05 September 2010

SPURS HANYA PERSINGGAHAN SEMENTARA VAN DER VAART?

http://images.sportinglife.com/09/02/330/rafael-van-der-vaart_1866164.jpg
Sepkulasi kini bertiup kencang selepas Rafael Van Der Vaart melakukan perpindahan mengejut saat akhir ke Tottenham Hotspurs sebelum pintu perpindahan ditutup jam 6 petang 31 Ogos lalu. Van Der Vaart menyertai kelab utara London itu dari Real Madrid dengan yuran perpindahan sebanyak £8 juta dan sejurus selepas itu ramai percaya Spurs hanyalah persinggahan sementara bintang tengah Belanda itu sebelum menyertai Manchester United. Sumber dalaman dari Real Madrid mendedahkan bahawa Van Der Vaart menjadikan Spurs sebagai opsyen terbaiknya sebelum berusaha memikat hati Sir Alex Ferguson untuk menjadikannya sebagai salah seorang anggota skuad The Red Devils mengikut jejak langkah dua lagi bintang Spurs sebelum ini - Michael Carrick dan Dimitar Berbatov.

Selain Van Der Vaart spekulasi tersebar luas kebelakangan ini bahawa dua bintang Spurs, Luca Modric dan Gareth Bale tidak mampu menahan godaan mengejar kegemilangan beraksi di Theatre of Dreams. Spekulasi tentang Van De Vaart yang telah disiarkan beberapa media cetak di Sepanyol turut disokong dengan kenyataan pemain berusia 27 tahun itu pada Ogos lalu apabila beliau menyatakan: "Jika kamu meninggalkan kelab besar seperti Real Madrid, hanya ada satu kelab sahaja yang kamu akan sertai sebagai bukan langkah kebelakang, ia adalah Manchester United". United sebelum ini adalah antara kelab yang begitu hangat dikaitkan dengan Van Der Vaart disaat beliau diambang perpindahan keluar dari gergasi Sepanyol itu sebelum menyertai Spurs secara mengejut.

04 September 2010

SCHOLES HAMPIR BERSARA MUSIM LEPAS

http://images.sportinglife.com/10/08/330/Paul-Scholes_2482931.jpg
Bintang tengah veteran Manchester United, Paul Scholes hampir menggantung but penghujung tahun lalu. Ketika itu Scholes mahu bersara selepas melihat prestasinya kian merosot. "Ketika itu saya tidak cukup bagus, akibatnya ketika musim perayaan Krismas saya terfikir untuk bersara. Sebelumnya saya terpaksa berehat selama tiga bulan akibat kecederaan", kata Scholes. "Saya memang tidak bermain dengan kerap seperti yang saya inginkan. Saya memang meletakkan standard yang tinggi ketika bermain dan memberikan yang terbaik buat pasukan. Jika saya tidak mampu memberikan semua itu bererti saya akan berhenti setakat ini saja", tambah Scholes lagi. Walau bagaimanapun ketika itu Sir Alex Ferguson nyata mempunyai pandangan yang berbeza dengan Scholes.

Menurut Scholes, Ferguson sering memberikan motivasi kepadanya selain menegaskan bahawa dia masih mampu memberikan yang terbaik buat United. Atas dorongan yang diberikan Ferguson itulah menyebabkan Scholes membatalkan niatnya untuk bersara. "Pengurus sering memberikan perhatian kepada saya, Ryan (Giggs) dan Gary (Neville) dalam dua musim terakhir ini. Saya memang ingin bermain lagi, mungkin 25 atau 30 perlawanan semusim. Namun pada usia sekarang, anda tidak mampu bermain setiap minggu", jelas Scholes lagi. Ternyata motivasi dan dorongan yang diberikan Ferguson membuatkan Scholes mengubah fikiran. Prestasi pemain tengah berambut perang itu juga begitu hebat diawal musim sehingga dianugerahkan pemain terbaik ketika perlawanan merebut trofi Perisai Komuniti dan juga ketika United menewaskan Newcastle United dua minggu lalu.

