29 Januari 2011

SOUTHAMPTON LWN MANCHESTER UNITED: ERA BARU UNITED


PIALA FA 2010/11, PUSINGAN KEEMPAT

SOUTHAMPTON lwn MANCHESTER UNITED
(Stadium St. Mary, 30 Januari 2011, jam 01.30 pagi)

http://www.digitaljournal.com/img/7/5/9/7/0/7/i/5/3/8/o/500px-Alex_Ferguson.jpg

Sir Alex Ferguson sedia mempamerkan skuad masa depan United ketika pasukannya yang akan berkunjung ke Stadium St Mary bakal berdepan Southampton dalam pusingan keempat Piala FA awal pagi nanti. Ketika Edwin Van der Sar sudah mengumumkan persaraannya akhir musim ini, pencarian siapa yang bakal mengisi posisi sebagai penjaga gawang utama sudah dimulakan sejak awal lagi dan ketika ini Ferguson mungkin sudah mempunyai pengganti apabila mendapatkan khidmat penjaga gol Denmark, Anders Lindegaard. Lindegaard menyertai United dari kelab Norway, Aalesunds FK, hujung tahun lalu, dilihat bakal diberikan peluang oleh Ferguson melakukan penampilan pertama bersama United dalam perlawanan ini. Pemain-pemain lain seperti Ryan Giggs serta Paul Scholes juga berada di penghujung karier masing-masing dan Ferguson mula mengintai bakat muda untuk di bawa masuk. Dengan deretan pemain muda yang dimilikinya, Ferguson tampak masih belum mahu berhenti dari terus memburu bakat-bakat baru untuk mewarnai skuad masa depannya.

Sasaran terbaru Ferguson ialah bintang muda Southampton, Alex Oxlade-Chamberlain, pemain muda paling diburu kelab-kelab terkemuka England ketika ini. "Budak itu memiliki potensi besar dan tiada keraguan tentang itu", kata Ferguson. "Dia masih muda dan Southampton menjalankan tugas mereka dengan baik apabila berjaya melahirkan pemain-pemain muda yang bagus. Alex adalah salah satunya". United masih belum tewas dalam saingan Liga Perdana Inggeris namun Ferguson percaya, Southampton bakal memberikan masalah kepada pasukannya. Sementara itu penyerang lawan, Rickie Lambert mengatakan kemenangan ke atas United bukanlah sesuatu yang mustahil buat pasukannya. "Mereka tidak mempunyai banyak kelemahan, seperti yang anda lihat mereka masih belum tewas musim ini", kata Lambert. "Tapi ini bukan bererti mustahil. Kami berharap mereka tidak bermain dengan baik ketika datang ke sini dan jika itu berlaku, saya percaya kami mampu mengalahkan mereka".

26 Januari 2011

KEBANGKITAN DRAMATIK DI BLOOMFIELD ROAD

BLACKPOOL, ENGLAND - JANUARY 25:   Dimitar Berbatov of Manchester United celebrates scoring his team's third goal during the Barclays Premier League match between Blackpool and Manchester United at Bloomfield Road on January 25, 2011 in Blackpool, England.

Sir Alex Ferguson pantas memuji persembahan dua penyerangnya, Dimitar Berbatov dan Javier Hernandez selepas menyaksikan kebangkitan hebat United yang berjaya menewaskan Blackpool di Bloomfield Road awal pagi tadi. Meskipun ketinggalan dua gol hasil tandukan Craig Catchart (minit ke-15) dan DJ Campbell (minit ke-43), United membuktikan betapa mereka adalah calon paling hangat meraih gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini selepas berjaya memadamkan kelebihan lawan dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan. Berbatov menjaringkan dua gol (minit ke-72 dan 87) dan satu oleh Hernandez (minit ke-71) sekaligus menyaksikan The Red Devils melebarkan kedudukan mereka di tangga teratas dengan kelebihan lima mata dari pasukan tangga kedua, Arsenal. United kini mengumpul 51 mata manakala skuad The Gunners mengekori di tangga kedua dengan 46 mata dari 23 perlawanan. Selepas ketinggalan dua gol di babak pertama, Ferguson mengeluarkan Wayne Rooney diminit ke-66 dan memasukkan Hernandez untuk memberikan suntikan baru kepada barisan serangannya. Keputusan Ferguson itu ternyata memberikan impak segera kepada persembahan United apabila penyerang Mexico itu dilihat kerap mengucar kacirkan pertahanan lawan. "Kepantasan Hernandez ketika memerangkap pertahanan lawan sungguh fantastik", ujar Ferguson selepas tamat perlawanan.

Ferguson turut memuji persembahan menakjubkan dari Berbatov, penyerang yang dilabel sebagai pemalas oleh kebanyakkan penyokong United sebelum ini. Dua gol sumbangan Berbatov awal pagi tadi juga menyaksikan dia mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu senarai penjaring dengan 19 gol. "Dia sedang menikmati musim yang hebat. Tahap keyakinan dirinya sangat tinggi dan dia merupakan pemain yang mampu melakukan apa yang diinginkannya", komen Ferguson tentang Berbatov. Sementara itu, Berbatov memuji semangat tinggi yang dipamerkan rakan sepasukannya dalam perlawanan awal pagi tadi biarpun selepas ketinggalan dengan dua gol. "Kami selalu percaya pada diri sendiri. Jika kami berjaya menjaringkan gol maka kami mampu menjaringkan lebih banyak gol lagi dan itulah yang berlaku malam ini", ujar Berbatov. "Kami bermain bersama sebagai satu pasukan dan di separuh masa kedua kami menunjukkan semangat juang tinggi dan akhirnya memenangi perlawanan ini". Menurut Berbatov Bloomfield Road bukanlah gelanggang yang mesra kepada mana-mana pasukan pelawat dan tidak hairanlah, United bergelut untuk menyesuaikan diri di separuh masa pertama. Keadaan padang yang agak teruk sedikit sebanyak menyukarkan United mempamerkan aksi terbaik mereka. "Ini merupakan gelanggang yang sukar buat kami dan keadaan padangnya juga tidak seperti di Old Trafford".

25 Januari 2011

GIGGS YAKIN ROONEY BAKAL MENGGEGAR


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

BLACKPOOL lwn MANCHESTER UNITED
(Bloomfield Road, 26 Januari 2011, jam 04.00 pagi)


Ryan Giggs memberi amaran kepada Blackpool agar bersedia menghadapi amukan Wayne Rooney awal pagi nanti. Manchester United akan berdepan Blackpool di Bloomfield Road awal pagi nanti untuk perlawanan ke 23 mereka dan berpeluang melebarkan pendahuluan kepada lima mata di hadapan Arsenal jika memenangi perlawanan ini. Giggs melahirkan keyakinan Bloomfield Road bakal menyaksikan kebangkitan Rooney sebagai penyerang unggul United. Walaupun ketika ini Rooney hanya mampu menjaringkan satu gol padang iaitu ketika United menang ke atas West Bromwich Albion Disember lalu tetapi Giggs yakin penyerang antarabangsa England itu hanya menunggu masa untuk kembali mengganas hadapan gawang lawan. Giggs memuji persembahan cemerlang Rooney ketika United membelasah Birmingham City hujung minggu lalu, bahkan bintang veteran itu turut menjaringkan satu gol hasil umpanan Rooney.

"Sebagai seorang penyerang, tugas anda memang menjaringkan gol namun secara umumnya Rooney bermain dengan begitu baik. Umpanannya untuk gol saya ke gawang Birmingham memang satu gerakan yang bijak", ujar Giggs. Giggs juga memuji penampilan Dimitar Berbatov musim ini sehingga menyaksikan penyerang Bulgaria itu muncul sebagai pendahulu senarai penjaring terbanyak dengan 17 gol setakat ini. "Berba layak menerima semua pujian yang diterimanya setakat ini dengan apa yang dia telah lakukan. Secara keseluruhannya dia bermain begitu baik, sebaik semua gol yang dijaringkannya setakat ini", tambah Giggs. Ketika ditanya tentang sasaran menyamai rekod tanpa kalah Arsenal bagi musim 2002/03, Giggs menjawab, "Bagi kami, kemampuan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini sudah menjadi pencapaian yang sangat luarbiasa".

23 Januari 2011

FERGUSON YAKIN BERBA AKAN MENJARINGKAN LEBIH BANYAK GOL




Penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov kembali menunjukkan ketajamannya di hadapan gawang apabila menyumbang hatrik ketiganya musim ini untuk meletakkan skuad bimbingan Sir Alex Ferguson kukuh di takhta Liga Perdana Inggeris. Semalam, United tidak berhadapan masalah membenam cabaran Birmingham City sepertimana di berikan lawan ketika mereka bertandang ke St Andrews untuk mencatat kemenangan besar 5-0. Kemenangan ini juga menyaksikan United mengukuhkan cengkaman mereka di tangga teratas dengan kelebihan dua mata berbanding Arsenal di tangga kedua selepas satu lagi pencabar kejuaraan, Manchester City tewas 0-1 kepada Aston Villa di Villa Park. Berbatov membuka tirai jaringan buat United seawal minit ke-2 permainan selepas berjaya menyambung bola tandukan John O'Shea hasil sepakan sudut Nani. Selepas itu penguasaan jelas milik United dengan lawan dipaksa terus bertahan dan Berbatov menambah jaringan diminit ke-31 hasil rembatan dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Ben Foster. United menambah gol ketiga di minit ke-45 selepas Ryan Giggs mudah menolak masuk hantaran Wayne Rooney yang sebelumnya bergandingan baik bersama Berbatov untuk mencipta gerakan ini.

Berbatov merakamkan hatrik ketiganya musim ini selepas berjaya menyudahkan hantaran Ryan Giggs diminit ke-52 untuk meletakkan United selesa mendahului 4-0. Selepas itu Ferguson melakukan perubahan taktikal dengan mengeluarkan Patrice Evra dan Ryan Giggs dan memasukkan Rafael da Silva dan Michael Owen. Perubahan taktikal ini dilihat langkah Ferguson merehatkan kedua-dua pemain itu menjelang kunjungan mereka ke Blackpool Rabu ini. Perubahan yang dilakukan Ferguson bagaimanapun tidak merencatkan tempo permainan United dan Nani menambah derita pelawat apabila berjaya menjaringkan gol kelima diminit ke-75 buat terus menambah derita anak-anak buah Alex McLeish. Hatrik Berbatov ini turut menyaksikan dia mengukuhkan kedudukannya ditangga teratas senarai penjaring gol selepas berjaya mengumpul 17 gol setakat ini, tiga gol mengatasi Carlos Tevez di tangga kedua. Sementara itu Ferguson memuji persembahan Berbatov dan yakin penyerangnya itu akan terus mengganas dan mampu menjaringkan lebih banyak gol selepas ini. "Menjaringkan gol diminit awal banyak membantu kerana selepas itu lawan akan membuka permainan dan ini memudahkan kami menambah gol", ujar Ferguson selepas tamat perlawanan.

22 Januari 2011

PELUANG JARAKKAN KEDUDUKAN


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn BIRMINGHAM CITY
(Old Trafford, 22 Januari 2011, jam 11.00 malam)



Manchester United berpeluang menjarakkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Perdana Inggeris malam ini jika berjaya meraih tiga mata penuh ketika melayan kunjungan Birmingham City di Old Trafford. Perlawanan ini pastinya menjadi sasaran Ferguson untuk memungut tiga mata penuh tatkala pencabar mereka seperti Manchester City yang akan bertemu Aston Villa bakal berhadapan tugas sukar di Villa Park. United terpaksa berkongsi mata dengan anak-anak buah Alex McLeish itu di St Andrews pada 29 Disember lalu hasil jaringan lewat Lee Bowyer. Selepas berjaya menidakkan ramalan awal yang mengatakan rekod tanpa kalah mereka musim ini akan berkecai di White Hart Lane, anak-anak buah Ferguson pastinya punya motivasi tambahan untuk terus melebarkan kedudukan mereka di tangga teratas sambil menjadikan Birmingham mangsa terbaru mereka.

Musim ini barisan serangan United juga begitu prokduktif dalam menghasilkan gol ketika bermain di gelanggang sendiri dan Birmingham pastinya mahu mengelakkan kesilapan Blakcburn Rover yang membenarkan gawang mereka dibolosi sebanyak tujuh kali 28 November lalu tidak berlaku ke atas mereka. United kini menjadi satu-satunya pasukan tangga teratas yang masih belum ditewaskan oleh anak-anak buah Alex McLeish dalam sejarah era Liga Perdana Inggeris dan faktor ini pastinya menjadi motivasi tambahan buat mereka dalam perlawanan malam ini. United akan kehilangan khidmat Rafael da Silva dalam perlawanan ini akibat penggantungan kerana menerima layangan kad merah minggu lalu dan tempatnya bakal diisi pemain serba boleh John O'Shea. Bagi Birmingham pula, mereka boleh menurunkan semula Cameron Jerome dan Sebastian Larsson manakala Scott Dann bakal tercicir dari senarai akibat kecederaan.


Barisan Kemungkinan United:

Van der Sar; O'Shea, Ferdinand, Vidic, Evra, Nani, Carrick, Fletcher, Giggs, Berbatov, Rooney.

19 Januari 2011

EVRA: SEMUA ORANG MAHU KAMI TEWAS



Patrice Evra percaya seluruh negara MENENTANG Manchester United. Namun bek kiri Perancis itu mendakwa itu hanya akan memberi mereka lebih keazaman untuk kekal tanpa kalah musim ini dan menjulang rekod kejuaraan kali ke-19. Evra, 29, berkata: "Seluruh negara menentang Manchester United – semua orang mahukan kami tewas. Perjalanan tanpa kalah United sudah berterusan selama 25 perlawanan sejak dikalahkan musim lalu di tempat sendiri oleh Chelsea pada April. Ramai menjangka United tumbang di White Hart Lane namun sekali lagi pasukan Alex Ferguson enggan menyerah kalah dengan Evra dan barisan belakang yang lain bermain dengan begitu cemerlang sekali.
Dia menambah: "Bos sangat gembira dengan semua bek dan Rio dan Vida menakjubkan dengan memenangi banyak pertarungan di udara. Semua orang melakukan tugas dengan baik." Evra terutamanya gembira dengan cara dia mengawal Aaron Lennon, dengan mendakwa ianya hanya mitos bintang England itu selalu berjaya mengatasinya. Dia berkata: "Dia tak jaringkan gol dan tidak membuat umpanan. Saya rasa saya lakukan tugas dengan baik dan gembira dengan persembahan saya. "Orang kerap berkata Lennon beri saya perlawanan sukar namun saya rasa mereka hanya menonton perlawanan akhir Piala Liga pada 2009. "Jika anda lihat perlawanan selepas itu saya tak rasa dia pernah tewaskan saya walau sekali." - (wiselonline.com)

17 Januari 2011

FERGIE PUASHATI PRESTASI BARISAN PERTAHANAN


LONDON, ENGLAND - JANUARY 16:  Michael Dawson of Spurs and Nemanja Vidic of Manchester United battle for a header during the Barclays Premier League match between Tottenham Hotspur and Manchester United at White Hart Lane on January 16, 2011 in London, England.
Sir Alex Ferguson memuji penampilan ampuh barisan pertahanannya selepas menyaksikan rekod tanpa kalah United masih kebal selepas mengharungi 21 perlawanan. United terikat 0-0 di White Hart Lane, gelanggang antara pasukan pencabar kejuaraan musim ini, Tottenham Hotspurs. Ferguson jelas berpuashati dengan prestasi barisan belakangnya yang berjaya mengekang asakan bertali arus Spurs terutamanya selepas Rafael da Silva diperintah keluar padang diminit ke 74 kerana menerima dua kad kuning. Walaupun kehilangan kelibat Rafael, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Patrice Evra cekal bertahan menangkis asakan barisan hadapan lawan yang diketuai Rafael Van der Vaart, Peter Crouch, Gareth Bale, Aaron Lennon dan Jermaine Defoe. "Mereka bermain dengan sangat bagus. Pertandingan musim ini sangat berbeza dan luarbiasa, Spurs masih belum tersingkir dari persaingan kejuaraan liga", kata Ferguson.

Menurut Ferguson, perlawanan malam tadi berlangsung dengan tempo yang cukup pantas sambil mengakui kedua-dua pasukan agak tertekan. "Ini adalah perlawanan yang perlu dimenangi oleh kedua-dua pasukan dan membuatkan anda sentiasa cemas sepanjang perlawanan. Barisan belakang kami bermain dengan baik dan berjaya mengawal tekanan lawan". Biarpun pada mulanya Harry Redknapp yakin rekod tanpa kalah United musim ini akan lebur di White Hart Lane namun terpaksa akur pasukannya terus gagal mencipta keputusan baik setiap kali bertemu United dalam saingan liga. Keputusan ini juga menyaksikan Spurs terus gagal mengatasi United dalam saingan liga dalam tempoh sepuluh tahun selepas kali terakhir menundukkan anak-anak buah Ferguson pada tahun 2001 hasil jaringan Willem Korsten dan Les Ferdinand. United kembali melonjak ke tangga teratas liga biarpun berkongsi 45 mata dengan Manchester City tetapi dibezakan dengan kelebihan jaringan.