusia 18 tahun. 24 jam selepas itu, United kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengecam sebarang bentuk keganasan dan menggantung Mason dari berlatih serta bermain untuk kelab. Ini bukanlah isu disiplin pertama yang melingkari karier Mason kerana setahun sebelum itu, beliau juga pernah dihantar pulang dari kem latihan skuad kebangsaan di Iceland kerana menyeludup masuk wanita ke bilik hotel.

 

Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 yang sedang memuncak, ada beberapa pemain di Liga Perdana yang cenderung melanggar peraturan pencegahan wabak tersebut, tetapi Mason paling menonjol. Mason pernah tertangkap kerana memandu di sekitar Altrincham ketika larangan keluar dari kediaman sedang dikuatkuasakan selain mengadakan parti di Salford. Di sebalik segala kontroversi yang menyelubungi kariernya, Mason selepas insiden di Iceland berjaya menjaringkan 35 gol untuk United menerusi 125 penampilan dan dilakukan beliau pada usia yang sangat muda.

 

Sebaik kempen bolasepak Eropah disambung pada Jun 2020, Mason menjaringkan lima gol dari 13 aksi terakhir Liga Perdana untuk United. Perlu diakui bahawa beliau antara pemain yang berperanan besar dalam membantu United menamatkan kempen liga di tangga ketiga. Ini juga bermakna United bakal beraksi semula di saingan Liga Juara-Juara pada musim 2020/21. Penampilan cemerlang Mason menyaksikan beliau disenaraikan Gareth Southgate dalam skuad kebangsaan pada aksi menentang Iceland dan Denmark di saingan UEFA Nations League.

 

Tidak cukup dengan itu, Mason juga diletakkan dalam senarai lima pemain remaja paling bernilai di dunia oleh CIES Football Observatory dengan tafsiran nilai sebanyak £133.9 juta. Bagaimanapun gaya hidup Mason memusnahkan kariernya dalam sekelip mata. Kali terakhir anda melihat penampilan Mason ialah pada 19 Januari 2022 dalam aksi liga menentang Brentford sebelum beliau ditahan pihak berkuasa. Meskipun pada Februari lalu mahkamah membebaskan Mason dari empat dakwaan keganasan dan serangan seksual, namun itu tidak bererti beliau boleh kembali bermain.

 

Penutup

 

Ketika masa depan Mason masih menjadi tanda tanya dan pihak berkuasa pula terus menjalankan siasatan, United pula berdepan dilema. Mason merupakan pemain muda berbakat besar, mungkin bakat kelahiran akademi paling bernilai dalam tempoh  sedekad pernah disaksikan. Mason masih muda, pemain benilai tinggi, punya bakat hebat dan sangat berpotensi untuk muncul bintang besar suatu hari nanti. Bagaimanapun Mason juga boleh menjadi pemain yang tiada nilai langsung dalam sekelip mata akibat dari masalah disiplin yang beliau hadapi.

 

Suatu masa dahulu, United diketuai oleh seorang pemimpin yang penuh ketegasan dan karisma seperti Roy Keane. Jika `Keano’ masih bermain, beliau adalah pemimpin paling sempurna yang mampu mendisiplinkan pemain muda seperti Mason. Jika `Keano’ masih bermain, mungkin juga nasib Mason tidak seperti ini. Adakah suatu hari nanti kita masih dapat melihat Mason kembali memperagakan bakat dan potensi besarnya di atas padang? Atau adakah bakat hebat ini akan tenggelam dan lenyap akibat dari kebodohan sendiri? Glory Glory Manchester United!!!  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan