19 Oktober 2009

Carrick: United Tetap Hebat Tanpa Rooney

http://m.gmgrd.co.uk/res/556.$plit/C_71_article_1055215_image_list_image_list_item_0_image.jpg?23%2F06%2F2008+11%3A32%3A28%3A785
Michael Carrick

Prestasi tidak menentu kerap menghantui pasukan-pasukan lain jika tidak diperkuatkan pemain tonggak mereka dalam satu-satu perlawanan, tetapi bagi Michael Carrick, situasi ini tidak berlaku ke atas Manchester United. Sekalipun tanpa dibantu kelibat Wayne Rooney, United masih mampu menangani cabaran pasukan kental seperti Bolton Wanderers. Sabtu lalu, United merampas kembali kedudukan teratas takhta liga daripada Chelsea selepas menundukkan pasukan kendalian Gary Megson di Old Trafford. Awal pagi Khamis ini pula, United akan berkunjung ke Stadium Luzhniki berdepan CSKA Moscow dalam perlawanan peringkat Kumpulan B, Liga Juara Eropah. Rooney tiada dalam senarai pemain United ke Moscow kerana masih dibelenggu kecederaan betis ketika menentang Ukraine dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2010. Ferguson juga diberitakan memberikan kesempatan ini buat Rooney menemani isterinya yang bakal melahirkan anak sulung mereka.

Dengan enam mata dari dua kemenangan, United kini menerajui Kumpulan B dan Ferguson tidak mahu mengambil risiko menurunkan Rooney yang dijangka akan kembali cergas ketika United berkunjung ke Anfield hujung minggu ini. United punya misi besar menebus semula kekalahan mereka ditangan Liverpool musim lalu digelanggang yang sama dan khidmat Rooney lebih diperlukan ketika di Anfield nanti. Kemenangan juga akan memastikan United terus kekal menerajui carta Liga Perdana Inggeris. Bagi Michael Carrick pula, United tidak tertekan dengan ketiadaan Rooney dan kekosongan yang ditinggalkan oleh penggempur utama United itu mampu diisi oleh pemain lain. "Ketiadaan Rooney merupakan tamparan buat kami. Anda pastinya inginkan pemain-pemain terbaik membarisi skuad pada setiap perlawanan, tetapi apa yang jelas kami masih mampu meraih kemenangan tanpa Rooney", jelas Carrick.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan