10 September 2011

PREVIEW: BOLTON lwn MANCHESTER UTD


Bolton Wanderers tidak pernah menang tiga pertemuan terakhir mereka dengan Manchester United dan apakah pertembungan di Reebok Stadium awal pagi nanti akan menyaksikan rekod tersebut  berterusan.  Sejak musim 2001/02, pertemuan United-Bolton sudah berlangsung sebanyak 10 kali di mana rekod memihak kepada skuad Red Devils yang mencatat 10 kemenangan, 3 seri dan sekali kalah.  Semangat tinggi untuk meneruskan momentum kemenangan dalam diri barisan muda United pastinya sukar disekat dan Bolton tampak akan menjadi mangsa seterusnya.  United sudah mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan awal mereka dan menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris.  Biarpun berkongsi sembilan mata dengan jiran mereka, Manchester City, United memiliki kelebihan jaringan gol berbanding skuad bimbingan Roberto Mancini.  Perlawanan ini juga pastinya menjadi ujian buat barisan muda United terutamanya penjaga gol mereka, David de Gea yang bakal berhadapan dengan asakan-asakan keras dari barisan penggempur lawan yang diketuai Kevin Davies.  Biarpun mempamerkan aksi mantap ketika pertemuan dengan Arsenal dua  minggu lalu, masih ramai yang meragui keupayaan de Gea mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan Edwin van der Sar musim ini.
Kapten Bolton, Kevin Davies pastinya sedar dengan sedikit rasa gugup yang dimiliki pemain muda seperti de Gea, apatah lagi beraksi buat pertama kali dalam saingan liga utama di Eropah seperti Liga Perdana Inggeris.  Davies sudah membayangkan, kemampuan barisan pertahanan muda United dan de Gea bakal diuji dengan taktik hantaran-hantaran bola tinggi ke kawasan pintu gol, taktik yang memang sudah sinonim dengan pasukan bimbingan Owen Coyle ini.  Perlawanan ini juga bakal menyaksikan kelibat Javier Hernandez kembali dalam kesebelasan utama United.  Hernandez yang diketepikan selama  beberapa minggu kerana mengalami masalah gegaran otak bakal bergandingan semula dengan Wayne Rooney di barisan serangan United.  Kehadiran semula Hernandez yang menyumbangkan 20 gol musim lalu dilihat tepat pada masanya selepas Danny Welbeck terpaksa diketepikan selama lima minggu kerana masalah hamstring.  Perlawanan ini juga bakal menyaksikan apakan sentuhan berbisa gandingan Ashley Young dan Wayne Rooney akan berterusan buat United.  Gandingan Rooney dan Young  sudah menghasilkan tujuh gol buat United setakat ini turut menjadi teras kepada skuad England dalam saingan kelayakan Euro 2012.  Rooney dan Young masing-masing telah menyumbang tiga gol buat England dalam dua perlawanan terakhir skuad Three Lions menentang Bulgaria dan Wales.  Berhadapan dengan lawan seperti Bolton di gelanggang mereka, Stadium Reebok bukanlah satu tugas mudah buat barisan muda United.  Musim lalu United memerlukan jaringan penyamaan dari Michael Owen untuk mengikat Bolton 2-2 di gelanggang ini dan gol tunggal Dimitar Berbatov di penghujung perlawanan pula memastikan United meraih tiga mata di Old Trafford.  Selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut di awal musim, apakah frasa `lambat panas' masih sesuai digunakan untuk barisan United musim ini?  Apa yang nyata, darah muda dalam skuad United kali ini telah memberikan kelainan ketara pada corak saingan mereka di awal musim.  Tidak seperti musim lalu, United begitu garang di awal musim dan semoga akan terus garang hingga ke akhir musim...Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Chris Smalling, Phil Jones, Jonny Evans, Patrice Evra, Ashley Young, Nani, Tom Cleverley, Anderson, Javier Hernandez & Wayne Rooney

09 September 2011

POGBA BAKAL DISERAP KE SKUAD UTAMA


Paul Pogba
Sir Alex Ferguson sudah memberikan isyarat buat pemain muda dalam skuad Remaja Manchester United, Paul Pogba agar bersedia disenaraikan ke dalam skuad utama Red Devils. Ferguson mengatakan bahawa dia bakal memberikan penampilan bertama kepada tonggak utama skuad remaja itu ketika United berhadapan dengan Leeds United di pusingan ketiga Piala Carling.  United dijadualkan berhadapan Leeds pada pada 20 September nanti di Elland Road.  Pogba yang dipancing Ferguson dari kelab Perancis, Le Havre pada tahun 2009 adalah tonggak bahagian tengah United untuk skuad remaja mereka selain kapten skuad U-19 Perancis.  Pogba yang baru berusia 18 tahun dikatakan memiliki corak permainan mirip kepada lagenda Arsenal, Patrick Vieira.  Menurut Ferguson, kempen Piala Carling adalah langkah awal beliau untuk memberi pendedahan kepada Pogba dalam skuad utama United.  Menurut Ferguson, sebagai permulaan, Pogba akan berlatih bersama skuad utama bagi menyesuaikan diri sebelum disenaraikan dalam skuad yang akan berkunjung ke Elland Road nanti.  Untuk rekod, pertemuan terakhir  kedua-dua pasukan ialah pada 3 Januari 2010 dalam kempen pusingan ketiga Piala FA.  Leeds ketika itu berjaya menyingkirkan United hasil jaringan tunggal Jermaine Beckford (minit ke-19) di Old Trafford.  Sejak tahun 2000, kedua-dua pasukan juga sudah bertemu sebanyak sepuluh kali dengan rekod pertemuan memihak kepada United (menang 5, seri 3 dan kalah 2)...Glory Glory Manchester United!!!

08 September 2011

CR7 NAK KEMBALI?


CR7
Cristiano Ronaldo (CR7) dah beri bayangan yang kemungkinan satu hari nanti dia akan balik semula ke Old Trafford.  CR7 secara terbuka mengatakan bahawa walaupun kini sudah memenuhi impian masa kecilnya bermain untuk Real Madrid, dia masih lagi menjaga hubungannya dengan bekas rakan-rakan sepasukan di United dan Alex Ferguson.  Mungkin juga CR7 rindukan gempita sorakan die hard fans di Old Trafford selain suasana persaingan sengit yang dijanjikan oleh Liga Perdana Inggeris berbanding La Liga (saban tahun membabitkan saingan dua penjuru Madrid dan Barca).  Tiada niat nak memperkecilkan persaingan di La Liga namun itulah hakikatnya bila setiap musim perlumbaan merebut kejuaraan hanya membabitkan Madrid dan Barca.  Kelab-kelab lain seperti Valencia, Sevilla, Atletico Madrid dan Villareal pula berlumba-lumba menghabiskan saingan untuk merebut tempat ketiga.  Malaga yang kini dimiliki jutawan Timur Tengah cuba memecah dominasi Madrid/Barca dengan berbelanja besar, tapi nasib mereka juga rasanya tak banyak bezanya dengan kelab-kelab lain yang bersaing untuk menduduki tempat ketiga liga.  
Henrik Larsson
Tak dinafikan La Liga adalah antara liga terbaik di dunia tetapi cukup bosan untuk diikuti hingga ke akhir musim (kecuali bagi penyokong Madrid dan Barca) kerana pengakhiran skrip yang sudah dijangkakan sejak sepak mula perlawanan pertama lagi.  Berbalik kepada CR7, ada kemungkinan sekiranya dia berjaya membantu Madrid memecah dominasi Barca di La Liga, maka di penghujung musim nanti dia akan menimbangkan hasrat untuk keluar dari Bernabeu.  Jika CR7 betul-betul ingin kembali semula ke Old Trafford, dia harus melakukannya dalam tempoh setahun atau dua lagi.  Dengan umurnya dah menjangkau 26 tahun, tempoh dua tahun lagi adalah tempoh yang realistik untuk dia kembali ke pangkuan United.  CR7 juga boleh kembali semula ke Old Trafford pada usia 30 tahun tetapi dengan syarat, jurang prestasinya tidak banyak berubah seperti sekarang atau pada usia 30 tahun nanti dia masih mampu memberikan impak besar sepertimana yang dilakukan Henrik Larsson ketika Ferguson mendapatkan bekas penyerang antarabangsa Sweden itu secara pinjaman dari Helsingborg pada tahun 2007....Glory Glory Manchester United!!!

07 September 2011

BUDAK RED DEVILS TERUS BANTU ENGLAND



`Budak' Red Devils terus memainkan peranan disebalik kejayaan England mengharungi kancah saingan kelayakan Euro 2012.  Awal pagi tadi, `devils' yang berada dalam skuad Three Lions sekali lagi memberikan sumbangan berharga ketika England mencatat kemenangan penting 1-0 ke atas Wales.  Jaringan tunggal Ashley Young diminit ke-35 memberikan tiga mata berharga buat skuad bimbingan Fabio Capello yang kini menerajui Kumpulan G dengan 17 mata, enam mata mengatasi saingan terdekat mereka, Montenegro.  Hujung minggu lalu, gandingan `devils' turut memainkan peranan utama ketika England mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bulgaria di Sofia.  Wayne Rooney menjaringkan dua gol buat England, malah gol kedua jaringan Rooney pada perlawanan tersebut adalah hasil kombinasi menarik antara beliau dengan Young.  Selepas ini tumpuan `devils' kembali terarah pada saingan Liga Perdana Inggeris.  United akan berhadapan dengan Bolton Wanderers di Reebok Stadium, pasukan `kelas pertengahan' yang sebelum ini sering memberikan masalah kepada barisan Sir Alex Ferguson...Glory Glory Manchester United!!!

06 September 2011

`WHIZKID' EVERTON DALAM PERHATIAN FERGIE


Ross Barkley

Walaupun pintu perpindahan baru saja ditutup 31 Ogos lalu, Sir Alex Ferguson nampaknya sudah menetapkan sasaran pemain mana yang ingin di bawa masuk ke Old Trafford bulan Januari nanti.  Selera Ferguson terhadap `pucuk muda' nampaknya semakin meluap-meluap selepas menyaksikan `budak-budak mentahnya' mempamer  prestasi baik di Liga Perdana Inggeris setakat ini.  Pintu perpindahan hanya akan dibuka semula pada musim sejuk nanti (Januari), namun Fergie sudah ada sasaran yang ingin dipancing.  Pemain yang dimaksudkan ialah bintang dalam pembikinan di Goodison Park, Ross Barkley.  Barkley  yang baru berusia 17 tahun melakukan debut untuk Everton ketika The Toffees tewas kepada Queens Park Rangers dan mempamerkan aksi memberangsangkan ketika menentang Blackburn Rovers.  Fergie diberitakan cukup meminati gaya permainan Barkley dan menjangkakan pemain tengah itu akan mengikut jejak Wayne Rooney menyertai United dari Akademi Bolasepak Everton.  Jika impian Fergie tercapai, maka Barkley akan menambahkan lagi koleksi `darah muda' dalam skuad United...Glory Glory Manchester United!!!

05 September 2011

FLETCH KEMBALI KE PADANG



Midfielder Manchester United, Darren Fletcher kembali turun ke padang dalam perlawanan kompetitif pertamanya sejak Mac tahun lalu.  Fletch mengetuai Scotland ketika mencatat keputusan seri 2-2 pada perlawanan kelayakan Euro 2012 Sabtu lalu menentang Republik Czech.  Biarpun sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan peringkat tinggi kerana jangkitan virus, Fletch berjaya menyumbang 1 gol untuk Scotland diminit ke-82.  Hanya jaringan penyamaan  bekas penyerang Liverpool, Milan Barros di penghujung permainan merencatkan penampilan semula Fletch.  Fletch nampaknya tidak menghadapi sebarang masalah beraksi selama 90 minit untuk Scotland dan penampilan semula beliau pastinya memeningkan kepada Sir Alex Ferguson.  Apa tidaknya, ketika ini prestasi dua lagi midfielder United (Ando & Claverley) berada pada tahap terbaik hingga memaksa seorang lagi perancang yang pernah digelar `pass master' iaitu Michael Carrick sekadar memanaskan bangku simpanan.  Kehadiran semula Fletch bukan saja memberikan lebih banyak pilihan buat Fergie di bahagian tengah malah pastinya memeningkan kepala beliau.  Ini belum lagi termasuk nama Park Ji-Sung yang sudahpun diturunkan ketika United membelasah Arsenal 8-2 dan Luis Antonio Valencia yang mungkin sudah sedia diturunkan dalam tempoh tiga atau empat minggu lagi.  Apakah kriteria yang menjadi pilihan Fergie nanti?  Kesungguhan dan semangat darah muda milik Cleverley dan Ando atau pengalaman luas milik Fletch?  Glory Glory Manchester United!!!

03 September 2011

ENGLAND SEPARUH UNITED?


Fabio Capello memanggil lima pemain Manchester United ke dalam skuad England bagi menghadapi perlawanan pusingan kelayakan Euro 2012 menentang Bulgaria.  Tom Cleverley, Chris Smalling dan Phil Jones menyertai rakan United mereka yang lebih senior seperti Wayne Rooney serta Ashley Young pada penampilan pertama untuk skuad Three Lions.  Fabio Capello hadir di Old Trafford menyaksikan bagaimana skuad muda United membelasah Arsenal 8-2 minggu lalu dan ternyata, persembahan mantap pemain Inggeris dalam skuad United menarik minat Capello untuk menyenaraikan mereka dalam skuadnya kali ini.  Adakah kali ini kita akan dapat melihat hampir separuh kesebelasan utama England dibarisi pemain-pemain United?  Bukan sesuatu yang mustahil untuk melihat perkara ini berlaku jika diambilkira prestasi terkini mereka bersama United.  Tom Cleverley misalnya membuktikan kepada penyokong-penyokong tegar United bahawa mereka tidak perlu lagi menangisi persaraan Paul Scholes atau kegagalan Sir Alex Ferguson mendapatkan tandatangan Wesley Sneijder dengan prestasi cemerlangnya setakat ini.  Cleverley membuktikan dia memang sudah bersedia menggantikan Scholes memikul beban selaku penggerak utama di bahagian tengah United bersama Anderson.  Siapa sangka Chris Smalling yang selama ini dilabel sebagai pengganti Rio Ferdinand di bahagian pertahanan tengah mampu bergerak selesa di bahagian kanan dan memporak perandakan barisan Manchester City, West Bromwich, Tottenham dan Arsenal melalui overlapping persis Gary Neville.  Ramai juga yang tidak menyangka bahawa Phil Jones yang baru direkrut Ferguson musim ini mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nemanja Vidic di bahagian tengah pertahanan.  

Sebelum ini kehilangan Vidic dan Rio boleh dianggap `bencana besar' atau mimpi ngeri kepada bahagian belakang United, namun Jones pantas menjawab tandatanya sebahagian besar peminat bolasepak, mengapa Ferguson sanggup mengeluarkan 18 juta Pound dari bank hanya untuk mendapatkan pemain berusia 19 tahun.  Prestasi terkini dua lagi pemain United (Rooney dan Young) pasti menyebabkan Capello tiada pilihan lain selain meletakkan mereka dalam kesebelasan utama selain faktor pengalaman luas mereka bersama skuad kebangsaan.  Impian peminat United melihat kelima-lima mereka membarisi kesebelasan utama England mungkin sukar tetapi tidaklah mustahil.  Capello khabarnya bakal memberikan tempat buat Smalling di sebelah kanan  manakala pertimbangan sedang dibuat untuk menggandingkan Jones bersama John Terry di bahagian tengah pertahanan England.  Persoalan yang tinggal kini hanyalah tentang kedudukan Cleverley, samada Capello sudah bersedia memberikan penampilan pertama kepadanya untuk skuad senior.  Berdasarkan prestasi semasa, tiada masalah buat Cleverley mengenepikan Scott Parker, Stewart Downing atau Gareth Barry untuk bergandingan dengan Frank Lampard di bahagian tengah. Satu-satunya faktor yang mungkin dipertimbangkan Capello ialah pengalaman dan jika kriteria ini digunakan pengurus berbangsa Itali itu, Parker mungkin menjadi pilihan utama.  Apapun berdasarkan prestasi semasa, impian untuk melihat lima pemain United beraksi serentak dalam skuad kebangsaan England bukanlah mustahil dan sudah tiba masanya Capello mencuba sesuatu yang baru.  Alex Ferguson sudah membuktikannya, dan sekarang tiba giliran Capello pula...Glory Glory Manchester United!!!