16 Ogos 2011

LANGKAH KANAN


Manchester United memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan langkah kanan selepas berjaya menewaskan West Bromwich Albion 2-1 di The Hawthorns. Pada keseluruhannya United menguasai perlawanan namun sukar menembusi gawang tuan rumah yang bermain secara defensif. Dengan pencabar kejuaraan seperti Chelsea, Liverpool dan Arsenal sekadar mencatat keputusan seri, kemenangan ini amat penting buat United sebagai suntikan moral di awal musim terutama kepada pemain-pemain muda yang diturunkan Fergie malam Ahad lalu. Gol pembukaan yang cukup berkualiti dari Wayne Rooney biarpun dia berada pada sudut sukar namun berjaya melepaskan rembatan yang menewaskan bekas penjaga gol United, Ben Foster. David de Gea sekali lagi meresahkan penyokong-penyokong selepas dia melakukan kesilapan mudah apabila gagal mengawal dengan kemas bola rembatan rendah Shane Long untuk tuan rumah mengikat kedudukan. Tuan rumah seakan-akan sudah terbayang satu mata dalam genggaman mereka hinggalah pembelian United musim ini, Ashley Young menjaringkan gol kemenangan (sebenarnya gol sendiri dari Steven Reid) diminit ke-81. Purata usia skuad yang diturunkan Ferguson malam Ahad lalu ialah 24 tahun dan pemain-pemain seperti Tom Cleverley, Chris Smallling, Phil Jones, Jonny Evans, Danny Welbeck, David de Gea, Rafael da Silva bakal bintang masa depan United. Tentang kesilapan mudah yang dilakukan de Gea, penyokong-penyokong United seharusnya memberi masa buat penjaga gol skuad U-21 Spain itu menyesuaikan diri dengan saingan Liga Inggeris. Bukan mudah untuk budak berumur 20 tahun mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh legasi lagenda penjaga gawang seperti Peter Schmeichel dan Edwin Van der Sar. Schmeichel sendiri di awal kemunculannya bersama United kerap melakukan kesilapan mudah tetapi kemudiannya bertambah matang bila pengalaman datang dan akhirnya muncul antara penjaga gol terbaik pernah berada di Old Trafford. Apapun kemenangan ini adalah langkah pertama dalam usaha memburu kejuaraan ke 20...Glory Glory Manchester United!!!

14 Ogos 2011

LUPAKAN SNEIJDER, MASA UNTUK CLEVERLEY


Dah tiba masanya para penyokong Manchester United melupakan impian melihat Wesley Sneijder bermain untuk `Setan Merah'. Tuntutan gaji melampau dari Sneijder menghalang usaha Sir Alex Ferguson membawa midfielder Inter Milan dan Holland itu ke Old Trafford. Dengan Ferguson sendiripun dah keluarkan kenyataan bahawa kubu Old Trafford tidak akan meneruskan usaha mendapatkan Sneijder, tumpuan penyokong bolehlah kembali pada saingan Liga Perdana Inggeris yang dah melakukan sepakmula semalam. Malam ini, Manchester United akan berkunjung ke The Hawthorns, kubu West Bromwich Albion dan terus terang aku katakan kelibat yang nak aku lihat bukanlah Chicharito, Rooney, Nani atau de Gea sebaliknya budak yang dikatakan bakal pengganti Paul Scholes...siapa lagi kalau bukan Tom Cleverley. Cleverley bermain baik selepas dimasukkan Ferguson di separuh masa kedua ketika menentang `Jiran Yang Bising' Man City Ahad lepas. Aku yakin Ferguson akan terus memberikan penampilan buat Cleverley dan ada kemungkinan dia akan digandingkan bersama Ando (Anderson) di bahagian tengah. Gandingan mereka berdua mendapat pujian lagenda Arsenal, Martin Keown yang menyifatkan kedua-duanya pantas dan bertenaga hingga Yaya Toure dan Gareth Barry lemas di tengah-tengah. Pemain yang sudah bersama United sejak berumur 12 tahun ini nampaknya semakin matang selepas puas merantau ke Liecester City, Watford dan Wigan Athletic sebagai pemain berstatus pinjaman. Malam ini adalah masa terbaik buat Cleverley membuktikan United sebenarnya sudah ada pengganti Paul Scholes dan kegagalan mendapatkan Sneijder bukanlah sesuatu yang perlu untuk diratapi...Glory Glory Manchester United!!!

08 Ogos 2011

SEMOGA JIRAN SEBELAH TAK BISING SANGAT


Manchester United mempertahankan trofi Perisai Komuniti yang dimenangi mereka musim lepas setelah berjaya menundukkan pasukan yang dilabel Sir Alex Ferguson sebagai `Jiran Yang Bising'. Sekalipun menguasai permainan di separuh masa pertama, `Setan Merah' ketinggalan melalui tandukan Joleon Lescott di minit ke-38. Entah apa sebabnya, Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand yang biasanya hebat ketika perebutan bola tinggi mudah dijinakkan bekas pertahanan Everton itu. Segala-galanya tampak berakhir buat United apabila `jiran sebelah' melebarkan pendahuluan mereka, kali ini melalui Edin Dzeko yang beberapa minggu lalu lantang mengatakan bahawa pasukannya bakal menamatkan penguasaan United musim ini. Kali ini sekali lagi Vidic dan Ferdinand seolah-olah bermurah hati memberikan gol pada lawan dengan membiarkan Dzeko melepaskan rembatan peluru terus ke gawang `Setan Merah'. Nak salah David de Gea pun rasanya tak adil sebab bola tu sukar dibaca dan nampak susah untuk diselamatkan. Mungkin kalau Edwin Van der Sar bermain pun dia akan menghadapi kesukaran menyelamatkan bola rembatan Dezko tu. Memasuki separuh masa kedua, Ferguson mengambil tindakan berani mati dengan mengeluarkan dua tonggak dibenteng pertahanan, Vidic dan Ferdinand. Turut menerima nasib yang sama, Michael Carrick yang gagal bermain baik sepanjang separuh masa kedua. Memang susah nak percaya selepas ketinggalan 2 gol, Ferguson mengambil tindakan sebegitu berani dengan membawa masuk Jonny Evans, Tom Cleverly dan Phil Jones. Pemain baru, nafas pun baru dan tiba-tiba permainan United bertambah kemas hingga membuatkan `Jiran Sebelah' tambah tertekan. Evans dan Jones bermain baik di belakang manakala Cleverly memang `clever boy' bersama Anderson di tengah. Hasilnya memang memuaskan apabila Chris Smalling berjaya merapatkan kedudukan melalui percubaan jarak dekat selepas menerima hantaran dari sepakan percuma Ashley Young diminit ke-52. `Jiran Sebelah' tambah tertekan dan `young guns' United terus membedil kubu Vincent Kompany. Enam minit kemudian satu gerakan yang diibaratkan lagenda Arsenal, Martin Keown sebagai persis gerakan Barcelona terhasil dan Nani mudah menewaskan Joe Hart untuk menyamakan kedudukan kepada 2-2. Ferguson sekali lagi mengambil tindakan berani dengan mengeluarkan Patrice Evra dan memasukkan Rafael da Silva diminit ke-72. Perlawanan selepas itu seolah-olah akan ditentukan dengan sepakan penalti hinggalah Nani sekali lagi menempa nama sebagai penjaring gol. Memanfaatkan kesilapan `budak sekolah' Kompany, Nani dengan selambanya menewaskan Hart dan mudah menolak bola masuk untuk memberikan trofi Perisai Komuniti ke 19 buat `Setan Merah'. Semoga kekalahan ini akan menjadi pengajaran buat `Jiran Sebelah' supaya kurangkan sikit bunyi bising kerana boleh menganggu jiran yang lain. Kalau jiran dah marah memang kena `bahan' la seperti semalam....Glory Glory Manchester United!!!

01 Ogos 2011

JIRAN SEBELAH BISING LAGI


Jiran sebelah nampaknya sudah bising lagi, kali ni melalui striker yang mereka beli dari Wolfsburg musim lepas, Edin Dzeko. Kejayaan Manchester City menang trofi Dublin Cup dalam perlawanan pra musim mereka menyuntik semangat mamat Bosnia ini untuk menewaskan United dalam perlawanan pembukaan merebut Perisai Komuniti (Community Shield) pada 7 Ogos ini di Stadium Wembley. Mungkin kejayaan City mengenepikan juara dunia Inter Milan dalam kejohanan pemanas badan ini membuatkan mamat Bosnia ini dibuai mimpi indah. Tambah membuatkan Dzeko berada di awang-awangan ialah dia turut menyumbang 1 gol ketika City membelasah Inter 3-0 dalam perlawanan terakhir mereka. Memang betul la, kejayaan City menang trofi ni sedikit sebanyak akan meningkatkan moral mereka menjelang perlawanan pembuka tirai Barclays Premier League 2011/12, tapi Dzeko mungkin tak baca `paper' atau menonton TV kot. Takkan la dalam dunia serba moden ni, dia masih tak tau macam mana budak-budak muda United dengan selambanya membelasah kelab-kelab dari negara Uncle Sam semasa jelajah mereka di sana. Bermula dengan New England Patriot yang kena 1-4, Seattle Sounders pulak 0-7, Chichago Fire kena fire 0-3, MLS All Stars yang diperkuatkan lagenda United, David Beckham dan lagenda Arsenal, Thierry Henry diperbudakkan 0-4 dan terakhir juara Eropah, Barcelona kalah 1-2. Mungkin Dzeko bercakap sebab nak tenteramkan hati dia yang gundah dengan kedatangan menantu Maradona, Kun Aguero, ataupun dia memang terlebih yakin lepas City berjaya singkirkan United di separuh akhir FA Cup musim lepas. Patutlah aje la Sir Alex Ferguson gelar mereka ni JIRAN YANG BISING...

23 Julai 2011

TEVEZ KE INTER....SNEIJDER KE MAN UTD?


Carlos Tevez gagal berpindah ke bekas kelab lamanya Corinthians tapi itu tidak bermakna dia akan kekal di Eastlands. Tevez sendiri sudah memberikan isyarat bahawa dia tidak akan menyarung jersi biru Man City musim depan dan sejak akhir-akhir ini Tevez dikaitkan pula akan berpindah ke Itali. Inter Milan diberitakan berminat mendapatkan khidmat Tevez dan jurulatih baru mereka, Gianpiero Gasperini berpendapat Tevez adalah pemain yang begitu cocok dengan formasi 3-4-3 yang akan diterapkannya dalam skuad Inter musim depan. Apa yang menariknya jika perpindahan Tevez ke Inter jadi kenyataan, perpindahan Wesley Sneijder yang selama ini ditunggu penuh debar oleh penyokong-penyokong tegar Manchester United juga bakal dilihat akan menjadi kenyataan. Sneijder khabarnya tidak begitu gembira dengan formasi 3-4-3 Gasperini, dan Inter sendiri mungkin akan menjual perancang Belanda itu bagi mendapatkan modal merealisasikan perpindahan Tevez. Inter perlukan lebih kurang 40 juta Euro untuk dapatkan khidmat Tevez dan dengan menjual Sneijder kepada United pada harga sekitar 39 juta Euro barulah impian Gasperini melaksanakan formasi 3-4-3 dengan berkesan terlaksana. Ramai yang dah jemu dengan rumours perpindahan Sneijder ke Old Trafford tapi lebih ramai lagi yang mengharap dan tertunggu-tunggu kedatangan Flying Dutchman ni...

30 Jun 2011

YANG DITUNGGU DAH TIBA


David de Gea and Sir Alex Ferguson
Penjaga gol U-21 Sepanyol dan juga bekas penjaga gol Athletico Madrid akhirnya secara rasmi diumumkan sebagai pemain Manchester United. David de Gea bakal menggantikan tempat Edwin Van der Sar yang mengumumkan persaraannya musim lalu sebagai penjaga gol utama United. Walaupun tidak diumumkan nilai perpindahan sebenar de Gea, ramai pemerhati boalsepak mengatakan bahawa United terpaksa membelanjakan sekitar 16 juta Pound untuk membawa de Gea keluar dari Vincente Calderon ke Old Trafford. Sir Alex Ferguson nampaknya tidak mahu situasi di mana United berhadapan masalah besar mencari pengganti Peter Schmeichel berulang kembali apabila segera mendapatkan tandatangan de Gea. Dengan kontrak selama 5 tahun yang telah ditandatanganinya, de Gea akan kekal di Old Trafford sekurang-kurangnya hingga tahun 2016. SELAMAT DATANG KE OLD TRAFFORD DAVID DE GEA!!!

29 Jun 2011

TIGA NAFAS BARU


Spain's David de Gea watches play during their European Under-21 Championship soccer match against England in Herning, June 12, 2011.
Selepas Phil Jones dan Ashley Young, kini giliran penjaga gol muda terbaik Eropah menyertai United untuk saingan musim depan. David de Gea yang baru tamat tugasan bersama skuad U-21 Sepanyol di Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun (Sepanyol muncul sebagai juara kejohanan ini) menjalani pemeriksaan perubatan di Old Trafford semalam. Walau pun masih belum diumumkan secara rasmi sebagai pemain United, ketiga-tiga pemain ini sebenarnya boleh dikatakan sudah 99% bakal menjadikan Old Trafford sebagai destinasi mereka musim depan. Selepas persaraan Edwin Van der Sar, Gary Neville dan Paul Scholes, di samping kegagalan United di final Liga Juara-Juara Mei lalu, Sir Alex Ferguson nampaknya begitu bernafsu merevolusikan skuadnya dengan membawa masuk pemain berusia di bawah 25 tahun. Kedatangan Ashley Young dari Villa Park pastinya menjadikan saingan merebut tempat di posisi sayap semakin sengit. United ketika ini sudah memiliki Antonio Valencia dan Nani di sebelah kanan manakala bintang veteran, Ryan Giggs, Park Ji-Sung dan Gabriel Obertan di sebelah kiri. Gandingan Chris Smalling dan Phil Jones adalah pelaburan masa depan Ferguson di posisi pertahanan tengah bagi menggantikan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic. Harus diingat Ferguson ketika ini turut memiliki dua bek muda di sebelah kiri dan kanan (Rafael dan Fabio da Silva). Ketibaan De Gea di Old Trafford semalam bagi menjalani pemeriksaan perubatan bakal menamatkan teka-teki siapa bakal menggantikan Van der Sar yang bersara sebaik berakhirnya final Liga Juara-Juara musim lalu. Biarpun baru berusia 20 tahun, De Gea dianggap bakal penjaga gol masa depan skuad kebangsaan Sepanyol menggantikan Iker Casillas. Selepas ini penyokong-penyokong United pastinya tertunggu-tunggu siapa pemain baru yang bakal dibawa Ferguson bagi menggantikan tempat Paul Scholes. Selepas persaraan Scholes, United memang memerlukan seorang perancang tengah berwibawa sebagai jeneral di tengah padang. Mungkinkah Wesley Sneijder, Alexis Sanchez, Samir Nasri, Luca Modric atau perancang muda Barca, Thiago Alcantara?