31 Ogos 2010

RODWELL JADI SASARAN FERGUSON

http://www.uefa.com/imgml/TP/players/14/2010/324x324/1906163.jpg
Sir Alex Ferguson nampaknya masih belum puas membawa masuk pemain muda ke Old Trafford musim ini. Selepas berjaya mendapatkan Javier Henandez, Chirs Smalling dan Bebe, Ferguson terus memburu seorang lagi bintang muda untuk dibawa masuk ke dalam pasukan. Kali ini bintang muda Everton, Jack Rodwell menjadi sasaran Ferguson. United diberitakan bersedia menawarkan sebanyak 20 juta Pound bagi mendapatkan tandatangan Rodwell yang dilabel Pengurus Everton David Moyes sebagai pengganti Wayne Rooney di Goodison Park. Ferguson melihat pemain berusia 19 tahun itu seorang pemain yang mampu menambah sengat dibarisan serangan pasukannya. Dengan tempoh perpindahan yang akan berakhir hari ini, Ferguson mungkin terpaksa menunggu hingga bulan Januari tahun hadapan untuk mendapatkan semula peluangnya menyambar Rodwell dari The Tofees. Pengurus berbangsa Scotland itu memang telah lama meminati kelibat Rodwell dan Ferguson memang memerlukan khidmat pemain bawah 21 tahun England itu untuk merampas semula trofi Liga Perdana Inggeris dari Chelsea.

29 Ogos 2010

ROONEY TAMATKAN KEMARAU JARINGAN


Wayne Rooney menamatkan kemarau jaringannya apabila menyumbang satu daripada tiga gol United ketika Red Devils membenam cabaran West Ham di Old Trafford awal pagi tadi. Rooney membukan tirai jaringan United selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti di minit ke 33. Nani kemudiannya menambah jaringan di minit ke 49 dan gol sumbangan Dimitar Berbatov diminit ke 68 mengesahkan tiga mata penuh buat United. Permainan bermula agak perlahan di awal babak pertama dengan peluang keemasan hanya muncul diminit ke 23 tetapi rembatan Nani berjaya ditepis keluar Robert Green. United akhirnya dihadiahkan sepakan penalti selepas Ryan Giggs dikasari Jonathan Spector dan Rooney mudah menolak masuk memperdayakan Green. Nani sepatutnya menambah jaringan buat United namun sekadar melihat tolakannya melambung tinggi biarpun hanya berdepan dengan Green di depan gawang. Gol kedua United menyusul empat minit selepas babak kedua bersambung apabila Nani bertindak bijak melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang gagal diselamat Green.

Selepas itu barisan United agak longgar dengan membiarkan gerakan Mark Noble dan Julien Faubert memberikan ruang buat Kieron Dyer menguji Edwin Van der Sar di gawang. United berjaya menutup ruang kebangkitan yang cuba dicipta The Hammers apabila Dimitar Berbatov yang menerima hantaran lambung Nani dari sebelah kanan berjaya melepaskan sepakan cantik untuk meletakkan United selesa di hadapan. Selepas mendahului selesa dengan tiga gol, United dilihat cuba mengendurkan cengkaman mereka dengan mengeluarkan Berbatov, Paul Scholes dan Jonny Evans dan memasukkan Chris Smalling, Michael Carrick dan Michael Owen. Tiga mata penuh yang dikutip membolehkan United terus mengekori rapat pendahulu ketika ini, Chelsea yang sebelumnya berjaya menewaskan Stoke City juga dengan jaringan 3-0. Sementara itu Sir Alex Ferguson jelas gembira selepas melihat Rooney menamatkan kemarau jaringannya biarpun sekadar melalui sepakan penalti. Bagi Ferguson gol itu amat penting bagi menyuntik kembali keyakinan Rooney dihadapan pintu gol.

28 Ogos 2010

ROONEY SIAP HADAPI WEST HAM

http://pics.livejournal.com/horatioslover/pic/0003zdwk
Manchester United menerima khabar gembira menjelang kunjungan West Ham di Old Trafford awal pagi nanti selepas penyerang utama mereka, Wayne Rooney disahkan cergas dan bakal diturunkan untuk mennambah sengat di barisan serangan. Minggu lalu, Rooney tidak disenaraikan ketika United berkunjung ke Craven Cottage kerana mengalami jangkitan virus di perutnya. Ketiadaan Rooney dilihat menjejaskan ketajaman jentera penggempur United sehingga menyebabkan skuad Red Devils sekadar berkongsi mata dengan Fulham. Perlawanan ini juga dilihat peluang terbaik Rooney menamatkan kemarau jaringannya sekaligus membantu United meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri. United memang memerlukan tiga mata penuh di Old Trafford dalam perlawanan ini dan tidak membiarkan Chelsea terus mencipta jurang yang lebih luas ditangga teratas.

Sementara itu, Sir Alex Ferguson membalas kritikan Arsene Wenger ke atas bintang veterannya Paul Scholes. Minggu lalu Wenger melabelkan Scholes sebagai pemain yang `mempunyai sisi kotor' ketika beraksi. "Saya tidak tahu mengapa Arsene Wenger mengatakan hal seperti itu. Ia memuji seorang pemain tapi dalam masa yang sama mengatakan keburukannya. Untuk pemain seperti Scholes, ia tidak sepatutnya menerima cercaan seperti itu", kata Ferguson. "Saya boleh menunjukkan seorang pemain Arsenal mengenai kebaikan dan keburukannya tetapi itu tidak perlu saya lakukan. Paul tidak mempunyai terjahan yang bagus tetapi selama ini dia tidak pernah membuatkan seseorang tercedera. Yang pasti dia sudah 18 tahun bermain dan masih menunjukkan kemampuan terbaiknya", tambah Ferguson lagi.

27 Ogos 2010

LIGA JUARA-JUARA: UNITED DAN RANGERS BERADA DALAM SATU KUMPULAN

http://d.yimg.com/a/p/afp/20100826/capt.photo_1282848303401-1-0.jpg
Dua kelab ternama Britain Manchester United dan juara Scotland, Glasgow Rangers bakal berentap sesama sendiri selepas diundi dalam kumpulan yang sama untuk kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Turut berada dalam Kumpulan C itu ialah, Valencia CF dan Bursaspor. Pertemuan United dan Rangers nanti adalah ulangan pertembungan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara musim 2008/09. Perlawanan United dan Rangers juga bakal menyaksikan pertemuan semula Ferguson dengan Walter Smith yang pernah bertindak sebagai penolongnya di Old Trafford pada tahun 2004. "Walter Smith menghubungi saya selepas mengetahui hasil undian. Dia bertanyakan saya tentang tiket untuk perlawanan di Old Trafford nanti. Saya juga tidak sabar menanti perlawanan itu", kata Ferguson. "Kami berpuashati dengan hasil undian dan ia bagus untuk kami. Setiap pasukan pastinya akan berkunjung ke gelanggang lawan dan perjalanan yang paling jauh untuk kami adalah ke Turki", tambah Ferguson lagi. Sementara itu Ketua Eksekutif United, David Gill mengatakan bahawa pertemuan dengan Rangers adalah perlawanan yang paling dinantikan penyokong kedua-dua pasukan. "Ferguson tentunya tidak sabar menanti perlawanan ini. Sudah pasti dia mengenali Walter Smith secara profesional dan peribadi. Kumpulan ini sangat menarik kerana Valencia pasukan yang bagus. Kami juga akan bertemu Bursaspor buat pertama kali", kata Gill.

23 Ogos 2010

FERGIE: KAMI HANYA LAYAK MERAIH SATU MATA


Sir Alex Ferguson mengatakan pasukannya memang layak untuk sekadar berkongsi mata dengan Fulham selepas menyaksikan jaringan minit akhir melalui pemain pertahanan tuan rumah, Brede Hangeland. Hangeland sebelumnya seakan-akan menjadi petualang kepada skuad bimbingan Mark Hughes selepas dia menjaringkan gol sendiri diminit ke 84 untuk memberikan pendahuluan kepada United. Menurut Ferguson, penampilan Fulham terutamanya pada separuh masa kedua jauh lebih baik dari skuad bimbingannya. "Sejujurnya saya melihat Fulham layak berkongsi mata kerana mereka bermain dengan begitu baik di separuh masa kedua", kata Ferguson. "Babak pertama memang menjadi milik kami tetapi penjaga gol mereka (David Stockdale) berjaya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya kami", tambah Ferguson lagi.

United mendahului diminit ke 11 melalui sepakan voli Paul Scholes dari jarak 25 meter, namun tuan rumah berjaya mengikat kedudukan melalui pemain tengah mereka Stephen Davies diminit ke 57. Selepas itu perlawanan kelihatan agak seimbang sehinggalah Hangeland melakukan kesilapan apabila menolak bola masuk ke gawang sendiri hasil sepakan sudut Nani diminit ke 84. Dua minit selepas itu, United seolah-olah bakal membawa tiga mata penuh dari Craven Cottage apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Damien Duff. Walau bagaimanapun Nani yang ditugaskan mengambil sepakan itu sekadar menyaksikan sepakannya ditepis Stockdale. Hangeland akhirnya menebus kembali kesilapannya apabila berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut Duff diminit ke 89 untuk memaksa United berkongsi mata.