27 Ogos 2011

GELORA MERAH


Pertembungan Manchester United dan Arsenal di Old Trafford esok, menjadi perlawanan `besar' Liga perdana Inggeris hujung minggu ini. Selepas berjaya membuktikan kemampuan ketika menentang Tottenham Hotspurs Selasa lalu, skuad muda United bakal sekali lagi menjadi pertaruhan Sir Alex Ferguson pada perlawanan ini. Biarpun sudah kehilangan Gael Clichy, Cecs Fabregas, Emmanuel Eboue dan Samir Nasri yang bertindak keluar dari Stadium Emirates serta kehilangan sentuhan Jack Wilshere (akibat kecederaan), Alex Song dan Gervinho (digantung 3 perlawanan), skuad Gunners pimpinan Arsene Wenger tidak harus dipandang mudah. Biarpun kelihatan `hampir roboh', Wenger masih berupaya mengemudi pasukan mudanya melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah selepas berjaya mengenepikan wakil Itali, Udinese dengan agregat 3-1. Atas faktor ini, United tidak seharusnya memandang rendah keupayaan Gunners mencipta kejutan di Old Trafford biarpun skuad United tampak lebih baik secara keseluruhan berbanding lawan. Rekod 16 pertemuan terakhir di Old Trafford memihak kepada United, menyaksikan skuad Red Devils merakamkan 10 kemenangan, 3 seri dan 3 kalah. Kali terakhir anak-anak buah Arsene Wenger menang di Old Trafford ialah pada 2006 hasil jaringan tunggal Emmanuel Adebayor. Menjelang perlawanan ini, United turut memperolehi suntikan semangat tambahan apabila Darren Fletcher disahkan akan disenaraikan dalam skuad. Kehadiran Fletcher memang dialu-alukan biarpun bahagian tengah United ketika ini nampak begitu ampuh hasil kombinasi Anderson dan Tom Cleverley. `Back four' United nampaknya sekali lagi akan dibarisi Chris Smalling, Patrice Evra, Phil Jones dan Jonny Evans berikutan ketiadaan Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand yang mengalami kecederaan. Di posisi penjaga gol, Ferguson dijangka terus memberi kepercayaan kepada David de Gea yang menunjukkan peningkatan ketika pertemuan dengan Spurs manakala Wayne Rooney, Danny Welbeck, Ashley Young dan Nani akan memikul tugas menggempur kubu Gunners yang kembali diperkuatkan Thomas Vermaelen. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan