Dua kelab ternama Britain Manchester United dan juara Scotland, Glasgow Rangers bakal berentap sesama sendiri selepas diundi dalam kumpulan yang sama untuk kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Turut berada dalam Kumpulan C itu ialah, Valencia CF dan Bursaspor. Pertemuan United dan Rangers nanti adalah ulangan pertembungan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara musim 2008/09. Perlawanan United dan Rangers juga bakal menyaksikan pertemuan semula Ferguson dengan Walter Smith yang pernah bertindak sebagai penolongnya di Old Trafford pada tahun 2004. "Walter Smith menghubungi saya selepas mengetahui hasil undian. Dia bertanyakan saya tentang tiket untuk perlawanan di Old Trafford nanti. Saya juga tidak sabar menanti perlawanan itu", kata Ferguson. "Kami berpuashati dengan hasil undian dan ia bagus untuk kami. Setiap pasukan pastinya akan berkunjung ke gelanggang lawan dan perjalanan yang paling jauh untuk kami adalah ke Turki", tambah Ferguson lagi. Sementara itu Ketua Eksekutif United, David Gill mengatakan bahawa pertemuan dengan Rangers adalah perlawanan yang paling dinantikan penyokong kedua-dua pasukan. "Ferguson tentunya tidak sabar menanti perlawanan ini. Sudah pasti dia mengenali Walter Smith secara profesional dan peribadi. Kumpulan ini sangat menarik kerana Valencia pasukan yang bagus. Kami juga akan bertemu Bursaspor buat pertama kali", kata Gill.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan