03 Oktober 2010

FERGUSON AKUI KEHEBATAN SUNDERLAND

Manchester United's Michael Owen in action with Sunderland's Steed Malbranque
Misi Manchester United untuk berkongsi mata di tangga teratas bersama Chelsea gagal selepas diikat seri tanpa jaringan oleh Sunderland di Stadium of Light semalam. Keputusan itu menyaksikan United mengumpul 13 mata di tangga kedua, dua mata di belakang Chelsea yang akan berhadapan dengan Arsenal di Stamford Bridge malam ini. Ferguson menurunkan gandingan Michael Owen dan Federico Macheda dibabak pertama namun kedua-dua penyerang itu gagal menghadirkan sebarang ancaman serius kepada benteng skuad bergelar Black Cats itu. Sunderland hampir memperolehi gol pendahuluan namun Steed Malbranque yang menerima hantaran Lee Cattermole gagal menewaskan Edwin Van Der Sar biarpun dia hanya berhadapan dengan bekas penjaga gol antarabangsa Belanda itu. Tuan rumah sekali lagi mencemaskan benteng United apabila rembatan Boudewijn Zenden dari luar kotak penalti sekadar singgah di tiang gol. United mengeluarkan Owen dan memasukkan Dimitar Berbatov di babak kedua namun usaha mereka tetap buntu dalam mencari gol kemenangan. Kedudukan kekal 0-0 hingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan Chris Foy.

Sementara itu, Sir Alex Ferguson mengatakan bahawa Sunderland layak diberikan pujian atas kejayaan mereka menyekat United sepanjang 90 minit permainan. "Saya fikir, anda seharusnya memberikan pujian kepada mereka. Rekod mereka di gelanggang sendiri cukup cemerlang dan kami terpaksa bertahan dengan baik", kata Ferguson. Walaupun statistik perlawanan menunjukkan United menguasai 51% penguasaan bola namun mereka hanya melepaskan satu percubaan tepat ke gawang lawan manakala tuan rumah pula memperolehi tiga peluang keemasan untuk menjaringkan gol. Sunderland sehingga ini dilihat begitu kebal di gelanggang mereka apabila dari empat perlawanan mereka mencatat keputusan seri sebanyak tiga kali dan menang sekali. Pujian juga seharusnya diberikan kepada benteng United yang diterajui Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand yang bermain dengan baik dalam menyekat hantaran-hantaran tinggi tuan rumah. Kedudukan United di tangga kedua bakal tergugat sekiranya Manchester City yang akan bertemu Newcastle dan Arsenal pula yang akan berhadapan dengan Chelsea menang ke atas lawan masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan