Pada 1993, Manchester United
memenangi kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun. Sejak itu Sir
Alex Ferguson berjaya meletakkan kembali United selaku kuasa dominan dalam
kancah bolasepak Inggeris sehinggalah Arsene Wenger tiba di Highbury pada Ogos
1996. Berbanding Fergie, Wenger pula ketika itu bukanlah antara pengurus
berprofil tinggi dalam dunia bolasepak, juga tidak pernah mengendalikan
mana-mana kelab besar di mana-mana liga besar sekitar Eropah. Jadi cabaran di
England bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi Wenger.
Jadi tidak hairanlah mengapa
keputusan Arsenal merekrut Wenger dari Nagoya Grampus Eight bukan sahaja
mengejutkan penyokong mereka, tetapi juga para pemerhati bolasepak. Kedatangan
`The Professor’ ke Highbury membuatkan ramai pihak kehairanan dan skeptikal
tentang kemampuan beliau mengangkat kembali martabat Arsenal yang sudah tiga
tahun tidak menjulang apa-apa kejuaraan. Sepertimana gelaran `The Professor’
yang diberikan kepadanya, Wenger memang seorang pengendali yang genius.
Musim pertama Wenger di
Highbury, beliau mengejutkan ramai pihak menerusi kejayaannya mengemudi Arsenal
menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Satu pencapaian menakjubkan untuk
`rookie’ seperti beliau. Musim berikutnya (1997/98), ketenangan Fergie akhirnya
terusik kerana kini beliau sedar bahawa sudah ada pencabar baharu yang mampu
merosakkan dominasi United di England. Hanya pada musim keduanya di Highbury,
Wenger berjaya mengemudi Arsenal menjulang kejuaraan `double’ menerusi kejayaan
muncul juara Liga Perdana dan Piala FA.
Motivasi Fergie
Fergie kini sedar bahawa Wenger
bukanlah calang-calang pengurus, dan jika hal ini tidak ditangani dengan baik,
warga Perancis itu mampu mencabar kedudukan beliau selaku pengendali paling sukses
di Liga Perdana. Kehadiran Wenger bukan hanya membuatkan jiwa Fergie bergelora
tetapi turut menjadikan beliau lebih kompetitif. Azamnya ketika musim 1998/99
bermula bukan sahaja merampas semula trofi Liga Perdana dari tangan Wenger,
tetapi juga menyediakan skuad yang cukup kompetitif untuk bersaing di pentas
Eropah.
Musim 1998/99 merupakan musim
yang akan dikenang sampai bila-bila oleh para penyokong United. Kerana pada
musim itulah United meletakkan tanda aras baharu kepada mana-mana pencabar domestik
mereka menerusi kejayaan menjulang kejuaraan `treble’ (Liga Perdana, Piala FA
dan Liga Juara-Juara). Pencapaian yang hingga sekarang masih belum mampu digapai
atau diatasi oleh mana-mana kelab Inggeris. Bagaimanapun untuk melakukannya,
United terpaksa berdepan laluan sukar kerana cabaran hebat yang diberikan
Arsenal sepanjang musim.
United dipaksa untuk bertarung
hingga ke perlawanan terakhir liga sebelum mereka berjaya merampas semula trofi
Liga Perdana dari genggaman Arsenal menerusi kelebihan hanya satu mata. Dalam
kempen Piala FA pula, tiada jalan mudah untuk United. Dalam misi mereka mara ke
Wembley, United terpaksa menyingkirkan terlebih dahulu pencabar-pencabar mereka
dari Liga Perdana seperti Middlesbrough, Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Sudah
tentu pertarungan paling diingati tentunya membabitkan United dan Arsenal di
peringkat separuh akhir.
United perlukan segala
keajaiban yang ada pada pertarungan ulangan yang dilangsungkan di Villa Park
sebelum mereka berjaya menyingkirkan Arsenal menerusi jaringan emas dari
gerakan solo Ryan Giggs. Pertarungan pada 14 April 1999 di Villa Park itu
adalah definisi sebenar tentang `tuah’ dan `nasib’ yang sentiasa melingkari
dunia bolasepak. United mara ke Wembley dan pada 22 Mei 1999, mereka menjulang
kejuaraan Piala FA buat kali ke-10 menerusi kejayaan menewaskan Newcastle
United (2-0) di pentas final.
Di pentas domestik, dendam Fergie
terhadap Wenger pada musim sebelumnya tuntas menerusi kejuaraan `double’ yang
berjaya dimenangi United. Misi dalam saingan domestik sudah pun selesai, tetapi
Fergie masih punya ambisi besar sebelum United menamatkan kempen 1998/99 secara
rasmi. Sasaran United selepas ini ialah cuba memenangi trofi Liga Juara-Juara
buat kali kedua dalam sejarah kelab. Tetapi Bayern Munich yang bakal mereka
hadapi di pentas final bukanlah calang-calang pasukan. Di atas kertas, gergasi
Jerman itu adalah lawan yang lebih unggul.
Pada tanggal 26 Mei 1999 di
Camp Nou, United sekali lagi membuktikan bahawa keajaiban, tuah dan nasib
adalah elemen yang tidak dapat dipisahkan dari bolasepak. Selepas ketinggalan
menerusi gol jaringan Mario Basler, United melakukan antara kebangkitan
terhebat dalam dunia bolasepak menerusi dua gol yang dihasilkan mereka di masa
kecederaan. Jaringan Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer bukan sahaja
meranapkan impian Bayern, tetapi juga meletakkan United dalam dimensi berlainan
berbanding mana-mana pencabar mereka di England.
Cabaran Buat Wenger
Menamatkan musim 1998/99 dengan
kejuaraan `treble’ adalah satu pencapaian bersejarah yang dilakar Fergie, juga
pencapaian yang hingga kini cuma mampu dicemburui oleh mana-mana pengurus di
Liga Perdana. Kejuaraan `treble’ bukan cuma satu catatan sejarah baharu, tetapi
juga satu isyarat dari Fergie bahawa United masih lagi kesebelasan yang lebih
baik berbanding Arsenal. Ketika pesta di Old Trafford masih berterusan, jauh di
Highbury pula Wenger bukan sekadar memerhati, tetapi otaknya ligat mencari
solusi bagaimana caranya mahu menghentikan United.
Kejayaan United pada musim
1998/99 menguatkan lagi azam Wenger untuk memperkuatkan kesebelasan Arsenal
bagi menghadapi musim baharu. Jauh di kota Turin, beliau melihat ada seorang
bintang muda meningkat naik yang sangat berpotensi untuk beliau bentuk menjadi
penggempur paling `mematikan’ di Liga Perdana. Pemain yang saya maksudkan
tentunya Thierry Henry. Henry berdepan kesukaran mendapatkan minit permainan
bersama Juventus, tetapi Wenger yakin inilah pemain yang mampu menjadikan
barisan hadapan Arsenal lebih menggerunkan.
Akhirnya pada musim panas 1999,
Henry tiba di Highbury dengan nilai perpindahan cuma €11 juta. Pada awalnya
kehadiran beliau gagal memberikan impak yang signifikan kepada barisan hadapan
Arsenal, apatah lagi dari 17 penampilan pertamanya, Henry cuma mampu meledak
dua gol. Ketika Henry masih bergelut dalam usahanya beradaptasi dengan tempo
bolasepak di England, United pula terus mendominasi saingan Liga Perdana
menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan liga pada musim 1999/2000 dan
2000/01.
Dua musim di Liga Perdana,
Henry akhirnya berjaya dibentuk Wenger sebagai penggempur yang menggerunkan.
Kelajuan, stamina serta kawalan bola memukau yang dimiliki Henry memudahkan
Wenger untuk meletakkan beliau sebagai penyerang sayap, penyerang kedua atau
sebagai `target man’ dalam perancangan taktikalnya. Pada musim 2001/02,
dominasi selama tiga musim United di Liga Perdana akhirnya berjaya ditamatkan
Arsenal menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan `double’ buat kali kedua
dalam tempoh empat musim.
Melengkapkan lagi musim
gemilang Arsenal, Henry turut dinobatkan selaku penjaring terbanyak menerusi 24
gol yang beliau ledak dalam saingan liga. Kejayaan Wenger meletakkan Arsenal
kembali di takhta kejuaraan Liga Perdana menyebabkan Fergie membatalkan
hasratnya untuk bersara. Bagi Fergie, satu keaiban jika beliau bersara ketika
mahkota kejuaraan United dirampas Arsenal, dan ini bukanlah waktu yang tepat
untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bolasepak. Sepertimana pada
musim 1997/98, kejayaan Arsenal melonjakkan kembali motivasi Fergie.
`Invincible’
Pada musim 2002/03, United
gagal mengulangi pencapaian `treble’ sepertimana dilakukan mereka pada musim
1998/99. Tetapi kejayaan merampas semula trofi Liga Perdana dari tangan Arsenal
tetap satu pencapaian yang mampu membuatkan Fergie kembali tersenyum. Di
sebalik kegagalan mempertahankan mahkota kejuaraan liga, Wenger berjaya
membentuk Arsenal menjadi kesebelasan yang lebih kuat pada musim berikutnya.
Mereka bukan sahaja muncul kesebelasan yang lebih solid tetapi juga tidak
disentuh dengan sebarang kekalahan.
Menamatkan saingan musim
2003/04 selaku juara liga dengan status `invincible’ adalah gambaran sebenar
betapa menakutkan skuad `The Gunners’ yang dibentuk Wenger ketika itu. Tatkala memenangi kejuaraan Liga Perdana
adalah satu usaha yang sukar dilakukan, dan memenanginya tanpa disentuh
sebarang kekalahan adalah satu tugas yang hampir mustahil dilakukan. Tetapi
pada musim tersebut, misi hampir mustahil itu berjaya dilakukan Wenger. Apa
yang paling menariknya, kejayaan itu dilakukan Wenger tanpa sebarang rombakan
besar-besaran.
Pada musim panas 2003, Arsenal
dilihat tidak begitu agresif dalam bursa perpindahan pemain. Jose Antonio Reyes
muncul satu-satunya nama besar yang dibawa masuk Wenger bagi memperkuatkan
pasukannya. Selebihnya adalah bakat-bakat sedang meningkat naik seperti Cesc
Fabregas, Gael Clichy dan Robin Van Persie. Berbanding Chelsea yang sedang
membina dinasti baharu mereka, Wenger pula masih percaya bahawa beliau sudah
memiliki skuad yang cukup kuat. Apa yang perlu dilakukan beliau ialah beberapa
penambahbaikan di beberapa posisi.
Akhirnya Arsenal pada musim
tersebut memang memukau. Jens Lehmann yang menggantikan posisi David Seaman
mengawal pintu gol mereka dengan cukup baik. Gandingan Kolo Toure dan Sol
Campbell sukar ditembusi. Lauren dan Ashley Cole adalah dua `fullback’ dalam
dimensi berbeza. Patrick Vieira dan Gilberto memberikan keseimbangan. Robert
Pires dan Frederik Ljungberg adalah mimpi ngeri kepada mana-mana `fullback’
lawan. Manakala Henry pula penyerang yang sangat menggerunkan menerusi 30 gol
yang diledaknya dalam saingan liga.
`Battle of Old Trafford’ dan
`Battle of the Buffet’
Sepanjang persaingan sengit
membabitkan Fergie dan Wenger, antara United dan Arsenal, terdapat beberapa
momen panas yang menghiasi `permusuhan’ ini. Paling diingati tentunya `Battle
of Old Trafford’ yang menyebabkan Vieira dilayangkan kad merah. Provokasi yang
dilakukan pemain-pemain Arsenal ke atas Ruud Van Nistelrooy selepas kegagalan
beliau menyempurnakan sepakan penalti menyebabkan `perang kecil’ berlaku antara
pemain kedua-dua pasukan. Jika penalti itu berjaya disempurnakan Nistelrooy,
`invincible’ Arsenal tidak akan ujud.
Setahun selepas itu, satu lagi
kekecohan berlaku, dan Old Trafford sekali lagi menjadi saksi bisu. Pada
tanggal 24 Oktober 2004, rententan rekod 49 perlawanan tanpa kalah Arsenal di
Liga Perdana akhirnya lebur. Tiada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan
Arsenal sejak 16 Ogos 2003 dalam saingan liga, tetapi jaringan menerusi Van Nistelrooy
(sepakan penalti) dan Wayne Rooney akhirnya menyaksikan `The Gunners’ tewas
buat pertama kali dalam tempoh lebih setahun. Tentunya kekalahan ini sukar
diterima, apatah lagi ia berlaku ditangan seteru seperti United.
Selepas tamat perlawanan,
berlaku perang mulut membabitkan pemain kedua-dua pasukan ketika mereka menuju
ke bilik persalinan. Kemuncak insiden ini berlaku apabila sepotong pizza yang
dilemparkan pemain Arsenal tepat mengenai muka Fergie. Insiden pada tanggal 24
Oktober 2004 ini lebih dikenali sebagai `Battle of the Buffet’ atau sering juga
disebut `Pizzagate’. 13 tahun selepas insiden itu berlaku, Fabregas akhirnya
mengaku bahawa beliaulah `lelaki misteri’ bertanggungjawab yang melempar
sepotong pizza tepat ke muka Fergie.
Penutup
Insiden `Battle of the Buffet’
adalah kemuncak kepada perseteruan United dan Arsenal atau lebih tepatnya
antara Fergie dan Wenger. Tatkala Roman Abramovich membina Chelsea sebagai
kekuatan baharu bolasepak Inggeris di barat London, permusuhan antara Fergie
dan Wenger pula mula meredup. Selepas kemunculan Chelsea di bawah regim
Abramovich, Fergie tidak lagi melihat Arsenal sebagai pencabar United dalam
perebutan kejuaraan liga.
Tiada lagi perang psikologi
yang berlaku sebelum perlawanan, tiada lagi perang mulut selepas tamat perlawanan
dan tiada lagi percakaran membabitkan pemain kedua-dua pasukan di atas padang.
Ketika musim 2003/04 kekal sebagai musim terakhir Arsenal menjulang mahkota kejuaraan
liga, Fergie pula selepas itu berjaya meletakkan United lima kali di kemuncak
takhta saingan tertinggi bolasepak Inggeris itu sebelum beliau mengumumkan
persaraan pada 2013.
Pada 2009, Wenger mengundang
Fergie ke bilik persalinan selepas United menyingkirkan Arsenal di peringkat
separuh akhir Liga Juara-Juara. Fergie pula akhirnya mengakui bahawa
`invincible’ Arsenal lebih menonjol berbanding 13 medal kejuaraan liga yang
berjaya beliau menangi bersama United. Pada 30 Mac lalu, Fergie dan Wenger muncul
pengurus pertama menerima anugerah berprestij `Hall of Fame’ Liga Perdana sejak
mula diperkenalkan pada 2021.
Bagi penyokong United dan Arsenal dari generasi 90an hingga awal millennium, perseteruan antara kedua-dua pasukan dan pertelingkahan antara Fergie dan Wenger akan sentiasa dikenang sebagai momen terindah membabitkan persaingan dua kelab berseteru. Kini segala keterujaan itu, adrenalin yang memuncak, kemarahan, rasa kecewa dan gembira cumalah momen silam yang tinggal untuk dikenang. Hakikatnya United dan Arsenal kini tidak lagi seperti dulu. Glory Glory Manchester United!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan