Selepas tamat aksi di Anfield musim
lalu yang menyaksikan United tewas 0-7, Chris Sutton mengatakan sudah tiba
masanya Manchester United melucutkan `armband’ dari lengan Bruno Fernandes.
Manakala Gary Neville pula melabelkan penampilan pemain tengah itu sebagai
memalukan. Anda boleh melemparkan apa sahaja kritikan terhadap prestasi Bruno
di Anfield, tetapi satu perkara yang pasti ialah Erik Ten Hag tidak mampu
kehilangan sentuhan beliau dalam mana-mana perlawanan.
Ketika aksi menentang Real
Betis di Old Trafford pada 10 Mac lalu, `tribune’ bergema dengan teriakan
Bruno! Bruno! Bruno! selepas beliau menjaringkan gol ketiga United menerusi
tandukan. Bruno memang wajar diberikan penghormatan kerana kebangkitan yang
dilakukan beliau dari krisis di Anfield dan menjadi inspirasi kepada pasukan.
Beliau terlibat dalam proses terhasilnya gol pertama serta kedua, dan
kemuncaknya Bruno menjaringkan gol ketiga United diminit ke-58.
Sepanjang 90 minit aksi
menentang Betis, Bruno menyentuh bola sebanyak 95 kali, melepaskan lima `key
passes’, dua percubaan `on target’, mencipta dua peluang, melakukan tiga
`dribble’, menyumbang satu `assist’ dan meledak satu gol. “Dia memainkan
peranan sedikit kedalam malam ini. Dari belakang dia melakukan gerakan,
melakukan banyak hantaran-hantaran berkualiti dan dari sana kami mencipta
banyak peluang. Dia sangat cemerlang dan memimpin pasukan sejak minit pertama”,
kata Ten Hag.
Dengan Dan Tanpa Bruno
Musim ini, penampilan Bruno
sekali lagi dijadikan sorotan. Apa tidaknya kerana selepas liga berjalan hampir
separuh musim, Bruno cuma mampu menjaringkan tiga gol dan mencipta dua bantuan
gol berbanding catatan musim lalu (lapan gol dan lapan bantuan gol). Musim
paling produktif buat Bruno berlaku pada musim 2020/21, apabila beliau berhasil
menjaringkan 18 gol dan mencipta 12 bantuan gol. Secara keseluruhan, Bruno
menjaringkan 28 gol dan mencipta 17 bantuan gol dalam semua kejohanan pada
musim tersebut.
Sejak berpindah ke Old Trafford
pada Januari 2020, Bruno sudah terlibat dalam 95% perlawanan untuk United, atau
208 penampilan secara keseluruhannya. Dari 208 penampilannya pula, Bruno
berjaya membantu United menang 144 perlawanan, seri 43 dan kalah 51. Bagaimana
pula rekod United ketika mereka bermain tanpa Bruno? Sepanjang kariernya di Old
Trafford, Bruno cuma terlepas 12 perlawanan, dengan yang terbaru ketika kelab
berkunjung ke Anfield pada Ahad lalu. Catatan United tanpa Bruno pula ialah
mereka menang 8 perlawanan, seri 2 dan kalah 2.
Statistik tanpa Bruno, United
menang 73% perlawanan mereka berbanding 55% (ketika Bruno bermain) dan
menjaringkan lebih banyak gol (2 gol per perlawanan). Bagaimanapun, adalah
tidak adil untuk perbandingan itu dibuat secara berasingan terhadap seorang
pemain yang cuma terlepas sedozen perlawanan sepanjang tempoh hampir empat
tahun. Tambahan pula hampir separuh aksi United tanpa Bruno berlaku ketika
mereka beraksi di pusingan awal kejohanan piala domestik, atau ketika mereka
berdepan perlawanan `yang diramal mampu mereka menangi’.
Pada 6 November 2022, United
bertandang ke Villa Park tanpa kehadiran Bruno dalam saingan liga. Selain
kekalahan 1-3 pada penampilan pertama Unai Emery sebagai pengurus Aston Villa
ialah, United juga mencatatkan `Expected Goals’ (xG) terendah sepanjang musim
2022/23. Empat hari kemudian, United sekali lagi dijadualkan berdepan Villa dan
kali ini di pusingan ketiga Piala Liga pula. Apa yang dapat anda saksikan ialah
penampilan berbeza dipamerkan United di Old Trafford apabila Bruno berada dalam
skuad.
Bruno bukan sahaja berjaya
menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu, tetapi apa yang menariknya ialah
penglibatan beliau dalam kesemua empat gol yang dihasilkan United. Masih ingat
lagi ketika United dibuli Sevilla dalam aksi Liga Europa di Ramon Sanchez
Pizjuan pada April lalu? Bruno cuma mampu memerhati dari `tribune’, tetapi apa
yang menariknya ialah komen Jose Luis Mendilibar selepas tamat perlawanan. “Ia
berjalan lancar untuk kami. Kami menang 3-0 menentang Manchester United yang
bermain tanpa Fernandes dan tanpa sebarang ketakutan”.
Sasaran Kritikan
Aksi liga di Anfield pada Ahad
lalu, United sekali beraksi tanpa Bruno. Musim lalu, Anfield adalah mimpi ngeri
buat Bruno selepas beliau dijadikan `kambing hitam’ atas kekalahan besar 0-7
yang dialami United. Kritikan yang beliau terima selepas `pembantaian’ itu
sangat berlebihan terutama dari bekas pemain United sendiri. Sebelum aksi menentang
Liverpool pada Ahad lalu berlangsung, Richard Keys dan Michael Owen juga menuduh
Bruno sengaja dilayangkan kad kuning ketika berdepan Bournemouth agar beliau
terlepas perlawanan ini kerana penggantungan.
Sangat tidak bertanggungjawab
bila tuduhan seperti itu dilemparkan ke atas pemain yang sebenarnya memiliki
minit permainan paling banyak berbanding mana-mana pemain yang beraksi di
liga-liga utama Eropah. Untuk seorang pemain yang sentiasa ada dalam
momen-momen buruk kelab, tiada keraguan bahawa Bruno juga sebolehnya tidak mahu
terlepas peluang beraksi menentang Liverpool dan mengetuai rakan-rakan
sepasukannya di Anfield.
Musim ini beliau memimpin
kebangkitan United saat mereka ketinggalan dua gol ketika berdepan Nottingham
Forest. Menjaringkan gol kemenangan ketika berdepan Fulham dan juga dominan
ketika mengetuai kemenangan United ke atas Everton dan Chelsea. Anda boleh
lemparkan segala kritikan ke atas penampilan beliau, tetapi dalam masa sama,
anda juga tidak boleh menafikan bahawa dengan lima gol dan lima `assist’ yang
disumbangkannya dalam semua kejohanan musim ini, Bruno merupakan pemain United
paling produktif.
Penutup
Ketika Bruno tiba di Old
Trafford pada Januari 2020, kelab sedang berdepan cemuhan penyokong selepas
kekalahan kepada Burnley di gelanggang sendiri. Kekalahan itu juga merupakan
kekalahan keempat yang dialami United dari tujuh aksi terakhir liga mereka. Tatkala
moral pasukan berada di titik paling rendah, Ole Gunnar Solskjaer sekadar
melakukan sedikit penambahbaikan dalam skuadnya dengan membawa masuk Bruno dari
Sporting Lisbon pada jendela perpindahan pertengahan musim.
Apa yang berlaku selepas itu,
United tidak tewas pada baki 14 perlawanan liga mereka, Bruno meledak tujuh gol
dan di penghujung musim, United menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Dalam
tempoh hampir empat tahun, Bruno bermain di bawah kendalian tiga pengurus
berbeza yang memiliki falsafah bolasepak berlainan. Solskjaer meletakkan Bruno sebagai
`playmaker’ utamanya, kerap berperanan sebagai pemain `nombor 8’ di era Ralf
Rangnick dan fleksibiliti beliau sering digunakan Ten Hag untuk Bruno bergerak
sebagai pemain `nombor 6, 8 dan 10’.
Anda mungkin adakalanya jengkel dengan sikap Bruno yang suka merengus dan mengeluh, tetapi itu sebenarnya adalah sikap kompetitif seorang pemain. Anda mungkin mengatakan bahawa Bruno sudah tidak seperti dulu, tetapi cuba namakan seorang pemain United paling konsisten dalam tempoh empat tahun. Selepas tamat aksi di Anfield tempohari, ada peminat United yang secara sinis mengatakan, “Ada Bruno, United kalah 0-7. Tanpa Bruno, United seri 0-0”. Kasihan Bruno, kerana beliau dihakimi hanya berdasarkan kepada satu perlawanan. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan