08 Ogos 2011

SEMOGA JIRAN SEBELAH TAK BISING SANGAT


Manchester United mempertahankan trofi Perisai Komuniti yang dimenangi mereka musim lepas setelah berjaya menundukkan pasukan yang dilabel Sir Alex Ferguson sebagai `Jiran Yang Bising'. Sekalipun menguasai permainan di separuh masa pertama, `Setan Merah' ketinggalan melalui tandukan Joleon Lescott di minit ke-38. Entah apa sebabnya, Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand yang biasanya hebat ketika perebutan bola tinggi mudah dijinakkan bekas pertahanan Everton itu. Segala-galanya tampak berakhir buat United apabila `jiran sebelah' melebarkan pendahuluan mereka, kali ini melalui Edin Dzeko yang beberapa minggu lalu lantang mengatakan bahawa pasukannya bakal menamatkan penguasaan United musim ini. Kali ini sekali lagi Vidic dan Ferdinand seolah-olah bermurah hati memberikan gol pada lawan dengan membiarkan Dzeko melepaskan rembatan peluru terus ke gawang `Setan Merah'. Nak salah David de Gea pun rasanya tak adil sebab bola tu sukar dibaca dan nampak susah untuk diselamatkan. Mungkin kalau Edwin Van der Sar bermain pun dia akan menghadapi kesukaran menyelamatkan bola rembatan Dezko tu. Memasuki separuh masa kedua, Ferguson mengambil tindakan berani mati dengan mengeluarkan dua tonggak dibenteng pertahanan, Vidic dan Ferdinand. Turut menerima nasib yang sama, Michael Carrick yang gagal bermain baik sepanjang separuh masa kedua. Memang susah nak percaya selepas ketinggalan 2 gol, Ferguson mengambil tindakan sebegitu berani dengan membawa masuk Jonny Evans, Tom Cleverly dan Phil Jones. Pemain baru, nafas pun baru dan tiba-tiba permainan United bertambah kemas hingga membuatkan `Jiran Sebelah' tambah tertekan. Evans dan Jones bermain baik di belakang manakala Cleverly memang `clever boy' bersama Anderson di tengah. Hasilnya memang memuaskan apabila Chris Smalling berjaya merapatkan kedudukan melalui percubaan jarak dekat selepas menerima hantaran dari sepakan percuma Ashley Young diminit ke-52. `Jiran Sebelah' tambah tertekan dan `young guns' United terus membedil kubu Vincent Kompany. Enam minit kemudian satu gerakan yang diibaratkan lagenda Arsenal, Martin Keown sebagai persis gerakan Barcelona terhasil dan Nani mudah menewaskan Joe Hart untuk menyamakan kedudukan kepada 2-2. Ferguson sekali lagi mengambil tindakan berani dengan mengeluarkan Patrice Evra dan memasukkan Rafael da Silva diminit ke-72. Perlawanan selepas itu seolah-olah akan ditentukan dengan sepakan penalti hinggalah Nani sekali lagi menempa nama sebagai penjaring gol. Memanfaatkan kesilapan `budak sekolah' Kompany, Nani dengan selambanya menewaskan Hart dan mudah menolak bola masuk untuk memberikan trofi Perisai Komuniti ke 19 buat `Setan Merah'. Semoga kekalahan ini akan menjadi pengajaran buat `Jiran Sebelah' supaya kurangkan sikit bunyi bising kerana boleh menganggu jiran yang lain. Kalau jiran dah marah memang kena `bahan' la seperti semalam....Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan