`Budak' Red Devils terus memainkan peranan disebalik kejayaan England mengharungi kancah saingan kelayakan Euro 2012. Awal pagi tadi, `devils' yang berada dalam skuad Three Lions sekali lagi memberikan sumbangan berharga ketika England mencatat kemenangan penting 1-0 ke atas Wales. Jaringan tunggal Ashley Young diminit ke-35 memberikan tiga mata berharga buat skuad bimbingan Fabio Capello yang kini menerajui Kumpulan G dengan 17 mata, enam mata mengatasi saingan terdekat mereka, Montenegro. Hujung minggu lalu, gandingan `devils' turut memainkan peranan utama ketika England mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bulgaria di Sofia. Wayne Rooney menjaringkan dua gol buat England, malah gol kedua jaringan Rooney pada perlawanan tersebut adalah hasil kombinasi menarik antara beliau dengan Young. Selepas ini tumpuan `devils' kembali terarah pada saingan Liga Perdana Inggeris. United akan berhadapan dengan Bolton Wanderers di Reebok Stadium, pasukan `kelas pertengahan' yang sebelum ini sering memberikan masalah kepada barisan Sir Alex Ferguson...Glory Glory Manchester United!!!
07 September 2011
06 September 2011
`WHIZKID' EVERTON DALAM PERHATIAN FERGIE
Ross Barkley
Walaupun pintu perpindahan baru saja ditutup 31 Ogos lalu, Sir Alex Ferguson nampaknya sudah menetapkan sasaran pemain mana yang ingin di bawa masuk ke Old Trafford bulan Januari nanti. Selera Ferguson terhadap `pucuk muda' nampaknya semakin meluap-meluap selepas menyaksikan `budak-budak mentahnya' mempamer prestasi baik di Liga Perdana Inggeris setakat ini. Pintu perpindahan hanya akan dibuka semula pada musim sejuk nanti (Januari), namun Fergie sudah ada sasaran yang ingin dipancing. Pemain yang dimaksudkan ialah bintang dalam pembikinan di Goodison Park, Ross Barkley. Barkley yang baru berusia 17 tahun melakukan debut untuk Everton ketika The Toffees tewas kepada Queens Park Rangers dan mempamerkan aksi memberangsangkan ketika menentang Blackburn Rovers. Fergie diberitakan cukup meminati gaya permainan Barkley dan menjangkakan pemain tengah itu akan mengikut jejak Wayne Rooney menyertai United dari Akademi Bolasepak Everton. Jika impian Fergie tercapai, maka Barkley akan menambahkan lagi koleksi `darah muda' dalam skuad United...Glory Glory Manchester United!!!
05 September 2011
FLETCH KEMBALI KE PADANG
Midfielder Manchester United, Darren Fletcher kembali turun ke padang dalam perlawanan kompetitif pertamanya sejak Mac tahun lalu. Fletch mengetuai Scotland ketika mencatat keputusan seri 2-2 pada perlawanan kelayakan Euro 2012 Sabtu lalu menentang Republik Czech. Biarpun sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan peringkat tinggi kerana jangkitan virus, Fletch berjaya menyumbang 1 gol untuk Scotland diminit ke-82. Hanya jaringan penyamaan bekas penyerang Liverpool, Milan Barros di penghujung permainan merencatkan penampilan semula Fletch. Fletch nampaknya tidak menghadapi sebarang masalah beraksi selama 90 minit untuk Scotland dan penampilan semula beliau pastinya memeningkan kepada Sir Alex Ferguson. Apa tidaknya, ketika ini prestasi dua lagi midfielder United (Ando & Claverley) berada pada tahap terbaik hingga memaksa seorang lagi perancang yang pernah digelar `pass master' iaitu Michael Carrick sekadar memanaskan bangku simpanan. Kehadiran semula Fletch bukan saja memberikan lebih banyak pilihan buat Fergie di bahagian tengah malah pastinya memeningkan kepala beliau. Ini belum lagi termasuk nama Park Ji-Sung yang sudahpun diturunkan ketika United membelasah Arsenal 8-2 dan Luis Antonio Valencia yang mungkin sudah sedia diturunkan dalam tempoh tiga atau empat minggu lagi. Apakah kriteria yang menjadi pilihan Fergie nanti? Kesungguhan dan semangat darah muda milik Cleverley dan Ando atau pengalaman luas milik Fletch? Glory Glory Manchester United!!!
03 September 2011
ENGLAND SEPARUH UNITED?
Fabio Capello memanggil lima pemain Manchester United ke dalam skuad England bagi menghadapi perlawanan pusingan kelayakan Euro 2012 menentang Bulgaria. Tom Cleverley, Chris Smalling dan Phil Jones menyertai rakan United mereka yang lebih senior seperti Wayne Rooney serta Ashley Young pada penampilan pertama untuk skuad Three Lions. Fabio Capello hadir di Old Trafford menyaksikan bagaimana skuad muda United membelasah Arsenal 8-2 minggu lalu dan ternyata, persembahan mantap pemain Inggeris dalam skuad United menarik minat Capello untuk menyenaraikan mereka dalam skuadnya kali ini. Adakah kali ini kita akan dapat melihat hampir separuh kesebelasan utama England dibarisi pemain-pemain United? Bukan sesuatu yang mustahil untuk melihat perkara ini berlaku jika diambilkira prestasi terkini mereka bersama United. Tom Cleverley misalnya membuktikan kepada penyokong-penyokong tegar United bahawa mereka tidak perlu lagi menangisi persaraan Paul Scholes atau kegagalan Sir Alex Ferguson mendapatkan tandatangan Wesley Sneijder dengan prestasi cemerlangnya setakat ini. Cleverley membuktikan dia memang sudah bersedia menggantikan Scholes memikul beban selaku penggerak utama di bahagian tengah United bersama Anderson. Siapa sangka Chris Smalling yang selama ini dilabel sebagai pengganti Rio Ferdinand di bahagian pertahanan tengah mampu bergerak selesa di bahagian kanan dan memporak perandakan barisan Manchester City, West Bromwich, Tottenham dan Arsenal melalui overlapping persis Gary Neville. Ramai juga yang tidak menyangka bahawa Phil Jones yang baru direkrut Ferguson musim ini mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nemanja Vidic di bahagian tengah pertahanan.
Sebelum ini kehilangan Vidic dan Rio boleh dianggap `bencana besar' atau mimpi ngeri kepada bahagian belakang United, namun Jones pantas menjawab tandatanya sebahagian besar peminat bolasepak, mengapa Ferguson sanggup mengeluarkan 18 juta Pound dari bank hanya untuk mendapatkan pemain berusia 19 tahun. Prestasi terkini dua lagi pemain United (Rooney dan Young) pasti menyebabkan Capello tiada pilihan lain selain meletakkan mereka dalam kesebelasan utama selain faktor pengalaman luas mereka bersama skuad kebangsaan. Impian peminat United melihat kelima-lima mereka membarisi kesebelasan utama England mungkin sukar tetapi tidaklah mustahil. Capello khabarnya bakal memberikan tempat buat Smalling di sebelah kanan manakala pertimbangan sedang dibuat untuk menggandingkan Jones bersama John Terry di bahagian tengah pertahanan England. Persoalan yang tinggal kini hanyalah tentang kedudukan Cleverley, samada Capello sudah bersedia memberikan penampilan pertama kepadanya untuk skuad senior. Berdasarkan prestasi semasa, tiada masalah buat Cleverley mengenepikan Scott Parker, Stewart Downing atau Gareth Barry untuk bergandingan dengan Frank Lampard di bahagian tengah. Satu-satunya faktor yang mungkin dipertimbangkan Capello ialah pengalaman dan jika kriteria ini digunakan pengurus berbangsa Itali itu, Parker mungkin menjadi pilihan utama. Apapun berdasarkan prestasi semasa, impian untuk melihat lima pemain United beraksi serentak dalam skuad kebangsaan England bukanlah mustahil dan sudah tiba masanya Capello mencuba sesuatu yang baru. Alex Ferguson sudah membuktikannya, dan sekarang tiba giliran Capello pula...Glory Glory Manchester United!!!
29 Ogos 2011
TIADA BELAS KASIHAN

Darah muda terus membara, kali ini giliran Arsenal pula jadi mangsa. Kemenangan bergaya 8-2 ke atas Arsenal sebentar tadi meletakkan Manchester United di tangga teratas mengatasi jiran setempat, Manchester City melalui perbezaan gol sekalipun berkongsi sembilan mata. Kekalahan ini juga adalah kekalahan terbesar pernah dialami Arsene Wenger sejak membimbing Arsenal dan pastinya bakal membuka hati pengurus berbangsa Perancis itu untuk membawa `sesuatu' ke Emirates Stadium sebelum jendela perpindahan ditutup. United mendahului pelawat melalui Danny Welbeck yang memanfaatkan hantaran bijak Anderson diminit ke-22. Lima minit kemudian, tanda-tanda bencana besar sudah kelihatan bakal melanda Gunners apabila Robin van Persie gagal menyempurnakan sepakan penalti hadiah dari Howard Webb selepas pengadil yang sering dilabel pemain ke-12 United itu mendapati ada kekasaran dilakukan Jonny Evans ke atas Theo Walcott. Tindakan bijak David de Gea berjaya menafikan hajat Gunners untuk menyamakan kedudukan. Ashley Young akhirnya menjaringkan gol sulungnya untuk United musim ini apabila bola sepakan lencongnya berjaya menewaskan Wojciech Szczesny diminit ke-29. Diminit ke-41, giliran Wayne Rooney merakamkan nama dalam senarai penjaring apabila mudah menolak masuk bola sepakan percuma untuk meletakkan United selesa 3-0 di depan. Kegembiraan bagaimanapun tidak kekal lama apabila Theo Walcott mengecilkan jurang gol kepada 1-3 dimasa tambahan separuh masa pertama. Rooney membuktikan bisa sepakan percumanya apabila sekali lagi menghantar bola ke dalam gawang Szczesny diminit ke-64 untuk menjadikan kedudukan 4-1, sebelum Park Ji Sung dan Nani menambah luka Gunners melalui gol kelima dan keenam buat United selesa di hadapan. Van Persie menebus kegagalan sepakan penaltinya apabila berjaya menjaringkan gol kedua Arsenal diminit ke-72 namun tidak lama selepas itu, Carl Jenkinson dilayangkan kad merah oleh Webb selepas mengutip kad kuning keduanya kerana mengasari Javier Hernandez. United seperti tidak terbendung lagi apabila Young menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan ini sekaligus menutup pesta jaringan United di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!
27 Ogos 2011
GELORA MERAH

Pertembungan Manchester United dan Arsenal di Old Trafford esok, menjadi perlawanan `besar' Liga perdana Inggeris hujung minggu ini. Selepas berjaya membuktikan kemampuan ketika menentang Tottenham Hotspurs Selasa lalu, skuad muda United bakal sekali lagi menjadi pertaruhan Sir Alex Ferguson pada perlawanan ini. Biarpun sudah kehilangan Gael Clichy, Cecs Fabregas, Emmanuel Eboue dan Samir Nasri yang bertindak keluar dari Stadium Emirates serta kehilangan sentuhan Jack Wilshere (akibat kecederaan), Alex Song dan Gervinho (digantung 3 perlawanan), skuad Gunners pimpinan Arsene Wenger tidak harus dipandang mudah. Biarpun kelihatan `hampir roboh', Wenger masih berupaya mengemudi pasukan mudanya melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah selepas berjaya mengenepikan wakil Itali, Udinese dengan agregat 3-1. Atas faktor ini, United tidak seharusnya memandang rendah keupayaan Gunners mencipta kejutan di Old Trafford biarpun skuad United tampak lebih baik secara keseluruhan berbanding lawan. Rekod 16 pertemuan terakhir di Old Trafford memihak kepada United, menyaksikan skuad Red Devils merakamkan 10 kemenangan, 3 seri dan 3 kalah. Kali terakhir anak-anak buah Arsene Wenger menang di Old Trafford ialah pada 2006 hasil jaringan tunggal Emmanuel Adebayor. Menjelang perlawanan ini, United turut memperolehi suntikan semangat tambahan apabila Darren Fletcher disahkan akan disenaraikan dalam skuad. Kehadiran Fletcher memang dialu-alukan biarpun bahagian tengah United ketika ini nampak begitu ampuh hasil kombinasi Anderson dan Tom Cleverley. `Back four' United nampaknya sekali lagi akan dibarisi Chris Smalling, Patrice Evra, Phil Jones dan Jonny Evans berikutan ketiadaan Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand yang mengalami kecederaan. Di posisi penjaga gol, Ferguson dijangka terus memberi kepercayaan kepada David de Gea yang menunjukkan peningkatan ketika pertemuan dengan Spurs manakala Wayne Rooney, Danny Welbeck, Ashley Young dan Nani akan memikul tugas menggempur kubu Gunners yang kembali diperkuatkan Thomas Vermaelen. Glory Glory Manchester United!!!
23 Ogos 2011
DARAH MUDA MENGAMUK...

Manchester United melakukan permulaan hampir sempurna awal musim mereka apabila mencatat kemenangan kedua ke atas Tottenham Hotspurs. Sebentar tadi, barisan muda United memanjangkan rentetan rekod buruk Spurs di Old Trafford apabila jaringan Danny Welbeck, Anderson dan Wayne Rooney memberikan tiga mata buat The Red Devils di hadapan penyokong sendiri. United menguasai sepenuhnya lawan mereka di separuh masa pertama namun tiada sebarang gol dihasilkan barisan muda United. Gandingan Tom Cleverley dan Anderson terus diberi kepercayaan oleh Ferguson, dan nampaknya mereka memang tidak menghampakan setakat ini. Anderson terutamanya, dilihat begitu meningkat musim ini dan selepas dua perlawanan, dia antara pemain United paling menyerlah. Gandingannya bersama Cleverley menguasai sepenuhnya bahagian tengah dan gagal ditandingi Nico Kranjcar serta Jake Livermore. Spurs juga dilihat beberapa kali melakukan percubaan jarak jauh melalui Rafael Van der Vaart dan Jermain Defoe untuk menguji sejauh mana kemampuan David de Gea. Mujurlah walaupun ada beberapa percubaan yang gagal ditangkap kemas, tapi de Gea berjaya memastikan gawangnya tak bocor lagi. Penantian menunggu gol sulung di Old Trafford musim ini akhir terlerai apabila Welbeck berjaya menanduk masuk bola hantaran Nani diminit ke-61. Sepuluh minit kemudian giliran Anderson menyempurnakan hantaran `backheel' Welbeck untuk gol kedua dan Rooney melengkapkan malam derita Spurs selama hampir 22 tahun apabila menanduk masuk bola hantaran Ryan Giggs tiga minit sebelum masa sebenar tamat. 3-0 satu kemenangan moral yang penting buat anak-anak muda yang membarisi kesebelasan utama United, tambahan pulak keatas pasukan yang dilabel antara pencabar kejuaraan musim ini. Selepas Tottenham, satu lagi pasukan dari London akan berkunjung ke Old Trafford minggu hadapan. Arsenal yang dibarisi ramai pemain muda bakal menguji sejauh mana kemampuan pemain-pemain muda dalam skuad United musim ini. Apapun Theatre of Dream terus menjadi Theatre of Screams buat Spurs...Glory Glory Manchester United!!!
Langgan:
Catatan (Atom)



