21 Oktober 2009

Tiket Ke Pusingan Kalah Mati Jadi Buruan

Liga Juara Eropah - Kumpulan B

CSKA Moscow lwn Manchester United
(22 Oktober 2009, Stadium Luzhniki, Moscow)

http://soccerlens.com/wp-content/uploads/2008/05/wayne-rooney.jpg
Manchester United akan bertandang ke Stadium Luzhniki awal pagi ini dengan misi memburu tiket ke pusingan kalah mati Liga Juara Eropah. United akan berhadapan CSKA Moscow di stadium yang menyaksikan mereka meraih trofi Liga Juara buat kali ketiga selepas menewaskan Chelsea melalui penentuan sepakan penalti pada tahun 2008. United merupakan pendahulu Kumpulan B setelah berjaya menundukkan Besiktas dan Wolfsburg dari dua perlawanan awal mereka dan mengumpul enam mata maksimum. Walau bagaimanapun misi United pagi ini tampak sukar berikutan kunjungan mereka ke Moscow tanpa disertai kelibat Wayne Rooney, Patrice Evra dan Ryan Giggs akibat kecederaan, tambahan pula CSKA yang dibimbing Juande Ramos menang enam perlawanan peringkat Eropah di tempat sendiri.
Giggs PL trophy.jpg
Bagaimanapun tuan rumah juga sedikit tempang dan akan turun tanpa tonggak mereka Marc Gonzalez dan penyerang Brazil, Guillherme. Nemanja Vidic bakal memperkuatkan kembali pertahanan United selepas tidak diturunkan ketika United menerima kunjungan Bolton Wanderers minggu lalu, dan pertahanan Serbia itu dijangka akan digandingkan bersama Jonny Evans memandangkan prestasi tidak menentu yang menghantui Rio Ferdinand. Sementara itu, Sir Alex Ferguson tidak gusar dengan permukaan rumput tiruan yang digunakan di Stadium Luzhniki. "Kami pernah bermain di Luton dan QPR yang menggunakan rumput tiruan, dan kami memperolehi keputusan hebat dalam perlawanan itu meskipun keadaan padang tidak sebaik seperti di Moscow. Permukaan padang di sini lebih baik, jadi saya tidak gusar dengan situasi ini", jelas Ferguson.

19 Oktober 2009

Carrick: United Tetap Hebat Tanpa Rooney

http://m.gmgrd.co.uk/res/556.$plit/C_71_article_1055215_image_list_image_list_item_0_image.jpg?23%2F06%2F2008+11%3A32%3A28%3A785
Michael Carrick

Prestasi tidak menentu kerap menghantui pasukan-pasukan lain jika tidak diperkuatkan pemain tonggak mereka dalam satu-satu perlawanan, tetapi bagi Michael Carrick, situasi ini tidak berlaku ke atas Manchester United. Sekalipun tanpa dibantu kelibat Wayne Rooney, United masih mampu menangani cabaran pasukan kental seperti Bolton Wanderers. Sabtu lalu, United merampas kembali kedudukan teratas takhta liga daripada Chelsea selepas menundukkan pasukan kendalian Gary Megson di Old Trafford. Awal pagi Khamis ini pula, United akan berkunjung ke Stadium Luzhniki berdepan CSKA Moscow dalam perlawanan peringkat Kumpulan B, Liga Juara Eropah. Rooney tiada dalam senarai pemain United ke Moscow kerana masih dibelenggu kecederaan betis ketika menentang Ukraine dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2010. Ferguson juga diberitakan memberikan kesempatan ini buat Rooney menemani isterinya yang bakal melahirkan anak sulung mereka.

Dengan enam mata dari dua kemenangan, United kini menerajui Kumpulan B dan Ferguson tidak mahu mengambil risiko menurunkan Rooney yang dijangka akan kembali cergas ketika United berkunjung ke Anfield hujung minggu ini. United punya misi besar menebus semula kekalahan mereka ditangan Liverpool musim lalu digelanggang yang sama dan khidmat Rooney lebih diperlukan ketika di Anfield nanti. Kemenangan juga akan memastikan United terus kekal menerajui carta Liga Perdana Inggeris. Bagi Michael Carrick pula, United tidak tertekan dengan ketiadaan Rooney dan kekosongan yang ditinggalkan oleh penggempur utama United itu mampu diisi oleh pemain lain. "Ketiadaan Rooney merupakan tamparan buat kami. Anda pastinya inginkan pemain-pemain terbaik membarisi skuad pada setiap perlawanan, tetapi apa yang jelas kami masih mampu meraih kemenangan tanpa Rooney", jelas Carrick.

18 Oktober 2009

United Kembali Ke Kedudukan Teratas

Michael Owen of Manchester United heads towards goal
Manchester United merampas kembali kedudukan teratas liga apabila menewaskan Bolton Wanderers 2-1 di Old Trafford semalam. Dengan pendahulu sebelum ini Chelsea tewas kepada Aston Villa di Villa Park, United turun dengan misi menebus kesilapan ketika diikat Sunderland dua minggu lalu. Michael Owen yang baru pulih dari kecederaan paha diturunkan dalam kesebelasan utama mengggantikan Wayne Rooney di barisan hadapan. Rooney terpaksa diketepikan dari senarai pemain kerana masih dibelenggu kecederaan ketika membantu kempen England dalam kelayakan Piala Dunia 2010. United membuka tirai jaringan seawal minit ke 5 apabila bola tandukan Michael Owen yang tertampan pertahanan Bolton, Zat Knight menerjah ke gawang sendiri. United terus mendominasi permainan selepas itu dan Luis Antonio Valencia menjaringkan gol kedua United diminit ke 32. Gol berpunca dari hantaran pendek Gary Neville didalam kotak penalti yang berjaya disudahkan sayap Ecuador itu untuk meletakkan United selesa mendahului 2-0. Ini juga merupakan gol pertama Valencia untuk United dalam kempen Liga Perdana musim ini.
Ryan Giggs of Manchester United battles with Chung-Yong Lee of Bolton
Bermula di babak kedua, pelawat sempat memberi tekanan buat United menerusi Fabrice Muamba yang berjaya melepaskan rembatan jarak dekat, tetapi Edwin Van Der Sar yang pertama kali diturunkan musim ini selepas pulih dari kecederaan berjaya menyelamatkan keadaan. Selepas itu giliran Zat Knight pula menguji Van der Sar, tetapi bola tandukannya terus ke dakapan penjaga gol berpengalaman itu. United kemudianya hampir menambah jaringan melalui Dimitar Berbatov, tetapi tendangan menarik kapten Bulgaria itu yang menerima hantaran lambung Valencia berjaya diselamatkan Jussi Jaaskelainen di atas garisan gol. Sekalipun ketinggalan dengan 2 gol, pelawat masih sempat memberi tekanan buat United sepanjang 15 minit terakhir permainan. Matthew Taylor akhirnya berjaya merapatkan jurang buat pelawat diminit ke 75 apabila berjaya menanduk masuk bola hantaran lambung dari sebelah kanan pintu gol untuk menewaskan Van der Sar. Gol itu bagaimanapun tidak menghalang United meraih mata penuh sekaligus merampas kembali kedudukan teratas Liga Perdana daripada Chelsea.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Aston Villa (2) lwn Chelsea (1)
Arsenal (3) lwn Birmingham City (1)
Everton (1) lwn Wolverhampton (1)
Portsmouth (1) lwn Tottenham (2)
Stoke City (2) lwn West Ham (1)
Sunderland (1) lwn Liverpool (0)

17 Oktober 2009

United Mahu Elak Kesilapan

http://d.yimg.com/a/p/afp/20091017/capt.photo_1255741788598-1-0.jpg
Manchester United akan melayan kunjungan Bolton Wanderers malam ini dengan misi mahu mengelakkan kesilapan ketika berhadapan dengan Sunderland dua minggu lalu. United memerlukan jaringan minit-minit akhir perlawanan untuk mengikat skuad The Black Cats itu dengan keputusan 2-2, yang mengakibatkan kedudukan mereka ditakhta liga dirampas oleh Chelsea. Malam ini United tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama jika ingin terus menyaingi skuad kendalian Carlo Ancelotti itu yang akan menentang Aston Villa di Villa Park. Tugas berat turut dipikul oleh Sir Alex Ferguson, dimana kesabarannya akan sekali lagi teruji apabila FA Inggeris membuat keputusan memilih Mark Clattenburg sebagai pengadil perlawanan malam ini. Clattenburg memang diketahui sering mengundang kemarahan Ferguson selama ini dengan keputusan-keputusan kontroversinya dan dengan insiden kriktikannya ke atas Alan Wiley dua minggu lalu masih disiasat oleh FA, Ferguson harus berusaha membendung tingkah lakunya bagi mengelak dikenakan hukuman lebih berat.

Wayne Rooney mungkin tidak dapat diturunkan malam ini akibat kecederaan tetapi Ferguson punya pilihan untuk menggandingkan Dimitar Berbatov dan Michael Owen. "Berbatov telah membuktikan ketajamannya semasa meledak hatrik ketika mewakili Bulgaria minggu lalu", ujar Ferguson. Keraguan bagaimanapun tetap ada tentang tahap kecergasan Owen yang baru pulih dari kecederaan pangkal paha sama ada mampu menggantikan tempat Rooney, dan jika bekas penggempur England itu masih belum cergas sepenuhnya, Ferguson mungkin terpaksa memberi peluang kepada Danny Wellbeck atau Federico Macheda membuktikan kemampuan mereka. Selain dari itu, Ferguson juga punya pilihan untuk meletakkan bintang veteran mereka, Ryan Giggs sebaris dengan Berbatov di bahagian hadapan. United harus segera melupakan memori pahit dua minggu lalu dan menjadikan kunjungan Bolton sebagai permulaan kebangkitan skuad Red Devils semula.

13 Oktober 2009

Hargreaves Tidak Sabar Beraksi Kembali

http://img.thesun.co.uk/multimedia/archive/00422/OWEN_280x390_422618a.jpg
Owen Hargreaves

Owen Hargreaves sudah bersedia untuk kembali membarisi skuad utama Manchester United selepas sekian lama dibelenggu kecederaan lutut serius. Hargreaves juga berazam memberikan aksi terbaiknya sebagai hadiah buat penyokong-penyokong United yang selama ini memberi sokongan tidak berbelah bagi terhadapnya. Sebelum ini, pakar-pakar perubatan pernah meramalkan karier Hargreaves akan berakhir akibat kecederaan yang dialaminya, namun hasil kerja keras selama 13 bulan bekas tonggak Bayern Munich itu kini mula menampakkan hasil. Bagi Hargreaves sokongan peminat merupakan faktor utama dia mampu pulih dan bermain kembali. Hargreaves merupakan antara pemain tulang belakang United semasa mereka menjulang trofi Liga Juara musim 2007/2008 tetapi tidak beraksi sepanjang musim lalu akibat siri kecederaan lutut yang panjang.

"Saya hanya ingin kembali menjadi sebahagian dari skuad dan memulakan musim ini dengan baik. Tidak sabar rasanya untuk memberikan aksi terbaik sebagai hadiah buat peminat yang menyokong saya selama ini", ujar Hargreaves kepada MUTV. "Saya berazam untuk memberikan yang terbaik buat peminat dan pasukan, saya akan kembali tidak lama lagi. Saya telah bekerja keras selama ini dan akan berusaha meningkatkan permainan saya", tambahnya lagi. Sementara itu, Sir Alex Ferguson mengatakan bahawa Hargreaves semakin pulih sepenuhnya tetapi tidak bersedia mengambil risiko menurunkan pemain tengah itu dalam tempoh terdekat. Ferguson berpendapat bulan November hadapan merupakan tempoh paling sesuai untuk Hargreaves kembali membarisi kesebelasan utama United.

11 Oktober 2009

United Buru Akinfeev

http://www.sportal.de/profile/fussball/em2004/images/akinfeev.jpg
Igor Akinfeev

Manchester United serius mengintai beberapa penjaga gol kelas dunia, dan termasuk dalam senarai itu ialah penjaga gol kebangsaan Russia dan CSKA Moscow, Igor Akinfeev. Menurut Daily Mail, Akinfeev bakal dilamar oleh United seandainya Edwin Van der Sar mengambil keputusan bersara akhir musim ini. Sejak kebelakangan ini Van der Sar sering mengeluh, kecederaan yang dihadapinya sedikit sebanyak menganggu prestasi semasanya. Van der Sar masih belum memutuskan tentang masa depan kariernya bersama United tetapi penjaga gol berusia 38 tahun itu tampak sudah bersedia menggantung sarung tangannya akhir musim ini. United diberitakan enggan mengambil risiko menanti keputusan yang bakal dibuat Van der Sar tambahan pula prestasi Ben Foster tidak mencapai tahap yang diharapkan. Seorang lagi penjaga gol yang dikatakan menjadi sasaran ialah Julio Cesar dari Inter Milan, tetapi sukar bagi United memujuk Inter untuk melepaskan penjaga gawang utama Brazil itu.
http://i.dailymail.co.uk/i/pix/2009/06/19/article-0-018DEFC000000578-436_468x376.jpg
Jurulatih pasukan kebangsaan Russia, Guus Hiddink menyifatkan, Akinfeev mempunyai bakat yang cukup luar biasa serta bijak membaca arah bola. Hiddink juga meyakinkan United bahawa bakat Akinfeev akan lebih menyerlah jika diberi kesempatan bermain di dalam saingan liga yang lebih besar dan mencabar. "Untuk masa depan kariernya, adalah lebih baik buat Akinfeev menyertai salah satu kelab gergasi di Eropah", ujar Hiddink. United pasti tidak menghadapi halangan untuk mendapatkan Akinfeev memandangkan Presiden CSKA, Yevgeny Giner sendiri bersedia melepaskan penjaga golnya itu dengan harga 20 juta Pound. Giner dikenali sebagai individu yang tidak pernah menghalang pemain-pemainnya untuk mencuba nasib di liga-liga utama Eropah sepertimana dia melepaskan Yuri Zhirkov ke Chelsea. Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah, sekiranya Van der Sar membatalkan hasratnya untuk bersara maka United terpaksa menangguhkan pembelian Akinfeev dan kesempatan itu mungkin diambil oleh kelab lain untuk memancingnya.

10 Oktober 2009

Evra Yakin United Mampu Atasi Real Madrid

http://parlonsdefoot.football.fr/public/images/patrice-evra.TN__.jpg
Evra dan Ronaldo

Pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra meramalkan Manchester United akhirnya akan dipertemukan dengan Real Madrid dalam kempen Liga Juara musim ini. Apabila tiba detik itu, Evra yakin Red Devils mampu menumbangkan skuad Los Galacticos serta melumpuhkan pemain yang menjadi kunci kepada kehebatan Madrid, Cristiano Ronaldo. Ronaldo membantu Madrid mencatat kemenangan seratus peratus dalam lima perlawanan awal mereka di La Liga, tetapi ketika bintang Portugal itu direhatkan pada perlawanan keenam akibat kecederaan, Madrid akhirnya tewas kepada Sevilla. Evra mengakui Ronaldo merupakan salah seorang pemain terbaik dunia tetapi bekas rakan sepasukannya itu punya kelemahan. Sebagai pemain yang pernah beraksi bersama dalam satu pasukan selama empat musim, Evra amat memahami gaya permainan Ronaldo, dan akan mengeksploitasi kelemahan bekas bintang United itu apabila mereka bertemu kelak.
http://m.gmgrd.co.uk/res/769.$plit/C_71_article_1049440_image_list_image_list_item_0_image.jpg?13%2F05%2F2008+14%3A46%3A00%3A153
"Hanya perasaan sahaja yang mampu menjelaskannya. Saya fikir, kami mungkin ditakdirkan bertemu Madrid sekurang-kurangnya di peringkat suku akhir. Saya hanya pernah berdepan sekali dengan Ronaldo dalam kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun. Tetapi saya juga sering berhadapan dengannya dalam sesi latihan ketika dia masih di Old Trafford dan dia pastinya tahu bahawa amat sukar baginya untuk melepasi saya", ujar Evra. "Ronaldo merupakan antara rakan karib saya dan amat sedih melihatnya pergi. Satu perkara tentang Manchester United ialah, tiada seorang pemain pun bergelar bintang dalam pasukan dan perkara ini telah ditanam dalam minda kami oleh pengurus setiap musim", tambah Evra lagi.