LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11
BLACKPOOL lwn MANCHESTER UNITED
(Bloomfield Road, 26 Januari 2011, jam 04.00 pagi)
Ryan Giggs memberi amaran kepada Blackpool agar bersedia menghadapi amukan Wayne Rooney awal pagi nanti. Manchester United akan berdepan Blackpool di Bloomfield Road awal pagi nanti untuk perlawanan ke 23 mereka dan berpeluang melebarkan pendahuluan kepada lima mata di hadapan Arsenal jika memenangi perlawanan ini. Giggs melahirkan keyakinan Bloomfield Road bakal menyaksikan kebangkitan Rooney sebagai penyerang unggul United. Walaupun ketika ini Rooney hanya mampu menjaringkan satu gol padang iaitu ketika United menang ke atas West Bromwich Albion Disember lalu tetapi Giggs yakin penyerang antarabangsa England itu hanya menunggu masa untuk kembali mengganas hadapan gawang lawan. Giggs memuji persembahan cemerlang Rooney ketika United membelasah Birmingham City hujung minggu lalu, bahkan bintang veteran itu turut menjaringkan satu gol hasil umpanan Rooney.
"Sebagai seorang penyerang, tugas anda memang menjaringkan gol namun secara umumnya Rooney bermain dengan begitu baik. Umpanannya untuk gol saya ke gawang Birmingham memang satu gerakan yang bijak", ujar Giggs. Giggs juga memuji penampilan Dimitar Berbatov musim ini sehingga menyaksikan penyerang Bulgaria itu muncul sebagai pendahulu senarai penjaring terbanyak dengan 17 gol setakat ini. "Berba layak menerima semua pujian yang diterimanya setakat ini dengan apa yang dia telah lakukan. Secara keseluruhannya dia bermain begitu baik, sebaik semua gol yang dijaringkannya setakat ini", tambah Giggs. Ketika ditanya tentang sasaran menyamai rekod tanpa kalah Arsenal bagi musim 2002/03, Giggs menjawab, "Bagi kami, kemampuan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini sudah menjadi pencapaian yang sangat luarbiasa".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan