20 Oktober 2010

LIGA JUARA-JUARA: UNITED TURUN TANPA ROONEY


LIGA JUARA-JUARA EROPAH 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn BURSASPOR
(Old Trafford, 21 Oktober 2010 jam 02.40 pagi)


Sir Alex Ferguson sekali lagi mengenepikan Wayne Rooney dari kesebelasan utamanya ketika United bakal menerima kunjungan juara Turki, Bursaspor di Old Trafford awal pagi nanti. Langkah Ferguson itu dilihat sebagai petanda jelas bahawa Rooney bakal menuju pintu keluar menjelang tirai perpindahan yang akan dibuka Januari nanti. Dengan ketiadaan Rooney, Ferguson bakal menyandarkan harapannya kepada penyerang muda Mexico, Javier Hernandez yang menjaringkan gol ketika United diikat West Bromwich Albion hujung minggu lalu selaku penggempur bersama Dimitar Berbatov. Ferguson secara terbuka menyatakan bahawa penyerang antarabangsa England itu telah meminta agar dia dilepaskan untuk berhijrah dan berita itu segera menarik minat Chelsea, Manchester City dan Real Madrid untuk mendapatkan tandatangan Rooney. Ferguson seolah-olah telah memberikan isyarat bahawa dia bakal melepaskan Rooney dengan meminta agar penyokong-penyokong United percaya dengan keputusan yang bakal diambil kelab.

Ferguson sempat mengingatkan penyokong United bahawa kelab mampu mencipta dan tidak terlalu bergantung kepada pemain bertaraf bintang seperti Rooney. "Saya ingin mengingatkan penyokong agar terus mempercayai kami. Jika anda melihat sejarah kelab ini dalam tempoh 50 tahun terakhir, jumlah trofi yang dimenangi, penghargaan dan penghormatan yang diterima dari seluruh dunia telah membuktikan segalanya", kata Ferguson. "Kami melahirkan pemain hebat, lebih banyak dari mana-mana kelab Inggeris. Ini merupakan sesuatu yang fantastik dan harus diingati. Adakalanya kami juga mengalami detik-detik sukar seperti musim lalu dimana kami hampir-hampir mencatat sejarah sebagai kelab pertama memenangi trofi Liga Perdana sebanyak empat kali berturut-turut. Namun kami hanya tewas satu mata kepada Chelsea dan ini membuktikan bahawa kami masih lagi sebuah pasukan yang bagus", tambah Ferguson lagi merujuk kepada pemergian Cristiano Ronaldo musim lalu. Menurut Ferguson apa yang penting ketika ini ialah mengambil langkah seterusnya dan dengan struktur yang dimiliki pasukan Ferguson percaya United akan kembali ke landasan sebenar.

18 Oktober 2010

ROONEY SEMAKIN HAMPIRI PINTU KELUAR


Perkara paling hangat yang berlaku di Old Trafford ketika ini ialah spekulasi masa depan Wayne Rooney bersama Manchester United. Media-media Inggeris ketika ini hangat meramalkan Rooney bakal melangkah keluar dari Old Trafford menjelang Januari nanti. Media mula berjaya menghidu konflik yang terjadi antara Rooney dan Sir Alex Ferguson berikutan skandal seks bekas penyerang Everton itu dengan seorang pelacur ditambah prestasi tidak menentu dipamerkan Rooney sejak kebelakangan ini. Perbalahan dengan Ferguson dilihat media sebagai titik nokhtah kerjaya Rooney di Old Trafford sama seperti apa yang dialami Jaap Stam, David Beckham, Ruud Van Nistelrooy dan Carlos Tevez. Konflik bermula selepas skandal seks Rooney dengan seorang pelacur terbongkar dan selepas itu Ferguson meminta agar Rooney segera menyelesaikan masalah peribadinya. Ferguson merehatkan Rooney ketika United berkunjung ke Valencia untuk kempen Liga Juara-Juara mereka dan turut tidak membawanya bersama ketika mereka berkunjung ke Stadium of Light sewaktu berhadapan dengan Sunderland. Ferguson memberikan alasan bahawa kecederaan pergelangan kaki menyebabkan nama Rooney digugurkan dari senarai pemain. Bagaimanapun selepas itu Rooney menyangkal kata-kata Ferguson hingga menyebabkan kredibiliti bos United itu dimata media terjejas.

Konflik antara Ferguson dan Rooney terus memuncak apabila dia sekadar diletakkan Ferguson di bangku simpanan ketika United menerima kunjungan West Bromwich Albion Sabtu lalu. Jika situasi ini terus berlaku ketika United berhadapan dengan Bursaspor dalam perlawanan Liga Juara-Juara Rabu nanti, kesimpulan boleh dibuat bahawa konflik antara keduanya memang sedang meruncing. Ketika ini pun sudah ada suara-suara yang mahukan agar Rooney meninggalkan United, tambahan pula selepas mengambilkira Rooney sudah memenangi semua gelaran utama bersama United. Kini adalah masa yang cukup sesuai buat penyerang antarabangsa England itu menikmati angin baru bersama kelab lain. Setiap pemain memang memerlukan sokongan dari individu di sekelilingnya untuk bersinar namun situasi ketika ini memang tidak berpihak kepada Rooney. Walaupun sebelumnya Rooney begitu tegas menyatakan bahawa dia mahu menamatkan karier bersama United tetapi situasi kini berubah dengan begitu drastik. Ketika ini Real Madrid dilihat kelab yang begitu ideal jika Rooney mahu berpindah. Walaupun minat yang tinggi telah ditunjukkan Manchester City yang juga merupakan musuh setempat United, pemerhati yakin Rooney tidak akan dijual kepada City. Apapun kini keputusan sama ada mahu kekal atau tidak terletak sepenuhnya di tangan Rooney.

17 Oktober 2010

FERGIE KECEWA SELEPAS DIIKAT ALBION

Chris Brunt of West Bromwich Albion battles for the ball with Paul Scholes of Manchester United
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson ternyata begitu kecewa selepas melihat barisan bimbingannya melepaskan peluang keemasan meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri selepas diikat 2-2 oleh West Bromwich Albion malam tadi. Keputusan seri itu juga menyaksikan United gagal merapatkan jurang dengan pendahulu, Chelsea selepas skuad The Blues juga sekadar meraih satu mata di Villa Park. "Kami bermain dengan baik di babak pertama tetapi terlalu banyak membazirkan peluang. Seharusnya sebelum babak pertama berakhir, kami sudah menjaringkan lima gol" kata Ferguson. "Kami memperolehi kesempatan tapi gagal menggunakannya. Saya sangat kecewa kami gagal memenangi perlawanan ini. Ia sesuatu yang tidak boleh diterima oleh penyokong dan saya sendiri", tambah Ferguson lagi. United membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 melalui Javier Hernandez selepas Scott Carson gagal menangkap kemas bola sepakan percuma Nani. United seolah-olah akan menang mudah perlawanan ini selepas Nani menjaringkan gol kedua diminit ke-25 apabila mudah meyudahkan hantaran Dimitar Berbatov.

Pelawat bagaimanapun hanya memerlukan 4 minit selepas babak kedua bersambung untuk merapatkan kedudukan apabila Patrice Evra tertampan bola ke gawang sendiri hasil sepakan percuma Chirs Brunt. Lima minit kemudian Edwin Van Der Sar melakukan kesilapan mudah apabila gagal menangkap kemas bola sepakan lambung Chris Brunt dari sebelah kiri. Bola yang muntah dari dakapan Van Der Sar mudah ditolak masuk Somen Tchoyi di gawang terbuka untuk mengikat kedudukan hingga keakhir perlawanan.
Ferguson bagaimanapun enggan meletakkan kesalahan di bahu Van Der Sar hingga membolehkan pelawat menyamakan kedudukan sekaligus meyaksikan United mencatat keputusan seri kelima mereka musim ini. "Saya tidak tahu mengapa perkara itu boleh berlaku. Kesilapan itu mungkin terjadi sekali dalam hidupnya. Mungkin kali terakhir dia melakukan kesilapan itu ketika masih di sekolah rendah" kata Ferguson lagi. Keputusan ini juga menyaksikan United gagal meneruskan rekod seratus peratus kemenangan mereka di gelanggang sendiri selepas membenam Newcastle United, West Ham dan Liverpool. Bagaimanapun mereka mencatat empat keputusan seri di Fulham, Everton, Bolton Wanderers dan Sunderland untuk meletakkan mereka di tangga ketiga ketika ini.

16 Oktober 2010

MISI PENTING UNITED DI OLD TRAFFORD


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn WEST BROMWICH ALBION
(Old Trafford, 16 Oktober 2010 jam 10.00 mlm)

Manchester United's English forward Wayne Rooney (C) walks towards manager Sir Alex Ferguson (L) after being substituted against Bolton Wanderers during their English Premier League football match at The Reebok Stadium in Bolton, north-west England, on September 26, 2010. AFP PHOTO/PAUL ELLIS -  FOR EDITORIAL USE ONLY Additional licence required for any commercial/promotional use or use on TV or internet (except identical online version of newspaper) of Premier League/Football League photos. Tel DataCo +44 207 2981656. Do not alter/modify photo.
Barisan Manchester United menggalas misi penting ketika mereka menanti kunjungan pasukan sedang meningkat naik West Bromwich Albion di Old Trafford malam ini. Kunjungan skuad bimbingan Roberto de Matteo itu turut diiringi betapa mereka memburu kemenangan pertama ke atas United dalam tempoh 32 tahun. Kali terakhir Albion menang ke atas United ialah pada tahun 1978 yang menyaksikan pengurus mereka, Ron Atkinson dan pemain terbaik mereka Bryan Robson berhijrah ke Old Trafford tiga tahun kemudian. Ron Atkinson kini tidak lagi melatih Albion sebaliknya misi meraih kemenangan menjadi milik de Matteo, warga Itali dan bekas tonggak di Stamford Bridge. Walau dilihat sukar mengulangi keajaiban 32 tahun lalu itu, kemampuan barisan bimbingan de Matteo tidak harus dipandang remeh. Keupayaan mereka menewaskan Arsenal di Emirates sudah cukup membuatkan Sir Alex Ferguson resah menanti perlawanan ini. Bagaimanapun satu-satunya faktor yang memberikan kelegaan buat Ferguson ialah rekod kemenangan seratus peratus United di Old Trafford setakat ini.

Disamping itu Albion juga berkemungkinan besar turun tanpa penggempur harapan mereka, Peter Odemwingie serta Jerome Thomas yang masih diragui tahap kecergasannya. United akan kehilangan sentuhan Ryan Giggs akibat masalah hamstring dan Luis Antonio Valencia yang berehat lama akibat patah pergelangan kaki. Disamping itu Owen Hargreaves yang diberitakan telah mendapat lampu hijau dari pasukan perubatan United untuk bermain masih belum pasti diturunkan. Tumpuan pastinya terarah kepada Wayne Rooney yang agak hambar ketika England berkongsi mata dengan Montenegro di Wembley, Rabu lalu. Bukan saja sentuhannya yang masih tumpul, khabar angin pergeseran antaranya dengan Ferguson yang tersebar sejak beberapa hari lalu pastinya menjadikan Rooney pemain yang bakal meraih tumpuan malam ini. Jika diturunkan Ferguson, Rooney harus membuktikan kepada peminat bahawa dia masih penggempur terbaik di England ketika ini sekaligus mengembalikan semula kepercayaan semua pihak kepadanya.

05 Oktober 2010

CARRICK MAHU TERUS KEKAL DI OLD TRAFFORD

http://www.blogunited.co.uk/wp-content/gallery/michael-carrick/Michael_Carrick_13.jpg
Pemain tengah Manchester United, Michael Carrick menepis spekulasi yang mengatakan bahawa dia akan keluar dari Old Trafford menjelang musim perpindahan Januari nanti. Bekas perancang Tottenham Hotspurs itu menegaskan bahawa dia mahu kekal menyarung jersi United sehingga penghujung kariernya. Sejak akhir-akhir ini, Carrick muncul pemain United paling hangat dikaitkan akan berpindah ke pasukan lain dan terbaru, Aston Villa dikatakan menaruh minat yang tinggi untuk mendapatkan khidmatnya. Pemain berusia 29 tahun itu yang masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun menegaskan bahawa dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan United. "Saya telah mendengar beberapa spekulasi yang mengatakan bahawa saya akan berpindah musim panas lalu. Saya tidak mempedulikannya kerana itu adalah sebahagian dari permainan media", kata Carrick. Carrick menegaskan bahawa hasrat untuk berpindah tidak pernah terlintas dalam mindanya dan berazam untuk bekerja lebih keras bagi memastikan dia berpeluang tampil dengan lebih kerapbersama skuad utama United.

03 Oktober 2010

FERGUSON AKUI KEHEBATAN SUNDERLAND

Manchester United's Michael Owen in action with Sunderland's Steed Malbranque
Misi Manchester United untuk berkongsi mata di tangga teratas bersama Chelsea gagal selepas diikat seri tanpa jaringan oleh Sunderland di Stadium of Light semalam. Keputusan itu menyaksikan United mengumpul 13 mata di tangga kedua, dua mata di belakang Chelsea yang akan berhadapan dengan Arsenal di Stamford Bridge malam ini. Ferguson menurunkan gandingan Michael Owen dan Federico Macheda dibabak pertama namun kedua-dua penyerang itu gagal menghadirkan sebarang ancaman serius kepada benteng skuad bergelar Black Cats itu. Sunderland hampir memperolehi gol pendahuluan namun Steed Malbranque yang menerima hantaran Lee Cattermole gagal menewaskan Edwin Van Der Sar biarpun dia hanya berhadapan dengan bekas penjaga gol antarabangsa Belanda itu. Tuan rumah sekali lagi mencemaskan benteng United apabila rembatan Boudewijn Zenden dari luar kotak penalti sekadar singgah di tiang gol. United mengeluarkan Owen dan memasukkan Dimitar Berbatov di babak kedua namun usaha mereka tetap buntu dalam mencari gol kemenangan. Kedudukan kekal 0-0 hingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan Chris Foy.

Sementara itu, Sir Alex Ferguson mengatakan bahawa Sunderland layak diberikan pujian atas kejayaan mereka menyekat United sepanjang 90 minit permainan. "Saya fikir, anda seharusnya memberikan pujian kepada mereka. Rekod mereka di gelanggang sendiri cukup cemerlang dan kami terpaksa bertahan dengan baik", kata Ferguson. Walaupun statistik perlawanan menunjukkan United menguasai 51% penguasaan bola namun mereka hanya melepaskan satu percubaan tepat ke gawang lawan manakala tuan rumah pula memperolehi tiga peluang keemasan untuk menjaringkan gol. Sunderland sehingga ini dilihat begitu kebal di gelanggang mereka apabila dari empat perlawanan mereka mencatat keputusan seri sebanyak tiga kali dan menang sekali. Pujian juga seharusnya diberikan kepada benteng United yang diterajui Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand yang bermain dengan baik dalam menyekat hantaran-hantaran tinggi tuan rumah. Kedudukan United di tangga kedua bakal tergugat sekiranya Manchester City yang akan bertemu Newcastle dan Arsenal pula yang akan berhadapan dengan Chelsea menang ke atas lawan masing-masing.

02 Oktober 2010

NASIB ROONEY MASIH MENJADI TANDATANYA

LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11
SUNDERLAND lwn MANCHESTER UNITED
(Stadium of Light, 2 Oktober 2010 jam 10.00 mlm)

Manchester United's Wayne Rooney wipes his head during their English Premier League soccer match against Bolton Wanderers at the Reebok Stadium in Bolton, northern England, September 26, 2010.

Ryan Giggs percaya prestasi malap yang dipamerkan Wayne Rooney ketika ini hanyalah bersifat sementara. Giggs percaya Rooney yang menjadi sandaran United mengegar gawang lawan musim lalu bakal kembali semula keprestasi terbaiknya dalam masa terdekat. Rooney yang menjadi perhatian ramai selepas skandal seksnya bersama seorang pelacur terbongkar agak tenggelam diawal musim Liga Perdana Inggeris selepas hanya meledak satu gol dalam enam perlawanan buat United. Walaupun pada mulanya mengatakan bahawa dia tidak terjejas dengan skandal itu, prestasi penyerang antarabangsa England itu berada di bawah tahap sebenar dan kecederaan pergelangan kaki ketika menentang Bolton minggu lalu memburukan lagi keadaannya. Menurut Giggs hanya satu cara saja untuk Rooney mengatasi masalahnya, iaitu turun kepadang dan berlatih.

Kecergasan Rooney masih menjadi tandatanya walaupun sebelumnya diberitakan akan diketepikan selama tiga minggu akibat kecederaan itu. United yang akan bertemu Sunderland malam ini mungkin tidak membawa Rooney bersama pasukan tetapi pengurus Sunderland yang juga bekas pemain United, Steve Bruce optimis bahawa Rooney akan diturunkan Ferguson. Bruce dipetik sebagai berkata, “Apakah Wayne Rooney akan diketepikan selama tiga minggu? Saya tidak tahu, mungkin ini hanyalah taktik Sir Alex. Tiada pemain lain yang lebih baik berbanding Rooney dan saya yakin Sir Alex akan menurunkannya dalam perlawanan dengan kami nanti", tegas Bruce. Sunderland yang berjaya mengikat Liverpool minggu lalu bakal menghadirkan ujian getir buat United namun kehadiran semula Rio Ferdinand di benteng bakal menguatkan semula pertahanan mereka yang agak goyak sejak kebelakangan ini.